Kumpulan peguam tegaskan hak peserta protes anti-Israel selepas menteri cuba pertahan tindakan polis di luar kedutaan AS
Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) memberi amaran kepada pentadbiran Anwar Ibrahim supaya berhenti bertindak agresif terhadap peserta perhimpunan pro-Palestin, susulan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap cara polis menyuraikan sekumpulan belia di kaki lima luar Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ia ketika Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus cuba meredakan kritikan awam terhadap polis dengan memuat naik sebuah video di akaun Instagram beliau, yang menunjukkan seorang pegawai polis memberitahu dua pemuda yang ditahan bahawa dia juga menyokong perjuangan Palestin.
Pengarah LFL Zaid Malek, yang mewakili dua pemuda ditahan polis susulan pergelutan di luar kedutaan AS pada 2 Oktober, berkata apa yang menjadi isu ialah kehadiran besar pasukan polis, yang menurutnya hanya meningkatkan ketegangan walaupun peserta sentiasa bertindak secara aman di beberapa perhimpunan yang berlaku di Kuala Lumpur minggu ini.
"Kita perlu mempersoalkan kenapa terdapat sejumlah besar anggota polis hadir sewaktu perhimpunan berlangsung dan kenapa mereka pada awalnya tidak dibenarkan untuk menghampiri Kedutaan Amerika. Walaupun kemudiannya perhimpunan telah beranjak ke depan, kenapa mereka dihalang untuk berdiri di kaki lima di luar kedutaan tersebut?" soal Zaid.
Beliau menjelaskan Kedutaan AS dan laluan pejalan kaki di sepanjang jalan di situ tidak termasuk kawasan larangan di bawah Akta Perhimpunan Aman.
"Sepatutnya tidak ada apa-apa kekangan langsung untuk mereka berhimpun secara aman di luar Kedutaan Amerika."
Zaid merujuk kepada beberapa video tular yang menunjukkan polis bertindak agresif dan bagaimana penunjuk perasaan diberkas secara kasar, termasuk seorang wanita yang kelihatan diheret di jalan raya.
Bagaimanapun, Saifuddin menyelar peserta protes, malah menuduh mereka menyebabkan kecederaan.
"Anggota PDRM berada di lapangan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, namun ada pihak yang bertindak melampaui batas sehingga mencederakan anggota polis," kata Saifuddin.
Zaid mempersoalkan Saifuddin kerana gagal menjelaskan layanan polis terhadap peserta, di samping keperluan sekatan yang diadakan di luar kedutaan.
'Polis langgar prosedur'
Menurutnya, polis melanggar prosedur apabila pegawai polis enggan meninggalkan bilik ketika beliau mahu berbincang dengan anak guamnya, Kamal Aarif Kamaruddin dan Isa Azmi Zulkifli, di Balai Polis Wangsa Maju.
"Ini bukan sahaja merupakan pelanggaran terhadap peruntukan KPJ, tapi juga adalah pelanggaran hak perlembagaan untuk berunding dengan peguam yang termaktub di dalam Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan," kata Zaid.
"Adakah menteri akan mendiamkan diri terhadap pelanggaran hak berunding dengan peguam peserta-peserta tersebut dan pelanggaran privasi yang telah dilakukan oleh pihak polis?"
Tangkap layar video dimuat naik oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus di akaun Instagram.
Tangkap layar video dimuat naik oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus di akaun Instagram.
Zaid turut mempersoalkan video yang dimuat naik ketua polis Kuala Lumpur itu kerana dirakam tanpa kebenaran anak guamnya.
"Kami mengingatkan menteri dalam negeri dan pihak polis bahawa tugas mereka adalah untuk memudahkan perjalanan perhimpunan dan bukannya menakutkan, mengacau ganggu atau menghalang orang awam untuk menggunakan hak berperlembagaan mereka.
"Kami turut mengingatkan Menteri Dalam Negeri bahawa beliau sepatutnya menyiasat dahulu insiden tersebut dan tidak gopoh dalam mengeluarkan kenyataan."
Platform media sosial dan pelbagai laman video dibanjiri komen yang mengkritik reaksi berlebihan polis dalam menguruskan beberapa protes aman di luar Kedutaan AS.
Ramai turut mengaitkan tindakan itu dengan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjemput Presiden Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean bulan ini.
Semalam, ribuan peserta berkumpul di luar Kedutaan AS bagi mendesak Anwar menarik balik jemputan itu.
Perhimpunan itu kemudian berpecah kepada beberapa protes kecil yang berterusan sehingga lewat malam, menyaksikan peserta muda mengibarkan bendera Palestin di sepanjang Jalan Tun Razak sambil kenderaan yang lalu lalang membunyikan hon tanda sokongan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan