Puluhan ribu peserta protes antirasuah kembali memenuhi jalan di Filipina
MANILA: Puluhan ribu penunjuk perasaan meneruskan protes di Manila untuk hari kedua berturut-turut, menggesa kerajaan bertanggungjawab berhubung dakwaan rasuah membabitkan projek mitigasi banjir.
Himpunan sejak semalam yang menarik lebih 600,000 peserta itu dijadualkan berlanjutan sehingga esok, dianjurkan gereja Iglesia Ni Cristo dengan dua juta ahli dan terkenal dengan pengundian berkumpulan dengan menggerakkan anggotanya di seluruh negara.
Ramai peserta meluahkan kekecewaan terhadap siasatan, yang disifatkan tidak berkesan ke atas ketirisan projek infrastruktur utama.
"Kerajaan digesa menjalankan siasatan secara benar, ikhlas dan tidak menutup kelemahan pihak terbabit dalam kejanggalan ini," kata Freddie Beley, 60.
Skandal itu semakin berleluasa selepas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada Ogos lalu, membentangkan hasil audit dalaman projek kawalan banjir, sekali gus mendedahkan ketirisan membimbangkan.
Skandal itu turut mengaitkan Ahli Parlimen, pegawai kerja raya dan eksekutif syarikat pembinaan utama yang didakwa mengaut keuntungan melalui projek kawalan banjir tidak mengikut piawaian, selain dalam sebahagian kes, projek itu langsung tidak wujud.
Kontroversi itu menjejaskan keyakinan pelabur dan beberapa penganalisis menyifatkannya sebagai antara faktor kemerosotan pertumbuhan ekonomi ke paras terendah dalam tempoh empat tahun pada suku ketiga, susulan kelembapan perbelanjaan awam.
Rentetan itu, Marcos Jr menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan rasuah dalam projek infrastruktur, dengan memberi tumpuan kepada kemudahan kawalan banjir.
Beliau menyifatkan tindakan tegasnya itu sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas bagi memastikan ketelusan dan tanggungjawab penjawat awam.
Marcos Jr pada Khamis lalu, berikrar akan memenjarakan pihak bertanggungjawab terhadap kegagalan projek itu sebelum Krismas. - REUTERS

Tiada ulasan:
Catat Ulasan