Kes 1MDB: Mahkamah putuskan surat derma Arab ‘palsu’
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak surat derma Arab yang dikemukakan pasukan pembelaan bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraan 1MDB, menegaskan dokumen itu sebagai “pemalsuan”.
Ketika membacakan keputusan mahkamah pagi ini, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata pengkisahan Najib sendiri berkaitan dana itu sebagai derma Arab menjadikannya tidak munasabah.
“Naratif derma dari Arab Saudi tiada merit. Surat-surat derma dari Arab merupakan pemalsuan,dan keterangan jelas menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca daripada dana 1MDB.
“Mahkamah ini mendapati pembelaan derma dari Arab tidak boleh dipercayai dan gagal menangkis anggapan suapan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM,” kata hakim itu.
ADS
Collin baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan namun dia menyampaikan keputusan terakhirnya itu sebagai hakim Mahkamah Tinggi dalam kapasiti tersebut dari Istana Kehakiman di Putrajaya.
Pasukan pembelaan ketika hari pertama perbicaraan pada 28 Ogos 2019 menyatakan keyakinan pendakwaan gagal mengaitkan Najib dengan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.
Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah berkata isu utama bukan sumber wang yang dibelanjakan, tetapi sama ada Najib tahu wang itu berasal dari 1MDB.
“Kami sentiasa mengatakan apa saja berkenaan wang itu, anak guam saya sejujurnya percaya ia datang dari raja Saudi, kerana dia bertemu raja Saudi dan ada janji berkenaan AS$1 bilion (RM4.21 bilion),” katanya.
ADS
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah pada 29 Oktober lalu, Najib gagal mengemukakan penderma, dokumen sah atau saksi bagi menyokong dakwaan RM2.3 bilion diterima sebagai “derma” dari Arab Saudi, sebaliknya hanya bergantung pada empat surat yang dipertikaikan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata Najib sekadar menyatakan dia “percaya” wang itu derma, sedangkan naratif sama sudah dianggap mahkamah sebagai tidak boleh dipercayai, tidak munasabah dan rekaan dalam kes SRC sebelum ini.
Menurut pendakwaan, bukti menunjukkan Najib mempunyai kepentingan peribadi secara langsung dalam keputusan 1MDB, menerima manfaat ke dalam akaun peribadi manakala kes pendakwaan kekal konsisten dan tidak berjaya dicabar.
Najib, 72, didakwa pada 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Perbicaraan kes itu bermula pada tahun berikutnya.
Bekas perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, dia dituduh melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Pertuduhan salah guna kuasa difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Pertuduhan pengubahan wang haram pula difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib diarahkan membela diri terhadap pertuduhan berkenaan pada 30 Oktober 2024 selepas Collin memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Selain kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022 dan kes 1MDB, Najib sebelum ini berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi.
Bagaimanapun, dia diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu lagi pertuduhan.



