LANGKAH TEPAT
DARI IRAN
AMIN
SERANG ARAB
BARUA AMERIKA
KHALAS
Iran bedil pangkalan tentera AS, tindak balas selepas terlebih dahulu diserang
TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendakwa menyasarkan beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain dan Kuwait pada Rabu.
Tindakan ketenteraan itu dilancarkan selepas AS terlebih dahulu melakukan siri serangan udara ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal tangki di Selat Hormuz.
IRGC dalam kenyataan memaklumkan operasi gabungan menggunakan peluru berpandu dan dron itu menyasarkan beberapa lokasi strategik milik AS termasuk di Salman Bandar, Bahrain, yang menempatkan Armada Kelima Tentera Laut AS, dan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait.
Selain itu, tentera Iran turut mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah dron jenis MQ9 milik AS yang dikesan cuba mengganggu operasi berkenaan.
Serangan rentas sempadan itu menyebabkan siren amaran serangan udara diaktifkan di Bahrain dan Kuwait, manakala tentera Kuwait mengesahkan sistem pertahanan udara mereka bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron terbabit.
Sebelum serangan balas Iran, Washington sudah menarik balik lesen khas yang membenarkan Iran menjual minyak ke pasaran antarabangsa berikutan serangan ke atas tiga kapal tangki komersial di selat berkenaan.
Markas Pemerintahan Pusat (CENTCOM) AS menyatakan lebih 60 bot kecil milik IRGC menjadi sebahagian daripada sasaran yang digempur bagi mengenakan tindakan tegas terhadap Tehran atas pelanggaran perjanjian gencatan senjata.
Jurucakap CENTCOM menyifatkan tindakan ketenteraan daripada pihak Iran sebagai satu bentuk pencerobohan berbahaya yang jelas mencabuli perjanjian gencatan senjata serta menggugat kebebasan navigasi maritim.
Bagaimanapun, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran mengecam tindakan ketenteraan AS sebagai pencerobohan nyata dan memberi amaran bahawa Tehran tidak akan membenarkan sebarang campur tangan luar di Selat Hormuz.
Perunding utama yang juga Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf menuduh Washington mencabuli perjanjian melalui siri serangan udara, sekatan minyak baharu serta serangan Israel di Lubnan.
Menurut laporan media tempatan, beberapa siri letupan dikesan berlaku di hab minyak utama Iran di Pulau Kharg, Pulau Qeshm serta di bandar pelabuhan Sirik dan Bandar Abbas.
Pegawai AS mengesahkan serangan itu menyasarkan sistem pertahanan udara Iran, radar pengawasan pantai, peluru berpandu permukaan ke udara, peluru berpandu jelajah antikapal dan tapak pelancaran dron.
Tiada kematian orang awam dilaporkan di Iran, namun beberapa individu dilaporkan cedera akibat terkena serpihan peluru musuh yang mengenai jeti komersial serta jeti nelayan di Sirik dan Bandar Abbas.
Dalam pada itu, Qatar menuduh Iran mendalangi serangan ke atas kapal tangki gas asli cecair miliknya, Al Rekayyat yang menyebabkan kebakaran di bilik enjin sebelum keseluruhan anak kapal berjaya dipindahkan dengan selamat.
Sebuah lagi kapal tangki minyak mentah berbendera Arab Saudi, Wedyan dilaporkan mengalami kerosakan di luar perairan Oman, manakala penilaian awal AS mendakwa Iran melepaskan tembakan ke arah tiga kapal komersial.
Ketegangan terbaharu itu berlaku ketika orang ramai berhimpun bagi memberi penghormatan terakhir dan merapati kematian Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang terkorban bersama ahli keluarganya pada hari pertama konflik itu tercetus.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan