Jumaat, 10 Julai 2026

GAJAH DAN KASIH SAYANG


GAJAH DAN

KASIH SAYANG


Gajah ini bukan satu yang baru dalam kehidupan saya.  Datuk saudara sebelah ayah saya yang kami panggil Datuk Baharun ada memelihara gajah.  Keluarga  Datuk Baharun ini tinggal di Simpang Pelangai – sempadan Pahang dan Negeri Sembilan.

Dari surah yang saya dengar anak gajah  yatim piatu ini telah di temui dan diselamatkan dari banjir oleh Datuk Baharun.  Ketika itu  Jabatan Mergastua atau Perhilitan belum wujud. Gajah  Datuk Baharun ini dipelihara dan di jadikan pembantu untuk meneroka jalan.

Saya sempat  satu kali melihat gajah Datuk Baharun ini. Ketika saya melihat gajah ini  dia sudah jadi Bapak Gajah. Kakinya di rantai dan banyak batang pisang bertaburan di kandangnya. 

Saya juga di fahamkan dari sejarah  mulut  sebelum ada jalan  seperti yang wujud  seperti hari ini – jalan dari Pelangai Pahang ke Jelebu  Negeri Sembilan adalah jalan yang di teroka oleh gajah.   Surah yang sama juga pernah saya dengar tentang jalan  gajah yang menyambungkan hutan dara Bukit Tangga  Jelebu dengan  Mukim Pantai yang  mengarah ke Seremban.

Dari fakta sejarah banyak jalan-jalan utama  yang kita guna pakai hari ini adalah peninggalan kolonial Inggeris. Penjajah membina  sistem pengangkutan jalan raya  untuk memunggah hasil mahsul – getah , bijih  dan galian  dari Tanah Melayu  untuk dibawa pulang ke London. 

Sesudah Inggeris berundur kerajaan Tunku dan  kerajaan seterusnya telah terus membuat jalan sambung menyambung dari kampung  ke pekan. Kawasan baru dan penempatan baru dibuka. Hutan belantara di teroka untuk dijadikan  kawasan FELDA. Pembinaan jalan-jalan ini dipasak dan di pangkin  oleh keperluan ekonomi.  

Tetapi jangan kita lupakan laluan awal kita ialah alur gajah.  Gajah yang berbadan yang besar dan bertenaga kuat menjadi pemula merentas jalan. Justeru kita ada daerah yang  hari ini  kita panggil   Alor Gajah. Ini tanda kita   mengingati peranan gajah membuka jalan.

Di Jelebu ketika saya bersekolah rendah tahun 60’an selalu saya terdengar berita gajah liar sesat masuk ke Kampung Gagu.  Kampung Gagu ini ialah wilayah akhir hutan dara tropika  bahagian  ekor  Banjaran Titiwangsa yang  bersempadan dengan Selangor.

Berita kumpulan gajah liar sesat masuk ke Kampung  Gagu ini sekali sekala ada di laporkan oleh Utusan Melayu Jawi. Ini kerana stringer  Utusan Melayu ketika itu tinggal di Kampung Gagu.

Gajah ini bukan sesat. Gajah-gajah ini masuk  ke wilayah kampung kerana pada satu ketika dulu wilayah ini adalah tempat mereka mencari makan. 

Tahun 1968 – sesudah selesai  Peperiksaan Senior Cambridge  tingkatan lima - saya bersama Lee Keong kawan sedarjah telah berhitch hiking menuju ke  Pulau Pinang.

Kami singgah di Taiping menumpang  tidur di rumah Mister Tay – Guru Darjah kami yang berasal dari Taiping.  Ketika di Taiping  kami sempat melawat Muzium Taiping. 

Dalam muzium ini saya terpegun melihat rangka kepala gajah yang menjadi  bahan pameran.   Bersama rangka ini ada juga di pamerkan beberapa keping gambar.

Dari fakta yang saya baca di tepi rangka gajah ini ada di tuliskan apa yang telah berlaku.  Pada petang 17 September 1894  satu kumpulan gajah telah melanggar kereta api dari Tapah Road ke Telok Anson. 

Dari apa yang saya baca beberapa hari sebelum kejadian ini saekor anak gajah telah di langgar mati oleh kereta api yang sama. Maka Sang Ayah  bersama  kawan-kawan gajah yang lain  telah datang untuk membalas dendam kerana kematian Anakandanya.

Gambar Sang Ayah tergelimpang mati di tepi laluan kereta api  akibat dari berlanggaran di pamerkan. Seorang Mat Salleh berdiri diatas jenazah Sang Ayah  untuk menjadi rakaman  sejarah.

Aduh ! Bila saya melihat membaca tulisan ini maka saya tahu bahawa haiwan juga memiliki perasaan cinta dan kasih sayang antara kaum keluarga.

Saya juga ada mendengar bahawa gajah ini haiwan yang memiliki ingatan yang lama. Apa yang berlaku pada 17 September 1974 itu membuktikan fakta ini.

Bila berita Dara, Amoi dan Kelat ini tersebar di media  saya dengan cepat mahu masuk campur.  Mahu memberikan  sokongan kepada Kumpulan Bukan Kerajaan yang sedang berkempen untuk membawa  pulang Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Tennoji Osaka Jepun.  

Berita Dara, Amoi dan Kelat ini masih belum reda lagi. Tertiba kawan saya menghantar potongan akhbar Metro bertarikah 3 Julai 2026. Ini gambar sedih lagi  menyedihkan. Gambar Ibu Gajah berdiri  di tepi jalan raya di  sebelah jenazah  Anaknya.

Aduh !  Melihat gambar ini ingatan saya kembali ke tarikh   17 September 1894. 

Gambar dari harian Metro ini ialah gambar Ibu Gajah   dalam belukar di tepi jalan berdiri menjaga jenazah anaknya yang telah mati dilanggar kereta di  kawasan Felda Nitar Mersing. 

Sekali lagi  hati saya terjerut   bila saya melihat cinta dan kasih sayang  Ibu Gajah terhadap Anakandanya.

Jika satu masa dulu kita mengikut  jalan yang  di teroka oleh Sang Gajah. Kali ini  - kita  manusia dengan jentolak telah masuk dan membuka hutan meredah tempat kediaman gajah.

Bila saya bertanya kepada Lebai Google tentang keperluan gajah maka ini jawabnya : Gajah liar memerlukan ruang yang sangat luas untuk kelangsungan hidup, dengan kawasan habitat semula jadi yang sering menjangkau antara 10,000 hingga lebih daripada 11,000 kilometer persegi, bergantung pada spesiesnya. Kawasan yang luas ini penting bagi menampung keperluan pemakanan mereka yang besar, membolehkan mereka menjelajah sejauh 30 hingga 50 kilometer setiap hari merentasi pelbagai jenis rupa bumi untuk mencari makanan dan air.

Hari ini kita membuka hutan  seperti di Felda Nitar  di Mersing. Pasti hutan ini satu masa dulu adalah wilayah perkampungan gajah.  Maka berlaku pertembungan antara keperluan manusia  dengan  keperluan gajah dan haiwan liar yang lain.

Terbukti jalan raya  yang kita buat ini  bukan sahaja boleh meragut nyawa kita  malah makin selalu kita baca  bagaimana binatang liar menjadi korban jalan raya.

Dalam berita Harian Metro itu ada  cadangan dari Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) mencadangkan agar kita membuat  terowong , jejambat  dan laluan mesra haiwan.  Ini kerana jalan raya kita telah memasuki wilayah yang dulunya eksklusif untuk hidupan liar.

Dalam masa yang sama juga para pemandu – kereta, lori atau bas – wajib berhati-hati dan memberi perhatian rapi. 

Di jalan raya yang melintasi hutan ada Papan Tanda memaparkan gambar Tapir. Ini untuk memberi ingatan kepada pemandu agar berhati-hati. Kawasan hutan seperti ini diketahui ada haiwan liar melintas.

Kesah  Dara , Amoi dan Kelat ini bukan lagi  menjadi perbualan nasional di Malaysia sahaja.  Di Jepun juga  kesah Tiga Gajah ini telah dibincangkan.

Pada 5 Julai 2026 Portal berbahasa Inggeris  The Mainichi dari Tokyo telah membuat satu berita: Why are Malaysians demanding the return of elephants from Osaka zoo? Mengapakah rakyat Malaysia menuntut pemulangan gajah-gajah dari Zoo Osaka?

Laporan dari The Mainichi menyatakan umur Zoo Tennoji telah mencecah 111 tahun.  Pada tahun 1970  untuk merayakan Osaka Expo  kerajaan India telah menghadiahkan saekor gajah  Rani  Hiroko. Gajah ini meninggal dunia pada tahun 2018.  

Zoo ini tanpa gajah sehingga Dara, Amoi dan Kelat sampai. Program gajah merupakan satu cita-cita yang telah lama diidamkan oleh pihak zoo. 

Mengikut laporan The Mainichi  beberapa siri perbincangan dengan agensi-agensi haiwan  di negara-negara Asia telah berjalan. Pada tahun 2022, Zoo Tennoji  memeterai perjanjian mengenai Program Pemuliharaan Gajah Malaysia bersama Zoo Taiping & Night Safari di Malaysia. Tujuan untuk  pemuliharaan dan pembiakan gajah serta pertukaran kakitangan.

Pada bulan April 2026 , tiga ekor gajah telah tiba: Kelat (jantan, 20 tahun), Dara (betina, 14 tahun), dan Amoi (betina, 9 tahun). 

Dalam portal yang sama Misako Namiki, seorang penyelidik di Institut Sains Hayat Universiti Sains Teikyo yang mempunyai kepakaran dalam bidang kebajikan haiwan, menganalisis kontroversi tersebut dengan menyatakan: "Punca utama kontroversi ini ialah tanggapan yang semakin meluas bahawa zoo itu sendiri tidak selari dengan kebajikan haiwan — iaitu hujah bahawa zoo tidak diperlukan.  Juga di Malaysia, perincian mengenai 'program pemuliharaan' tersebut tidak dimaklumkan sepenuhnya dengan telus."

Jelas komen dari pakar haiwan Jepun ini  mengatakan  kesampaian Dara , Amoi dan Kelat ini : tidak dimaklumkan sepenuhnya dengan telus. 

Kini kita di Malaysia tahu bahawa  Dara, Amoi dan Kelat tidak pernah ... saya ulangi... tidak pernah menjejakkan kaki di Zoo Taiping.  

Persoalan timbul apakah Dara, Amoi dan Kelat ini hadiah oleh kerajaan Malaysia  sama seperti Rani  Hiroko  di hadiahkan oleh  kerajaan  India kepada Zoo Tennoji. 

Atau apakah Dara, Amoi dan Kelat  ini dihantar ke  Zoo Tennoji  Osaka Jepun melalui cara lain dimana ada pertukaran dolar dan ringgit.  Sila tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI .COM
https://www.malaysiakini.com/columns/779322









Tiada ulasan:

Catat Ulasan