GAJAH DAN
KASIH SAYANG
Gajah ini bukan satu yang baru dalam kehidupan saya. Datuk saudara sebelah ayah saya yang kami panggil Datuk Baharun ada memelihara gajah. Keluarga Datuk Baharun ini tinggal di Simpang Pelangai – sempadan Pahang dan Negeri Sembilan.
Dari surah yang saya dengar anak gajah yatim piatu ini telah di temui dan diselamatkan dari banjir oleh Datuk Baharun. Ketika itu Jabatan Mergastua atau Perhilitan belum wujud. Gajah Datuk Baharun ini dipelihara dan di jadikan pembantu untuk meneroka jalan.
Saya sempat satu kali melihat gajah Datuk Baharun ini. Ketika saya melihat gajah ini dia sudah jadi Bapak Gajah. Kakinya di rantai dan banyak batang pisang bertaburan di kandangnya.
Dari fakta sejarah banyak jalan-jalan utama yang kita guna pakai hari ini adalah peninggalan kolonial Inggeris. Penjajah membina sistem pengangkutan jalan raya untuk memunggah hasil mahsul – getah , bijih dan galian dari Tanah Melayu untuk dibawa pulang ke London.
Sesudah Inggeris berundur kerajaan Tunku dan kerajaan seterusnya telah terus membuat jalan sambung menyambung dari kampung ke pekan. Kawasan baru dan penempatan baru dibuka. Hutan belantara di teroka untuk dijadikan kawasan FELDA. Pembinaan jalan-jalan ini dipasak dan di pangkin oleh keperluan ekonomi.
Tetapi jangan kita lupakan laluan awal kita ialah alur gajah. Gajah yang berbadan yang besar dan bertenaga kuat menjadi pemula merentas jalan. Justeru kita ada daerah yang hari ini kita panggil Alor Gajah. Ini tanda kita mengingati peranan gajah membuka jalan.
Di Jelebu ketika saya bersekolah rendah tahun 60’an selalu saya terdengar berita gajah liar sesat masuk ke Kampung Gagu. Kampung Gagu ini ialah wilayah akhir hutan dara tropika bahagian ekor Banjaran Titiwangsa yang bersempadan dengan Selangor.
Berita kumpulan gajah liar sesat masuk ke Kampung Gagu ini sekali sekala ada di laporkan oleh Utusan Melayu Jawi. Ini kerana stringer Utusan Melayu ketika itu tinggal di Kampung Gagu.
Gajah ini bukan sesat. Gajah-gajah ini masuk ke wilayah kampung kerana pada satu ketika dulu wilayah ini adalah tempat mereka mencari makan.
Tahun 1968 – sesudah selesai Peperiksaan Senior Cambridge tingkatan lima - saya bersama Lee Keong kawan sedarjah telah berhitch hiking menuju ke Pulau Pinang.
Kami singgah di Taiping menumpang tidur di rumah Mister Tay – Guru Darjah kami yang berasal dari Taiping. Ketika di Taiping kami sempat melawat Muzium Taiping.
Dalam muzium ini saya terpegun melihat rangka kepala gajah yang menjadi bahan pameran. Bersama rangka ini ada juga di pamerkan beberapa keping gambar.
Dari fakta yang saya baca di tepi rangka gajah ini ada di tuliskan apa yang telah berlaku. Pada petang 17 September 1894 satu kumpulan gajah telah melanggar kereta api dari Tapah Road ke Telok Anson.
Dari apa yang saya baca beberapa hari sebelum kejadian ini saekor anak gajah telah di langgar mati oleh kereta api yang sama. Maka Sang Ayah bersama kawan-kawan gajah yang lain telah datang untuk membalas dendam kerana kematian Anakandanya.
Gambar Sang Ayah tergelimpang mati di tepi laluan kereta api akibat dari berlanggaran di pamerkan. Seorang Mat Salleh berdiri diatas jenazah Sang Ayah untuk menjadi rakaman sejarah.
Aduh ! Bila saya melihat membaca tulisan ini maka saya tahu bahawa haiwan juga memiliki perasaan cinta dan kasih sayang antara kaum keluarga.
Saya juga ada mendengar bahawa gajah ini haiwan yang memiliki ingatan yang lama. Apa yang berlaku pada 17 September 1974 itu membuktikan fakta ini.
Bila berita Dara, Amoi dan Kelat ini tersebar di media saya dengan cepat mahu masuk campur. Mahu memberikan sokongan kepada Kumpulan Bukan Kerajaan yang sedang berkempen untuk membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Tennoji Osaka Jepun.
Berita Dara, Amoi dan Kelat ini masih belum reda lagi. Tertiba kawan saya menghantar potongan akhbar Metro bertarikah 3 Julai 2026. Ini gambar sedih lagi menyedihkan. Gambar Ibu Gajah berdiri di tepi jalan raya di sebelah jenazah Anaknya.
Aduh ! Melihat gambar ini ingatan saya kembali ke tarikh 17 September 1894.
Gambar dari harian Metro ini ialah gambar Ibu Gajah dalam belukar di tepi jalan berdiri menjaga jenazah anaknya yang telah mati dilanggar kereta di kawasan Felda Nitar Mersing.
Sekali lagi hati saya terjerut bila saya melihat cinta dan kasih sayang Ibu Gajah terhadap Anakandanya.
Jika satu masa dulu kita mengikut jalan yang di teroka oleh Sang Gajah. Kali ini - kita manusia dengan jentolak telah masuk dan membuka hutan meredah tempat kediaman gajah.
Bila saya bertanya kepada Lebai Google tentang keperluan gajah maka ini jawabnya : Gajah liar memerlukan ruang yang sangat luas untuk kelangsungan hidup, dengan kawasan habitat semula jadi yang sering menjangkau antara 10,000 hingga lebih daripada 11,000 kilometer persegi, bergantung pada spesiesnya. Kawasan yang luas ini penting bagi menampung keperluan pemakanan mereka yang besar, membolehkan mereka menjelajah sejauh 30 hingga 50 kilometer setiap hari merentasi pelbagai jenis rupa bumi untuk mencari makanan dan air.
Hari ini kita membuka hutan seperti di Felda Nitar di Mersing. Pasti hutan ini satu masa dulu adalah wilayah perkampungan gajah. Maka berlaku pertembungan antara keperluan manusia dengan keperluan gajah dan haiwan liar yang lain.
Terbukti jalan raya yang kita buat ini bukan sahaja boleh meragut nyawa kita malah makin selalu kita baca bagaimana binatang liar menjadi korban jalan raya.
Dalam berita Harian Metro itu ada cadangan dari Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) mencadangkan agar kita membuat terowong , jejambat dan laluan mesra haiwan. Ini kerana jalan raya kita telah memasuki wilayah yang dulunya eksklusif untuk hidupan liar.
Dalam masa yang sama juga para pemandu – kereta, lori atau bas – wajib berhati-hati dan memberi perhatian rapi.
Di jalan raya yang melintasi hutan ada Papan Tanda memaparkan gambar Tapir. Ini untuk memberi ingatan kepada pemandu agar berhati-hati. Kawasan hutan seperti ini diketahui ada haiwan liar melintas.
Kesah Dara , Amoi dan Kelat ini bukan lagi menjadi perbualan nasional di Malaysia sahaja. Di Jepun juga kesah Tiga Gajah ini telah dibincangkan.
Pada 5 Julai 2026 Portal berbahasa Inggeris The Mainichi dari Tokyo telah membuat satu berita: Why are Malaysians demanding the return of elephants from Osaka zoo? Mengapakah rakyat Malaysia menuntut pemulangan gajah-gajah dari Zoo Osaka?
Laporan dari The Mainichi menyatakan umur Zoo Tennoji telah mencecah 111 tahun. Pada tahun 1970 untuk merayakan Osaka Expo kerajaan India telah menghadiahkan saekor gajah Rani Hiroko. Gajah ini meninggal dunia pada tahun 2018.
Zoo ini tanpa gajah sehingga Dara, Amoi dan Kelat sampai. Program gajah merupakan satu cita-cita yang telah lama diidamkan oleh pihak zoo.
Mengikut laporan The Mainichi beberapa siri perbincangan dengan agensi-agensi haiwan di negara-negara Asia telah berjalan. Pada tahun 2022, Zoo Tennoji memeterai perjanjian mengenai Program Pemuliharaan Gajah Malaysia bersama Zoo Taiping & Night Safari di Malaysia. Tujuan untuk pemuliharaan dan pembiakan gajah serta pertukaran kakitangan.
Pada bulan April 2026 , tiga ekor gajah telah tiba: Kelat (jantan, 20 tahun), Dara (betina, 14 tahun), dan Amoi (betina, 9 tahun).
Dalam portal yang sama Misako Namiki, seorang penyelidik di Institut Sains Hayat Universiti Sains Teikyo yang mempunyai kepakaran dalam bidang kebajikan haiwan, menganalisis kontroversi tersebut dengan menyatakan: "Punca utama kontroversi ini ialah tanggapan yang semakin meluas bahawa zoo itu sendiri tidak selari dengan kebajikan haiwan — iaitu hujah bahawa zoo tidak diperlukan. Juga di Malaysia, perincian mengenai 'program pemuliharaan' tersebut tidak dimaklumkan sepenuhnya dengan telus."
Jelas komen dari pakar haiwan Jepun ini mengatakan kesampaian Dara , Amoi dan Kelat ini : tidak dimaklumkan sepenuhnya dengan telus.
Kini kita di Malaysia tahu bahawa Dara, Amoi dan Kelat tidak pernah ... saya ulangi... tidak pernah menjejakkan kaki di Zoo Taiping.
Persoalan timbul apakah Dara, Amoi dan Kelat ini hadiah oleh kerajaan Malaysia sama seperti Rani Hiroko di hadiahkan oleh kerajaan India kepada Zoo Tennoji.
Atau apakah Dara, Amoi dan Kelat ini dihantar ke Zoo Tennoji Osaka Jepun melalui cara lain dimana ada pertukaran dolar dan ringgit. Sila tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI .COM
https://www.malaysiakini.com/columns/779322







.jpeg)


Tiada ulasan:
Catat Ulasan