Rabu, 11 Disember 2024

MADEY TERUS BERTANYA


RCI 


Pulau Batu Puteh

Dr Mahathir

SAYA berasa hairan dengan kerajaan hari ini dan tindakannya yang pelik.

2. Begitu juga dalam hal RCI Pulau Batu Puteh. Mula-mula suruh rahsia. Sehingga media dan orang awam tidak boleh masuk. Saya dan Peguam saya tidak dibenarkan hadir sepanjang RCI, hanya dibenar masuk semasa saya dipanggil.

3. Selesai sahaja RCI ini, tiba-tiba Kerajaan yang tuduh saya sembunyi-sembunyi. Tapi mereka adakan RCI ini secara rahsia konon untuk jaga rahsia negara, boleh pula letak laporan RCI ini di Parlimen.

4. Saya juga dapati semua group Whatsapp dan sosial media telah mula dapat salinan laporan RCI ini.

5. Mulai hari Khamis hingga hari ini macam-macam orang telah komen, buat tuduhan, buat dakwaan, buat tohmahan dan buat keputusan.

6. Sehingga kini saya masih belum dituduh untuk apa-apa kesalahan. Belum juga dipanggil oleh pihak Polis atas apa-apa laporan mengenai RCI ini.

7. Saya difahamkan akan ada perbahasan dalam Parlimen mengenai laporan RCI ini. Saya harap ahli-ahli Dewan Rakyat baca keseluruhan laporan ini. Kalau tidak, takut mereka akan bazir masa di Dewan Rakyat.

8. RCI ini adalah diwakili oleh beberapa Pesuruhjaya yang kredibiliti dan kedudukan mereka saya telah persoalkan.

8.1. Tun Md Raus bin Sharif, Pengerusi RCI. Beliau mantan Ketua Hakim Negara yang mana saya telah saman sebelum saya menjadi Perdana Menteri ke-7 kerana pada saya beliau telah hilang kelayakkan menyandang tugas sebagai Ketua Hakim lepas tamat tempohnya.

8.2. Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu. Peguam yang juga dilantik oleh Tan Sri Apandi Ali sebagai salah seorang ahli Pasukan Petugas Khas bagi Pulau Batu Puteh. Bagaimana seorang yang duduk dalam Pasukan Petugas Khas yang telah dapati ada kes untuk RCI, kemudian duduk dalam RCI untuk isu yang sama?

8.3. Dato’ Haji Mohamed Ridha bin Dato’ Hj. Ahmad Kadir. Juga dilantik oleh Apandi Ali dalam Pasukan Petugas Khas bagi isu sama. Lagi sekali isu konflik timbul. [Lihat muka surat 72 dan 73 Laporan RCI]

9. Kesemuanya ada tujuh (7) Pesuruhjaya tiga (3) kredibiliti mereka diragui dua(2) pula nyatakan tiada salah laku jenayah. Dua (2) pula bersetuju dengan tiga (3) yang kredibiliti mereka diragui. Boleh kah kita terima laporan sebegini?

10. Pulau Batu Puteh telah lama hilang. Yang sahkan perkara ini adalah 12 Hakim Mahkamah Antarabangsa. Antara lainnya surat pemangku setiausaha Kerajaan Johor pada 21.9.1953 kepada Setiausaha Kolonial di Singapura. [Lihat muka surat 44,45, dan 47 Laporan RCI].

11. Apandi Ali menyatakan bila Malaysia tarik balik permohonan semakan dan tafsiran maka Pulau Batu Puteh hilang selama-lamanya.

12. Apandi Ali ini kredibiliti dia dipersoal. Bukan sahaja saya tetapi ada hakim-hakim lain dalam kes saman fitnah Lim Kit Siang yang tidak percayai Apandi Ali.

13. Apandi Ali juga saya lihat banyak di petik dalam Laporan RCI. Saya ingin tanya kepada Pesuruhjaya RCI, pada Apandi Ali, pada Peguam Negara, pada Kerajaan, beberapa soalan: –

13.1. Mengapa segala tugas mengenai Semakan dan Interpretasi keputusan ICJ Pulau Batu Puteh diberi pada Apandi Ali tanpa sebarang semak imbang?

13.2. Mengapa tiada satu pun agensi-agensi lain dilibat dalam kerja-kerja penyelidikan di luar negara?

13.3. Mengapa bila saya bertanya pada Peguamcara Negara I dan II mereka tiada pengetahuan mengenai status kes ini?

13.4. Mengapa ada laporan dari Kementerian Luar Negeri yang menyatakan bahawa mereka tidak dilibatkan langsung dalam kerja-kerja Apandi Ali berkenaan Semakan ini?

13.5. Berapa kos yang rakyat telah tanggung untuk biaya tiga (3) orang penyelidik di London selama 11 bulan (1.4.2017 – 12.3.2018)

13.6. Berapa kos yang rakyat tanggung untuk bayar dua (2) Peguam tempatan yang dikata bantu Apandi Ali?

13.7. Berapa kos yang rakyat tanggung untuk bayar lima (5) pakar undang-undang dan maritim luar negara yang dilantik oleh Apandi Ali? [Lihat muka surat 58 & 87 Laporan RCI]

14. Apandi Ali mesti jawab soalan-soalan ini: –

14.1. Keputusan ICJ memihak kepada Singapura pada tahun 2008. Semakan perlu difail dalam tempoh masa 10 tahun. Apandi Ali menjadi Peguam Negara bawah Dato’ Seri Najib Razak pada 27.7.2015. Pada 26.1.2016 dalam masa enam (6) bulan beliau sahkan Najib Razak tidak salah dalam skandal 1MDB. Mengapa Apandi Ali hanya nasihat Kerajaan untuk failkan semakan Pulau Batu Puteh pada Januari 2016 hampir-hampir sama dengan masa beliau bebaskan Najib dari skandal 1MDB?

14.2. Mengapa Apandi Ali berkata bahawa segala perkara bekaitan semakan ini mesti rahsia tetapi bila laporan ini dibuka, ia tidak rahsia?

14.3. Apa ulasan Apandi Ali bila RCI dapati beliau mengambil tindakan yang tidak wajar dalam tidak libatkan agensi-agensi lain?

14.4. Apandi Ali adalah Peguam Negara yang saya rehatkan kerana pada saya dia cuai dan gagal laksana tugas. Mengapa Apandi Ali sanggup ambil tugas sebagai Ketua Pasukan Petugas Khas siasat penarikkan Semakan ini sedangkan dia tahu dia ada konflik?

14.5. Berapa wang yang diperolehi Apandi Ali bagi lantikan sebagai Ketua Pasukan Petugas Khas serta sebelum itu dalam mengetuai Semakan ini mulai tahun 2016 hingga 2018?

15. Saya tidak buat keputusan. Saya hanya beri pendapat. Lihat surat saya yang bertarikh 21.5.2018 pada muka surat 99 Laporan RCI.

16. Suruhanjaya dapati saya buat keputusan dan menipu Kabinet. Saya tidak setuju. Saya juga tidak buat keputusan secara sembunyi-sembunyi.

17. Orang yang buat salah dan kerja secara sembunyi akan takut berhadapan orang lain. Tetapi ini tindakan-tindakan yang saya lakukan:-

17.1. Pada 27.6.2022 saya hadir di prosiding Pasukan Petugas Khas secara peribadi. Saya tidak sembunyi.

17.2. Pada 25.4.2024 peguam saya Rafique telah dihubungi oleh pihak Saketariat RCI atas hasrat saya akan dipanggil sebagai saksi. Saya arahkan Rafique untuk bekerjasama. Saya tidak sembunyi.

17.3. Pada 16.5.2024 soalan-soalan telah di-emel pada Rafique. Saya telah nyatakan akan hadir sebagai saksi dan jawab. Saya tidak sembunyi.

17.4. Pada 21.5.2024 saya hadir pada RCI dan beri keterangan. Saya tidak sembunyi.

[Lihat muka surat 92, 93, 94, 96 & 97 Laporan RCI]

18. Selain itu saya dari awal lagi telah memohon RCI ini diadakan secara langsung dan terbuka. Orang awam dan media mesti dibenar masuk. Ini isu kedaulatan negara dan setiap inci tanah kita. Tetapi RCI diarah dibuat secara tertutup.

Saya mohon Mahkamah untuk perintah bicara terbuka. Kerajaan bantah. Siapa yang sembunyi? Saya atau Kerajaan? [Lihat Saman Pemula Mahkamah Tinggi KL WA-25-236-06/2024]

19. Keputusan untuk tidak teruskan dengan Semakan dan Tafsiran ini adalah keputusan yang dibuat Kabinet. Kalau tidak percaya sila bertanya pada mereka yang hadir pada mesyuarat Kabinet dan rujuk cabutan minit mesyuarat Jemaah Menteri 23.5.2018.

20. Saya juga ingin bertanya, pada masa keputusan ini dibuat mengapa Mohamad bin Sabu, Anthony Loke, Gobind Singh dan Dr. Dzulkefly bin Ahmad tidak berkata apa-apa? Atau adakah mereka bersetuju seperti mereka bersetuju

Kabinet Anwar Ibrahim teruskan dengan RCI dan bentang di Parlimen Laporan RCI ini?

21. Perdana Menteri baru-baru ini menyatakan isu ini adalah pengkhianatan. Kalau begitu mulai Mei 2018 hingga Februari 2020 tidakkah Wan Azizah bercakap mengenai “Pengkhianatan” ini? Bukankah Wan Azizah TPM pada saya dan isteri Perdana Menteri sekarang?

22. Saya dengar pelbagai komen bahawa keputusan ini saya buat terburu-buru dan seorang diri. Saya jelaskan sekali lagi sepertimana saya jelaskan pada RCI tersebut.

22.1. Saya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 10.5.2018.


22.2. Saya ditemui oleh Peguam cara Negara pada 14.5.2018 dan antara lainnya isu Semakan dan Tafsiran Pulau Batu Puteh ditimbulkan oleh beliau yang mana saya dimaklum tarikh pendengaran lisan di Mahkamah Antarabangsa telah dijadual pada 11 hingga 22 Jun 2018.

22.3. Saya telah bertanya samada Malaysia mempunyai kes kukuh atau tidak.

Jawapan Peguam cara Negara adalah:-

“Saya terpaksa mohon maaf kepada beliau kerana tidak ada seorang pun dari kami (Peguamcara Negara dan Peguamcara Negara II) berada dalam kedudukan untuk memberitahu kepada beliau tentang merit kes itu kerana kami tidak terlibat, hanya Tan Sri Apandi dan peguam-peguam tempatan dan pakar luar negara yang dilantik [terlibat]”

22.4. Saya telah arahkan satu sesi taklimat diadakan oleh pihak-pihak yang mengetahui tentang kes ini.

22.5. Saya telah menerima surat dari Peguamcara Negara bertarikh 16.5.2018 dan dilampirkan bersama adalah dokumen-dokumen berkaitan Semakan dan Tafsiran termasuk pandangan perundangan dari pakar undang-undang antarabangsa Profesor Malcolm Shaw QC.

22.6. Pada 17.5.2018 jam 3:30 petang taklimat Jabatan Peguam Negara berkaitan kes ini telah diadakan. Kehadiran dari wakil-wakil Jabatan Peguam Negara, peguam-peguam tempatan dan pakar luar negara lantikan Apandi Ali (3 orang) dan wakil Kementerian Luar Negeri.

22.7. Pada taklimat itu pakar undang-undang beri pandangan. Saya juga telah membaca pandangan perundangan dari pakar undang-undang antarabangsa.

22.8. Saya dapati pakar-pakar ini menyatakan:-

i. Melalui Ringkasan Pendapat bertarikh 23.1.2017 kes-kes permohonan semakan melalui statut / undang-undang Mahkamah Antarabangsa adalah mempunyai halangan yang tinggi untuk dilepasi (high bar to applications in the statute of ICJ with regard to revision cases);

ii. Setakat 23.1.2017, kesimpulan pakar luar negara adalah semakan yang dicadang akan mengalami kegagalan, walaupun ada peluang tipis;

iii. Pada 25.1.2017, Malaysia telah memohon lagi nasihat segera mengenai “Fakta-fakta baharu” yang “mungkin boleh dihujahkan”, yang mana lagi sekali kesimpulan pakar luar negara adalah Semakan yang dicadang akan mengalami kegagalan, walaupun boleh dihujahkan;

iv. Pada 26.1.2017, pakar-pakar luar negara telah menekankan lagi sekali bahawa peluang Malaysia tipis dan akan mengalami kegagalan;

v. Pada 11.5.2017, pakar-pakar luar negara telah memberikan Pandangan Bersama (Joint Opinion) terhadap permohonan untuk Tafsiran dan dinyatakan bahawa walaupun permohonan Tafsiran yang bermerit boleh difailkan tetapi mereka menyatakan kemungkinan besar ICJ akan mengekalkan Keputusan 2008;

vi. Melalui Pandangan Bersama juga dinyatakan bahawa terdapat juga kemungkinan ICJ menafsir sesuatu yang bertentangan atau tidak menyebelahi kepentingan Malaysia;

vii. Bahawa pasukan pakar luar negara telah mengadakan mesyuarat seharian pada 14.5.2018 untuk mengkaji kesemua dokumen-dokumen serta hujahan-hujahan dan pandangan pasukan pakar luar negara adalah sama dengan pandangan-pandangan sebelum itu iaitu Malaysia mempunyai prospek yang lemah untuk berjaya.

23. Dua (2) lagi peguam tempatan yang dilantik oleh Apandi Ali iaitu Dato’ Firoz Hussain dan Dato’ Abu Bakar As-Sidek tidak ada buat apa-apa pencerahan atau bantahan mahupun beri pendapat.

24. Selepas taklimat, mereka menunggu keputusan. Saya tidak putus apa-apa. Saya nyatakan saya perlu masa.

25. Dari 17.5.2018 hingga 21.5.2018 saya tidak berbincang dengan sesiapa. Saya tertakluk pada OSA. Saya guna masa ini untuk membaca dan mengkaji semula kedudukan kes ini.

26. Matlamat utama saya adalah untuk memastikan Malaysia tidak hilang semuanya. Saya dapati keputusan Mahkamah Antarabangsa 2008 memberi Batuan Tengah pada Malaysia dan Tubir Selatan pula milik pihak yang mana paling hampir kepadanya. Maka adalah amat perlu bagi Malaysia memaju dan membangun kawasan perairan sekitar Batuan Tengah bagi memboleh kita meluas kawasan yang ada.

27. Saya juga dapati kalau kita silap langkah teruskan dengan permohonan Semakan dan Tafsiran, ia ada kemungkinan mudaratkan kepentingan Malaysia. Ini risiko yang kita tidak harus ambil.

28. Pada 21.5.2018 saya menulis pendapat kepada Peguamcara Negara untuk tidak teruskan usaha Semakan dan Tafsiran.

29. Saya juga ingin Malaysia merancang untuk tebusguna lautan disekeliling Middle Rock yang dimiliki Malaysia.

30. Saya juga memohon untuk kos penubuhan pasukan peguam tempatan dan asing yang dilantik oleh Apandi Ali dimaklum serta resit-resit pembayaran dicari.

31. Pada 23.5.2018, saya maklum semua perkara ini di Mesyuarat Jemaah Menteri. Semua yang hadir bersetuju. Maka ini keputusan bersama, keputusan Jemaah Menteri.

32. Saya ingin bertanya pada Kerajaan:-

32.1. Dimanakah resit-resit pembayaran bagi peguam-peguam tempatan serta pakar-pakar luar negara?

32.2. Berapa jumlah wang rakyat yang telah digunakan untuk segala proses Semakan dan Tafsiran ini ke ICJ?

32.3. Mengapa kita membayar peguam-peguam tempatan kalau mereka tidak ada beri sebarang pandangan undang-undang bila ditanya?

32.4. Berapakah yang diperolehi oleh Apandi Ali sebagai ketua pasukan yang melantik peguam-peguam dan pakar undang-undang antarabangsa ini?

33. Semasa sesi RCI yang saya hadiri pada 12.6.2024, saya telah menjawab soalan-soalan dari Panel RCI. Saya tidak sembunyi atau takut untuk hadir. Saya juga telah bekalkan Akuan Berkanun Saksi (ABS 11) kepada Panel RCI dan jelaskan jawapan-jawapan saya sepertimana saya nyatakan sebelum ini.

34. Saya kini mendapati bahawa laporan RCI ini mengandungi beberapa kecacatan. Saya ingin bertanya:-

34.1. Laporan RCI ini telah dikasifikasikan. Dulu rahsia sekarang terbuka. Siapa yang bersetuju untuk ianya dibuka?

34.2. Kalau ini telah dibuka dan bukan lagi ‘rahsia’, maka mengapa Kerajaan bantah permohonan-permohonan saya di Mahkamah untuk adakan RCI secara terbuka?

34.3. Laporan RCI ini ingin dibahaskan. Tetapi bagaimana hendak bahas sekiranya 47 muka surat dari 217 “dipadam” / “redacted”?

34.4. Bagaimana rakyat melalui wakil rakyat hendak bahas atau tanya soalan kalau ada muka-muka surat laporan dipadam?

34.5. Saya ingin tanya juga mengapa hanya laporan diberi tetapi lampiran-lampiran tidak dibekal?

34.6. Mengapa Lampiran Jilid 7 muka surat 3471 tidak dibekal?

35. Pada 23.5.2018, Jemaah Menteri telah bersetuju tidak lagi teruskan Semakan dan Tafsiran kes Pulau Batu Puteh. Saya ingin bertanya:-

35.1. Kalau keputusan ini bersama, hanya saya seorang yang salah? Atau kesemuanya “collectively responsible”?

35.2. Mengapa TPM pada 2018 tidak dipanggil atau disenarai sebagai saksi?

35.3. Mengapa saya tidak diizinkan hadir semasa Jemaah Menteri dipanggil sebagai saksi untuk Peguam saya soal mereka?

36. Melalui laporan RCI itu juga saya dapati Dr. Brendan Plant menafikan bahawa kes Malaysia lemah. Tetapi bagaimana pula dengan pendapat Prof Malcolm Shaw QC yang jauh lebih berpengalaman dari Dr. Brendan Plant?

37. Mengapa peguam saya mahupun saya tidak diizin untuk hadir semasa beliau memberi pandangan pada panel RCI untuk mempersoalnya?

38. Laporan RCI mengandungi beberapa perenggan yang menyatakan tujuan saya dipanggil adalah sebagai saksi dan saya bukan sasaran RCI ini. Maka dengan itu saya tidak perlu ada peguam untuk hadiri sepenuh prosiding. Nampaknya jelas sekarang mengapa saya tidak diizin hadir sepanjang prosiding RCI.

[Lihat muka surat 92 Laporan RCI]

39. Laporan RCI ini mengandungi beberapa syor yang ingin ditambah baik. Tujuan utama saya anjurkan pendapat adalah supaya Middle Rocks diberi perhatian.

40. Saya ada sedikit pengalaman dulu dalam tadbir Kerajaan. Pengalaman dalam memajukan Pulau Layang-Layang di perairan Sabah. Dari batu yang kecil kita majukan sehingga ada Short Landing Strip, kapal terbang kecil dapat mendarat, kita bina hotel dan kedai-kedai serta kawasan itu menjadi pusat selam dan pelancongan.

41. Pulau Layang-Layang menyumbang pada negara dan kita tidak hilang inci tetapi tambah sehingga 35 hektar. Pulau ini sekarang 7.5 km Panjang dan 2.2 km lebar. Kita dapat perkuat kedaulatan negara. Kita hanya perlu buat bukan bercakap sahaja.

42. Saya ingin katakan bahawa orang ramai melempar pelbagai komen mengenai isu RCI ini dan laporannya. Maka, saya ingin juga bertanya beberapa perkara selain yang saya nyatakan sebelum ini:-

42.1. Adakah saya lakukan apa-apa perkara mengenai Pulau Batu Puteh secara sembunyi atau terang-terang?

42.2. Kalau semua dalam mesyuarat bersetuju, adakah kami semua pengkhianat?

42.3. Malaysia mesti dilihat sebagai berpegang pada janji. Kita masuki perjanjian dengan Singapura untuk terima apa-apa keputusan ICJ. Adakah salah kita berpegang pada janji?

43. Saya tidak sama sekali menipu.

44. Saya tidak sama sekali gadai kedaulatan Malaysia.

45. Segala keputusan saya adalah demi bangsa, demi agama, demi Negara.

— BebasNews

Tiada ulasan:

Catat Ulasan