Jumaat, 10 Januari 2025

BUDAYA DAN POLITIK JALAN RAYA


BUDAYA DAN 

POLITIK

 JALAN RAYA 


Saya mengajukan  jalan raya sebagai wadah politik. Saya juga mendakwah agar menggunakan politik jalan raya sebagai taktik untuk menukar kerajaan.   Pengalaman, pemerhatian dan pembacaan saya cukup meyakinkan bahawa dalam negara Dunia Ketiga seperti Malaysia politik jalan raya wajib di jadikan  budaya.

Politik jalan raya ialah keluar beramai-ramai untuk berdemo di atas jalan raya. Berdemo ialah menunjukkan perasaan di jalan raya. Menunjuk perasaan ini untuk menyokong atau untuk menolak sesuatu agenda. Kunci utama di sini ialah keluar beramai-ramai.

Wajib saya beritahu tentang  asal usul perkataan demo. Perkataan ini  berasal dari demo-krasi.  Ini perkataan bahasa Greek. Demos bermakna  orang ramai. Kratos atau krasi bermakna kuasa. Dua perkataan ini di cantum menjadi demokrasi. Demokrasi bermakna kuasa orang ramai atau kuasa rakyat. Justeru  kerajaan demokrasi bermakna kerajaan yang  perintah oleh rakyat.

Saya pengamal demokrasi. Saya yakin dan percaya dengan demokrasi.  Salah satu dari rukun demokrasi yang saya anuti ialah: Tidak turun ke jalan raya tidak akan menang pilihan raya. 

Apakah politik jalan raya ini membawa huru hara? Bukan kah  tunjuk perasaan itu akan menimbulkan kacau bilau? Ini selalu ditimbulkan oleh pihak berkuasa untuk mempertahankan kuasa.

Jawapan untuk pertanyaan ini  amat mudah – poodah!

Untuk memahami budaya dan politik jalan raya ini kita juga wajib mengenal beberapa ciri dan teori politik ini. Ini wajib untuk kita ketahui. Jangan amalkan politik semberono tanpa mengetahui teori dan praktik.

Kerja semberono tanpa penyusunan teliti tidak akan membawa hasil.   Tanpa ketelitian kita akan bertemu  dengan gagal.

Jangan  silap faham dan silap baca. Jika kita keluar berdemo – kita menunjuk perasan -  maka kerajaan akan jatuh. Ini tidak benar. Ini pandangan  salah.  Ada hukum dan syarat-syarat lain yang wajib di sedari.

Jangan sesekali menyimpan harapan pada hari  Sabtu berdemo maka pada petang Selasa kerajaan tumbang. Ini tidak bertapak di bumi nyata.  Disini saya ingin menjual pemerhatian dan pengalaman untuk memberi pencerahan tentang budaya politik jalan raya.

Saya masih ingat lagi pada  bulan Ogos 1978 saya dalam perjalanan dari Baghdad ke Karachi. Pasport saya telah di rampas oleh  Pak Duta Malaysia di Baghdad. Saya terbang ke Karachi memakai pasport perjalanan yang di keluarkan oleh kerajaan Iraq. 

Di pintu masuk kapal terbang PIA ( Pakistan Air Line ) – saya mencapai akhbar untuk di baca. Dawn - akhbar Pakistan  berbahasa Inggeris  - terpampang induk berita : Rex Cinema on fire Abadan.

Untuk pengkaji sejarah Panggung wayang Rex di  bandar Abadan Iran telah terbakar pada 19 Ogos 1978. Lebih dari 400 nyawa telah tercabut. Tarikh panggung ini terbakar  ialah detik permulaan Revolusi Iran.

Saya tidak faham apa yang berlaku. Atau kenapa panggung wayang Rex di bakar. Dalam kepala saya ini pastilah kerja Savak – polis rahsia Shah Reza Pahlavi.

Pembakaran Rex ini telah memulakan beberapa bantahan kecil di Tehran. Kaum keluarga yang mati terbakar  menuntut keadilan.  Anak muda dan mahasiswa mula bersuara. Demo kecilan mula di atur. Akhirnya membesar.

Satelah beberapa minggu di Karachi saya mula melihat  gambar Ayatollah Khomeini dari akhbar Pakistan. Bila saya ternampak  gambar ini maka ingatan saya kembali ke  Jalan Al-Hamra  Beirut Lebanon.

Al-Hamra ini sama seperti wilayah Bukit Bintang kita. Ada panggung wayang, cafe dan kedai-kedai menjual  pakaian berjenama.  Di sebelah Jalan Al-Hamra  ada bangunan  Iranian Cultural Center.

Pada satu petang saya ternampak poster seorang jantan tua berjanggut duduk bersila diatas sejadah dengan tulisan Jawi.  Poster ini di tampal di  dinding dan di tepi tangga bangunan Iranian Cultural Center.  Dalam fikrah saya ‘ cilaka Shah Iran... orang  tua pun di penjara...’    Ketika itu tidak saya sedari bahawa orang tua ini ialah ikon Revolusi Iran.

Akhbar Pakistan terus melapor pergolakan politik di Tehran. Saya mengikuti dengan teliti di Karachi. Malah saya juga telah turun berdemonstrasi dalam kampus Karachi Universiti menyokong gerakan anti-Shah.

Hari demi hari demo semakin membesar. Dari ratusan ke ribuan. Dari ribuan ke  puluh ribuan. Dari puluh ribuan di Tehran kini merebak di Mashhad, ke Abadan dan  ke pelabuhan  Bandar Abbas.  Penunjuk perasaan hanya satu tuntutan :  Muhammad Reza Shah Pahlavi berundur.  Slogan : Marga Shah – Mampos  Shah.

Dari gambar tunjuk perasaan yang saya lihat di Karachi saya ternampak ada poster  muka tiga sosok :  Mohammad Mosaddegh, Ali Shahriati dan Ayatollah Khomenei.

Tiga sosok ini membawa tiga jalur politik. Mosaddegh bekas Perdana Menteri membawa jalur nasionalis.  Mosaddegh telah memilik negara kan  semua telaga minyak Iran pada tahun 1951.

 Jalur ke dua dari garis pemikiran  Ahli Shahriati seorang intelektual kiri Islam yang juga dibunuh oh Shah. Jalur ketiga ialah Imam Khomenei – jalur Islamik. Ada lagi satu jalur yang tidak di poster. Ini parti komunis Tudeh yang  bergerak di bawah tanah. 

Jelas Revolusi Iran ini mendirikan United Front – Barisan Bersatu – dengan satu tuntutan. 

Kerjasama empat jalur ini bergerak bersama-sama. Mereka menyusun  dan menggerakkan penyokong dan ahli-ahli mereka untuk ke jalan raya.

Kepaduan  dan kesepakatan empat jalur ini telah berjaya membawa beratus-ratus ribu rakyat turun ke jalan raya. Ombak  jalan raya ini memberi tekanan kepada  rejim Shah.

Bila berlaku kematian di jalan raya maka tuduh menuduh timbul. Polis menuduh ini kerja  soldadu Shah. Soldadu Shah menafikan dan menuduh yang menembak penunjuk perasaan ialah Savak – polis rahsia Shah.

Tuduh menuduh ini adalah krisis dalaman. Shah memerlukan Savak. Shah memerlukan soldadu dan askar. Polis juga di perlukan untuk mengawal keadaan.

Bila jentera Shah mula bertengkar sesama sendiri ini adalah petanda yang baik. Tunjuk perasaan ini memberi tekanan kepada elit politik hingga mereka tuduh menuduh.

Dalam masa yang sama para peniaga kecil di bazar – di panggil Bazari -  menjadi resah kerana perniagaan terganggu. Mereka  juga mahu keadaan seperti sedia kala. Justeru  cara terbaik untuk  kaum  Bazari ialah  bersama ke jalan raya untuk menghalau Shah. 

Tertiba segala bazar di Iran di tutup. Kaum Bazari menunjukkan setia kawan dengan para penunjuk perasaan.

Bila Bazari mogok maka elit ekonomi juga terganggu perniagaan mereka.  Mungkin  ahli peniaga besar menyokong Shah. Tapai ada juga peniaga besar yang dalam senyap-senyap menyokong politik jalan raya.

Akhirnya aparacik dan jentera Shah  bergaduh sesama sendiri. Elit politik dan elit ekonomi merasa masa depan Shah semakin terhad. 

Ketika ini Shah adalah  Budak Amerika. CIA , Mossad dan Savak bekerja rapat bantu membantu untuk memastikan Shah selamat. Ejen CIA dan Mossad berselerak di Iran. Ini kerana Iran adalah negara amat strategik untuk kuasa imperialis Amerika.

Dalam masa yang sama CIA juga membaca dan mengkaji kedudukan Shah. CIA memberi laporan  harian kepada Jimmy Carter.

Dari buku The Return of The Ayatollah  garapan wartawan Mesir Muhamed Haikal saya mendapat tahu bagaimana Shah Reza  merancang untuk mengarahkan soldadu menembak mati seramai mungkin penunjuk perasaan. 

Shah menalipon Presiden Jimmy Carter untuk mendapat sokongan. Shah Reza di beritahu Jimmy Carter tidak mahu di ganggu. Presiden sedang berehat  hujung minggu di Camp David.

Sebagai Budak Amerika Shah sedar dia tidak lagi mendapat sokongan dari Amerika. Talipon dia tidak di layan.  Justeru ini tanda yang jelas sudah sampai masanya untuk ambil plastik beg, cari stoking dan kasut untuk lari meninggalkan Istana.

Apa yang mahu saya sampaikan disini ialah kejayaan Revolusi Iran itu wajib kita jadikan rujukan.  Rakyat Iran turun ke jalan raya dan mereka berjaya menghalau  Raja Segala Raja- Raja Shah Reza Pahlavi.

Turun ke jalan raya sahaja tidak memadai. Perlu mendirikan United Front dengan satu tujuan sahaja.  Semua jalur politik bersatu untuk menumbangkan musuh yang satu.  Bukan berdemo untuk jadi Perdana Menteri. 

Ketika di jalan raya tidak timbul siapa pengganti Shah. Yang penting Shah berambus. Satu slogan yang mudah dihayati menyatu padukan semua penunjuk perasaan.

Ombak jalan raya tidak .. saya ulang.. ombak jalan raya tidak akan menjatuhkan mana-mana kerajaan dalam dunia ini.  Demo di jalan raya tidak akan menjatuhkan kerajaan.

Kerajaan itu jatuh apabila berlaku perbalahan yang di asak dan di pangkin oleh penunjuk perasaan. 

Perbalahan dalam jentera kerajaan berlaku. Akan berlaku tuduh menuduh – sapa bunuh sapa – antara polis, SB dan askar. Elit politik dan elit ekonomi mula menjauhkan diri dan menjadi pemerhati.  Adalah bonus jika mereka sama menyokong.

Jadi berdemo saja kerajaan tidak tumbang ? Betul. 

Kenapa kerajaan Barisan Nasional tumbang pada PRU14 ? Bagaimana  Najib berjaya di tumbangkan?   Bukankah Najib tumbang kerana  undi bukan kerana demo? Rakyat mengundi Pakatan Harapan maka Barisan Nasional kalah.

Saya berani menyatakan disini bahawa kerajaan Najib tumbang dalam PRU14 kerana demo. Saya akan  surahkan minggu depan. Amin. (TT)



TULISAN INI 
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
BEBAS NEWS
https://bebasnews.my/2025/01/10/budaya-dan-politik-jalan-raya-bahagian-2/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan