JEPUN SAMPAI
Aku membuka kesah Jepun ini bukan bermakna aku sendiri telah mengalami zaman Jepun. Tidak. Aku dilahirkan zaman penjajahan Inggeris. Kesah-kesah Jepun ini aku dengar dari emak aku dan dari apa yang aku dengar – borak-borak dan sembang kedai kopi - ketika aku membesar.
Kesah-kesah ini aku dengar lama dahulu. Aku simpan sebagai khazanah ingatan. Maka telah sampai masanya aku buka surah-surah itu untuk kita sama-sama berkongsi cerita.
Ini cerita dari mulut ke mulut. Cerita dari sana cerita dari sini. Dari telinga ke telinga. Dari telinga ke ingatan. Dari ingatan ke komputer. Kesah-kesah ini kesah sahih. Kesah ini menjadi sebahagian dari pembentukan nilai dan peribadi aku.
Aku ini sebenarnya adalah dari jumlah semua hitungan kesah-kesah ini. Aku dibesarkan dengan kesah-kesah ini. Aku juga ada mendengar kesah Nenek Kebayan, Sang Kelembai, Ikan Kaloi, Gergasi atau Anak Buluh Betong. Tanpa kesah-kesah ini aku tidak akan menjadi aku.
Kesah dan surah ini mendidik aku untuk menjadi aku. Untuk berani berkelana sebatang kara. Untuk menjadi sebutir kelapa yang hanyut dari ulu sungai ke lautan yang maha luas hingga terdampar untuk menjadikan aku sebuah pulau.
Emak aku bercerita ketika menjadi guru di Seri Menanti dan kemudian Sekolah Tengkek dia selalu pergi ke Kuala Pilah . Setiap bulan untuk mengambil duit gaji dari Pejabat Tuan D.O.
Di Kuala Pilah ada sebuah kedai pinggan mangkuk Jepun. Emak aku selalu berkisah tentang membeli pinggan mangkuk tembikar yang amat murah dari kedai Jepun ini.
Mengikut surah Mak aku warga Pilah , warga Padang Lebar semua tahu tentang kedai Jepun ini. Ketika aku mendengar emak aku bercerita aku tidak tahu apa makna kedai Jepun ini. Tidak juga faham kenapa keluarga Jepun ini amat baik dengan Cik Gu Zaleha binti Sidek hingga diajak bertandang ke rumah untuk bergambar.
Bila aku dewasa maka aku sedar. Sebenarnya Kedai Jepun ini adalah sebahagian dari perancangan strategi
Jepun untuk menawan Tanah Melayu. Ini perancangan berjangka lama. Hari ini kita mengetahui bahawa kumpulan militer Jepun telah lama mengatur dan menyusun perancangan untuk menakluki negeri-negeri di Kepulauan Melayu.
Kedai pinggan mangkuk Jepun hanyalah muka depan untuk pejabat risik merisik dan tempat mengumpul maklumat. Di belakang kedai tembikar ini ialah jaringan agen Jepun yang bertugas mengumpul dan membaca suasana dan cuaca politik Tanah Melayu.
Jaringan risikan yang dipasang di serata Kepulauan Melayu ini dikepalai oleh lembaga yang dikenali dengan nama Kempeitai. Lembaga mata-mata tentera ini ditubuhkan dalam tahun 1881 di bawah Kementerian Dalam Negeri Jepun. Lembaga ini dihapuskan bila Jepun kalah pada tahun 1945.
Pasukan Schutzstaffel – SS - untuk Hitler (1889-1945) di Berlin. Pasukan Kempeitai adalah untuk General Tojo (1884-1948) di Tokyo.
Kedai pinggan mangkuk Jepun ini kalau tidak menjadi pusat risikkan busuk-busuk pun ada peranan lain. Dalam istilah CIA - lembaga risikan Amerika atau KGB -lembaga risikan Rusia - kedai pinggan mangkuk ini boleh menjadi ‘ listening post’ - tempat mendengar labun.
Melalui kedai-kedai pinggan mangkuk ini Jepun tahu tentang sentimen Melayu terhadap pendatang China di Tanah Melayu. Jepun tahu sikap feudal Melayu. Jepun tahu siapa pejuang nasionalis Melayu. Siapa pemimpin politik Melayu. Siapa pemimpin Parti Komunis. Apa peranan pendatang China di Tanah Melayu.
Labun-laun kosong ini amat penting untuk risikan. Labun akan didengar oleh semua ke telinga lintah Jepun yang telah dipasang.
Apa peranan dan sikap pendatang China di Tanah Melayu ini amat-amat penting untuk strategi Jepun. Sebelum Jepun masuk ke Tanah Melayu bala tentera imperial Jepun telah masuk menyerang Tanah Besar China pada 7 Julai 1937. China telah menjadi musuh utama Jepun sebelum pecah Perang Dunia Ke dua.
Justeru kerana itu semua maklumat risikan dan labun harian wajib di kumpul dihantar dari Kuala Pilah ke Tokyo untuk di analisa oleh General Tojo.
Pada 7 Disember 1941 tentera udara Jepun menyerang Pelabuhan Pearl di Hawaii. Serangan terhadap Amerika ini hanya alasan untuk jadi sebab penyebab Amerika masuk perang. Semua telah dirancang. Malah Amerika sendiri sudah lama tahu akan projek ‘Pearl Harbour’ .
Amerika sengaja mendorong Jepun untuk menyerang. Kumpulan pemilik industri senjata Amerika mahu rakyat Amerika menyokong Presiden Amerika untuk bersama masuk ke dalam kancah perang Dunia Ke Dua. Ketika Pelabuhan Pearl dibom oleh Jepun Eropah sedang berperang dengan Hitler. Dasar Amerika ketika itu masih berkecuali.
Justeru serangan Jepun ke Pelabuhan Pear ini di ah lan wah sahlan kan oleh tuan pemilik industri senjata. Kecil Proton Saga treler Volvo ditunggukan. Tuan pemilik industri senjata Amerika telah mengibar bunga manggar menyambut serangan Jepun ke Perlabuhan Pearl.
Justeru esoknya pada 8 Disember hanya sehari sesudah Pelabuhan Pearl dibom soldadu Jepun telah mendarat ke Patani Selatan Siam dan di Kota Baharu. Jepun masuk ke Tanah Melayu melalui Kelantan negeri diwilayah Pantai Timur.
Jepun telah kenal punat mana yang wajib ditekan. Punat mana yang jangan diusik dan punat mana soldadu Inggeris lemah.
Pada 10 Disember kapal terbang pengebom Jepun berjaya menenggelamkan dua kapal perang Inggeris – HMS Prince of Wales dan HMS Repulse yang berlabuh di pesisiran laut Pahang. Senjata laut Inggeris tewas.
Dari kesah yang aku dengar askar Jepun telah berbasikal dari Utara Tanah Melayu ke Selatan hingga ke Singapura. Soldadu Inggeris mendapat pukulan terok dari askar Jepun. Hampir satu bulan pertempuran berlaku. Pada 31 Januari 1942 Inggeris mengundur dan mengakui kalah.
Ketika Jepun mengasak soldadu kolonial Inggeris Emak aku masih lagi menjadi Cik Gu di Sekolah Tengkek. Guru Besar Sekolah Tengkek ketika ia itu ialah Cik Gu Bador.
Cik Gu Bador ini berkahwin dengan Zabedah binti Ibrahim sepupu kepada Mak aku. Ibrahim ini ialah abang kepada Tok Wan aku Rahmah binti Kecik.
Cik Gu Bador guru besar Sekolah Tengkek ini seorang ilmuan. Dia tidak mahu sekolah ditutup. Untuk dia perang masih belum sampai ke Tengkek. Sekolah berjalan seperti biasa.
Jepun agak lambat sampai ke Kampung Tengkek. Kampung kami kampung pedalaman yang amat jauh di hulu. Tapi dari risik lembaga Kempeitai - Jepun tahu betapa pentingnya wilayah pedalaman ini.
‘ Pagi tu... Mak macam biasa datang mengajar... tetiba Mak nampak askar Jopun datang naik basikal...mula-mula sorang muncul ... kemudian berdua.. lopeh tu ramai.... kemudian ramai lagi datang... sekolah dah riuh... Jopun sampai... Jopun sampai...’
Ini surah Mak aku kali pertama Mak aku melihat Jepun sampai ke kampung kami.
Ini gambaran pertama untuk aku tentang Jepun. Jepun kencing berdiri di tepi pokok kelapa di depan Sekolah Tengkek. Imej ini aku bawa sepanjang hidup aku. Setiap kali aku terkencing berdiri di tepi pokok kelapa aku akan teringat akan surah Emak aku ini.
‘Lopeh tu... Jopon datang masuk sekolah... ketua Jopun jumpo Cik Gu Bador...’
Semenjak petang itu Jepun telah bertapak di kampung kami. Sekolah Tengkek telah dijadikan Pejabat Besar askar Jepun. Kempeitai pun sampai sama. Lebih dari 20 orang soldadu Jepun kini menginap di Sekolah Tengkek.
Ketika ini Abah aku belum lagi direkrut oleh Inggeris. Kami ada tanah sawah. Kehidupan tidak lumayan tapi tidak susah. Padi dan tanaman sayuran mencukupi. Makanan anak beranak tidak putus. Hidup kampung tidak memerlukan ringgit dan sen.
Wilayah kampung aku dari Majau ke Keru, ke Kampung Tengah, ke Tengek adalah hamparan tanah sawah yang subur. Sawah ini diairi oleh Batang Muar yang lalu berhadapan dengan tanah pusaka keluaga kami.
Seingat aku tanah sawah ini telah puluhan tahun diteroka – lama sebelum Jepun sampai. Setiap keluarga memiliki tiga atau empat ekar tanah. Dua ekar untuk getah dan dusun buah-buahan. Setengah ekar untuk kawasan rumah dan dua atau tiga jenjang tanah sawah.
Rumah dan kampung ini disusun mengikut aliran Batang Muar.
Dalam masyarakat sawah orang kampung bekerja gotong royong membersihkan laluan air, anak sungai, pembetung atau ‘bonda’. Semua dilakukan berseraya – bersama-sama. Budaya gotong royong dalam masyarakat Melayu ini yang lahir dari membuat sawah.
Sawah padi hanya boleh diusahakan jika semua orang kampung sebulat suara. Membetul permatang air, membersihkan laluan air dan menetapkan bila mula turun ke sawah.
Semuanya diatur oleh adat lembaga. Ini hukum hakam dan peraturan yang tidak bertulis tetapi diterima pakai oleh semua.
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat
Ada sama dimakan
Tak ada sama dicari
Ke darat sama didaki
Ke lurah sama dituruni
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama di cecah
Adat Perpatih yang kuat ini mengikat anggota kampung untuk sesama bergotong royong. Di kampung aku gotong royong ini dipanggil seraya .
Orang Kampung aku mengerjakan tanah sawah setahun sekali. Semusim enam bulan - dari menyemai hingga gemal padi naik ke kepuk.
Sebelum turun ke sawah orang kampung akan berkumpul. Tok Empat akan memanggil orang kampung. Ketika aku membesar aku sendiri pernah melihat Tok Empat Itam meniup tetuang memanggil orang kampung.
Tetuang ini dibuat dari tanduk lembu atau kerbau sebagai alat pembesar suara – seperti megaphone. Bunyi tiupan tetuang saperti bunyi trompet.
Tok Empat Itam ini Pak Saudara aku jadi aku dapat memerhatikan bagaimana orang kampung berkumpul di halaman rumahnya. Pertama-tama orang kampung mengagak-agak bila hujan akan turun. Hujan turun ini kunci ke sawah.
Dari hujan turun ini orang kampung merancang bila nak membersihkan tali air. Bila nak membetulkan anak sungai. Bila nak mengempang Batang Muar agar air masuk ke pembetung. Bila mula menyamai dan bila mula menanam.
Ada kerja perlu bergotong royong. Ada kerja perlu dilakukan di sawah sendiri. Aku perhatikan semua sudah tahu tugas masing-masing. Tok Empat Itam tak banyak berceramah. Perkara ke sawah ini telah mereka lakukan berulang kali.
Ke sawah wajib seirama. Tidak boleh ada yang dulu ada yang kemudian. Air lalu perlu dikongsi sama. Kalau bersawah sendirian ada ramai musuh berkumpul. Kalau satu daerah sama ke sawah musuh seperti burung, belalang dan tikus tidak berkumpul ramai. Musuh padi terpencar-pencar. Musuh sama dikongsi.
Ada rezeki burung
Ada rezeki belalang
Ada rezeki tikus
Ada sama di rasa
Tak ada sama dicari
Dalam masyarakat sawah padi sikap aku untuk aku tidak wujud. Sikap individualis ditenggelamkan oleh sikap kekitaan. Kita dan kami didahulukan dari ese, doyan, den atau aku.
Sawah melahirkan pembudayaan Melayu. Sawah melahirkan budi bahasa dan sikap sopan santun Melayu. Hilang sawah maka hilanglah sifat Melayu jati. Hilang sawah maka lupus lah sikap gotong royong berkerja sama yang terjalin dalam budaya Melayu.
Dari perhatian aku disini terbukti kebenaran teori dan ajaran Karl Marx. Membuat itu akan mewujudkan budaya. Bila di rosakkan pembuatan ini maka masyarakat runtuh rantah.
Ini yang dilakukan oleh Jepun.
Soldadu yang bermukim di Sekolah Tengkek memerlukan makanan. Soldadu Jepun mula masuk kampung mengambil beras , ayam itik, pisang, kelapa - mereka perlu makanan.
Sekolah Tengkek kini dijadikan pusat mengumpul bahan makanan. Sebahagian sekolah telah dijadikan kepok padi. Padi yang dirampas dari orang kampung dikumpulkan sebagai garis pertahan Jepun.
‘ Sekolah tutup kejap... lepas itu Mak kena panggil oleh Jepun... sekolah di bukak...’ Emak aku menyambung cerita.
“ Sojar Jepun mengajar Cik Gu... mula mula menyanyi... kemudian bercakap... orang kampung pun di kumpul... Abah kau datang juga..'
‘ Mak mula kenal huruf Jepun... Mak takut betul dengan sojar Jepun tu... semua orang kampung takut... dalam takut takut ini.. Mak dapat belajar bahasa Jepun... ramai orang kampung di paksa belajar..’
Sekolah Tengkek dibuka semula. Cik Gu Badur menjadi guru besar. Emak aku salah seorang guru Sekolah Tengkek di zaman Jepun.
‘ Orang kampung yang lain baut apa Mak.. cuba Mak nyanyi lagu Jepun tu ? ‘ Aku bertanya nak tahu apa seterusnya terjadi. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DAL PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/03/03/apabila-jepun-masuk-malaya/
Kahkahkah ..sojar omputeh torok di kojoan kek Jopon. Askar Melayu bilo Jopon datang, lopeh ambik gaji mereka balik kampong ..nak lawan apo laey, somuo Rajo dan Bagindo dah pun chabot dulu ..kahkahkah
BalasPadam