Rabu, 3 Mac 2021

JEPUN SAMPAI


JEPUN SAMPAI

Aku membuka kesah Jepun ini  bukan bermakna aku  sendiri telah  mengalami zaman Jepun. Tidak. Aku dilahirkan zaman penjajahan Inggeris.  Kesah-kesah Jepun ini aku dengar dari emak aku dan dari apa yang aku dengar – borak-borak dan sembang kedai kopi -  ketika aku membesar.

Kesah-kesah ini aku dengar lama dahulu. Aku simpan sebagai khazanah ingatan. Maka telah sampai masanya aku buka surah-surah itu untuk kita sama-sama berkongsi cerita.

Ini cerita dari mulut ke mulut. Cerita dari sana cerita dari sini.  Dari telinga ke telinga. Dari telinga ke ingatan. Dari ingatan ke komputer.  Kesah-kesah ini kesah sahih. Kesah ini menjadi sebahagian dari pembentukan nilai dan peribadi aku. 

Aku ini sebenarnya adalah  dari jumlah  semua  hitungan kesah-kesah ini. Aku dibesarkan dengan kesah-kesah ini.  Aku juga  ada mendengar kesah Nenek Kebayan, Sang Kelembai, Ikan Kaloi, Gergasi atau  Anak Buluh Betong. Tanpa kesah-kesah ini aku tidak akan menjadi aku. 

Kesah dan surah ini mendidik aku untuk menjadi aku. Untuk berani berkelana sebatang kara. Untuk menjadi sebutir kelapa yang hanyut dari ulu sungai  ke lautan yang maha luas hingga terdampar untuk  menjadikan   aku sebuah pulau.

Emak aku bercerita ketika menjadi guru di Seri Menanti dan kemudian Sekolah Tengkek  dia selalu pergi  ke Kuala Pilah . Setiap bulan untuk mengambil  duit gaji dari Pejabat Tuan D.O. 

Di Kuala Pilah ada sebuah kedai pinggan mangkuk Jepun.  Emak aku selalu  berkisah tentang membeli pinggan mangkuk tembikar yang amat murah dari kedai Jepun ini. 

Mengikut surah Mak aku warga Pilah , warga Padang Lebar semua tahu tentang kedai Jepun ini. Ketika aku mendengar emak aku bercerita aku tidak tahu apa makna kedai Jepun ini.  Tidak juga faham  kenapa keluarga  Jepun ini amat baik dengan Cik Gu Zaleha binti Sidek hingga diajak bertandang  ke rumah untuk bergambar.

Bila aku dewasa maka aku sedar. Sebenarnya Kedai Jepun ini adalah sebahagian dari perancangan  strategi 

Jepun untuk menawan Tanah Melayu.  Ini perancangan berjangka lama. Hari ini kita mengetahui bahawa kumpulan militer Jepun telah lama mengatur dan menyusun perancangan untuk menakluki negeri-negeri  di Kepulauan Melayu. 

Kedai pinggan mangkuk  Jepun hanyalah muka  depan  untuk pejabat risik  merisik dan tempat  mengumpul maklumat.  Di belakang kedai tembikar ini ialah jaringan agen  Jepun  yang bertugas  mengumpul dan membaca suasana dan  cuaca politik Tanah Melayu. 

Jaringan risikan yang dipasang di serata Kepulauan  Melayu ini dikepalai oleh lembaga yang dikenali dengan nama  Kempeitai. Lembaga mata-mata tentera ini ditubuhkan dalam tahun 1881 di bawah Kementerian Dalam Negeri  Jepun. Lembaga  ini dihapuskan bila Jepun kalah pada tahun 1945. 

Pasukan  Schutzstaffel – SS -  untuk Hitler (1889-1945) di  Berlin. Pasukan Kempeitai adalah  untuk General Tojo (1884-1948) di Tokyo. 

Kedai pinggan mangkuk Jepun ini kalau tidak menjadi pusat risikkan   busuk-busuk pun  ada peranan lain. Dalam istilah  CIA - lembaga risikan Amerika atau KGB  -lembaga risikan Rusia -   kedai pinggan mangkuk ini boleh menjadi ‘ listening post’  - tempat mendengar labun.
Melalui  kedai-kedai pinggan mangkuk ini Jepun tahu  tentang sentimen Melayu terhadap pendatang China di Tanah Melayu. Jepun tahu sikap feudal Melayu. Jepun tahu siapa pejuang nasionalis Melayu. Siapa pemimpin politik  Melayu. Siapa pemimpin Parti Komunis. Apa peranan pendatang  China di Tanah Melayu.

Labun-laun kosong  ini amat penting untuk risikan. Labun akan didengar oleh semua  ke telinga lintah Jepun yang telah dipasang.

Apa peranan dan  sikap pendatang China di Tanah Melayu ini amat-amat penting untuk strategi Jepun. Sebelum Jepun masuk ke Tanah Melayu bala tentera imperial Jepun  telah masuk menyerang Tanah Besar China pada 7 Julai 1937. China telah menjadi musuh  utama Jepun sebelum pecah  Perang Dunia Ke dua.   

Justeru kerana itu semua maklumat  risikan dan labun harian wajib  di kumpul dihantar dari Kuala Pilah ke Tokyo untuk di analisa oleh General Tojo.

Pada 7 Disember 1941 tentera udara Jepun menyerang Pelabuhan Pearl di Hawaii.   Serangan  terhadap Amerika ini hanya alasan  untuk jadi sebab  penyebab Amerika masuk perang. Semua telah dirancang. Malah Amerika sendiri sudah lama tahu akan projek ‘Pearl Harbour’ . 

Amerika sengaja mendorong Jepun untuk menyerang.  Kumpulan pemilik industri senjata  Amerika mahu rakyat Amerika menyokong Presiden Amerika untuk bersama masuk ke dalam kancah perang Dunia Ke Dua. Ketika Pelabuhan Pearl dibom oleh Jepun  Eropah sedang berperang dengan Hitler. Dasar Amerika ketika itu masih berkecuali.

Justeru serangan Jepun ke  Pelabuhan  Pear ini di ah lan wah sahlan kan oleh  tuan pemilik industri senjata. Kecil Proton Saga   treler Volvo  ditunggukan.  Tuan pemilik industri senjata Amerika telah  mengibar bunga manggar menyambut serangan Jepun ke Perlabuhan Pearl.

Justeru  esoknya pada  8 Disember hanya sehari  sesudah Pelabuhan Pearl dibom  soldadu Jepun telah mendarat ke Patani Selatan Siam dan di Kota Baharu. Jepun masuk ke Tanah Melayu melalui Kelantan negeri diwilayah  Pantai Timur.  

Jepun telah  kenal punat mana  yang wajib ditekan. Punat mana yang jangan diusik dan punat mana soldadu Inggeris lemah.

Pada 10 Disember kapal terbang pengebom Jepun berjaya  menenggelamkan dua  kapal perang Inggeris – HMS Prince of Wales dan HMS Repulse  yang berlabuh  di pesisiran laut Pahang.  Senjata laut Inggeris tewas.

Dari kesah yang aku dengar  askar Jepun telah berbasikal dari Utara Tanah Melayu ke Selatan hingga ke Singapura. Soldadu Inggeris mendapat pukulan terok dari askar Jepun. Hampir satu bulan pertempuran berlaku.  Pada 31  Januari 1942  Inggeris mengundur dan mengakui kalah.

Ketika Jepun mengasak soldadu kolonial Inggeris   Emak aku masih lagi menjadi Cik Gu di Sekolah Tengkek.  Guru Besar Sekolah Tengkek ketika ia itu ialah Cik Gu Bador. 

Cik Gu Bador ini  berkahwin dengan  Zabedah binti Ibrahim sepupu  kepada Mak aku.  Ibrahim ini ialah abang kepada   Tok Wan aku Rahmah binti Kecik. 

Cik Gu Bador guru besar Sekolah Tengkek ini seorang ilmuan. Dia tidak mahu sekolah ditutup. Untuk dia perang masih belum sampai ke Tengkek. Sekolah berjalan seperti biasa. 

Jepun agak lambat sampai  ke Kampung Tengkek. Kampung kami  kampung pedalaman yang  amat jauh di hulu. Tapi dari risik lembaga  Kempeitai - Jepun  tahu betapa pentingnya wilayah pedalaman ini.

‘ Pagi tu... Mak macam biasa datang mengajar... tetiba Mak nampak askar Jopun datang naik basikal...mula-mula sorang muncul ... kemudian berdua.. lopeh tu ramai.... kemudian ramai lagi datang... sekolah dah riuh... Jopun sampai... Jopun sampai...’

Ini surah Mak aku kali pertama Mak  aku  melihat Jepun sampai ke kampung kami.

‘ Mak memandang keluar tingkap ... la laa.. nampak   sorang Jopun tu.. berdiri topi batang kelapo.. laaa...dio bukak butang seluar ... dio koncing berdiri... tak sogan pada orang....’

Ini gambaran  pertama untuk aku tentang Jepun. Jepun kencing berdiri di tepi pokok kelapa  di depan Sekolah Tengkek. Imej ini aku bawa sepanjang hidup aku. Setiap kali aku terkencing  berdiri di tepi pokok kelapa  aku  akan teringat akan surah  Emak aku ini.

‘Lopeh tu... Jopon datang masuk sekolah...  ketua Jopun jumpo Cik Gu Bador...’

Semenjak petang itu Jepun telah bertapak di kampung kami. Sekolah Tengkek telah dijadikan Pejabat Besar askar Jepun. Kempeitai pun sampai sama. Lebih dari 20 orang soldadu Jepun kini menginap di Sekolah Tengkek.

Ketika ini Abah aku belum lagi direkrut oleh Inggeris.  Kami ada tanah sawah. Kehidupan tidak lumayan tapi tidak susah.  Padi dan tanaman sayuran  mencukupi. Makanan anak beranak tidak putus. Hidup kampung tidak memerlukan ringgit dan sen. 

Wilayah kampung aku dari Majau ke Keru, ke Kampung Tengah, ke Tengek  adalah  hamparan tanah sawah yang subur. Sawah ini diairi oleh Batang Muar yang lalu berhadapan dengan tanah pusaka keluaga kami.
Seingat aku tanah sawah ini telah puluhan  tahun diteroka – lama  sebelum Jepun sampai. Setiap keluarga memiliki tiga  atau empat ekar tanah. Dua ekar untuk getah dan dusun buah-buahan. Setengah  ekar untuk kawasan rumah dan dua atau tiga jenjang tanah sawah. 

Rumah dan kampung ini disusun mengikut aliran Batang Muar.

Dalam masyarakat sawah orang kampung bekerja gotong royong membersihkan laluan  air, anak sungai, pembetung atau   ‘bonda’. Semua dilakukan berseraya – bersama-sama. Budaya gotong royong dalam masyarakat Melayu ini yang lahir dari  membuat sawah. 

Sawah padi hanya boleh diusahakan jika semua orang kampung sebulat suara. Membetul permatang air, membersihkan laluan air dan menetapkan bila  mula turun ke sawah.   

Semuanya diatur oleh adat lembaga. Ini hukum hakam  dan peraturan yang tidak bertulis  tetapi diterima pakai oleh semua. 

Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat

Ada sama dimakan
Tak ada sama dicari 

Ke darat sama didaki
Ke lurah sama dituruni

Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama di cecah

Adat Perpatih yang kuat ini mengikat anggota kampung untuk sesama bergotong royong.  Di kampung aku gotong royong ini dipanggil seraya .

Orang Kampung aku mengerjakan tanah sawah setahun sekali.  Semusim enam bulan  - dari menyemai hingga gemal padi naik ke kepuk. 

Sebelum turun ke sawah orang kampung akan berkumpul. Tok Empat  akan memanggil orang kampung. Ketika aku membesar aku sendiri pernah melihat Tok Empat Itam meniup tetuang memanggil orang kampung. 

Tetuang ini  dibuat dari tanduk lembu atau kerbau sebagai alat pembesar suara – seperti megaphone.  Bunyi tiupan tetuang saperti bunyi trompet.

Tok Empat Itam ini  Pak  Saudara  aku  jadi aku dapat memerhatikan bagaimana orang kampung berkumpul di halaman rumahnya.  Pertama-tama orang kampung mengagak-agak bila hujan akan turun.  Hujan turun ini kunci ke sawah.  

Dari hujan turun ini orang kampung merancang bila nak membersihkan  tali air. Bila nak membetulkan  anak sungai. Bila nak mengempang Batang Muar agar air masuk ke pembetung. Bila mula menyamai dan bila mula menanam. 

Ada kerja perlu  bergotong royong. Ada kerja perlu dilakukan di sawah sendiri. Aku perhatikan semua sudah tahu tugas masing-masing.  Tok Empat Itam tak banyak berceramah. Perkara  ke sawah ini telah mereka lakukan berulang kali.

Ke sawah wajib seirama. Tidak boleh ada yang dulu ada yang kemudian. Air lalu perlu dikongsi sama.  Kalau  bersawah sendirian ada ramai musuh berkumpul. Kalau satu daerah  sama ke sawah musuh seperti  burung, belalang  dan tikus tidak berkumpul ramai. Musuh padi terpencar-pencar.  Musuh sama dikongsi.

Ada rezeki burung
Ada rezeki belalang
Ada rezeki tikus
Ada sama di rasa
Tak ada sama dicari

Dalam masyarakat sawah padi sikap aku untuk aku tidak wujud.  Sikap individualis  ditenggelamkan oleh sikap kekitaan. Kita dan kami didahulukan  dari  ese, doyan,  den atau aku.

Sawah melahirkan pembudayaan Melayu. Sawah melahirkan budi bahasa dan sikap  sopan santun  Melayu. Hilang sawah maka hilanglah  sifat Melayu jati. Hilang sawah maka  lupus lah sikap  gotong royong berkerja sama yang terjalin dalam budaya Melayu.

Dari perhatian aku  disini terbukti kebenaran  teori dan ajaran Karl Marx. Membuat itu akan mewujudkan budaya. Bila di rosakkan pembuatan ini maka masyarakat runtuh rantah.

Ini yang dilakukan oleh Jepun.

Soldadu yang bermukim di Sekolah Tengkek  memerlukan makanan. Soldadu Jepun mula  masuk kampung  mengambil  beras , ayam itik,  pisang, kelapa  - mereka perlu makanan.

Sekolah Tengkek kini dijadikan pusat mengumpul bahan makanan. Sebahagian sekolah telah dijadikan  kepok padi. Padi  yang dirampas dari orang kampung dikumpulkan sebagai garis pertahan Jepun.


‘ Sekolah tutup kejap... lepas itu Mak kena panggil oleh Jepun... sekolah di bukak...’ Emak aku menyambung cerita.

“ Sojar Jepun mengajar Cik Gu... mula mula menyanyi... kemudian bercakap... orang  kampung pun di kumpul... Abah kau datang  juga..'

‘ Mak mula kenal huruf Jepun... Mak takut betul dengan sojar Jepun tu... semua orang kampung  takut... dalam takut takut ini..   Mak dapat belajar bahasa Jepun...  ramai orang kampung di paksa belajar..’

Sekolah Tengkek dibuka semula.  Cik Gu Badur menjadi guru besar. Emak aku salah seorang guru Sekolah Tengkek di zaman Jepun. 

‘ Orang kampung  yang lain baut apa Mak.. cuba Mak nyanyi lagu Jepun tu ? ‘ Aku bertanya nak tahu apa  seterusnya terjadi. (TT)



 TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DAL PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/03/03/apabila-jepun-masuk-malaya/








1 ulasan:

panglimo potaseh berkata...

Kahkahkah ..sojar omputeh torok di kojoan kek Jopon. Askar Melayu bilo Jopon datang, lopeh ambik gaji mereka balik kampong ..nak lawan apo laey, somuo Rajo dan Bagindo dah pun chabot dulu ..kahkahkah