LAGI KESAH
BUDAK KERBAU
Dari pekan Kuala Klawang ke kampung Batu Serambai jauhnya tiga batu. Sepanjang jalan itu adalah sawah padi. Kampung pertama yang dilalui dari Kuala Klawang ke Seremban ialah Kampung Piatu , kemudian Kampung Tembun, Kampung Kemin, Kampung Jambatan Serong, Kampung Lalang dan kemudian sampai ke rumah aku di Kampung Batu Serambai.
Dari rumah aku ke arah Seremban ada Kampung Renal, Kampung Bukit, Kampung Amar Penghulu. Kampung Rambai Baris , Kampung Batu Tangga dan ke kampung akhir Kampung Ulu Klawang di kaki Bukit Tangga yang terletak di ekor Banjaran Titiwangsa.
Di sepanjang jalan dan di sekeliling kampung-kampung yang tersorok jauh dari jalan utama adalah kawasan tanah sawah yang subur. Diwilayah sawah-sawah inilah kerbau berkumpul meragut dan berkubang satelah musim menuai selesai.
Aku kini telah menjadi budak kerbau yang tak sabar menunggu selesai musim menuai. Bila padi telah semua selamat naik ke kepok dan sawah telah menjadi padang rumput maka aku akan lepaskan Kembang merayau- rayau.
Aku mahu Kembang merayau untuk mengawan. Aku mahu Kembang pecah dara bila berjumpa kerbau jantan. Pada masa ini Kembang masih milik kerajaan. Aku mahu Kembang mengawan, bunting dan melahirkan anak. Anak Kembang akan aku pulangkan kepada kerajaan dan Kembang akan menjadi milik aku. Ini perjanjian antara Abah aku dengan Jabatan Pertanian Jelebu.
Pejabatnya Pertanian Jelebu terletak di tepi sawah di Kampung Tembun.
Jabatan Pertanian akan memantau 8 ekor kerbau yang diperduakan kepada warga Kampung Batu Serambai. Malah dari apa yang aku dengar projek ‘ perdua kerbau’ ini projek percubaan. Kampung aku telah terpilih di Jelebu.
Seorang pegawai dari Jabatan Pertanian yang orang kampung panggil Abbas Bateneri akan datang sekali sekala melawat kerbau-kerbau ini. Abas Bateneri akan bermotosikal datang melihat-lihat kerbau di kampung aku.
Kerbau kami yang dipantau ini menjadikan aku berwaspada dan wajib menjaga Kembang dengan baik.
Sementara menunggu sawah menjadi padang aku akan mencari wilayah berumput tebal untuk Kembang meragut. Selalunya dalam kebun getah. Aku akan mengikat Kembang dan aku biarkan dia meragut sejauh tali yang aku benarkan.
Aku wajib berhati—hati dalam kebun getah. Tali ikatan tidak boleh begitu panjang. Aku takut dimarahi oleh tuan empunya kebun. Mungkin Kembang terlanggar cawan getah atau merosakkan pokok getah.
Orang kampung kadang-kadang ganas terhadap binatang ternakan seperti lembu atau kambing kalau masuk ke dalam kawasan rumah dan memakan tanaman.
Aku pernah ternampak lembu kena siram cuka getah. Aku juga pernah melihat lembu kena parang – luka hingga berulat.
Kerana semua ini aku wajib berhati-hati.
Membawa kerbau ke padang rumput dalam kebun getah aku lakukan sepulang dari sekolah. Ketika aku di sekolah Kembang masih terikat di kadang.
Aku berbasikal ke sekolah. Bila bosan berbasikal aku naik Bas Sekolah Lim yang akan lalu di hadapan rumah aku jam 7.00 pagi.
Kalau aku naik bas aku wajib membeli pas bulanan - empat ringgit untuk sebulan. Bas sekolah ini dimiliki oleh Syarikat Bas Lim. Rutin aku ke sekolah dan pulang dari sekolah sama ada naik bas atau naik basikal menjadi rapi teratur. Ini kerana aku telah ada tanggung jawab kepada seekor kerbau.
Sesekali aku terpaksa juga aku bawa kerbau aku ke tepi sungai. Ini aku wajib berwaspada. Sungai di tepi sawah jika tali ikatan terlepas Kembang akan makan padi.
Apa yang menarik mengikat kerbau di tepi sungai ialah aku boleh memancing dan mandi manda dalam sungai ketika Kembang meragut rumput.
Satu petang aku jumpa Ujang.
‘ Sam kito dah buleh lopehkan kobao kito ... potang balik sekolah kito cari...’ Ujang memberi penerangan. Ujang ini nama panggilan. Nama sebenar Raja Alias anak kepada Raja Deraman. Aku tua setahun dari dia. Tapi tak ada siapa panggil di Raja Alias kecuali di sekolah.
‘ Bilo Ujang .. kobao kito ....tak ilang ko...’ Aku mahu kepastian kerana aku risau juga jika kerbau aku hilang.
‘ Esok kita mulo.. bukan jauh sangat... sawah dah kosong.. mintak Abah kao lopehkan tongah ari... potang kito cari..’ Ujang memberi penjelasan untuk menenteramkan kegusaran aku.
Esoknya jadual aku berubah. Bila aku pulang dari sekolah Kembang telah keluar dari kandang. Abah aku telah membawa ke tepi sawah dan membiarkan Kembang mencari kawan-kawan.
Dalam jam 5 petang aku dan Ujang akan turun ke sawah yang kini telah menjadi padang rumput. Hari pertama tak banyak masalah. Kembang dan kerbau Ujang tak berjalan jauh.
Kini telah ada 4 ekor lagi kerbau yang bersama Kembang. Mereka meragut disawah kampung kami . Berkubang dalam lubuk lumpur yang sama.
Minggu ke dua pun sama – paling jauh mereka berjalan ke sawah Kampung Lalang – tak sampai satu batu dari kampung aku.
‘ Jang... tak do kobao jantan sini... tak bunting kobao kito...’ Aku menyatakan kerisauan kepada Ujang. Aku merasa kecewa kerana Kembang belum bertemu kerbau jantan lagi.
Masuk ke bulan ke dua Kembang dan kerbau lain telah mula berjalan jauh. Kali ini aku pula yang tercari-cari. Awalnya mereka suka berkubang di sawah Jambatan Serong. Ini juga tidak jauh dari kampung aku.
Jika di Kampung Jambatan Serong masih senang untuk ditemui dan dibawa pulang. Kerbau aku tidak pernah bermalam di luar. Abah aku memberi arahan Kembang setiap malam wajib masuk ke dalam kandang. Ini tugas aku. Walau pun lewat petang aku wajib mencari Kembang dan membawa pulang ke kandang.
Kini aku telah dapat mengenal beberapa lubuk tempat kerbau suka berkubang. Dari Kampung Jambatan Serong kini Kembang telah mula merayau lebih jauh hingga ke Kampung Kemin. Disini juga aku perhatikan ada sebuah lubuk yang banyak kerbau suka berkubang.
Kerbau aku ini masuk ajar. Bila nampak saja aku dan Ujang sampai dia akan keluar dari lubuk dan berjalan pulang. Malah dari jauh – kalau dalam lubuk berkubang – aku hanya mencari tanduknya yang di atas air. Melalui tanduk aku akan dapat mengenal kerbau aku.
Saban petang aku akan berjalan mencari Kembang. Kadang kadang bersama Ujang kadang-kadang seorang diri. Kerbau aku berjalan ke arah pekan Kuala Klawnag. Tidak pernah mengarah ke hulu ke Kampung Renal atau ke arah Seremban.
Akhirnya aku telah berupaya mengenal denai, lubuk , kolam, lumpur dan paya tempat kesukaan kerbau berkubang. Aku tahu di mana ada lubuk kerbau berkumpul dan di mana ada kawasan rumput.
Paling jauh aku mencari Kembang hingga ke Kampung Tembun. Kampung Tembun hanya sebatu dari pekan Kuala Klawang. Nasib baiknya Kembang merayau ke sini berlaku hanya sekali.
Biasanya Kembang akan sampai ke di Kampung Kemin. Jika dia berkubang di Kampung Kemin bermakna dia telah berjalan lebih dari dua batu dari kampung aku.
Satu petang aku tercari cari di mana Kembang berkubang. Jauh aku berjalan sehingga masuk ke hujung pendalaman Kampung Kemin. Hari telah lewat petang. Matahari telah nak masuk ke celah bukit.
Aku ternampak satu kumpulan lebih dari 10 ekor kerbau sedang berkubang dalam lubuk. Mulut mereka mengunyah. Aku nampak hanya tanduk dan hidung merek di aras air. Agak susah aku nak memerhatikan kerbau aku.
Lalu aku halau semua kerbau ini keluar dari lubuk. Ada 12 ekor semuanya. Kerbau milik Ujang tak ada pada petang itu.
Mata aku mencari Kembang. Inilah saat gembira. Aku ternampak Kembang. Ah! tugas aku petang itu selesai.
Wow! Gembiraku menjadi berlipat ganda kerana aku ternampak Kembang di rapati oleh sekor kerbau jantan. Apa yang aku mimpikan telah berlaku.
Hasilnya - setiap petang hampir satu minggu aku temui Kembang di lubuk yang sama. Aku yakin Kembang sedang bercengkerama dalam lubuk ini. Aku yakin Kembang bukan anak dara lagi.
‘ Jang... ada kobao jantan... di Komin.... bawalah kobao kau..’ Aku pula memberi nasihat kepada Ujang.
Aku mula memerhatikan perut kembang. Aku tidak sabar untuk melihat kerbau aku bunting. Kesah Kembang berjumpa jantan ini tidak aku ceritakan kepada Emak , Abah. Kakak atau Abang aku. Ini rahsia. Aku mahu mereka ternampak sendiri perut Kembang yang membesar.
Musim bertukar. Musim sawah datang kembali. Kini jadual aku bertukar kembali. Sawah dibajak. Benih disemai. Anak padi diubah.
Kerbau tidak lagi dibenarkan bebas dalam sawah. Kembang kini diikat kembali. Sesekali bila aku rajin aku juga menyabit rumput untuk Kembang. Jika tidak aku hanya membawa ke kebun getah.
Aku ingat lagi hari Sabtu itu. Mustahil akan aku lupakan hari yang bersejarah dalam hidup aku. Lepas makan tengah hari aku menarik Kembang keluar dari Kandang. Di tangan aku telah sedia pancing dan satu tin umpan cacing. Aku bercadang membawa Kembang ke tepi sungai.
Ketika itu anak-anak padi sedang hidup subur. Orang kampung sudah selesai merumput. Dalam lopak padi banyak haruan dan puyu.
Aku menyisir tepi bonda menghala ke sungai berhampiran kawasan lapang di hadapan rumah Pak Cik Latiff.
Aku ikat Kembang di tanah lapang. Aku memancing tepi lubuk dalam sawah tak jauh dari Kembang yang terikat.
Kocak ikan ada tapi berkali-kali aku angkat pancing aku hanya dapat hanya cacing. Ikan gagal meragut cacing.
Lalu aku beralih memancing ke sungai. Aku leka memancing. Bila kail aku tersangkut aku berbogel turun ke dalam sungai. Memang seronok petang itu. Matahari panas. Badan aku sejuk dalam sungai.
Keluar dari sungai aku terperanjat. Kembang telah hilang. Tali yang kau ikat telah terlucut. Aku gelabah. Aku tercari cari. Aku menyusur di hadapan sawah Pak Cik Latiff.
Tertiba aku terdengar suara kuat dan nyaring.
‘ Puki... mak budak ni... pantek omak kao... kopalo butuh ayah kao... kao jago kobao ko... nak jaga puki mak kao ..’ Suara perempuan yang menusuk telinga aku.
Aku menggigil takut. Bukan kerana sejuk tapi belum pernah dalam hidup aku terdengar kata-kata berbunyi sedemikian terhambur dari mulut seorang perempuan.
Aku kenal perempuan ini. Nama dia Mariam. Rumah kecilnya tak jauh dari kawasan sawah ini. Dia tinggal dengan emaknya. Aku rasa Si Mariam ini anak dara tua. Dia belum bersuami.
Mata aku mencari Kembang.
‘ Puki kobao kau makan padi den.. 12 batang... puki omak kau nak bayar ke...nak ganti ko...cabut bulu puki mak kao .. bayar ganti padi den...’ Mariam meneruskan makin hamun dan carutan kepada aku.
‘ Cilako... nak jago kobao ko nak mandi sungai sungai...’ Ayat ini menakutkan aku kerana aku telah cuai degan tugas.
Mata aku mencari Kembang. Aku tak berani bersuara. Aku senyap membatu. Senyap dan takut. Tak pernah aku setakut ini.
‘ Den racun kobao kao .. baru tahu...den parang nanti.. caliko...’ Satu ancaman yang amat menakutkan aku. Aku teringat gambaran lembu yang telah kena curah cuka getah.
Mata aku mencari Kembang. Ah! Aku ternampak Kembang terikat dalam belukar di tepi sawah Pak Cik Latiff.
Aku tak berkata apa apa . Aku tidak tahu bagaimana aku wajib menjawab. Suaranya macam menyoal tapi aku tak faham apa yang tanya.
Dengan perlahan-lahan aku tunduk berjalan dan menarik Kembang dan berundur. Pancing aku dan pot cacing aku tinggalkan di tepi sungai.
Kesah Mariam ini tak aku cerita pada sesiapa pun. Ini rahsia hidup aku. Inilah kali pertama aku di beritahu bahawa puki orang perempuan itu ada bulu boleh dicabut untuk bayar hutang.
Malah aku amat takut jika Si Mariam ini membuat aduan kepada Emak aku yang aku mandi sungai dan Kembang terlepas dari jagaan dan makan 12 rumpun padi.
Satu minggu aku dalam kegelisahan. Apakah Mariam ini akan datang ke rumah aku. Mariam mengancam nak mencabut bulu puki. Bayangkan ketika itu aku masih lagi belum bersunat lagi. Aku tahu tentang jantan dan betina. Tapi aku tak tahu bahawa bulu puki boleh dicabut untuk bayaran pampasan.
Mariam tidak muncul. Dia hanya memberi ancaman. Aku merasa lega. Semenjak petang Sabtu itu aku tidak berani membawa Kembang ke tepi Sungai depan rumah Pak Cik Latiff.
Hari berjalan musim beredar. Padi bunting, padi masak, padi di tuai, padi di banting – hari berjalan.
Aku ingat lagi petang itu. Aku tarik Kembang ke dalam kebun getah – yang rumput menghijau muda sesudah hujan. Aku pacak kayu ke bumi untuk aku mengikat tali.
Kembang tidak berbuat apa -apa. Aku perhatikan perutnya telah besar. Kebun getah ini telah selalu kami datangi. Kembang suka kawasan ini. Tapi petang itu dia tak mahu meragut. Aku jadi harian. Apakah dia telah kenyang.
Esoknya sepulang dari sekolah aku bawa Kembang ke tempat yang sama. Kembang enggan meragut rumput. Aku menjadi risau. Ada sesuatu yang tidak kena.
Hari ke lima Kembang tidak makan apa-apa. Ini menakutkan aku.
‘ Mak... Kembang sakit dah tiga hari tak makan...’ Aku memberi laporan pada Emak aku.
‘ Cuba sabit rumput... mungkin dia nak...’ Emak aku memberi cadangan
Aku menyabit rumput muda dan membawa pada Kembang. Dia tak ambil peduli. Aku perhatikan rapi-rapi. Aku lihat mulutnya bengkak.
‘ Mak... mulut Kembang bengkak...’ Aku melaung memberitahu seisi rumah.
Esoknya Ayah aku berbasikal ke Pejabat Pertanian. Abah aku memberi laporan. Sebelah petang Abbas Bateneri sampai. Dia membawa satu beg yang dalam ada ubat dan alat perubatan.
Abbas melihat Kembang. Dia memegang hidung dan membuka mulut Kembang. Mulut kini semakin besar bengkaknya.
‘ Ini penyakit Badak Air...’ Penerangan Abbas Bateneri mencurigakan aku.
Abbas mengambil darah kemudian dia memberi satu suntikan dipunggung kiri Kembang.
‘ Saya datang dua hari lagi... kita tengok macam mana..’ Abbas berkata macam ini perkara biasa yang selalu dia alami.
Aku murung. Aku sedih. Di sekolah aku teringat akan Kembang di kandang. Aku berdoa agar penyakit mulutnya akan dapat diubati.
Dua hari sekali Abbas Bateneri datang memberi rawatan.
Minggu ke dua bila aku pulang dari sekolah Emak aku berkata.
‘ Sam... Kembang dah tak da...’
Aku tak jadi makan. Aku terus ke kandang . Kembang terbujur tidur untuk selama-lamanya. Air mata aku meleleh.
(Ketika aku menulis kembali babak ini air mata aku berlinangan. Aku tergambarkan petang itu Kembang terbujur dalam kandang di tepi pokok jambu di kawasan Sekolah Umum Batu Serambai).
Abbas Bateneri sampai. Dia mengesahkan kematian Kembang. Kemudian Abah aku dibantu oleh Abbas telah menggali kubu di hadapan kandang.
Emak , Abah, Kakak, Abang, Wan Rahmah dan Adik aku – kami semua berdiri melihat Kembang dimakamkan . Mata aku terus basah.
Sebelum beredar Abbas Bateneri terkata. ‘ Kobau Cik Gu ni dan bunting... tak po nanti kita ganti kobau lain...’
‘ Iya dah bunting... laaa... Sam Kembang dah bunting...‘ Mak aku terperanjat dan memberi tahu aku maklumat dari Abbas Bateneri.
Tentang Kembang bunting ini aku dah lama tahu.
Setiap petang aku datang menziarah makam Kembang, Aku rasa rutin hidup aku kosong. Di petang hari aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan.
Emak aku sedar tentang apa yang telah berlaku kepada aku. Emak aku ternampak aku selalu berdiri di tepi makam Kembang.
‘ Sam .. tak mengapa.. nanti kita cari kerbau baru... kamu tanam pokok tebu atas kubur Kembang...’ Cik Gu Zaleha Sidek memberi nasihat.
Esoknya aku pun menanam sebatang pohon tebu sebagai ingatan aku kepada Kembang.
EPILOK
Aku berkelana selama 20 tahun. Pada petang kesampaian aku dari London aku telah dibawa oleh Mizuan – kawan lama dari Universiti Malaya – yang mengambil aku dari lapangan terbang Subang untuk dibawa pulang ke Jelebu.
Turun di kaki Bukit Tangga aku terperanjat. Sawah telah tidak wujud lagi. Kami melintas empangan batu di Ulu Klawang dan aku nampak air sungai telah cetek.
Kampung Batu Serambai, Kampung Jambatan Serong, Kampung Kemin dan Kampung Tembun - aku lalui sekali lagi satelah 20 tahun aku tinggalkan. Semua kampung-kampung di mana satu ketika dulu menjadi wilayah tempat aku bermain. Di wilayah ini aku berkubang sebagai budak kerbau. Kini semua tanah-tanah sawah telah menjadi belukar.
Sekolah Batu Serambai masih ada. Kedai Mak Cik Jarah masih ada. Kampung Batu Serambai masih wujud. Siapa penghuni Kampung Batu Serambai aku tidak tahu.
Ujang Raja Alias aku temui tahun 2013 di Kampung Larong dalam satu kenduri.
Bangunan batu Jabatan Pertanian Jelebu masih wujud di Kampung Tembun. Tapi telah tidak digunakan lagi. Kawasan sawah – milik Jabatan Pertanian - yang satu ketika dahulu tempat percubaan benih dan teknik sawah baru kini menjadi belukar.
EPILOK DUA
Bila Melayu tidak ke sawah maka budaya Melayu beralih. Kini asas ekonomi kapitalis telah menjalar masuk ke nadi Melayu. Maka pembudayaan Melayu berubah sedikit demi sedikit. Ekonomi duit kini mengemudikan budaya Melayu.
Semangat gotong royong yang berkait rapat dengan menanam padi kini tidak wujud lagi.
EPILOK TIGA
Tanpa sawah padi budak kerbau tidak akan wujud lagi. (TT)
TULISAN INI JUGA
DITERBITKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/06/30/lagi-kisah-budak-kerbau/
Bro tengok perut kembang dgn perut kak mano bosa..laei satu agak2 kau bulu p*ki kak mah ado lagi tak atau pun dah licin ..sebab laki eh cabut buat bayar saman LHDN..kahkahkah
BalasPadam