Rabu, 30 Jun 2021

LAGI KESAH BUDAK KERBAU

 

LAGI KESAH

BUDAK KERBAU


Dari  pekan  Kuala Klawang ke kampung Batu Serambai jauhnya tiga batu. Sepanjang jalan itu adalah sawah padi.  Kampung pertama yang dilalui  dari Kuala Klawang ke Seremban ialah Kampung Piatu , kemudian  Kampung  Tembun,   Kampung Kemin, Kampung Jambatan Serong,  Kampung Lalang  dan kemudian  sampai ke rumah aku di Kampung Batu Serambai.

Dari rumah aku ke arah Seremban  ada Kampung   Renal,  Kampung Bukit, Kampung Amar Penghulu. Kampung  Rambai Baris , Kampung Batu Tangga  dan ke kampung akhir  Kampung Ulu Klawang di kaki Bukit Tangga  yang terletak di  ekor Banjaran Titiwangsa.

Di sepanjang jalan dan di sekeliling  kampung-kampung yang tersorok jauh dari jalan utama   adalah kawasan tanah sawah yang subur. Diwilayah sawah-sawah inilah kerbau berkumpul meragut dan berkubang satelah musim menuai selesai.

Aku  kini telah menjadi  budak kerbau yang tak sabar    menunggu  selesai musim menuai. Bila padi telah semua  selamat naik ke kepok  dan sawah telah menjadi padang rumput maka aku akan  lepaskan Kembang merayau- rayau.

Aku mahu Kembang  merayau untuk mengawan. Aku mahu Kembang pecah dara bila berjumpa kerbau jantan.  Pada masa ini   Kembang masih  milik kerajaan. Aku mahu Kembang mengawan, bunting dan melahirkan anak. Anak Kembang  akan aku pulangkan kepada kerajaan dan Kembang akan menjadi milik aku. Ini perjanjian antara Abah aku dengan Jabatan Pertanian Jelebu. 

Pejabatnya  Pertanian Jelebu terletak di tepi sawah  di Kampung Tembun.  

Jabatan Pertanian  akan memantau  8 ekor kerbau yang diperduakan kepada warga  Kampung Batu Serambai. Malah dari apa yang aku dengar projek ‘ perdua kerbau’ ini projek percubaan. Kampung aku telah terpilih di Jelebu.

Seorang pegawai dari Jabatan Pertanian  yang orang kampung panggil  Abbas Bateneri akan datang sekali sekala melawat  kerbau-kerbau ini.  Abas Bateneri akan bermotosikal  datang  melihat-lihat kerbau di kampung aku. 

Kerbau kami yang dipantau ini menjadikan aku berwaspada  dan wajib  menjaga Kembang dengan baik.  

Sementara menunggu sawah  menjadi padang aku akan  mencari wilayah berumput tebal untuk Kembang meragut.  Selalunya dalam kebun getah.  Aku akan mengikat Kembang dan aku biarkan dia meragut sejauh tali yang aku  benarkan. 

Aku wajib  berhati—hati  dalam kebun getah. Tali ikatan tidak boleh begitu panjang.  Aku takut  dimarahi oleh  tuan  empunya kebun. Mungkin Kembang terlanggar cawan getah atau merosakkan pokok getah. 

 Orang kampung kadang-kadang ganas terhadap binatang ternakan seperti lembu atau kambing kalau masuk ke dalam kawasan rumah dan memakan tanaman.  

Aku pernah ternampak  lembu kena siram cuka getah. Aku juga pernah  melihat  lembu kena parang – luka hingga  berulat.

Kerana semua ini aku wajib berhati-hati.

Membawa kerbau ke padang rumput dalam kebun getah  aku  lakukan sepulang dari sekolah.  Ketika aku di sekolah Kembang masih terikat di kadang.  

Aku berbasikal ke sekolah. Bila bosan berbasikal aku naik Bas Sekolah Lim yang akan lalu di hadapan  rumah aku jam 7.00 pagi. 
 
Kalau aku naik bas aku wajib membeli pas bulanan  -  empat ringgit untuk sebulan.  Bas sekolah ini dimiliki oleh Syarikat Bas Lim. Rutin aku  ke  sekolah  dan pulang dari sekolah   sama ada naik bas atau naik basikal menjadi rapi teratur.  Ini kerana aku telah ada tanggung jawab kepada seekor kerbau. 

Sesekali aku  terpaksa juga aku  bawa kerbau aku ke tepi sungai.  Ini  aku wajib berwaspada.  Sungai di tepi sawah jika tali  ikatan terlepas Kembang akan makan padi.

Apa yang menarik mengikat kerbau di tepi  sungai  ialah  aku  boleh  memancing  dan mandi manda dalam sungai  ketika Kembang meragut rumput.

Satu petang aku jumpa Ujang. 

‘ Sam  kito dah buleh  lopehkan kobao kito ... potang balik sekolah kito cari...’  Ujang memberi penerangan. Ujang ini nama panggilan. Nama sebenar  Raja Alias anak kepada Raja Deraman.  Aku tua setahun dari dia. Tapi tak ada siapa panggil di Raja Alias kecuali di sekolah.

‘ Bilo Ujang .. kobao kito ....tak ilang ko...’ Aku mahu kepastian kerana aku risau juga jika kerbau aku hilang.

‘ Esok kita mulo.. bukan jauh sangat... sawah dah kosong.. mintak  Abah  kao lopehkan tongah ari... potang kito cari..’ Ujang memberi penjelasan untuk menenteramkan kegusaran aku.

Esoknya jadual aku berubah.  Bila aku pulang dari sekolah Kembang telah keluar dari kandang. Abah aku  telah membawa ke tepi sawah dan membiarkan Kembang mencari kawan-kawan. 

Dalam jam 5 petang aku dan Ujang akan turun ke sawah yang kini telah menjadi padang rumput. Hari pertama  tak banyak masalah. Kembang dan kerbau Ujang tak berjalan jauh. 

Kini telah ada 4 ekor lagi kerbau yang bersama Kembang. Mereka meragut disawah kampung kami . Berkubang dalam lubuk lumpur yang sama.

Minggu  ke dua pun sama – paling jauh  mereka  berjalan ke sawah Kampung Lalang – tak sampai satu batu dari kampung aku.

‘ Jang... tak do kobao jantan sini... tak bunting kobao kito...’ Aku menyatakan kerisauan kepada Ujang. Aku merasa kecewa kerana Kembang belum bertemu  kerbau jantan lagi.

Masuk ke bulan ke dua  Kembang dan kerbau lain  telah mula berjalan jauh. Kali ini aku pula  yang tercari-cari.  Awalnya mereka suka berkubang di sawah Jambatan Serong. Ini juga tidak jauh dari kampung aku.

Jika di Kampung Jambatan Serong  masih senang untuk ditemui dan dibawa pulang.  Kerbau aku tidak pernah bermalam di luar. Abah aku memberi arahan  Kembang setiap malam wajib  masuk ke dalam kandang. Ini tugas aku. Walau pun lewat petang aku wajib mencari Kembang dan membawa pulang ke kandang.

Kini aku telah dapat mengenal beberapa lubuk tempat kerbau suka berkubang. Dari Kampung Jambatan Serong kini Kembang telah mula merayau lebih jauh hingga ke Kampung Kemin. Disini juga aku perhatikan ada sebuah lubuk yang  banyak kerbau suka berkubang.

Kerbau aku ini  masuk ajar. Bila nampak saja aku dan Ujang sampai dia akan  keluar dari lubuk dan berjalan pulang.  Malah dari jauh – kalau dalam lubuk berkubang – aku hanya  mencari tanduknya yang di atas  air.  Melalui tanduk   aku akan dapat mengenal kerbau aku.

Saban petang aku akan berjalan mencari Kembang. Kadang kadang  bersama Ujang kadang-kadang seorang diri.  Kerbau aku  berjalan ke arah pekan Kuala Klawnag. Tidak pernah mengarah ke hulu ke Kampung Renal atau ke arah Seremban.

Akhirnya aku telah berupaya  mengenal denai, lubuk , kolam, lumpur dan paya  tempat kesukaan kerbau berkubang. Aku tahu di mana  ada lubuk kerbau berkumpul  dan di mana ada kawasan rumput. 

Paling jauh  aku mencari Kembang hingga ke Kampung Tembun.  Kampung Tembun  hanya sebatu dari pekan Kuala Klawang. Nasib baiknya  Kembang merayau ke sini   berlaku hanya sekali.

Biasanya  Kembang akan sampai  ke di Kampung  Kemin.  Jika dia berkubang di Kampung Kemin bermakna dia telah berjalan lebih dari dua batu dari kampung aku. 

Satu petang aku tercari cari di mana Kembang berkubang. Jauh  aku berjalan sehingga masuk ke hujung pendalaman Kampung Kemin.  Hari telah lewat petang. Matahari telah nak masuk ke celah bukit.

Aku ternampak satu kumpulan  lebih dari 10 ekor  kerbau sedang berkubang dalam lubuk.  Mulut mereka mengunyah. Aku nampak hanya tanduk dan hidung merek di aras  air.  Agak susah aku nak memerhatikan kerbau aku.

Lalu aku halau semua kerbau ini keluar dari lubuk.  Ada 12 ekor semuanya. Kerbau milik Ujang tak ada pada petang itu.

Mata aku mencari Kembang.  Inilah saat gembira. Aku ternampak Kembang. Ah!  tugas aku petang itu selesai. 

Wow! Gembiraku menjadi berlipat ganda kerana aku ternampak Kembang di rapati oleh sekor kerbau jantan. Apa yang aku mimpikan telah berlaku.

Hasilnya -  setiap petang hampir satu minggu aku temui Kembang  di lubuk yang sama. Aku yakin Kembang  sedang bercengkerama dalam lubuk ini. Aku yakin Kembang bukan anak dara lagi.  

‘ Jang... ada kobao jantan... di Komin.... bawalah kobao kau..’ Aku pula memberi nasihat kepada  Ujang.

Aku mula memerhatikan perut kembang. Aku tidak sabar untuk melihat  kerbau aku bunting.  Kesah  Kembang berjumpa jantan ini  tidak aku ceritakan kepada Emak , Abah. Kakak  atau Abang aku.  Ini rahsia. Aku mahu mereka ternampak sendiri perut Kembang yang membesar.

Musim bertukar. Musim sawah datang kembali. Kini jadual aku bertukar kembali.  Sawah dibajak. Benih disemai. Anak padi  diubah.

Kerbau   tidak lagi dibenarkan  bebas dalam sawah. Kembang kini diikat kembali. Sesekali bila aku rajin aku juga menyabit rumput untuk Kembang.   Jika  tidak aku hanya membawa ke kebun getah.

Aku ingat lagi hari Sabtu itu. Mustahil akan aku lupakan  hari yang bersejarah dalam hidup aku. Lepas makan  tengah hari aku menarik Kembang  keluar dari  Kandang. Di tangan aku telah sedia  pancing dan satu  tin umpan  cacing. Aku  bercadang membawa Kembang ke tepi sungai.

Ketika itu anak-anak padi sedang hidup subur. Orang kampung sudah  selesai merumput. Dalam lopak padi  banyak haruan dan puyu.

Aku menyisir tepi bonda menghala ke sungai berhampiran  kawasan lapang di hadapan  rumah Pak Cik Latiff. 

Aku ikat Kembang di tanah lapang.  Aku  memancing tepi lubuk dalam sawah tak jauh dari Kembang yang terikat. 

Kocak ikan ada tapi berkali-kali aku angkat pancing aku hanya dapat hanya cacing. Ikan gagal meragut cacing.

Lalu aku beralih  memancing  ke sungai. Aku leka memancing. Bila kail aku tersangkut aku berbogel turun ke dalam sungai. Memang seronok petang itu. Matahari panas. Badan aku sejuk dalam sungai.

Keluar dari sungai aku terperanjat. Kembang telah hilang. Tali yang kau ikat telah terlucut. Aku gelabah. Aku tercari cari. Aku menyusur di hadapan sawah Pak Cik Latiff.

Tertiba aku terdengar suara kuat dan nyaring.

‘ Puki... mak budak ni... pantek omak kao... kopalo  butuh ayah kao... kao jago kobao ko... nak jaga puki mak kao ..’ Suara perempuan yang  menusuk telinga aku. 

Aku menggigil takut. Bukan kerana sejuk tapi belum  pernah dalam hidup aku terdengar kata-kata berbunyi sedemikian terhambur dari mulut  seorang perempuan.

Aku kenal perempuan ini. Nama dia Mariam.  Rumah kecilnya  tak jauh dari kawasan sawah ini. Dia tinggal dengan emaknya. Aku rasa  Si Mariam ini anak dara tua. Dia belum bersuami.

Mata aku mencari Kembang.

‘ Puki kobao kau makan padi den.. 12 batang... puki omak  kau nak bayar ke...nak ganti ko...cabut bulu puki mak kao .. bayar ganti padi den...’ Mariam meneruskan makin hamun dan  carutan kepada aku.

‘ Cilako... nak jago kobao ko nak mandi sungai sungai...’  Ayat ini menakutkan aku kerana aku telah cuai degan tugas.

Mata aku mencari Kembang. Aku tak berani bersuara.  Aku senyap membatu. Senyap dan  takut. Tak pernah aku setakut ini. 

‘ Den racun kobao kao .. baru tahu...den parang  nanti.. caliko...’ Satu ancaman yang amat menakutkan aku. Aku teringat gambaran lembu yang telah kena curah cuka getah.

Mata aku mencari Kembang. Ah! Aku ternampak Kembang  terikat dalam belukar  di tepi sawah Pak  Cik Latiff. 

Aku tak berkata apa apa . Aku tidak tahu  bagaimana aku wajib  menjawab.  Suaranya macam menyoal tapi aku  tak faham apa yang  tanya.
Dengan perlahan-lahan  aku tunduk berjalan  dan  menarik Kembang dan berundur. Pancing aku dan pot cacing aku tinggalkan di tepi sungai.

Kesah Mariam ini tak aku cerita pada  sesiapa pun. Ini rahsia hidup aku.  Inilah kali pertama aku di beritahu bahawa puki orang perempuan itu ada bulu boleh dicabut untuk bayar hutang. 

Malah aku amat takut jika Si Mariam ini membuat aduan kepada Emak aku  yang aku mandi sungai dan Kembang terlepas dari jagaan dan makan 12 rumpun padi.   

Satu minggu aku dalam kegelisahan. Apakah Mariam ini akan datang ke rumah aku. Mariam mengancam nak mencabut  bulu puki. Bayangkan ketika itu aku masih lagi  belum bersunat lagi. Aku tahu  tentang jantan dan betina. Tapi aku tak tahu bahawa bulu puki boleh dicabut untuk bayaran pampasan.

Mariam tidak muncul. Dia hanya memberi ancaman. Aku merasa lega. Semenjak petang Sabtu itu aku tidak berani membawa  Kembang ke tepi Sungai depan rumah Pak Cik Latiff.

Hari berjalan musim beredar.  Padi bunting, padi masak, padi di tuai, padi di banting – hari berjalan.

Aku ingat lagi petang itu. Aku tarik  Kembang ke dalam kebun  getah – yang rumput menghijau muda   sesudah hujan.  Aku  pacak kayu ke bumi  untuk aku mengikat tali. 

Kembang tidak berbuat apa -apa. Aku perhatikan perutnya  telah besar. Kebun getah ini telah selalu kami datangi. Kembang suka kawasan ini. Tapi petang itu dia tak mahu  meragut. Aku jadi harian. Apakah  dia telah kenyang.

Esoknya  sepulang  dari sekolah aku bawa  Kembang  ke tempat yang sama.  Kembang enggan meragut rumput.  Aku menjadi risau. Ada sesuatu yang tidak kena.

 Hari ke lima Kembang tidak makan apa-apa. Ini menakutkan aku.

‘ Mak... Kembang sakit dah tiga hari tak makan...’ Aku memberi laporan pada  Emak aku.

‘ Cuba  sabit rumput... mungkin dia nak...’ Emak aku memberi cadangan

Aku menyabit  rumput muda dan membawa  pada Kembang.  Dia tak ambil peduli. Aku perhatikan rapi-rapi. Aku lihat mulutnya bengkak.

‘ Mak... mulut Kembang bengkak...’  Aku melaung memberitahu seisi rumah.

Esoknya Ayah aku berbasikal ke Pejabat Pertanian. Abah aku memberi laporan. Sebelah petang Abbas Bateneri sampai. Dia membawa satu beg yang dalam ada ubat dan alat perubatan.

Abbas melihat Kembang. Dia memegang hidung dan membuka mulut Kembang. Mulut kini semakin  besar bengkaknya.

‘ Ini penyakit Badak Air...’  Penerangan Abbas  Bateneri mencurigakan aku.

Abbas mengambil darah kemudian dia memberi satu suntikan dipunggung kiri Kembang.

‘ Saya datang dua hari lagi... kita  tengok macam mana..’ Abbas  berkata macam ini perkara   biasa yang selalu dia alami.

Aku murung. Aku sedih.   Di sekolah aku teringat  akan Kembang di kandang. Aku berdoa agar penyakit mulutnya akan dapat diubati.

Dua hari sekali Abbas Bateneri datang memberi rawatan.  

Minggu ke dua bila aku pulang dari  sekolah Emak aku berkata.

 ‘ Sam... Kembang dah tak da...’ 

Aku  tak jadi makan. Aku terus ke kandang . Kembang terbujur tidur untuk selama-lamanya. Air mata aku meleleh.  

(Ketika  aku menulis kembali  babak ini air mata aku berlinangan. Aku tergambarkan  petang  itu  Kembang terbujur dalam kandang di tepi pokok jambu di kawasan Sekolah Umum Batu Serambai).

Abbas Bateneri sampai. Dia mengesahkan kematian Kembang. Kemudian Abah aku dibantu oleh Abbas  telah menggali kubu di hadapan kandang.

Emak , Abah, Kakak, Abang, Wan  Rahmah dan Adik aku – kami semua berdiri melihat Kembang dimakamkan .  Mata aku terus basah.

 Sebelum beredar Abbas Bateneri terkata. ‘ Kobau Cik Gu ni dan  bunting... tak po nanti  kita ganti kobau lain...’  

‘ Iya dah bunting... laaa...  Sam Kembang dah bunting...‘ Mak aku terperanjat dan memberi tahu aku maklumat dari Abbas Bateneri.

Tentang  Kembang bunting ini  aku dah lama tahu. 

Setiap petang  aku datang menziarah  makam Kembang,  Aku  rasa rutin hidup aku kosong.  Di petang hari aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan.
Emak aku sedar tentang apa yang telah berlaku kepada aku. Emak aku ternampak  aku selalu berdiri di tepi makam Kembang.

‘ Sam ..  tak mengapa.. nanti kita cari kerbau baru... kamu tanam pokok tebu atas kubur  Kembang...’ Cik Gu Zaleha Sidek  memberi nasihat.

Esoknya aku pun menanam sebatang pohon tebu sebagai ingatan aku  kepada Kembang.

EPILOK
Aku berkelana selama 20 tahun. Pada petang kesampaian aku dari London aku telah dibawa oleh Mizuan – kawan lama dari Universiti Malaya – yang mengambil aku dari lapangan  terbang Subang untuk dibawa pulang ke Jelebu.  

Turun  di kaki Bukit Tangga aku terperanjat. Sawah telah tidak wujud lagi. Kami melintas empangan batu  di Ulu Klawang dan aku nampak air sungai telah cetek.   

Kampung Batu Serambai, Kampung Jambatan Serong, Kampung Kemin  dan Kampung Tembun  - aku lalui sekali lagi satelah  20 tahun aku tinggalkan.  Semua kampung-kampung di mana satu ketika dulu menjadi wilayah tempat aku bermain. Di wilayah ini aku berkubang sebagai budak kerbau. Kini semua   tanah-tanah  sawah telah menjadi belukar. 

Sekolah Batu Serambai masih ada.  Kedai Mak Cik Jarah masih ada. Kampung Batu Serambai masih wujud.  Siapa penghuni Kampung Batu Serambai  aku tidak tahu.

Ujang  Raja Alias aku temui tahun 2013 di Kampung  Larong dalam satu kenduri. 

Bangunan batu Jabatan Pertanian Jelebu  masih wujud di  Kampung Tembun.  Tapi telah tidak digunakan lagi. Kawasan sawah – milik Jabatan Pertanian  - yang satu ketika dahulu tempat percubaan benih dan teknik sawah baru  kini menjadi belukar. 

EPILOK DUA
Bila Melayu  tidak ke sawah maka budaya Melayu beralih.  Kini  asas ekonomi kapitalis telah  menjalar  masuk  ke nadi  Melayu. Maka  pembudayaan Melayu berubah sedikit demi sedikit.  Ekonomi duit kini mengemudikan budaya  Melayu.

Semangat gotong royong yang berkait rapat dengan menanam padi kini tidak wujud lagi. 

EPILOK TIGA
Tanpa sawah padi budak kerbau tidak akan wujud  lagi. (TT)



TULISAN INI JUGA
DITERBITKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/06/30/lagi-kisah-budak-kerbau/




1 ulasan:

capt salai berkata...

Bro tengok perut kembang dgn perut kak mano bosa..laei satu agak2 kau bulu p*ki kak mah ado lagi tak atau pun dah licin ..sebab laki eh cabut buat bayar saman LHDN..kahkahkah