Rabu, 5 Februari 2025

MAHARAJA TELAH BERTITAH


MAHARAJA 

TELAH BERTITAH


Belum sampai  tiga minggu  Donald Trump di Rumah Putih dunia sudah menjadi huru hara. Saya penyokong Trump  dan  meramalkan Trump akan menang. Bila menang huru hara akan berlaku dalam dunia. Tetapi saya tidak menjangka secepat ini huru hara berlaku. Kini dunia sedang berhadapan dengan Maharaja  Donald J. Trump.  Amin.

Media dunia, mata dan telinga pemerhati politik dari kiri dan kanan  semua tertumpu ke Rumah Putih.  Pemimpin politik dari seluruh dunia – musuh dan kawan – semua meneliti  apa yang akan keluar dari mulut Maharaja Trump ini.

Dalam suasana ini saya teringat apa kata Henry Kessinger : "Mungkin berbahaya menjadi musuh Amerika, tetapi menjadi kawan Amerika membawa maut".

Saya  hendak menambah – lagi bahaya menjadi jiran tetangga berkongsi sempadan dengan Amerika.

Saya berkata demikian kerana  Mexico  dan Canada kini menjadi tikus makmal  projek cukai  import Trump. Dua negara jiran  ini telah di kenakan cukai 25%. Manakala China di kenakan cukai 10%.

Perdagangan barangan dan perkhidmatan Amerika dengan Mexico berjumlah dianggarkan $855.1 bilion dolar pada 2022. Eksport ialah $362.0 bilion; import ialah $493.1 bilion. Defisit perdagangan barangan dan perkhidmatan Amerika dengan Mexico ialah $131.1 bilion pada 2022.

Hubungan perdagangan Amerika Syarikat dengan Canada adalah yang terbesar di dunia. Pada 2023, perdagangan barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara berjumlah $923 bilion dolar. Eksport Amerika ialah $441 bilion, manakala import ialah $482 bilion, mengakibatkan defisit perdagangan Amerika  $41 bilion dolar dengan Kanada.

Pada 2023, jumlah nilai perdagangan antara Amerika dan China ialah $575 bilion.  Amerika mengimport $427.2 bilion barangan dari China pada 2023, sambil mengeksport $147.8 bilion dolar.

Saya yakin bila Yang Amat Mulia Trump melihat data ini dia akan merasa  di tipu. Semua perniagaan dengan tiga negara ini berat sebelah tidak menguntungkan Amerika. 

Justeru untuk memperbaikinya keadaan ini Yang Amat Mulia mengenakan cukai. Sekali imbas logiknya ada. Tetapi dalam hal jual beli dan perniagaan dunia ada hukum dan syarat-syarat lain.

Tenaga buruh di Amerika mahal. Tenaga buruh di China dan Mexico murah.  Kilang di China dan di Mexico tidak peduli dengan hal-hal pekerja dan tidak mengenakan kawalan alam sekitar yang ketat. 

Contohnya beberapa a syarikat terkemuka Amerika membuka kilang di China, termasuk: Apple (kilang pemasangan Foxconn), Nike, Tesla, General Motors, Ford, Dell, Mattel (pembuat anak patung Barbie), Coca-Cola, 3M, Boeing, Qualcomm, Carrier, dan Johnson & Johnson.

Kapitalis tidak berbangsa, tidak beragama dan tidak ada kesetiaan pada negara. Tuhan dan rukun  iman kapitalis ialah untung.   Di mana ada untung di sana kapitalis akan berkumpul. Maharaja Trump sedang cuba melawan dan mengubah hukum kapitalis ini. Trump mahu pengilang dan syarikat Amerika menjadi patriotik dan pulang membuka kilang di tanah tumpah darah sendiri. Amin.

Berita terkini melaporkan China, Canada dan Mexico  akan membalas. Ketika tulisan ini di garap belum di ketahui lagi tindak balas dari tiga negara ini.

Apa yang jelas Maharaja Trump telah memulakan perang perniagaan. Inilah yang saya harapkan berlaku. Menghuru harakan sistem ekonomi kapitalis dunia. Saya mahu Trump kacau bilaukan semua sistem ekonomi kapitalis. Huru harakan rantaian pengeluaran sistem ekonomi kapitalis.

Tidak cukup dengan serangan ke atas tiga negara ini Trump juga telah bertitah yang negara-negara   Kesatuan Eropah juga akan di kenakan cukai. Mengikut Trump negara-negara ini telah mengambil kesempatan dari hati baik Amerika.

Salah satu titah Maharaja  Trump ialah menyelamatkan duit dari perbendaharaan negara. Kerja ini telah di jalankan oleh Panglima Elon Musk. Tugas ini memerlukan dana di potong di sana sini.  Dari apa yang di lapor Elon Musk telah menamatkan bajet untuk USAID.

Lembaga USAID ini beroperasi berselirat di seluruh dunia. Ramai warga Amerika bekerja dengan lembaga ini. Juga ada beribu warga asing dari pelbagai negara yang juga bekerja dengan USAID. Lembaga ini membuat kerja amal semenjak Presiden Kennedy menubuhkan pada tahun 1961.

Satu minggu sesudah Trump naik takhta beribu-ribu warga Amerika hilang pekerjaan. Dana untuk Badan Bukan Kerajaan – NGO – juga di lupuskan. 

Trump juga telah bertitah untuk memutuskan hubungan dengan WHO – Badan Kesihatan Dunia – yang di kendali oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. Trump tidak puas hati pada badan ini kerana bersekongkol dengan China dalam hal asal usul  virus Covid-19. 

Maharaja  Trump  juga merancang untuk memutuskan penglibatan Amerika  dengan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan melanjutkan larangan pembiayaan ke atas agensi PBB untuk pelarian Palestin – UNRWA.

Amat jelas Maharaja Trump sedang membuat kacau  dan huru hara sedang berlaku di seluruh dunia. Dalam Amerika kacau. Luar Amerika pun lagi kacau.

Mata dunia sedang buntang memandang  apa yang akan di lakukan oleh Maharaja Trump kepada Ukraine. Sebaik sahaja  mendapat kuasa Trump telah membatalkan semua bantuan kepada Ukraine.  Dunia melihat ini tanda-tanda positif yang perang ini akan ditamatkan.

Dalam masa yang sama Trump juga telah memberi amaran kepada  BRICS atau kaum kerabat BRICS. Jika BRICS  mahu mendirikan satu lagi mata wang untuk bersaing dengan dolar maka negara-negara  ini akan di kenakan cukai 100%.

Amaran Maharaja ini telah menjemput suara lembut dari Presiden Putin.  Mengikut Putin BRICS tidak berniat untuk mewujudkan mata wang baru untuk melawan dolar.

Kenyataan lembut dari Putin ini bersangkut paut dengan keinginan Rusia untuk menamatkan Perang Ukraine. Presiden Putin  sedar  perang ini juga menghuru harakan ekonomi  Rusia -  justeru jalan damai wajib di teroka.

Dalam perhitungan Putin sosok terbaik untuk menamatkan perang ini pastilah Maharaja Donald Trump. Amin.

Seperti Maharaja di zaman dahulu kala Trump juga menggunakan ancaman senjata dan bala tentera. Dua negara yang menjadi sasaran ialah Panama dan Greenland. Dua negara ini menjadi wilayah yang  amat strategik dari segi  pertahanan untuk Amerika.

Pituffik Space Base di  barat laut Greenland  ada  pangkalan tentera udara Amerika.  Greenland adalah penting untuk tentera Amerika  dan sistem amaran awal peluru berpandu balistiknya. Dari pulau ini adalah laluan terpendek dari Eropah ke Amerika Utara.

Trump mahu menjadikan pulau Greenland ini sebahagian dari Amerika melalui jual beli atau di tawan. Perkara yang sama juga sedang berlaku kepada Panama.

Terusan Panama yang di dirikan oleh Amerika pada tahun 1914 ini telah di pulangkan  kepada rakyat Panama pada tahun 1977. Mengikut Trump kerajaan Panama telah mungkir janji. 

Kini pintu masuk dan pintu keluar terusan ini sedang di kendalikan oleh syarikat China. Ini membawa  bahaya ke  atas keselamatan Amerika. Justeru Trump bertitah : Undur  atau tentera Amerika akan datang mengambil alih kembali terusan ini.

Belum pun sempat tulisan ini  selesai di garap perkembangan baru telah datang mendadak.  Titah dan ancaman Maharaja Trump telah membawa hasil.

Kerajaan Mexico yang awalnya berkeras  akan membalas cukai Trump  kini jadi lemah longlai. Mexico bersetuju untuk menghantar 10,000 bukan sepuluh orang soldadu untuk mengawal sempadan Amerika – Mexico.  Pendatang haram akan di bedal oleh Mexico. Pihak keselamatan Mexico akan memperkuatkan lagi kempen anti dadah – fentanyl.  

Dadah  kimia fentanyl datang dari China. Mengikut hujah Trump ini cara awal China untuk melemahkan benteng pertahanan Amerika. Hantarkan dadah  ke Amerika dahulu.

Di Canada Perdana Menteri Justin Trudeau juga menjadi lembik bila berhadapan dengan ancaman Trump. Dari bualan talipon mereka Canada bersetuju akan menghantar soldadu dan polis untuk mengawal ketat sempadan Canada-Amerika yang banyak membawa masuk pendatang haram ke Amerika.

Sama seperti Mexico Justin Trudeau juga berjanji untuk memastikan dadah fentanyl dari China tidak di seludup masuk ke Amerika melalui sempadan Canada.

Jelas terbukti cara  Trump mengeluarkan titah telah menakutkan banyak negara.  Penyokong Trump termasuk saya juga mengalu-alukan kejayaan dasar  anti pendatang haram ini. Dalam masa yang sama Maharaja Trump mengingatkan kita untuk berwaspada terhadap perancangan jangka jauh dari China.

Bila Maharaja Trump naik takhta bukan semuanya tragedi. Ada juga komidi untuk kita sama-sama tersenyum dan merayakan kejayaan  dasar Maharaja Trump. Untuk ini saya bawa pembaca ke  India.

Kita sendiri di Malaysia  tahu dan ada pengalaman  membaca bagaimana warga India datang masuk   melalui KLIA ke Malaysia dan kemudian tidak pulang- pulang.  Perkara yang sama berlaku ke atas Amerika.

Dengan sekali seru kerenah jahat warga India ini terhenti.  Trump bertitah semua visa untuk warga India di mansuhkan.  Jeng jeng jeng.

Apa yang terjadi sesudah titah ini di umumkan membawa kita semua ketawa terbahak-bahak. 

Warga India yang masih tergila-gila nak ke Amerika ini telah  berduyun- duyun bersembahyang di sebuah kuil  bernama Chamatkari Hanuman di Ahmedabad wilayah Gujerat. Kuil ini sekarang di panggil kuil Visa Hanuman.  

Akhbar The Times of India telah melaporkan berita  bagaimana Sami Vijay Bhatt yang menjaga kuil ini  akan mengambil pasport untuk di sembahyangkan di hadapan  Tuhan Hanuman. Si pemilik pasport ini akan bertawaf sebanyak 108 kali mengelilingi Tuhan Hanuman sambil berdoa akan di berikan visa untuk memasuki Amerika.

Pada hemat saya titah Trump ini  ke atas  Mexico, Canada, Greenland,  Ukraine dan  Panama  semuanya cuba di selesaikan secara duniawi.  Hanya di India titah Maharaja Trump ini cuba di tumpulkan dengan kuasa ghaib. Kah kah kah.

Sebelum tulisan ini selesai di garap dunia di beritahu bahawa Perdana Menteri Israel  Benjamin Netanyahu telah sampai ke Amerika. Waran tangkap ke  atas Netanyahu pasti tidak di pedulikan oleh Maharaja Trump.

Mata dunia sedang menunggu untuk melihat kesampaian Netanyahu ke Rumah Putih. Telinga dunia sedang  terpasang untuk mendengar apa isi perbualan Maharaja Trump dan  Tok Penghulu  dari kariah bernama Israel. Kita tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)



        TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/733694












 



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

All Hail optimus prime. Koncu koncu decepticon kat mesia..sila siap seraga.