𝐓𝐮𝐤𝐚𝐫 𝐒𝐞𝐛𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐋𝐞𝐛𝐢𝐡
𝐁𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤 𝐊𝐞𝐫𝐨𝐬𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐃𝐢𝐥𝐚𝐤𝐮𝐤𝐚𝐧
Akhirnya terdedah juga, perjanjian kontroversi antara Malaysia dan Amerika Syarikat disahkan telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri. Kata Menteri, Kabinet lulus “secara dasar”. Namun persoalannya, dasar apa yang dimaksudkan? Dasar kedaulatan negara, atau dasar tunduk kepada kuasa asing?
Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang kafir menjadi teman rapat atau pemimpin selain orang beriman…” (Surah Ali ‘Imran: ayat 28)
Ayat ini jelas, umat Islam tidak boleh menyerahkan urusan penting, apatah lagi perjanjian besar, kepada tangan orang kafir yang sentiasa mencari ruang untuk menguasai dan memperdaya.
Klausa 5.1.1 dalam perjanjian itu menunjukkan Malaysia terikat dengan syarat-syarat Amerika, walaupun dikatakan ada ruang rundingan. Dalam bahasa mudah, kita akur, mereka menentukan. Bila Amerika kata lompat, kita pula bertanya: berapa tinggi mahu lompat?
Inikah bentuk kemerdekaan yang kita banggakan? Lebih membimbangkan, perjanjian ini menyentuh sumber bumi, mineral dan nadir bumi, hak milik negeri di bawah payung Raja-Raja Melayu. Soalnya, adakah perkara ini dirujuk dan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja? Adakah Kabinet benar-benar sedar bahawa ini bukan sekadar soal ekonomi, tetapi soal maruah, amanah dan kedaulatan?
Rasulullah SAW telah mengingatkan: “Tidak akan selamat orang yang menyerahkan urusannya kepada musuh agamanya.” (Riwayat Ahmad)
Saya bukan pakar ekonomi, tetapi saya mampu membaca dan memahami isi kandungan perjanjian ini. Sebagai rakyat, saya amat bimbang dengan implikasinya. Apakah tidak wajar perjanjian sebesar ini dibentang dan dinilai terlebih dahulu oleh pakar-pakar ekonomi tempatan?
YB Zafrul berkata beliau boleh menerangkan baris demi baris isi kandungan perjanjian tersebut maka silakan, biarlah rakyat dan ahli ekonomi menilai bersama. Kita sedar bahawa penjajahan moden bukan lagi dengan senjata, tetapi melalui ekonomi, dasar, dan peraturan dagang yang menjerat negara kecil supaya tunduk kepada kuasa besar.
Jangan terkejut jika ini semua hanya muslihat baharu Amerika di bawah pengaruh Trump dan sekutunya, untuk mengawal sumber Asia. Maka mengapa kita masih mahu percaya kepada mereka?
Malaysia mesti kekal merdeka, bukan sekadar pada politik, tetapi juga dari segi jiwa, ekonomi dan prinsip. Kita baru sahaja berhimpun dalam Solidariti Bersama Gaza dan menyambut kehadiran ulama besar seperti Habib Umar.
Namun, tidak sampai setahun, kita berubah arah, daripada menyokong perjuangan Palestin, kini berjinak pula dengan penaja pembunuhan di bumi Gaza. Di mana pendirian kita sebenarnya?
Jika benar Kabinet meluluskan perjanjian ini secara bersama, maka tanggungjawab juga mesti dipikul bersama. Saya berkongsi kebimbangan ini bersama rakyat yang cintakan tanah air, sebelum sejarah menulis bahawa inilah Kabinet yang menyerahkan kedaulatan negara kepada tangan asing.
TULISAN
Haji Rashidi Haris,
Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis

rakyat Iran turun jalanraya untuk jatuhkan king of the king shah Iran 1979 berjaya kah kah kah sebab utama shah Iran suka Amerika jadi elok turun jlnraya guling dia dan biar dia pi Amerika!
BalasPadam