Konvoi bantuan kemanusiaan terus masuk ke Gaza
GAZA: Trak bantuan kemanusiaan terus memasuki Semenanjung Gaza yang dikepung semalam di bawah perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Antara konvoi yang melalui sempadan Rafah termasuk penghantaran daripada pertubuhan bantuan Türkiye.
Konvoi bantuan yang kebanyakannya membawa bekalan makanan bergerak melalui beberapa lintasan termasuk Kerem Shalom dan Kissufim bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa serangan Israel ke atas Gaza yang berlarutan selama dua tahun.
Perjanjian gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu di Semenanjung Gaza, berdasarkan pelan berfasa yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Fasa pertama merangkumi pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin.
Pelan itu turut merangkumi usaha membina semula Gaza serta mewujudkan mekanisme pentadbiran baharu tanpa pembabitan Hamas.
Menurut pihak berkuasa Palestin, Israel telah membunuh hampir 69,000 orang - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - serta mencederakan lebih 170,000 yang lain dalam serangan di Gaza sejak Oktober 2023.
Sejak gencatan senjata mula berkuat kuasa, jumlah korban dan cedera masing-masing meningkat kepada 240 dan 607 orang.
Sekurang-kurangnya 511 mayat turut ditemukan setakat ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan