Rabu, 25 Disember 2024
TAK TURUN JALAN RAYA TAK MENANG PILIHAN RAYA
'Rancangan himpunan pro-Hajiji provokasi bagi alih perhatian'
Penganjur perhimpunan antirasuah yang dirancang pada malam tahun baru tidak terkesan dengan rancangan perhimpunan balas yang dianjurkan di tapak yang sama di Kota Kinabalu untuk menunjukkan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Sekretariat perhimpunan ‘Gempur Rasuah Sabah’ dalam satu kenyataan menyifatkan perhimpunan balas yang dinamakan Himpunan Bangkit Sabahan sebagai "provokasi" untuk mengalih perhatian orang ramai daripada dakwaan rasuah terhadap pentadbiran pimpinan Hajiji.
"Perhimpunan balas ‘Kami Bersama Hajiji’ lebih menjurus kepada mengagungkan individu tertentu berbanding memberi tumpuan kepada maruah negeri Sabah yang tercalar ekoran krisis rasuah.
"Tambahan pula, ketiadaan tuntutan dan matlamat yang jelas dalam perhimpunan balas ‘Kami Bersama Hajiji’ lebih mencetus penolakan awam terhadap kepimpinannya.
"Menurut Seksyen 18 Akta Perhimpunan Aman, mana-mana perhimpunan balas harus ditukar lokasi, masa, dan tempat oleh Pegawai yang Menjaga Daerah Polis," kata kumpulan itu.
Pada 20 Dis, Suara Mahasiswa UMS mengumumkan bahawa polis Kota Kinabalu telah menerima notis penganjur di bawah Akta Perhimpunan Aman untuk mengadakan perhimpunan antirasuah di luar Bangunan Pentadbiran Negeri Sabah.
Bagaimanapun, dilaporkan kemudian kumpulan berasingan juga akan berkumpul pada masa dan tempat yang sama untuk menyatakan sokongan kepada Hajiji.
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin susulan itu menggesa semua pihak mematuhi undang-undang, sementara Pemuda Umno menyeru masyarakat Sabah supaya tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan yang dijadualkan pada 31 Dis ini.
Sementara itu, sekretariat perhimpunan Gempur Rasuah Sabah dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa perhimpunan berkenaan akan diteruskan seperti yang dirancang, dan menggesa lebih ramai orang ramai untuk menyertai perhimpunan aman itu.
"Perhimpunan ini merupakan saluran terbaik rakyat untuk bersuara, menyatakan kemarahan dan ekspresi, menuntut keadilan, ketelusan dalam tadbir urus peringkat negeri dan nasional," katanya.
Perhimpunan itu diadakan berikutan pendedahan pemberi maklumat yang berhubung dakwaan rasuah oleh beberapa Adun Sabah, yang turut melibatkan Hajiji.
Kumpulan itu menambah bahawa pasukan sukarelawan keselamatan dan kesihatan akan bersiap sedia sepanjang perhimpunan, selain daripada anggota keselamatan.
KE JALAN
RAYA SEBELUM
KE PILIHAN RAYA
AMIN
RAKYAT SABAH
BETUL JELAS
DAN BERJAYA
AMIN
TAK TURUN
JALAN RAYA
TAK MENANG
PILIHAN RAYA
KHALAS
BACA INI UNTUK MEMAHAMI APA BERLAKU DI SABAH
SILA BACA
UNTUK MEMAHAMI
APA BERLAKU
DI SABAH
Musa Aman Disucikan Anwar Ibrahim
Demi Hadapi PRN Sabah - Che GuBard's Post
Tindakan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Nor memisahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Perikatan Nasional (PN) dan juga Bersatu, selepas terbentuk kerajaan Anwar Ibrahim dilihat agak tepat.
Ini kerana Anwar Ibrahim pasti menjadikan negeri Sabah sebagai medan balas dendam, melepaskan tekanan dan sebagainya.
Apa yang berlaku selepas terbentuknya kerajaan Anwar Ibrahim adalah cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Hajiji Nor di Sabah melalui rampasan kuasa yang dikendalikan oleh Bung Mokhtar, setelah mendapat restu perkenan dari Anwar dan Zahid Hamidi.
Ini berdasarkan bukti keberadaan Bung bersama Anwar dan Zahid dalam sebuah pertemuan di Kuala Lumpur sebelum berlangsungnya sidang media langkah Sutera itu. Maka kedua-dua, Anwar dan Zahid seharusnya tidak boleh cuci tangan dalam hal ini.
Namun Hajiji juga membuat gerakan balas. Sebahagian besar UMNO Sabah ketika itu telah menyokong Hajiji. Maka ditakdirkan cubaan rampasan kuasa ini gagal.
Anwar Ibrahim pada masa itu telah terbang ke Sabah bertemu Hajiji sejurus tamat lawatan dari luar negara untuk menyatakan sokongan dan mengucapkan tahniah. Ini sikap bermuka-muka Anwar Ibrahim. Maka selesailah bab pertama di Sabah.
Perkembangan mutakhir ini pula menyaksikan parti Warisan telah muncul sebagai kuasa mobilisasi rakyat terbesar melalui program-program anjuran parti berkenaan yang mendapat sambutan hangat rakyat Sabah.
Nampaknya rakyat sabah memberi sambutan menggalakkan ke atas isu-isu yang dibawa parti Warisan menentang kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sabah.
Justeru itu, Bung Mokhtar yang telah gagal dalam babak pertama rampasan kuasa di Sabah, di samping amarahnya pada Anwar dan Zahid, telah menjadikan Warisan sebagai rakan kongsi.
Ini sekaligus membawa kepada jajaran politik UMNO-Warisan pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka berlangsung sekitar pertengahan atau awal tahun hadapan (2025).
Dalam masa sama juga berlaku kocakan politik dalam GRS. Satu perkembangan menarik untuk diperhatikan apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) telah mula mengadakan beberapa program secara bersama tanpa penglibatan parti-parti lain dalam gabungan GRS.
Seperkara lagi, seperti mana semua maklum bahawa, setiap kali Pilihan Raya, kebanyakkan parti akan menggunapakai tema seperti Sabah for Sabahans. Tidak kurang juga yang cuba bersaing membuktikan siapa lebih Sabah di kalangan mereka.
Saya ingin berpesan kepada rakyat Sabah agar tidak terpedaya dengan sentimen ini. Tidak pernah ada lagi Ketua Menteri, menteri-menteri dan Exco yang dilantik dalam kalangan bukan anak Sabah sejak 1963. Namun Sabah tetap miskin dan ketinggalan.
Persoalan ini boleh dijelaskan melalui sikap dan integriti pemimpin-pemimpin dari Sabah sendiri yang saling restu merestui atas kebobrokan yang berlaku. Ini penyebab utama keciciran Sabah selama ini, bukan berpunca dari kerajaan Pusat.
Maka percayalah bahawa sentimen serupa iaitu siapa lebih Sabah akan terus dibawa dalam kempen Pilihan Raya Negeri akan datang.
Persoalan menarik yang seterusnya adalah, mana pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH)? Kedudukan gabungan ini sesuai dipadankan dengan peribahasa Melayu iaitu melukut di tepi gantang. Menjadi kupang tembaga—di simpan tak berguna, dibuang sayang.
Walaupun PH tetap akan menang sekurang-kurangnya di 3-4 kawasan majoriti pemilihnya berbangsa Cina, ianya masih belum cukup mengukuhkan kuasa politik Anwar Ibrahim. Maka Anwar pasti tidak senang dengan perkembangan ini dan tidak akan benarkan ia berlaku.
Untuk itu, Anwar sedang mencari jalan bagaimana untuk berpaut pada Hajiji melalui GRS. Malangnya dikhabarkan parti-parti gabungan dalam GRS sendiri tidak senang dengan PH dek kerana tiada sokongan dari rakyat Sabah. PH adalah beban kepada GRS dalam erti kata lain.
Dalam keadaan ini, muncul lah video tular berkenaan penyelewengan dan rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah. Anwar tahu perkara ini dan mula menjadikannya sebagai alat.
Justeru tiada jalan lain lagi buat Hajiji dan GRS melainkan menerima PH mendepani Pilihan Raya akan datang atau berdepan dengan ’mudarat’ lebih besar. Silap hari bulan ada tangkapan dibuat memandangkan hari ini pihak berkuasa seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara menjadi alat kawalan kerajaan pemerintah.
Seterusnya Anwar perlu mematikan gelombang besar yang sedang dibawa parti Warisan yang diketuai Shafie Apdal di Sabah. Siapa individu yang paling membenci Shafie di Sabah? Jawapannya Musa Aman, yang baru diperkenan lantikannya ke jawatan Tuan Yang Terutama Negeri Sabah.
Perlantikan Musa Aman juga menjadi pertikaian dan polemik dalam kalangan pemerhati kerana kes-kes berprofil tinggi yang pernah dihadapi beliau tidak perlu lagi diceritakan.
Ketika saya berada dalam Pakatan Rakyat (PR) dahulu, saya sendiri pernah menggerakkan satu demonstrasi di Kota Kinabalu dan membuat laporan di pejabat SPRM berkenaan kes melibatkan Musa Aman.
Bahkan Anwar Ibrahim pun pernah menggelar Musa Aman sebagai perompak dan perasuah. Hari ini, semuanya telah dicuci. Anwar Ibrahim pula yang mencadangkan perlantikan Musa Aman sebagai TYT Sabah yang baharu.
Implikasi pertama, Musa Aman, sebagai TYT akan duduk dalam Majlis Raja-Raja dan akan dilihat sebagai suatu pencemaran. Dalam hal ini nampaknya Anwar Ibrahim tidak peduli. Asal sahaja dia boleh terus berkuasa sebagai Perdana Menteri.
Kedua, sudah tentu Musa Aman selaku TYT akan menggunakan segala daya usaha beliau dalam mendepani Warisan pada Pilihan Raya akan datang. Shafie Apdal berada di situ.
Ini dilihat agak mustahil bagi Shafie mendapat laluan mudah untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan TYT yang membencinya. Melainkan parti Warisan dan gabungannya mendapat mandat besar dari rakyat Sabah.
Kuasa dan percaturan politik melangkaui segala keadaan hari ini di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim telah mengenepikan soal rakyat terbawah di Sabah yang terus mundur, miskin dan keciciran.
Anwar Ibrahim hanya berminat soal kesinambungan kuasa politik beliau. Rakyat pula cukup sekadar dihidangkan dengan beberapa pengumuman palsu untuk memberi kelegaan sementara kepada rakyat Sabah yang dihimpit dengan kos sara hidup yang semakin membebankan.
Kalau dulu zaman Najib Razak harga kangkung turun, Anwar kerah rakyat turun berdemonstrasi membawa bersama kangkung di jalanan. Hari ini harga kangkung melambung. Tiada lagi kedengaran bicara soal perjuangan rakyat. Sebaliknya Anwar Ibrahim hanya sibuk bicara dan merencana soal mengekalkan kuasa politiknya.
Posting awal mengenai SABAH klik https://www.facebook.com/share/p/19RtQhzLWd/
KITA BERSAMA GAZA
Penduduk Kristian Gaza sambut Krismas dengan mendoakan kematian, kemusnahan berakhir
GAZA: Ratusan penganut Kristian di Bandar Gaza yang musnah akibat peperangan berkumpul di sebuah gereja semalam, berdoa supaya konflik yang memusnahkan sebahagian besar wilayah Palestin itu segera berakhir.
Sambutan kali ini tiada lagi cahaya lampu bergemerlapan, hiasan perayaan, mahupun pokok Krismas besar yang pernah menghiasi bandar itu selama beberapa dekad.
The Square of the Unknown Soldier yang dahulunya meriah dengan sambutan perayaan, kini musnah menjadi runtuhan akibat serangan udara berterusan Israel.
Di tengah-tengah kehancuran itu, sebahagian penduduk mencari ketenangan walaupun pertempuran terus berlaku di sepanjang di kawasan pesisiran pantai berkenaan.
Salah seorang penganut Kristian, George al-Sayegh, menyifatkan sambutan Krismas tahun ini 'dipenuhi' dengan kematian dan kemusnahan.
Beliau berlindung di Gereja Saint Porphyrius Greek Orthodox yang berusia 12 abad itu sejak beberapa minggu lalu.
"Tiada kegembiraan, tiada semangat perayaan, bahkan kami tidak tahu siapa yang akan selamat sehingga perayaan berikutnya," katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sebahagian daripada gereja itu sendiri musnah dalam serangan udara Israel pada Oktober tahun lalu, yang mengorbankan 18 penganut Kristian Palestin.
Kira-kira 1,100 penganut Kristian tinggal di Gaza, sebuah komuniti kecil yang turut menjadi mangsa peperangan sejak 7 Oktober tahun lalu apabila pertempuran antara Israel dan Palestin tercetus.
Menurut agensi pertahanan awam wilayah itu, serangan udara terbaharu Israel, termasuk yang mengorbankan beberapa kanak-kanak, menerima kritikan keras daripada Paus Francis.
"Dengan rasa sedih, saya teringatkan Gaza, kekejaman yang begitu meluas, kanak-kanak yang ditembak, pengeboman sekolah dan hospital. Begitu kejam," katanya.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, bagaimanapun mengkritik kenyataan Paus itu.
Namun, kesedihan jelas terlihat di Gaza. Bagi penduduk Bandar Gaza, Kamal Jamil Caesar Anton, musim perayaan Krismas kali ini dicemari dengan kesedihan yang mendalam.
Beliau berkata, isterinya Nahida dan anak perempuannya Samar terbunuh akibat serangan tembakan Israel dalam kawasan Gereja Holy Family, Disember lalu.
"Kami berdoa untuk keamanan, supaya peperangan berakhir dan rakyat dapat hidup dengan selamat," katanya.
Perasaan itu turut disuarakan salah seorang penduduk Ramez al-Souri, yang mengalami tragedi pahit semasa serangan udara ke atas Gereja Saint Porphyrius.
Beliau berkata, tiga anaknya termasuk dalam kalangan mangsa yang terbunuh melalui serangan itu.
"Kami masih menderita. Kami tidak menyambut perayaan tahun lalu kerana kehancuran.
"Tahun ini, kami berharap peperangan berakhir, tetapi setiap hari kami kehilangan orang tersayang," katanya.
Ketua komuniti Kristian tempatan, George Anton, pula berharap pihak yang bertelagah segera menamatkan pertempuran.
"Kami merayu semua pihak supaya menghentikan peperangan dan mencari jalan sebenar menuju keamanan," katanya. - AFP
KITA BERSAMA
GAZA
AMIN
SEDIH HATI
MEMBACA
SEDIH LAGI
YANG TERIMA
BALA
AMIN
KHALAS
PETANG INI
PETANG INI
PETANG KRISMAS
JAM 5.30 PETANG
HUJAN LEBAT DARI JAM 5
MUNGKIN ADA BANJIR KILAT
DI KUALA LUMPUR
TAK TAK DAN EZI
MENUNGGU MASA
NAK TURUN BERJALAN
ENTAH BILA
UJAN AKAN BERHENTI ?
BERLAKU ZALIM UNTUK TERUS BERKUASA
BERLAKU ZALIM
UNTUK TERUS
BERKUASA
KHALAS
Unknown commented on
"ADA CERITA
DI BELAKANG BERITA"
Seluruh rakyat tahu, seluruh negara ketahui siapa kluster mahkamah, siapa penyangak siapa pencuri siapa perompak, tetapi ada kelas berbeza hukum beza layanan beza penjara special maka semua berbeza mengikut kelas manusia, darjat tidak sama di mata keadilan, semua ini kerana hasrat berkuasa hasrat sedap duduk kerusi inilah nafsu manusia, amar maakruf nahi mungkar tidak penting lagi,
apa saja bisa dilakukan untuk berkuasa, walaupun bebaskan seluruh penjara kah kah kah, kalau orang biasa digari ditarik macam anjing, ditayangkan depan media dengan penuh kuasa angkuh ketika sekarang, tetapi tak apa semuanya menjadi tayangan sempena bangsa agama negara, dasar polisi penjajah akan terus digunakan, menekankan minoriti mendewakan majoriti kerana undi amat penting untuk berkuasa,
bijak pandai lari keluar, yang masuk warganegara asing berjuta-juta aliran wang keluar semakin ketara kah kah kah, kalau warganegara asing tiada negara akan bungkus kerana kita sibuk konvoi-konvoi motorsikal kah kah kah selamat maju jaya segalanya
MAULUD NABI ISA
MAULUD NABI ISA
Saya menulis tulisan ini di ambang Maulud Rasul Nabi Isa. Atau di kenali seluruh dunia sebagai Hari Krismas. Saya amat gembira bila terbaca kenyataan Mufti Pulau Pinang yang tidak melarang Bani Melayu penganut Islam untuk sesama menyambut perayaan Hari Krismas. Amin
Saban tahun bila ada perayaan Deepavali, atau sambutan Tahun Baru China ada saja para Agamawan yang melarang itu dan ini. Tak boleh ucap selamat. Tak boleh sama merayakan nanti rosak akidah.
Ustad YouTube juga akan heboh mengingatkan dan melarang orang Melayu untuk bersama merayakan hari kebesaran lain agama.
Saya sendiri tidak ambil pot atas larangan apa pun. Perjalanan hidup saya tidak berlandaskan pandangan atau ajaran sesiapa pun. Jauh sekali ajaran Ustad YouTube.
Sebagai penganut Islam Budaya saya merayakan semua hari kebesaran agama apa pun. Malah saya merasa bangga dapat merayakan semua perayaan agama kerana negara kita yang memiliki banyak agama dan kepercayaan.
Saya berani memberi tahu disini bahawa bukan semua negara dalam dunia ini sama seperti Malaysia. Malah di Malaysia hari-hari kebesaran agama yang bukan Islam pun dirayakan dengan ada cuti umum. Deepavali kita cuti. Hari Wesak kita cuti. Tahun baru China kita cuti. Hari Krismas kita cuti. Amin
Hari Krismas 25 Disember ini ialah hari kelahiran Nabi Isa. Ertinya hari Maulud Nabi Isa.
Bila hari Maulud Nabi Isa sampai maka saya pasti teringat pada satu kesah. Kesah saya dan kawan-kawan yang ditahan di Kamunting di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).
Kesah ini berlaku pada malam Maulud Nabi Isa tahun 2003. Pada ketika itu Tim Reformasi – Tian Chua, Saari Sungip, Lokman Adam , Badrul Amin dan saya tinggal dalam Blok Dua B Kem Tahanan Kamunting Taiping. Awalnya pada 10 April 2001 kami berenam di tahan di Kamunting tetapi Ezam Mat Nor ada kes lain maka dia telah di hantar ke penjara Kajang. Tinggal kami berlima.
Tahun 2003 adalah zaman Nokia mendominasi talipon bimbit. Dalam bilik kami ada talipon bimbit jenis Nokia di tangan Lokman dan Badrul Amin. Bagaimana talipon ini masuk satu kesah yang lain.
Ketika dalam tahanan saya tidak ada talipon. Saya tidak berhubung dengan sesiapa pun. Kaum keluarga dari Jelebu agak jauh nak datang. Jarang saya ada pelawat. Yang datang kawan-kawan dari Universiti Bangsar Utama. Mereka semua klim sepupu sepepat dengan saya justeru dibenarkan melawat.
Tentang talipon bimbit ini saya agak lembam. Malah lepas keluar dari Kamunting pun saya tidak memiliki Nokia. Saya ini generasi Gatek – Gagap Teknologi. Saya menolak teknologi yang saya anggap akan mengganggu rutin harian saya.
Seingat saya pada tahun pertama di Kamunting tidak ada Nokia dalam Blok kami. Bila masuk tahun ke dua Nokia sampai. Saya faham keinginan Lokman, Badrul dan Saari untuk berhubung dengan Sang Isteri dan anak-anak. Saya dan Tian yang masih solo tidak merasa tertekan seperti yang lain.
Pada petang Rabu 24 Disember 2003 jam telah melintasi 9 malam. Pintu bilik dan pintu Blok telah dikunci. Semua senyap. Kami menjalankan rutin harian kami. Duduk di katil masing-masing membaca.
Ruang depan ada meja makan , ada kawasan berjemaah dan ada TV. Saya tidak meminati TV. Dari zaman berzaman hingga hari ini saya tidak memiliki peti TV.
Bilik kami sebesar dua bilik darjah untuk lima sosok. Amat lumayan. Kami tidak berasak-asak seperti tahanan Al-Maunah atau Kumpulan Mujahidin Malaysia.
Tertiba hampir jam 11 malam saya terdengar deringan kunci dari pintu Blok. Pintu kayu dan zink ini berbunyi bila hendak dibuka. Muncul satu kumpulan enam Cik Gu datang masuk ke hadapan pintu bilik kami. Mereka bukan Cik Gu yang biasa dengan kami. Mereka ini pegawai keselamatan penjara.
Cik Gu adalah terminologi untuk wadar pengawal penjara. Perkataan ini diguna pakai di seluruh penjara di Malaysia. Saya rasa yang memperkenalkan istilah Cik Gu ini pastilah anak muda yang selalu di tahan di Pusat Serenti.
Cik Gu yang mengawal kami menghampiri pintu bilik kami. Yang lain muka yang tidak kami kenali. Kami semua bangun datang ke hadapan pintu.
‘ Pemeriksaan... spot check ...nak periksa bilik...’ Suara kedengaran.
Atau mereka merasa curiga dan syak bahawa kami di Blok Dua B ada Nokia.
‘ Woit... tak tahu ke malam ini malam apa.... malam ini malam suci... nak periksa carilah malam lain... malam ini malam Krismas....’ Ini ayat dari Hishamuddin Rais.
Para Cik Gu memandang dan cuba meredah masuk.
‘ Malam ini malam Maulud Nabi Isa... tak tahu ke... malam kudus... malam suci... malam ini semua orang sembahyang....’ Saya bersuara lagi.
‘ Cik Gu... tak ingat ke ... di Baitul Mukaddis...di Juruselam ... Nabi Isa lahir malam ini... satu dunia sambut... nak periksa datanglaaa hari lain...carilaaa hari lain...’ Saya menguatkan hujah.
‘ Esok Krismas...’ Tian bersuara.
‘ Krismas... esok kem cuti...Cik Gu pun cuti sama ’ Badrul bersuara.
‘Lokman dan Saari tegak berdiri. Saya rasa mereka telah sedar kenapa para Cik Gu ini sampai. Saya memandang muka Lokman dengan harapan Nokia telah selamat.
Lalu saya terfikir Nokia ini hendak disorokkan ke mana? Dalam bilik mandi ? Dalam tandas? Dalam hal ini saya tidak tahu menahu. Hal menyorokkan Nokia ini pasti Lokman bijak.
Para Cik Gu masih gagal masuk ke bilik kami. Tian dan Saari berdiri di tengah laluan pintu menghalang. Badrul Amin dan Lokman di belakang mereka. Saya berdiri di belakang Tian. Kami semua menghalang Cik Gu masuk.
‘ Datanglaa hari lain.... bukan malam ini... malam Krismas...’ Ini suara Badrul Amin. Ini suara sosok seorang Agamawan. Bukan macam suara saya suara sosok sekular yang liberal.
Saya menggunakan istilah Maulud Nabi ini untuk memberi ingatan kepada sesiapa saja yang mengaku penganut Islam – terutama pada Cik Gu pada malam itu – untuk sedar bahawa Nabi Isa itu adalah juga Nabi yang kita percayai. Justeru kita sambut malam kelahiran beliau.
Dari apa yang saya baca Nabi Isa adalah diantara 25 Nabi yang wajib umat Islam kenali.
Saya masih ingat lagi Tian Chua telah dibekalkan Kitab Injil dari kawan-kawan. Malah saya sempat membaca beberapa juzuk Kitab Injil yang saya pinjam dari Tian Chua. Dari bacaan Kitab ini saya faham akan malam kudus – malam ambang Krismas.
Malam kudus ini juga mengingatkan diri saya ketika berkelana di Eropah. Saya teringat akan Gereja Katolik besar di tengah pekan Wavre tempat saya tinggal di Belgium. Gereja besar ini tidak sampai dua ratus meter dari flet saya.
Saya teringat kembali sebuah pementasan pendek kesah kelahiran Nabi Isa yang di pentaskan dalam ruang kedai di hadapan flet saya di Wavre. Saya di pelawa menuntun teater Malam Kudus ini oleh kawan Mat Salleh Belgium yang tinggal di sebelah bilik saya.
Pementasan ini diadakan dalam ruang kedai kerana mereka ini dari mazhab Protestan dan bukan Katolik anutan resmi Belgium.
Para Cik Gu berpandangan sesama sendiri. Saya tidak tahu siapa kepala mereka. Mereka ini bukan Cik Gu biasa yang menjaga kami. Mereka ini Pegawai Khas untuk penjara Kamunting. Kalau dalam PDRM mereka ini adalah pegawai FRU.
Tertiba mereka berpusing dan menghala ke pintu besar. Pintu bilik kami mereka tinggalkan. Cik Gu yang menjaga kami malam itu tersenyum. Mereka terus keluar dan hilang dari pandangan.
Kami tersenyum gembira. Nokia Blok 2 B selamat. Ketegangan 20 minit selesai.
Untuk saya kesah ini akan terus menjadi kenangan. Malam Maulud Nabi Isa di Kem Kamunting tidak akan saya lupakan. Setiap kali menjelang Krismas saya akan teringat kesah ini.
Saya tidak ada isteri. Tidak ada anak. Tidak ada cucu. Cerita Maulud Nabi ini saya wakafkan untuk sesiapa saja yang ingin merayakan Hari Krismas.
Selamat menyambut Hari Krismas untuk semua. Selamat sampai tahun 2025. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/729833
KENA PAU DI JAKARTA
Polis Indonesia sahkan 45 rakyat Malaysia didakwa diperas ugut di konsert Jakarta DWP
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia melaporkan bahawa 45 warga Malaysia menjadi mangsa dakwaan peras ugut anggota polis semasa konsert Projek Gudang Djakarta (DWP).
Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan (Propam) Polis Negara, Inspektor Jeneral Abdul Karim menyatakan bahawa bukti yang dirampas bernilai IDR 2.5 bilion (RM718,068).
"Dua aduan rasmi difailkan oleh warga Malaysia," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Metro TV, sambil menambah bahawa identiti mereka akan dilindungi sepanjang siasatan.
Tegasnya, kes itu dipantau rapi oleh badan luar seperti Suruhanjaya Polis Negara (Kompolnas) bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam siasatan.
"Kami, kepimpinan Polis Negara, serius untuk menangani sebarang bentuk pelanggaran yang dilakukan oleh pegawai polis kami dan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja, tanpa mengira siapa mangsa, " tambahnya.
Pada Sabtu lalu, polis Indonesia menahan 18 anggotanya kerana didakwa memeras ugut warga Malaysia pada konsert DWP selama tiga hari di Kemayoran, Jakarta Utara, yang berakhir pada 15 Disember lalu.
Susulan penahanan itu, Menteri Pelancongan Indonesia, Widiyanti Putri Wardhana memuji polis atas tindakan pantas mereka menyiasat dakwaan peras ugut pelancong semasa konsert itu.
Kementerian menyelaraskan dengan penganjur acara dan polis untuk menangani isu itu sejak kebimbangan pelancong didedahkan kepada umum.
"Kementerian Pelancongan memohon maaf atas kesulitan dan kesan yang disebabkan oleh kejadian ini," katanya.
POLIS PAU
MAT INDON
DI KL
AMIN
DI JAKARTA
KITA PULAK
KENA PAU
AMIN
PAU INI DAH
JADI BUDAYA
NUSANTARA KE?
KAH KAH KAH
AMIN
Langgan:
Catatan (Atom)