Peruntukan RM45 bilion diperlukan untuk bangun semula sistem kesihatan Gaza
GENEVA: Sekurang-kurangnya AS$10 bilion (RM45 billion) diperlukan untuk membangunkan semula sistem kesihatan Gaza yang musnah dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang, menurut penilaian awal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.
"Keperluannya sangat besar," kata Wakil WHO di wilayah Palestin, Rik Peeperkorn, kepada wartawan.
Dengan gencatan senjata yang hampir tercapai, usaha kemanusiaan kini memerlukan peningkatan besar-besaran dalam bantuan ke Gaza yang dilanda perang.
Dalam masa yang sama, penilaian sedang dibuat untuk menentukan tahap keperluan yang amat mendesak.
Peeperkorn menyatakan anggaran awal pasukannya menunjukkan kos untuk membangunkan semula sektor kesihatan saja adalah "melebihi AS$3 bilion (RM13.5 bilion) bagi satu tahun setengah pertama dan sebenarnya mencapai AS$10 bilion (RM45 bilion) untuk tempoh lima hingga tujuh tahun.
"Di Gaza, kita semua tahu tahap kemusnahannya sangat besar. Saya tidak pernah melihatnya berlaku di mana-mana saja dalam hidup saya, seumpama ini" katanya.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pula berkata "kurang daripada separuh hospital di Gaza masih berfungsi."
Beliau menyambut baik pengumuman oleh pihak pengantara bahawa Israel dan Palestin akhirnya mencapai gencatan senjata yang dianggap sebagai "satu berita terbaik."
Beliau menyuarakan harapan bahawa "perjanjian ini menandakan berakhirnya episod paling gelap dalam sejarah hubungan antara Israel dan Palestin."
"Kami menyambut berita ini dengan rasa yang sangat lega, tetapi turut bersedih kerana ia datang terlalu lambat, mengorbankan banyak nyawa dalam konflik ini," katanya.
Beliau turut menyuarakan "langkah berhati-hati memandangkan pernah mengalami harapan palsu sebelum ini, dan perjanjian itu masih belum disahkan."
Walaupun pengantara menyatakan perjanjian itu dijangka berkuat kuasa pada Ahad ini, Tedros menggesa kedua-dua pihak untuk tidak mengambil sikap tunggu dan lihat.
"Jika kedua-dua pihak komited terhadap gencatan senjata, ia seharusnya bermula segera. 'Ubat terbaik' adalah keamanan," katanya.
Peeperkorn menegaskan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersedia untuk "memperluaskan sokongan dengan cepat" di wilayah itu.
"Apa yang sangat penting sekarang adalah menghapuskan halangan keselamatan dan politik yang menghalang penghantaran bantuan ke seluruh Gaza," katanya.
Beliau turut menekankan keperluan akses yang "cepat, tanpa halangan dan selamat" bagi mempercepatkan aliran bantuan ke Gaza.
1 ulasan:
Halamak bro, sama bnyk dgn duit wan em di bi yg hilang tu kan?
Catat Ulasan