Sabtu, 16 Ogos 2014

INI JAWAPAN HUSAM MUSA








TAN SRI KHALID IBRAHIM 

CUKUPLAH 

MEMPERALATKAN PAS

Saya memerhatikan pergolakan Selangor sambil mendisiplinkan diri dengan membisu sekian lama. Diharapkan ia tidak menambahkan kekeruhan sedia ada sekalipun sekian ramai awak-awak telah mengharu birukan lagi keadaan dengan komen-komen yang sesetengahnya tidak bertanggung jawab, bahkan mencederakan nama baik PAS. 

Tikus lebih mudah merosakkan labu kerana menghancurkan lebih mudah dari membina.

Namun begitu, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai seorang insan gentleman dan berakhlak mulia  mesti tahu batas beliau boleh menumpang PAS. Beliau boleh mendapatkan simpati, perlindungan sementara dan sokongan PAS dalam lingkungan semangat Pakatan Rakyat. Presiden PAS telah menghulurkan ranting zaitun untuk beliau. Episod itu telah berlalu.

Perkembangan lain telah berlaku selepas episod itu. Di mana PAS tidak wajar timbul tenggelam bersekali Tan Sri Khalid dan menggorbankan prinsipnya yang lebih besar, nama baiknya, akhlak politik yang dipegangnya dan amanah atas nama Pakatan rakyat yang ia perolehi dari rakyat Selangor.

Tan Sri telah dipecat sebagai ahli PKR. Oleh kerana beliau belum diterima menjadi ahli mana-mana parti gabungan Pakatan Rakyat, ia bukan mewakili PR lagi.

Tan Sri sedar sepenuhnya hal ini?

Kerajaan Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat. Bukan kerajaan Tan Sri  Khalid Ibrahim. 

Bagaimana seorang ADUN bukan anggota PR boleh terus menjadi MB Pakatan Rakyat?

Tan Sri  memecat exconya dari PKR dan DAP. Juga mengambil pelbagai langkah politik lain lagi yang ikut memalitkan PAS tetapi PAS tidak pernah tahu mengenainya.
Tindakan ini boleh memecah belahkan Pakatan kerana seakan menunjukkan PAS terus mendokong MB yang sudah hilang legitimasi.

Ia merosakkan PAS dan Tan Sri tidak berhak berbuat demikian kepada PAS.

Untuk memecat Exco dari PKR dan DAP dan mengekalkan PAS, ia mesti dibincangkan lebih dahulu dengan PAS (Jawatankuasa PAS Pusat) dan mendapat persetujuan gabungan yang lain.

Setahu saya, PAS Pusat tidak pernah bermesyuarat dalam tempoh ini untuk memutuskan kedudukan itu.

Saya selaku salah seorang Naib Presiden tidak pernah dimaklumkan oleh mana-mana pihak tentang hal ini. Setahu saya, PAS Pusat juga tidak pernah memberikan mandat kepada sesiapa untuk memutuskan perkara ini. 

Dengan ini, Tan Sri  telah melibatkan PAS untuk survival Tan Sri sebagai MB dengan cara yang menjejaskan nama baik PAS di mata rakyat Selangor. Ini sangat  tidak wajar.

Bagaimana Tan Sri  boleh kekal sebagai MB dengan tidak melepaskan jawatan secara bermaruah pada hari sama Tan Sri  dipecat sebagai ahli PKR? Sultan menitahkan untuk Tan Sri kekal adalah kebijaksanaan baginda tetapi Tan Sri mempunyai pilihan untuk menolak perkenan itu atas pilihan Tan Sri  sendiri.

Apa lagi bertindak seakan Tan Sri  masih berkuasa penuh pada hal asas legitimasi Tan Sri  sudah runtuh. Untuk kekal sebagai MB, Tan Sri tidak boleh mencaturkan 15 ADUN PAS untuk menggenapkan cukup bilang bagi pembentukan kerajaan Selangor PAS + UMNO + TSKI + lompat parti DAP/PKR.

Itu sangat tidak bermoral. Itu meniru gaya UMNO di Perak. Perbuatan tersebut amat terkutuk dan ditolak oleh amalan demokrasi yang mulia. Memasukkan perkongsian kuasa PAS dan UMNO melanggar banyak prinsip yang dipegang oleh PAS selama ini.
UMNO adalah lawan PAS dan tidak ada mana-mana kuasa dalam PAS boleh mengizinkan PAS berkongsi kuasa dengan UMNO tanpa melalui kelulusan Muktamar Agung PAS.

Ia tidak mungkin dilakukan dalam jangka masa Tan Sri membilang jumlah ADUN untuk mengekalkan Tan Sri sebagai MB sekarang. Tan Sri sudah tidak mempunyai cukup bilang sekarang.

Jika itu dilakukan oleh PAS, bermakna PAS menerima hubungan 'sodomy'. 15 ADUN PAS dipilih oleh rakyat Selangor atas tiket kerja sama Pakatan Rakyat. UMNO ditolak oleh majoriti rakyat Selangor kecuali di 13 dun. Kedudukan UMNO adalah sebagai pembangkang dan PAS adalah sebahagian dari Kerajaan Selangor.

Membawa UMNO dari pembangkang dan duduk sebagai kerajaan bersama PAS dengan menolak dua lagi parti gabungan yang telah dipilih secara sah oleh rakyat adalah perbuatan terkutuk yang tidak dizinkan oleh Islam.

Islam tidak mengizinkan pengkhianatan. Islam tidak mengizinkan pecah amanah. Dalam hal ini, amanah majoriti pengundi Selangor memilih Pakatan sebagai kerajaan dan menolak UMNO.

Tan Sri sebagai tokoh korporat yang biasa dengan angka tentu tahu, sekalipun 15 ADUN PAS  campur 12 ADUN UMNO dan turut campur Tan Sri, ia hanya berjumlah 28 ADUN dari 56 jumlah ADUN.

50:50. Ia tidak membolehkan Tan Sri mendapat simple majority dari awal, sekalipun jika PAS dan UMNO sanggup bersekongkol untuk mendaulatkan seorang insan bernama Khalid Ibrahim lebih dari segala-galanya.

Sementalah PAS  dan UMNO kedua-duanya, secara pendirian parti yang rasmi, tidak pernah memberikan persetujuan itu sehingga hari ini. Hari Jumaat yang mulia - 15 Ogos 2014 - hari ini.

Jika Tan Sri mengharapkan YB Rodziah dan YB Teng yang disebut-sebut kononnya akan bersama Tan Sri sehingga Tan Sri melewatkan pemecatan YB Rodziah berbanding yang lain, namun mereka telah mengambil pendirian insan bermaruah dan pendekar terbilang kerana kekal bersama parti masing-masing.

Syabas! Saya amat bangga dengan mereka dan ia telah memberikan hiburan bagi hati yang gundah di tengah kecenderungan menggunakan 'jual beli kuda taruhan'.

Kentalnya YB Rodziah menolak tawaran kekal dalam Exco sekalipun berkereta besar dan bergaji lumayan adalah  satu tamparan yang patut menyedarkan Tan Sri pada saat itu juga.

Legitimasi Tan Sri sebagai MB sudah berakhir. 

Harapan mendapatkan sekurang-kurangnya seorang ADUN untuk mendapatkan simple majority sudah tertutup. Apa lagi bila dua ADUN PAS mengambil langkah bersendiri mereka menolak Tan Sri sebagai MB secara terbuka.

Sekalipun jika jarum jam boleh berpatah ke belakang, saya akan menasihatkan mereka untuk terlebih dahulu mendapat restu parti. Itu yang terbaik.

Tetapi  tindakan mereka telah meletakkan usaha pihak mana jua untuk mewujudkan sebuah kerajaan gabungan PAS+UMNO+TSKI+lompat gagal dan mustahil.

Tan Sri  tahu ini. 

Lantas, apa lagi yang ditunggu?

Tidakkah mulia untuk Tan Sri bermaruah melepaskan jawatan MB?

Atau Tan Sri  kini berfikir untuk membubarkan DUN?

Bukankah tindakan itu akan menyusahkan Tuanku Sultan Selangor?

Kenapa tidak pada tarikh Tan Sri mengadap Sultan Selangor baru ini Tan Sri mencadangkan DUN di bubarkan?

Jika kerana Tan Sri  gagal mendapatkan cukup bilang Sultan Selangor mengambil langkah membubarkan DUN, ia pada hemat saya, akan mencemarkan istitusi diraja.

Model Perak di mana tokoh yang mendapat sokongan majoriti dilantik tanpa  pembubaran DUN dan tanpa sidang DUN hendaklah menjadi cermin. 

PAS telah mengalami pengalaman yang pahit bila MB Kelantan yang dilantik atas tiket PAS dan hendak ditukar oleh PAS, antara lain bukan kerana kesalahan jenayah rasuah tetapi semata-mata kerana gagal mengikut semangat dan arahan parti, telah mencetuskan krisis disebabkan  UMNO melanggar konvensyen urusan parti lain tidak boleh dicampuri oleh parti gabungan yang lain.

Malangnya UMNO melanggar konvensyen itu. Lama PAS mengutuk tindakan jahat UMNO. Dari dulu hingga kini. Ia tercatat dalam dokumen rasmi PAS, ucapan pemimpinnya dan tesis para mahasiswa.

Oleh itu, TAN SRI harus tidak mengheret PAS dalam krisis TAN SRI. Parti TAN SRI berhak menukar TAN SRI dengan calon lain.

PAS boleh memberikan pandangan tetapi harus akur prerogative itu adalah hak PKR.

Itulah yang berlaku di Kedah semasa ada pandangan YAB Ustaz Azizan wajar ditukar sebagai MB.

PKR tidak menjamah urusan itu.

Jika Tan Sri berterusan mengheret PAS, seakan TAN SRI mahu PAS dilihat melanggar konvensyen yang ia telah junjung sejak ia kehilangan kuasa di Kelantan 1978. 

Jika budi PAS yang telah menunjukkan setia kawan bersama TAN SRI dihargai, janganlah PAS diseret lebih jauh.

Meletakkan jawatan adalah langkah terhormat. Ia bukan akhir sebuah karier politik.

Namun, bertindak secara tidak bermaruah itulah sebenarnya akhir sebuah karier politik. Dan hitamnya rekod kehidupan.

Pada hari Jumaat yang berkat ini, kita memohon panduan Allah swt.


Husam Musa
Naib Presiden PAS
15 Ogos 2014.






-----------

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sultan tunggu apa lagi.....
Kavita la cepat.....
Wawi dok tunggu....
Kah....kah...kah

din ayam berkata...

"husam ni naib presiden pas, tak sama taraf dgn MB. kenyataan naib presiden tu hanya pendapat peribadi beliau, bukan keputusan parti."

(sekiranya terus diasak)

"tidak! tidak! tidak! kami hanya WALA' pada presiden parti, kami akan respons selepas mesyuarat parti esok"

haaa! ni aku dah sediakan skrip kalau ada lebai lebai bangang yg nak respon pada kenyataan husam.

DIDI KOTA BELUD berkata...

Pas ok...cuma yang tak selari dengan zaman....nuhhhhhh......hadi nelayan....lama berpolitik tak menjadikqn orang itu bujaksana bijaksini....kadwng kadang ssmakin tua orang akan menjadi semakin bodoh...jangan berkhayal tentang wisemen disini...hadi berkaliber cuma sebagai bapa mertua....tengok muka hadi pun aku menyampah...dia ulamak dia punya hal...banyak lagi ulamak betul di alam maya ni.....ikat orang dengan sumpah...mcm perkida buat masa qmbik ahlu...last last jaga bapa ayam yang beri sember ekonomi....malang bagi hadi...kerana kawan dia sanggup bunuh kawan yang lain.....tolaklah hadi tu.....VALUATION dia kureeeeng....ini kalau nak memvalue value ni...boleh bangkrap dibuatnya.......dia beragama dia punya hallah.....ini milinieum....semua benda harus laju dan tepat.......kesian pae...ada ketua taraf nelayan je....NELAYAN...mana pemborong bayar lebih disitulah ikan ikan dilonggokkan...ini realiti....itulah hadi ganu........kesian....tak maksum....berangan maksum...jauh pelir dari pukilah hadi oiiiiiiiii....

Saiful berkata...

Salut...terang..clear..claro..pemimpin yg terang berfikir...dan blh mengolah dan berkomunikasi..tak ada dr pun tak apa..ciri yg patut di belajari oleh kita semua..tulisan yg jelas..bkn mcm aspan..dll yg rasa dah pandai..spt mana sy suka mendengar obama
.dsai berhujah..husam jugak adalah penceramah yg sgt tunggukan..berkomunikasi dgn baik amatlahnptg..anak2 seko perlu didedahkan..salum sdr husam


.

Rakyat Selangor berkata...

Pas tetap bersama Pakatan Rakyat. Tapi ini tidak bermakna semua keputusan yang diambil oleh PKR dan DAP harus dipersetujui oleh PAS.

Dahulu, apabila Selangor dimenangi oleh Gabungan Pakatan Rakyat, melalui perbincangan, PAS dan DAP bersetuju memberi laluan kepada PKR bagi mengisi jawatan menteri besar Selangor.

PKR mencalonkan Khalid, dan Azmin sebagai calon. Lalu PAS dan DAP bersetuju memilih Khalid. Khalid dinobatkan sebagai menteri besar walaupun Azmin lebih tinggi pangkatnya dalam PKR.

Dengan ini, kita faham bahawa urusan membabitkan jawatan menteri besar Selangor adalah URUSAN BERSAMA dan perlu melalui perbincangan bersama ketiga-tiga parti dalam menentukannya.

Apabila PKR mahu menukar MB Selangor, pernahkah mereka bermesyuarat terlebih dahulu meminta pandangan PAS???

Tidak, tiba-tiba adun Kajang meletakkan jawatan, kerusi dun dikosongkan untuk memberi laluan kepada Anwar. Pernah minta pandangan PAS sebelum bertindak???

Apabila Anwar tak dapat bertanding, diganti dengan Wan Azizah, rasanya kalau Wan Azizah tak dapat bertanding akan diganti dengan Nurul Izzah. Nepotisma yang mengalahkan UMNO.

Apabila PAS tidak bersetuju dengan langkah Kajang tersebut, PAS dituduh dengan pelbagai tuduhan. Mengkhianati Pakatan Rakyatlah, ada puak UGlah, bla bla bla. PAS sahaja yang bersalah, PKR???

Apabila Wan Azizah memenangi pilihan raya dun Kajang, beliau terus dinamakan oleh PKR sebagai bakal Menteri Besar Selangor yang baru tanpa sebarang mesyuarat bersama dengan PAS dan DAP.

Apabila PAS tidak bersetuju dengan Wan Azizah dan menyatakan bahawa Tan Sri Khalid tidak perlu ditukar buat masa sekarang, PAS kembali dituduh dengan pelbagai tuduhan. Mengkhianati Pakatan Rakyatlah, ada puak UGlah, bla bla bla.

Melihatkan PAS terus memberikan sokongan kepada Khalid, PKR memecat Khalid daripada partinya. Hal ini sebenarnya bukan untuk menghukum Khalid, tetapi untuk memaksa PAS agar tunduk menerima Wan Azizah.

Apabila PAS tetap berkeras menyokong Khalid dan tidak menerima Wan Azizah sebagai menteri besar, PAS kembali dituduh dengan pelbagai tuduhan. Mengkhianati Pakatan Rakyatlah, ada puak UGlah, bla bla bla.

Tindakan PKR menjadikan jawatan Menteri Besar itu seperti miliknya secara mutlak sesuka hati tanpa berbincang terlebih dahulu tidak dianggap sebagai kesalahan.

Tindakan PKR mengumumkan siapa yang akan menjawat jawatan tersebut sesuka hati tanpa berbincang terlebih dahulu juga tidak dianggap sebagai kesalahan.

Yang salahnya semua PAS. Apa salah PAS? PAS bersalah kerana tidak bersetuju dengan tindakan PKR. Kerana apabila menyertai Pakatan Rakyat, PAS tidak boleh ada pendirian sendiri, PAS perlu mengikut telunjuk PKR dan DAP.

Kalau semua keputusan yang diambil oleh PKR atau DAP perlu dipersetujui oleh PAS, maka tepatlah apa yang dimomokkan oleh UMNO kepada rakyat bahawa PAS hanyalah kuda tunggangan PKR dan DAP.

Lebih elok sekiranya PAS membubarkan sahaja parti PAS dan menyertai PKR atau DAP kalau semua keputusan mereka perlu dipatuhi oleh PAS.

Kalau berlakunya pilihan raya semula di Selangor, saya sebagai pengundi di Selangor tidak akan turun mengundi. Biarlah sesiapa pun yang menang. Rakyat Selangor tetap rugi!