Selasa, 21 Mei 2024

ANWAR IBRAHIM & BLACKROCK


Lebih banyak persoalan timbul mengenai kemasukan firma milik BlackRock ke Malaysia

Langkah kerajaan Malaysia membawa masuk syarikat dimiliki firma kontroversi BlackRock untuk mengambil bahagian dalam pengurusan lapangan terbang merupakan kali pertama berlaku di rantau Asia, kata seorang pakar sektor penerbangan tempatan, di sebalik kecaman pelbagai pihak terhadap penglibatan syarikat yang berdepan tuduhan jenayah perang itu.

Penganalisis penerbangan Shukor Yusof berkata Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat pengurusan lapangan terbang yang awal tahun ini diambil alih sepenuhnya oleh BlackRock yang dikecam atas penglibatannya dalam jenayah perang Israel, ketika ini terlibat dalam pengurusan dan pemilikan beberapa lapangan terbang di United Kingdom antaranya Gatwick, London City dan Edinburgh, dan Lapangan Terbang Sydney di Australia. 

Shukor berkata beliau tidak melihat nilai tambah yang ditawarkan dengan penyertaan GIP dalam dalam penstrukturan semula Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), syarikat berkait kerajaan yang dipertanggungjawabkan mengurus 39 lapangan terbang seluruh negara.

"Mungkin GIP fikir MAHB dapat mengisi portfolio mereka di rantau ini dan MAHB pula perlukan banyak wang untuk meningkatkan prestasi KLIA," kata Shukor merujuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang merupakan antara aset yang bakal diuruskan sebuah konsortium baru yang disokong Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Di bawah rancangan itu, dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menjadi sebahagian daripada konsortium yang mengambil alih MAHB, di samping GIP yang akan memiliki 30% kepentingan.

Ia mengundang kecaman disebabkan kaitan langsung GIP dengan BlackRock, syarikat yang menjadi sasaran protest anti-Israel yang menyenaraikan pelbagai penglibatan firma itu dalam memperkasakan ekonomi dan industri ketenteraan Israel.

Minggu lalu, lebih 20 pertubuhan sivil tempatan memberi amaran  kepada Putrajaya untuk membatalkan tawaran GIP itu, sambil mengingatkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim bahawa slogannya menyokong Palestin akan hanya tinggal cakap-cakap kosong sekiranya meneruskan rancangan tersebut.

Bagaimanapun, Anwar mempertahankan keputusan itu, dan mendakwa pemimpin pembangkang cuba "menghasut".

"Tiada yang positif daripada dia (pembangkang), hanya menghasut penuh dengan kebencian dan dengki," perdana menteri dilaporkan berkata.

Shukor yang mengasaskan Endau Analytics, syarikat yang antara lain menawarkan khidmat konsultasi sektor penerbangan dan pengurusan lapangan terbang, berkata ada sesuatu yang tidak kena dengan perkembangan itu. 

"Kerana dari sudut perniagaan, lapangan terbang di Malaysia sukar untuk bersaing dengan Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan lain-lain. Jadi apa matlamatnya?" tanya beliau, yang berkata lapangan terbang lain lebih berpotensi menguntungkan GIP.

Seorang ahli politik Umno menyifatkan langkah itu "membuka peluang" kepada Amerika Syarikat untuk mengawal Selat Melaka melalui udara.

"Bukan itu sahaja, semua lapangan terbang kendalian MAHB di seluruh negara akan dikongsi bersama dengan GIP. Ianya amat berbahaya kepada kawalan keselamatan negara," kata Mustapha Yaakub, setiausaha Veteran Umno.

Penganalisis Azmi Hassan berkata penglibatan GIP mencetuskan dua kebimbangan utama.

"Pertama, isu kawalan lapangan terbang yang juga pintu masuk negara. Memberi kuasa kepada syarikat luar untuk menguruskan kawalan masuk memang sensitif.

"Keduanya, pembabitkan syarikat BlackRock dalam pembuat senjata Lockheed Martin yang membekalkan senjata kepada Israel untuk digunakan dalam perang di Gaza," katanya.

Azmi berkata MAHB dengan pengalaman menguruskan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Turki mempunyai kepakaran tempatan dan tidak memerlukan GIP.

Sementara itu, Shukor berkata langkah penswastaan MAHB menimbulkan kesukaran kepada syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines.

Ini kerana katanya, syarikat seperti GIP tidak ada kepentingan dalam nation building atau keperluan rakyat Malaysia, dan hanya akan terarah kepada keuntungan semata-mata.

Beliau turut memberi amaran mengenai kenaikan kos yang akan ditanggung syarikat penerbangan dan disalurkan kepada penumpang.

"Apa-apa pun, bagi saya perkara yang paling penting ialah sama ada lapangan terbang boleh memberikan perkhidmatan yang diperlukan syarikat penerbangan. Tanpa syarikat penerbangan, lapangan terbang tidak mempunyai perniagaan," tambahnya.

Shukor berkata penurunan prestasi KLIA akhir-akhir nini, termasuk dalam ranking Skytrax yang meletakkannya pada tangga 67, dipengaruhi oleh polisi dan sokongan kerajaan.

"Banyak perubahan berlaku dalam negara dan di peringkat antarabangsa, dalam tempoh 20 tahun sejak KLIA dibina," kata Shukor, merujuk kepada lapangan terbang terbesar negara itu yang dibuka pada 1998 selepas pembinaan yang mendapat perhatian rapi perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

KLIA sebelum ini beberapa kali dinobatkan sebagai antara 10 lapangan terbang terbaik di dunia menurut Skytrax, firma berpengkalan di UK yang membuat penilaian mengenai lapangan terbang.

Isu melibatkan GIP milik BlackRock itu timbul ketika apa yang dilihat sebagai peralihan sikap tegas Putrajaya yang selama ini menolak sebarang urusan berkait Israel.

BlackRock terlibat dalam memperkasakan jentera perang Israel, dan ibu pejabatnya di New York menjadi sasaran penunjuk perasaan pro-Palestin yang menuduh syarikat itu mengaut keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai.

Protes yang masih berterusan di puluhan universiti AS turut menyasarkan BlackRock, di mana pelajar menuntut universiti mereka menghentikan semua urusan dengan syarikat itu kerana peranannya memperkasakan kekuatan tentera Israel yang setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 30,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dalam operasi pengeboman di Gaza.

Antara syarikat yang dilabur BlackRock termasuk Lockheed Martin, di mana ia memegang 7.4% kepentingan.

Lockheed Martin, kontraktor pertahanan yang berpangkalan di AS dengan pelaburan berbilion dolar dalam industri pertahanan dan aeroangkasa Israel, baru-baru ini menjadi sasaran penunjuk perasaan di Kuala Lumpur yang membantah kehadirannya dalam pameran  Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara Asia (Natsec) yang dianjurkan Kementerian Pertahanan awal bulan ini.

ANWAR KATA

SOKONG PALESTIN

AMIN

TAPI KENAPA

BERI SYARIKAT

ZIONIS AMBIL

ALIH HARTA

NEGARA

AMIN

ADA JANJI

APA APA KE ?

JENG JENG JENG

KHALAS

Tiada ulasan: