Aktivis Iran bunuh diri selepas tuntut pembebasan tahanan
PARIS: Aktivis hak asasi manusia hari ini memberi penghormatan kepada seorang aktivis Iran yang membunuh diri beberapa jam selepas memberi amaran akan berbuat demikian sekiranya empat tahanan yang dilihat sebagai tahanan politik tidak dibebaskan.
Kianoosh Sanjari, penentang terhadap pemerintahan di Republik Islam itu, memberi amaran dalam satu mesej di platform X pada semalam bahawa beliau akan membunuh diri jika dua lelaki dan dua wanita terbabit tidak dibebaskan.
Menurut pelbagai aktivis dan organisasi hak asasi manusia, berkata Sanjari kemudiannya nekad membunuh dirinya.
Berita mengenai kematian biasanya disampaikan dengan cepat oleh masyarakat di Iran apabila seseorang meninggal dunia dan turut dikongsi secara meluas di media sosial.
Terdahulu, Sanjari konsisten menuntut pembebasan aktivis veteran Fatemeh Sepehri, Nasreen Shakarami, ibu kepada seorang remaja yang terbunuh dalam protes pada 2022, penyanyi rap, Tomaj Salehi dan aktivis hak sivil, Arsham Rezaei.
"Jika mereka tidak dibebaskan dari penjara menjelang jam 7.00 malam hari ini, Rabu (semalam) dan berita mengenai pembebasan mereka tidak diterbitkan di laman berita kehakiman, saya akan mengakhiri hidup saya sebagai protes terhadap kepimpinan diktator (Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei) dan sekutunya," katanya.
"Tiada siapa yang sepatutnya dipenjarakan kerana menyatakan pendapat mereka. Protes adalah hak setiap rakyat Iran.
"Hidup saya akan berakhir selepas ciapan ini tetapi jangan kita lupa bahawa mati demi cinta kepada kehidupan adalah bukan kematian," katanya.
Bagaimanapun, tiada maklumat jelas bagaimana membunuh dirinya.
Semalam, Sanjari sempat memuat naik satu imej yang kelihatan diambil dari tingkat atas sebuah blok menara di Tehran, menghadap ke jalan raya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan