Selebriti miliki ganja: ‘Polis minta saya ubah kenyataan dalam laporan’ – Isteri
SHAH ALAM — Isteri kepada selebriti yang didakwa miliki ganja mendakwa dia dipaksa oleh salah seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menukar kenyataan yang diberikan dalam laporan berhubung penangkapan suaminya.
Menurutnya, dia terpaksa membuat pendedahan tersebut kerana beranggapan tindakan yang dilakukan pihak berkuasa melanggar etika dalam sesebuah siasatan kes.
“Selepas suami ditangkap, saya dan anak dipanggil untuk berikan kenyataan (bukti) terhadap penemuan ‘barang haram’ tersebut. Saya ceritakan semuanya, perkara betul apa yang jadi ketika itu.
“Tetapi apa yang mengejutkan saya, pada keesokan harinya saya dipanggil semula dan diminta untuk menukar kenyataan yang saya sudah berikan sehari sebelum itu. Saya tidak akan dedahkan nama dia (anggota PDRM terlibat),” katanya ketika siaran langsung di Instagram pada malam Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, PDRM mengesahkan selebriti lelaki ditahan kerana disyaki memiliki ganja di rumahnya di Cyberjaya pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, selebriti itu dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Selebriti itu kini direman selama lima hari bermula 15 hingga 19 Disember dan menurut laporan media, dia bakal berdepan bacaan pertuduhan di Mahkamah Sepang pada 20 Disember.
Mengulas lanjut, wanita berkenaan memaklumkan, ketika diminta berbuat demikian dirinya tidak berfikir panjang dan mematuhi arahan tersebut dengan anggapan demi kebaikan suaminya.
Namun katanya, selepas memikirkan semula tindakan tersebut adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku, dia mengambil keputusan dengan menceritakan hal yang sebenarnya.
“Dia (anggota PDRM) beritahu saya untuk ubah kenyataan dalam laporan sedangkan laporan saya sangat mudah. Saya dalam keadaan (memikirkan) mungkin demi kebaikan suami, maka saya pun ikut apa yang dinasihatkan.
“Saya ikut walaupun cerita sebenarnya sekian-sekian. Kalau fikir balik ikut undang-undang, ia tidak sepatutnya berlaku. Saya rasa semua yang berada dalam ‘live’ saya pun tahu mengenai perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, wanita tersebut turut mendakwa dia dan suami digesa ketika meminta sedikit waktu untuk menukar pakaian sebelum membenarkan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan.
Tambahnya, hasil pemeriksaan kali pertama dalam rumahnya tidak menemukan sebarang bukti seperti laporan yang dilakukan.
“Saya faham itu kerja mereka dan mereka ada maklumkan akan masuk semula untuk tangkap gambar. Tetapi ada pemeriksaan kedua yang dilakukan, kali ini di bahagian stor simpanan.
“Selepas pemeriksaan kali kedua, anggota berjaya menemui barang terlarang tersebut tetapi ketika itu saya dan suami di ruang tamu. Tidak tahu apa yang jadi (di stor) ketika itu,” jelasnya.
Tambahnya, pendedahan tersebut hanya untuk menjelaskan kepada orang ramai bahawa perkara itu tidak seperti yang disangka.
Pada masa sama, dia juga meminta orang ramai untuk mendoakan suaminya untuk mendapat keadilan bagi bacaan pertuduhan di Mahkamah Sepang pada Jumaat.
“Cuma bagi saya kes ini kes yang tak sepatutnya berlaku, ia tidak adil dan (rasa) dianiayai dan untuk suami saya ia sangat melampau. Saya sebagai isterinya saya mahu lawan untuk dia sebab saya tahu dia macam mana.
“Saya harap akan ada berita baik untuk esok bagi pihak suami dan keluarga kami. Saya akan terus kuat dan saya tahu suami pun sama. Saya tak boleh beri kenyataan lebih sebab takut timbul spekulasi lain,” katanya.
Sinar Harian akan mendapatkan keterangan lanjut daripada PDRM berkenaan dakwaan tersebut. – Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan