Korea Utara isytihar strategi 'terkuat' terhadap AS
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, mengadakan mesyuarat penting bagi menetapkan dasar parti pemerintahan negara itu minggu lalu, yang turut mengisytiharkan strategi 'terkuat' terhadap Amerika Syarikat (AS), menjelang tahun baharu, lapor media rasmi KCNA, hari ini.
Strategi tindak balas terkuat terhadap AS diumumkan ketika mesyuarat berkenaan 'demi keselamatan dan kepentingan negara', menurut laporan itu tanpa memberikan butiran lanjut.
Pakatan tiga hala antara Korea Selatan, AS dan Jepun berkembang menjadi satu blok ketenteraan nuklear dan Korea Selatan kini menjadi pos anti-komunisme untuk AS, tambah laporan KCNA itu.
"Hakikat berkenaan jelas menunjukkan arah mana yang perlu kita tuju, apa yang perlu kita lakukan dan bagaimana caranya," menurut laporan berkenaan.
Mesyuarat yang diadakan dari 23 hingga 27 Disember itu juga menilai pengurusan banjir awal tahun ini, termasuk rancangan yang membawa mangsa ke ibu negara, Pyongyang Korea Utara.
Korea Utara turut berikrar untuk mempromosikan hubungan dengan negara-negara 'mesra' ketika mesyuarat berkenaan.
Perhimpunan pegawai parti dan kerajaan itu berlangsung selama beberapa hari dan dilaksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini bagi mengumumkan dasar utama dan rombakan pucuk pimpinan.
Dalam rombakan kali ini, Pyongyang melantik Pak Thae-song, seorang setiausaha parti, sebagai perdana menteri baharu menggantikan Kim Tok-hun. Menteri Luar, Choe Son-hui, turut dilantik sebagai anggota Politbiro yang berpengaruh dalam Jawatankuasa Pusat parti.
Sesi pleno ke-11 Jawatankuasa Pusat ke-8 Parti Pekerja Korea itu menutup tirai tahun ini, yang menyaksikan Presiden Russia, Vladimir Putin, mengadakan sidang kemuncak dengan Jong-un dan menandatangani perjanjian termasuk ikrar pertahanan bersama.
AS dan Korea Selatan mengkritik kerjasama ketenteraan kedua-dua negara terbabit, termasuk penghantaran tentera Korea Utara untuk berperang bagi pihak Russia dalam perang di Ukraine. – REUTERS
1 ulasan:
kata pejuang islam, inilah masanya tunjuk kuat seperti hezbollah, taliban,hamas. Amerika, israel kau tak takut, inikan si pendek gemuk tu? mari angkat senjata, kata ada keris sakti yang boleh terbang melayang, apalah sangat dengan senjata nuklear, kimia dan biologi? takkanlah telur dah kecut? Kah kah kah!
Catat Ulasan