Tingkah laku Anwar di media sosial undang persoalan selepas 'retweet' hantaran X
Tindakan Anwar Ibrahim menghantar semula (retweet) beberapa kiriman X yang diwarnai bahasa kasar seperti mana lazimnya digunakan tentera siber ketika menjawab musuh politik, telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan partinya sendiri, dan menimbulkan persoalan sama ada perdana menteri kini mengambil alih tugas melawan pengkritiknya dengan mengiyakan kiriman berunsur serangan peribadi.
Seorang ahli Parlimen PKR menyifatkan tingkah laku Anwar di platform media sosial itu sebagai "luar biasa", sambil berharap pasukan komunikasi beliau sedar mengenai kesan seorang perdana menteri mengulang hantar kiriman yang mengandungi bahasa tidak sopan.
"Tetapi mungkin ia juga menunjukkan betapa presiden kita dah muak dan kecewa dengan pasukan PR-nya kerana gagal menangkis pengkritik dengan berkesan," kata ahli politik dari negeri selatan itu yang enggan namanya disiarkan.
Tinjauan rambang akaun X milik perdana menteri semalam menunjukkan beberapa hantaran yang menyentuh pelbagai topik dari konflik Gaza, selebriti Hollywood, hantaran yang memuji dirinya sehinggalah ejekan yang disasarkan terhadap pengkritiknya, telah ditweet semula kepada 1.9 juta pengikutnya.
Beberapa retweet dinaikkan Anwar juga didapati ditulis oleh pengulas politik Amerika Syarikat yang menyasarkan rakyat negara itu, termasuk salah satu komen oleh seorang pengkritik tegar Donald Trump ketika memuji pelakon Hollywood Ben Affleck dan Matt Damon kerana menentang bakal presiden AS itu.
Terdapat juga tweet semula yang mengecam pemilik X, Elon Musk, individu yang cuba dipujuk Anwar untuk melabur di Malaysia. Hartawan AS itu akhirnya memutuskan untuk tidak melabur di Malaysia walaupun Putrajaya menawarkan pelbagai insentif kepada syarikatnya Starlink.
"Elon Musk menggantung akaun X milik pengganas dari pasar Krismas di Jerman. Kemudian, akaun itu dipulihkan, tetapi semua sejarah dan kiriman yang menyokong Netanyahu, Israel dan menyerang Islam telah dipadamkan," menurut salah satu catatan ditweet semula oleh Anwar, merujuk kepada serangan yang dilakukan seorang warga Saudi yang pro-Israel yang mengakibatkan lima orang terbunuh dan mencederakan lebih 200 orang.
Apa yang menarik perhatian pemerhati politik ialah Anwar tidak putus-putus menghantar semula kiriman X yang memuji dirinya serta serangan peribadi terhadap pengkritiknya.
"Jika anda letak Ambiga sebagai PM, dan Latheefa Koya sebagai TPM atas tiket Muda, semua pembaharuan akan dilakukan, asas ekonomi Malaysia akan diperkukuh dan mata pencarian rakyat akan bertambah baik dua kali ganda," menurut salah satu daripada catatan X yang dihantar semula Anwar, yang merujuk bekas pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan dan bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya - dua individu yang baru-baru ini membidas Anwar kerana gagal memenuhi janji reformasi.
Malam tadi, Anwar turut menghantar semula kiriman menaikkan animasi tangan membuat isyarat cinta, serta beberapa catatan lain yang menggambarkan beliau sebagai seorang reformis dan pemimpin berjiwa rakyat.
Anwar turut menghantar semula kiriman yang mengutuk PAS dan pemimpin veteran Dr Mahathir Mohamad, yang mengandungi bahasa yang menghina seperti "walaun", label yang kerap digunakan terhadap penyokong parti Islam itu.
Beberapa kali, Anwar dilihat secara rambang mengirim semula jawapan dan ulasan pengguna X, walaupun ada di antaranya sekadar mengandungi emoji.
Tindakan Anwar itu dilakukan ketika pentadbiran kerajaan campurannya sekali lagi berdepan pelbagai kritikan di sebalik beberapa perkembangan sejak minggu lalu.
Ia termasuk pindaan undang-undang yang bertujuan menyekat kritikan dalam talian dan langkah kerajaan untuk tidak merayu keputusan mahkamah membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah berkait isu pengurusan visa.
Perdana menteri baru-baru ini turut dikecam selepas mengakui beliau turut mempunyai peranan dalam pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Sabah yang baharu, walaupun bekas ketua menteri itu mempunyai sejarah didakwa atas beberapa tuduhan rasuah.
Pada masa sama, ramai pengkritik mempersoalkan Anwar kerana enggan mengulas mengenai titah tambahan Yang di-Pertuan Agong supaya Najib Razak menjalankan hukuman penjara sebagai tahanan rumah, iaitu arahan yang dikepilkan bersama pengampunan diraja kepada bekas pemimpin itu.
Sabtu lalu, Anwar sekali lagi menimbulkan kontroversi selepas menyifatkan beberapa pendakwaan kes berprofil tinggi pada 2018 sebagai "pendakwaan tergesa-gesa" dan "politik dendam", beberapa hari selepas keputusan mahkamah membebaskan isteri Najib, Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai melibatkan RM7 juta dalam akaun banknya.
1 ulasan:
mastura mental tak? Kah kah kah!
Catat Ulasan