TAHUN 2026
APA AKAN SAMPAI?
Tahun 2026 dibuka dengan drama penculikan Presiden Maduro dan Isteri di Venezuela. Mereka ditangkap dan di terbangkan dari Caracas ibu kota Venezuela ke New York untuk dibicarakan. Dunia gempar. Warga di Amerika Latin jadi gelisah.
Minggu akhir 2025 nilai Riyal mata wang Iran jatuh mendadak. Para Bazari – peniaga kecil – di Tehran keluar ke jalan raya menunjuk perasan. Para Bazari ini pada tahun 1979 memainkan peranan yang penting berdemo untuk menjatuhkan Shah Ahmad Reza Pahlavi.
Masuk tahun baru 2026 tunjuk perasaan di Iran telah merebak dari Tehran ke kota seperti Mashhad, Shiraz, Isfahan, dan Tabriz. Hujung minggu pertama 2026 tunjuk perasaan bertambah ganas.
Ramai Polis dan penunjuk perasan mati terbunuh. Masjid, hospital dan balai polis di bakar. Penunjuk perasan dilaporku membawa senjata menembak mati polis untuk menimbulkan suasana huru hara.
Di Amerika – di tepi pintu pesawat Air Force One Presiden Trump memberi amaran jika kematian penunjuk perasaan bertambah maka Amerika akan memberi bantuan kepada penunjuk perasaan di Iran.
Beberapa hari kemudian di pintu pesawat yang sama Presiden Trump telah berkata bahawa Amerika akan mengambil alih pulau Greenland dari Denmark. Ini untuk keselamatan Amerika dan dunia.
Venezuela, Iran dan Greenland menjadi bualan dunia untuk minggu pertama 2026. Semuanya berpunca dari Donald J Trump.
Justeru, jangan hairan jika terbaca tulisan Tom Holland. – sejarawan yang tersohor dari UK - yang menyamakan Presiden Trump dengan Caligula Maharaja Rom Ketiga. Caligula diingati dengan sifat megalomania – gila kuasa dan sadis. Maharaja Rom ini berkuasa dari 37 AD sehingga pembunuhannya pada 41 AD.
Ciri-ciri dan watak Caligula ini mengikut Tom Holland kelihatan jelas wujud dalam perangai dan watak Donald John Trump Presiden Amerika ke 47.
Dari pemerhatian sejarah apa yang sedang dilakukan oleh Trump adalah ciri, watak dan pola hari-hari akhir sebuah empire. Ianya telah pernah berlaku kepada Empire Rom, kepada Empire Napoleon, kepada Empire Hitler dan kepada Empire Tojo di Jepun.
Apa yang akan terbongkar jika berita tentang Venezuela, Denmark dan Iran ini di teliti ? Apa latar hingga munculnya babak-babak ini. Apa cerita di belakang surah ?
Untuk saya semua ini adalah manifestasi dari kuasa empire yang bernama Amerika. Kita wajib menerima hakikat bahawa pada ketika ini dunia kita masih lagi dalam takluk kuasa hegemon Pax Americana.
Kuasa hegemon Pax Americana muncul selepas Perang Dunia Ke Dua. Ini sesudah kuasa kolonial Pax Britannica runtuh.
Pasca perang dan pasca zaman meleset Great Depression 1929-1939 – ekonomi kapitalis Amerika bangun, mengembang dan merebak ke seluruh dunia. Amerika menjadi negara terunggul dalam dunia. Untuk menjaga dan mengawal kepentingan ekonomi ini Amerika telah mendirikan 750 Pangkalan Tentera di 80 buah negara.
Kekuatan bala tentera ini dipasak pula oleh mata wang Amerika yang di panggil Dolar. Dolar menjadi nilai tukaran mata wang untuk perniagaan dunia kapitalis.
Kekuasaan Dolar Amerika ini wujud apabila dunia dipaksa menggunakan Dolar untuk jual beli bahan bakar petroleum. Pemaksaan ini berjalan kerana Perjanjian Petrodollar.
Perjanjian Petrodollar ini dibuat pada tahun 1974, antara Amerika dengan Saudi Arabia. Saudi pengeluar minyak utama dalam dunia wajib menjalankan jual beli petroleum dengan menggunakan Dolar. Duit dari jual beli minyak ini di panggil "petrodollar". Keuntungan Petrodollar ini wajib dilaburkan semula dalam bon Perbendaharaan Amerika. Untuk balasan Amerika akan memberikan sokongan ketenteraan menjaga keselamatan rejim Saudi.
Perjanjian Petrodollar ini telah tamat pada 9 Jun 2025. Perjanjian ini tidak di perbaharui – saya ulang – tidak diperbaharui lagi.
Implikasi penamatan Perjanjian Petrodollar ini sangat hebat. Ini kerana selama ini seluruh sistem ekonomi kapitalis dalam dunia termasuk di Rusia , China, Iran , Cuba dan Korea Utara menggunakan nilai dolar sebagai rujukan.
China dan Rusia yang di anggap seteru kuat oleh Amerika masih menggunakan dolar ketika jual beli di luar negara .
Apa yang jelas dengan berakhirnya perjanjian Petrodollar ini jual beli minyak dan jual beli bahan yang lain juga bebas untuk menggunakan mata wang yang bukan dolar. Justeru India membeli petrol dari Rusia menggunakan Ruble. Iran menjual petrol kepada China menggunakan Yuan.
Jelas dan dibuktikan hegemoni dolar mula mengendur.
Dalam masa yang sama untuk terus menjadi hegemon kuasa dunia Amerika wajib memiliki dana dan modal. Cara termudah ialah meminjam dan berhutang.
Cara Amerika berhutang ini amat mudah untuk di fahami. Gambarkan Amerika seorang Ayah mendapat gaji 5000RM sebulan untuk Isteri dan dua anak. Tapi perbelanjaan setiap bulan melintasi jumlah gaji. Maka setiap bulan untuk terus menjalani kehidupan Sang Ayah meminjam duit. Pinjam dari Bank, dari kenalan, dari Along atau dari Kad Kredit.
Tapi akhir hutang bertambah dan bertapuk. Bank dan Kad Kredit akan menyaman. Sang Ayah disenaraikan oleh Mahkamah secara resmi sebagai muflis.
Amerika dalam keadaan yang sama. Perbelanjaan Amerika melebihi pendapatan negara. Justeru negara Amerika ini menjadi negara penghutang terbesar dalam dunia.
Sehingga ke 7 Januari 2026, jumlah hutang kasar negara Amerika ialah $38.43 trilion dolar. Hutang yang dipegang oleh orang ramai ialah $30.81 trilion. Hutang dalam kerajaan ialah $7.62 trilion. Dari mana Amerika dapat berhutang?
Kerajaan Amerika meminjam duit dari Federal Reserve Bank, dari Dana Pencen ( macam KWSP ) dan dari syarikat insurans. Dua negara - Jepun dan China menjadi pelabur penting kerana membeli Sekuriti Perbendaharaan Negara.
Jepun dan China adalah pembeli utama sekuriti Amerika. Jepun memegang paling banyak, sekitar $1.06-$1.2 trilion dolar Sekuriti Perbendaharaan Amerika pada awal 2025. Manakala China memegang sekitar $750-$850 bilion dolar.Akhirnya Amerika akan menjadi Sang Ayah dan di rasmikan sebagai muflis. Dalam kes Sang Ayah agak mudah. Mahkamah meneliti data dan diumumkan muflis. Tapi dalam kes Amerika bukan mudah untuk di rasmikan muflis.
Negara imperialis Amerika Syarikat ialah pemegang kunci sistem ekonomi kapitalis dunia. Apa yang berlaku kepada ekonomi Amerika pasti akan mengganggu perjalanan dan kelancaran sistem ekonomi kapitalis dunia yang telah tersusun semenjak selesai Perang Dunia Ke Dua.
Hari ini kita difahamkan bahawa mata wang Ruble Yuan dan Euro telah mula cuba memainkan peranan dolar. Sekatan ekonomi yang di terajui oleh Amerika ke atas Cuba, Rusia, dan Iran menjadikan niat untuk menggantikan dolar ini semakin rancak.
Justeru apa yang berlaku di Venezuela, Iran dan Greenland ini berkait rapat dengan apa yang sedang berlaku kepada dolar.
Dolar kian di asak. China mula menjualkan Sekuriti Perbendaharaan Amerika. Harga emas dan harga perak melonjak naik. Di Malaysia nilai ringgit semakin kukuh berbanding dolar.
Jika Bank Nasional dari pelbagai negara yang menyimpan dolar sebagai Taruhan Reserve merasa nilai dolar makin menyusut maka mereka juga akan beralih ke Euro, Yuan atau Ruble. Ini untuk menjaga kekuatan nilai mata wang dan ekonomi masing-masing negara.
Wajib disedari bahawa ekonomi kapitalis ini menggunakan sistem Fiat Money. Lihat apa yang tertulis dalam duit kertas kita : Wang kertas ini sah diperlakukan dengan nila...di atas ayat ini ada tanda tangan Gabenor Bank Negara.
Apa itu Fiat Money – Wang Fiat ?
Wang Fiat ialah mata wang keluaran kerajaan (seperti Dolar, Ringgit , Euro, Yen) yang tidak disokong oleh komoditi fizikal seperti emas dan perak – saya ulang tidak disokong oleh emas atau perak.
Duit Fiat berasakan Keyakinan Awam melalui undang-undang kerajaan. Ertinya rakyat di paksa untuk menerima nilai seringgit atau sepuluh ringgit. Justeru ada tanda tangan Gabenor dan wajah Agong.
Nilainya Ringgit datang daripada kepercayaan kita kepada pencetak duit - kerajaan - bukan nilai intrinsik. Inilah asas bagi kebanyakan ekonomi moden
Semua ini akan terbarai jika kita – rakyat dan orang ramai hilang keyakinan keatas nilai ringgit. Hilang keyakinan dengan kerajaan. Bukan mustahil : Emak dan Ayah kita pernah bercerita tentang Duit Pisang Zaman Jepun.
Apakah ini akan berlaku. Kita kini sudah masuk ke zaman digital dan zaman Internet ?
Jawabnya mudah : Sedang dan terus berlaku di Zimbabwe. Sedang dan terus berlaku di Argentina. Sedang dan terus belaku di Iran.
Apakah ini akan berlaku dengan dolar?
Presiden Trump di kelilingi oleh para penasihat ekonomi yang bijak lagi pandai. Presiden Trump juga di kelilingi oleh pakar strategi geo-politik. Lembaga CIA dan semua Lembaga Intel Amerika sentiasa menghantar maklumat terkini untuk pengetahuan Presiden Trump.
Maknanya Presiden Trump sedar dan tahu apa yang sedang berlaku. Justeru Venezuela, Iran dan Greenland ada jawapan Presiden Trump untuk memastikan hegemon dolar terus berkuasa.
Sila ingati ucapan pertama pada 20 Januari 2025 ketika dia mengangkat sumpah untuk menjawat kerusi Presiden Amerika ke 47.
“Sebagai ketua komander, saya tidak mempunyai tanggungjawab yang lebih tinggi daripada mempertahankan negara kita daripada ancaman dan pencerobohan, dan itulah yang akan saya lakukan,” kata Presiden Donald J. Trump semasa ucapan perasmiannya.”
Apakah Presiden Trump akan berjaya menyelamatkan dolar? Sila tunggu minggu hadapan. Amin . (TT)
TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/766228








Tiada ulasan:
Catat Ulasan