Kemahiran juruterbang Malaysia Airlines mendaratkan pesawat ketika ribut Darragh dipuji
LONDON: Kemahiran juruterbang pesawat penumpang Malaysia Airlines melaksanakan teknik pendaratan 'crabbing' bagi membawa penumpang dengan selamat ke Lapangan Terbang Heathrow menerima pujian meluas atas kemahirannya.
Dalam video dramatik yang merakam pendaratan itu, juruterbang pesawat A350-900 dilihat menggunakan teknik 'crabbing' bagi mengekalkan kawalan pesawat, walaupun menghadapi tiupan angin kencang akibat ribut Darragh.
Teknik crabbing ialah apabila sebuah pesawat diarahkan ke satu arah tetapi bergerak ke arah yang lain sebagai salah satu cara untuk membetulkan keadaan angin melintang semasa pendaratan. Ia menggunakan pedal ekor dan 'aileron' untuk membengkokkan hidung pesawat ke arah angin sambil memastikan sayap kekal rata.
Ribut itu membawa angin berkelajuan sehingga 155 kilometer sejam (km/j) ke selatan England pada Sabtu, termasuk di Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di United kingdom (UK), yang memaksa banyak pesawat mencuba beberapa kali sebelum berjaya mendarat.
Bagi sesetengah penumpang, ia menjadi pengalaman mendebarkan, dengan satu penerbangan British Airways membuat tiga cubaan pendaratan gagal sebelum akhirnya terpaksa berpatah ke Frankfurt, Jerman.
Namun, kebanyakan penerbangan berjaya mendarat, walaupun penumpang mengalami debaran ketika pendaratan.
Dalam detik-detik akhir pendaratan Malaysia Airlines di Heathrow pada Sabtu, hidung pesawat kelihatan membelok tajam ke sisi ketika juruterbang berusaha mengawal pesawat daripada tiupan angin, dengan membuatkan peminat penerbangan di darat kagum dengan kemahirannya.
Pesawat itu mendarat dengan kedua-dua roda belakang menyentuh landasan terlebih dahulu, manakala hidung pesawat berada pada sudut hampir 45 darjah sebelum melantun sedikit dan kemudian diluruskan dengan sempurna.
Bagi sesetengah pemerhati, sudut pendaratan itu membuatkan ia 'seolah-olah barisan ke 40 di Kelas Ekonomi yang mendarat dahulu'. Ramai memuji kemahiran juruterbang Malaysia Airlines atas kejayaan mencipta sudut 'crab' yang sangat mengagumkan.
Sementara itu, netizen memuji juruterbang kerana berjaya melaksanakan pendaratan yang sukar itu.
Salih Jamil berkata: "Angin lintang yang sangat kuat...MAS mempunyai ramai juruterbang handal...Mereka boleh melakukannya."
"Penerbangan yang menakjubkan oleh kapten. Sungguh hebat crabbingnya!!! Syabas dan tahniah kepada kapten MAS," kata Wai Ling Mok.
Vijay Nowuram turut memuji juruterbang tersebut, menggelar mereka sebagai wira: "MH: Malaysian Hospitality; dalam kes ini... Wira Malaysia," katanya. - AGENSI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan