281 lorong tikus dalam kawasan tanggungjawab PGA, 46 peratus di Kelantan
KUALA LUMPUR: Sejumlah 281 lokasi lorong tikus dikenal pasti dalam kawasan tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA) yang digunakan bagi aktiviti jenayah rentas sempadan.
Daripada jumlah itu, 154 berada di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, dengan Kelantan merekodkan jumlah tertinggi membabitkan 128 lorong tikus.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan kajian PGA berkaitan lorong tikus, persempadanan Malaysia (Kelantan) dan Thailand (Naratiwat) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 128 lorong tikus yang meliputi 46 peratus bagi keseluruhan kajian.
Selain Kelantan, pecahan lorong tikus mengikut negeri adalah lapan Perlis, diikuti Kedah (18), Selangor (12), Johor (27), Sarawak (38) dan Sabah (50).
Beliau mengakui sempadan Malaysia yang luas dan terbuka menjadi cabaran utama
bagi mengurus keselamatan negara daripada ancaman jenayah rentas sempadan.
Malaysia berkongsi sempadan darat, air dan udara dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina dan Vietnam.
"Jenayah rentas sempadan adalah isu keselamatan bukan tradisional dan merupakan senario serius yang melanda dunia secara gobal.
"Sifat dan aktiviti jenayah rentas sempadan mengalami perubahan ketara, sebahagian besarnya disebabkan globalisasi dan kemajuan teknologi.
"Bukan sahaja objek material, malah manusia dan mata wang juga dapat bergerak dengan mudah merentasi sempadan. Keadaan ini menjadi sangat dinamik dan terus berkembang serta bakal memberi ancaman besar kepada kestabilan politik dan integriti sesebuah negara jika tidak diatasi," katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai pelan tindakan bersepadu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani jenayah penyeludupan menggunakan laluan terowong bawah tanah atau terowong palsu di kawasan sempadan negara.
Usaha tangani jenayah rentas sempadan
Tambah Saifuddin, jenayah rentas sempadan memberi impak jangka panjang di mana dunia akan berhadapan organisasi jenayah berprofil tinggi yang boleh menggugat undang-undang, keselamatan sesebuah negara termasuk ekonomi dunia.
"Kepelbagaian bentuk muka bumi seperti kawasan berbukit, hutan tebal dan kawasan perairan menjadi cabaran utama bagi kawalan keselamatan sempadan," katanya.
Menyedari cabaran dihadapi serta status beberapa laluan tidak sah atau lorong tikus yang boleh berubah bila-bila masa, Saifuddin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya PGA mengambil beberapa langkah bagi mengukuhkan kedaulatan negara.
"Ini termasuk melakukan operasi berterusan di kawasan tanggungjawab, memusnahkan jeti haram digunakan sebagai laluan tikus dan sentiasa melakukan risikan terperinci di kawasan laluan haram serta memantau kawasan berpotensi untuk dijadikan laluan haram.
"Pihak berkuasa juga menggunakan elemen kecerdasan buatan (AI) sebagai sokongan semasa operasi, selain menjalankan libat urus bersama beberapa kerajaan negeri bagi membendung jenayah rentas sempadan dan rondaan bersama di sempadan seperti Combined Force Border Patrol (CFBP)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan