MAULUD NABI ISA
Saya menulis tulisan ini di ambang Maulud Rasul Nabi Isa. Atau di kenali seluruh dunia sebagai Hari Krismas. Saya amat gembira bila terbaca kenyataan Mufti Pulau Pinang yang tidak melarang Bani Melayu penganut Islam untuk sesama menyambut perayaan Hari Krismas. Amin
Saban tahun bila ada perayaan Deepavali, atau sambutan Tahun Baru China ada saja para Agamawan yang melarang itu dan ini. Tak boleh ucap selamat. Tak boleh sama merayakan nanti rosak akidah.
Ustad YouTube juga akan heboh mengingatkan dan melarang orang Melayu untuk bersama merayakan hari kebesaran lain agama.
Saya sendiri tidak ambil pot atas larangan apa pun. Perjalanan hidup saya tidak berlandaskan pandangan atau ajaran sesiapa pun. Jauh sekali ajaran Ustad YouTube.
Sebagai penganut Islam Budaya saya merayakan semua hari kebesaran agama apa pun. Malah saya merasa bangga dapat merayakan semua perayaan agama kerana negara kita yang memiliki banyak agama dan kepercayaan.
Saya berani memberi tahu disini bahawa bukan semua negara dalam dunia ini sama seperti Malaysia. Malah di Malaysia hari-hari kebesaran agama yang bukan Islam pun dirayakan dengan ada cuti umum. Deepavali kita cuti. Hari Wesak kita cuti. Tahun baru China kita cuti. Hari Krismas kita cuti. Amin
Hari Krismas 25 Disember ini ialah hari kelahiran Nabi Isa. Ertinya hari Maulud Nabi Isa.
Bila hari Maulud Nabi Isa sampai maka saya pasti teringat pada satu kesah. Kesah saya dan kawan-kawan yang ditahan di Kamunting di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).
Kesah ini berlaku pada malam Maulud Nabi Isa tahun 2003. Pada ketika itu Tim Reformasi – Tian Chua, Saari Sungip, Lokman Adam , Badrul Amin dan saya tinggal dalam Blok Dua B Kem Tahanan Kamunting Taiping. Awalnya pada 10 April 2001 kami berenam di tahan di Kamunting tetapi Ezam Mat Nor ada kes lain maka dia telah di hantar ke penjara Kajang. Tinggal kami berlima.
Tahun 2003 adalah zaman Nokia mendominasi talipon bimbit. Dalam bilik kami ada talipon bimbit jenis Nokia di tangan Lokman dan Badrul Amin. Bagaimana talipon ini masuk satu kesah yang lain.
Ketika dalam tahanan saya tidak ada talipon. Saya tidak berhubung dengan sesiapa pun. Kaum keluarga dari Jelebu agak jauh nak datang. Jarang saya ada pelawat. Yang datang kawan-kawan dari Universiti Bangsar Utama. Mereka semua klim sepupu sepepat dengan saya justeru dibenarkan melawat.
Tentang talipon bimbit ini saya agak lembam. Malah lepas keluar dari Kamunting pun saya tidak memiliki Nokia. Saya ini generasi Gatek – Gagap Teknologi. Saya menolak teknologi yang saya anggap akan mengganggu rutin harian saya.
Seingat saya pada tahun pertama di Kamunting tidak ada Nokia dalam Blok kami. Bila masuk tahun ke dua Nokia sampai. Saya faham keinginan Lokman, Badrul dan Saari untuk berhubung dengan Sang Isteri dan anak-anak. Saya dan Tian yang masih solo tidak merasa tertekan seperti yang lain.
Pada petang Rabu 24 Disember 2003 jam telah melintasi 9 malam. Pintu bilik dan pintu Blok telah dikunci. Semua senyap. Kami menjalankan rutin harian kami. Duduk di katil masing-masing membaca.
Ruang depan ada meja makan , ada kawasan berjemaah dan ada TV. Saya tidak meminati TV. Dari zaman berzaman hingga hari ini saya tidak memiliki peti TV.
Bilik kami sebesar dua bilik darjah untuk lima sosok. Amat lumayan. Kami tidak berasak-asak seperti tahanan Al-Maunah atau Kumpulan Mujahidin Malaysia.
Tertiba hampir jam 11 malam saya terdengar deringan kunci dari pintu Blok. Pintu kayu dan zink ini berbunyi bila hendak dibuka. Muncul satu kumpulan enam Cik Gu datang masuk ke hadapan pintu bilik kami. Mereka bukan Cik Gu yang biasa dengan kami. Mereka ini pegawai keselamatan penjara.
Cik Gu adalah terminologi untuk wadar pengawal penjara. Perkataan ini diguna pakai di seluruh penjara di Malaysia. Saya rasa yang memperkenalkan istilah Cik Gu ini pastilah anak muda yang selalu di tahan di Pusat Serenti.
Cik Gu yang mengawal kami menghampiri pintu bilik kami. Yang lain muka yang tidak kami kenali. Kami semua bangun datang ke hadapan pintu.
‘ Pemeriksaan... spot check ...nak periksa bilik...’ Suara kedengaran.
Atau mereka merasa curiga dan syak bahawa kami di Blok Dua B ada Nokia.
‘ Woit... tak tahu ke malam ini malam apa.... malam ini malam suci... nak periksa carilah malam lain... malam ini malam Krismas....’ Ini ayat dari Hishamuddin Rais.
Para Cik Gu memandang dan cuba meredah masuk.
‘ Malam ini malam Maulud Nabi Isa... tak tahu ke... malam kudus... malam suci... malam ini semua orang sembahyang....’ Saya bersuara lagi.
‘ Cik Gu... tak ingat ke ... di Baitul Mukaddis...di Juruselam ... Nabi Isa lahir malam ini... satu dunia sambut... nak periksa datanglaaa hari lain...carilaaa hari lain...’ Saya menguatkan hujah.
‘ Esok Krismas...’ Tian bersuara.
‘ Krismas... esok kem cuti...Cik Gu pun cuti sama ’ Badrul bersuara.
‘Lokman dan Saari tegak berdiri. Saya rasa mereka telah sedar kenapa para Cik Gu ini sampai. Saya memandang muka Lokman dengan harapan Nokia telah selamat.
Lalu saya terfikir Nokia ini hendak disorokkan ke mana? Dalam bilik mandi ? Dalam tandas? Dalam hal ini saya tidak tahu menahu. Hal menyorokkan Nokia ini pasti Lokman bijak.
Para Cik Gu masih gagal masuk ke bilik kami. Tian dan Saari berdiri di tengah laluan pintu menghalang. Badrul Amin dan Lokman di belakang mereka. Saya berdiri di belakang Tian. Kami semua menghalang Cik Gu masuk.
‘ Datanglaa hari lain.... bukan malam ini... malam Krismas...’ Ini suara Badrul Amin. Ini suara sosok seorang Agamawan. Bukan macam suara saya suara sosok sekular yang liberal.
Saya menggunakan istilah Maulud Nabi ini untuk memberi ingatan kepada sesiapa saja yang mengaku penganut Islam – terutama pada Cik Gu pada malam itu – untuk sedar bahawa Nabi Isa itu adalah juga Nabi yang kita percayai. Justeru kita sambut malam kelahiran beliau.
Dari apa yang saya baca Nabi Isa adalah diantara 25 Nabi yang wajib umat Islam kenali.
Saya masih ingat lagi Tian Chua telah dibekalkan Kitab Injil dari kawan-kawan. Malah saya sempat membaca beberapa juzuk Kitab Injil yang saya pinjam dari Tian Chua. Dari bacaan Kitab ini saya faham akan malam kudus – malam ambang Krismas.
Malam kudus ini juga mengingatkan diri saya ketika berkelana di Eropah. Saya teringat akan Gereja Katolik besar di tengah pekan Wavre tempat saya tinggal di Belgium. Gereja besar ini tidak sampai dua ratus meter dari flet saya.
Saya teringat kembali sebuah pementasan pendek kesah kelahiran Nabi Isa yang di pentaskan dalam ruang kedai di hadapan flet saya di Wavre. Saya di pelawa menuntun teater Malam Kudus ini oleh kawan Mat Salleh Belgium yang tinggal di sebelah bilik saya.
Pementasan ini diadakan dalam ruang kedai kerana mereka ini dari mazhab Protestan dan bukan Katolik anutan resmi Belgium.
Para Cik Gu berpandangan sesama sendiri. Saya tidak tahu siapa kepala mereka. Mereka ini bukan Cik Gu biasa yang menjaga kami. Mereka ini Pegawai Khas untuk penjara Kamunting. Kalau dalam PDRM mereka ini adalah pegawai FRU.
Tertiba mereka berpusing dan menghala ke pintu besar. Pintu bilik kami mereka tinggalkan. Cik Gu yang menjaga kami malam itu tersenyum. Mereka terus keluar dan hilang dari pandangan.
Kami tersenyum gembira. Nokia Blok 2 B selamat. Ketegangan 20 minit selesai.
Untuk saya kesah ini akan terus menjadi kenangan. Malam Maulud Nabi Isa di Kem Kamunting tidak akan saya lupakan. Setiap kali menjelang Krismas saya akan teringat kesah ini.
Saya tidak ada isteri. Tidak ada anak. Tidak ada cucu. Cerita Maulud Nabi ini saya wakafkan untuk sesiapa saja yang ingin merayakan Hari Krismas.
Selamat menyambut Hari Krismas untuk semua. Selamat sampai tahun 2025. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/729833
1 ulasan:
Nabi isa diputrakan di palestine.
Catat Ulasan