Polis Belanda tahan ratusan aktivis perubahan iklim
THE HAGUE: Polis Belanda menahan ratusan aktivis iklim selain terpaksa menggunakan dua meriam air untuk menyuraikan protes yang menyekat jalan raya utama ke bandar itu selama beberapa jam.
Protes itu dianjurkan oleh aktivis Extinction Rebellion (XR), pernah melakukan beberapa siri protes sama tahun lalu, bagi membantah subsidi bahan api dan memperjuangkan isu perubahan iklim.
"Sekitar 700 aktivis telah ditahan selepas jalan raya A12 disekat, ini menyebabkan kesesakan lalu lintas dan masa perjalanan yang lebih panjang bagi ambulans serta perkhidmatan kecemasan lain," kata polis The Hague di platform X.
Justeru, polis mengerahkan ramai anggota untuk berkawal menerusi operasi rondaan kaki dan menunggang kuda, sementara sebuah dron polis kelihatan berlegar di udara.
Menurut seorang wartawan AFP di lapangan, ratusan penunjuk perasaan turun ke jalanan walaupun polis cuba menghentikan pergerakan beberapa aktivis lain.
Penunjuk perasaan itu turut mengabaikan arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis untuk terus berhimpun di kawasan lapang Malieveld, dekat pusat bandar dan tidak memasuki jalan utama yang terletak bersebelahan.
Kelihatan penunjuk perasaan membawa sepanduk dan papan tanda tertera 'kami percaya pada kehidupan selepas minyak', sambil mengibarkan bendera XR, namun mereka tetap berhimpun di jalan raya.
Dua penunjuk perasaan memanjat papan tanda yang merentangi jalan raya A12 sebelum mengibarkan bendera XR.
Beberapa jam kemudian, polis bertindak menyuraikan penunjuk perasaan dengan pancutan meriam air sebelum menahan aktivis yang berhimpun di jalan utama.
Kebanyakan daripada mereka kemudian dibebaskan di lokasi berhampiran stadium ABO di pinggir bandar, lapor stesen radio tempatan Omroep West.
Seorang penunjuk perasaan, Christian Loncle, 49, mendakwa ahli politik belum melakukan usaha yang mencukupi untuk membendung krisis perubahan iklim. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan