LEMBAGA LOBI
DAN
POLITIK AMERIKA
Pada Senin 20 Januari Donald Trump akan mengangkat sumpah untuk menjadi Presiden Amerika ke 47. Pada ketika tulisan ini di garap para Presiden, Perdana Menteri, Raja, Emir, Jeneral , pemimpin parti politik garis kiri dan kanan dari seluruh dunia sedang menunggu apa yang akan dilakukan oleh Trump sebaik saja dia selesai mengangkat sumpah.
Dunia akan teringat pada tahun 2016. Selesai saja angkat sumpah Presiden Trump telah mengeluarkan Excutive Order – Arahan Eksekutif.
Pertama tembok dan pagar didirikan di sempadan Mexico. Kedua : Amerika membatalkan Perjanjian Perniagaan Trans-Pasifik. Ketiga: Trump membatalkan Obama-Care sistem perubatan umum anjuran Obama.
Arahan Eksekutif ini wajib dijalankan . Ini cara pentadbiran Amerika. Semua arahan Presiden menjadi dilihat sebagai undang-undang yang wajib di patuhi dan di tuntaskan.
Ketika tulisan di garap media dan pemerhati politik di Amerika sedang membincangkan apakah Arahan Eksekutif 2025. Desas desus telah mula di dengar bahawa Trump sedang menyediakan lebih dari 100 Arahan Eksekutif. Kah kah kah.
Antaranya : Pendatang haram akan di tangkap dan di hantar pulang ke negara asal. Ini untuk membuktikan Trump mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah pendatang haram.
Trump yang memperlekeh agenda alam sekitar akan melupuskan arahan Presiden Biden dalam hal cari gali minyak dan bahan galian.
‘ Put the miners back to work...’ Ini janji Trump untuk kembali membenarkan syarikat cari gali melombong apa sahaja yang boleh di gali. Pencemaran alam sekitar bukan agenda Trump.
Mata dan telinga dunia akan dibuka luas untuk mendengar apa dasar cukai baru yang akan di perkenalkan oleh Trump. Mexico dan Canada tetangga di sebelah Amerika akan menjadi sasaran pertama sebelum Trump mengenakan cukai ke negara Eropah.
Apa pula dasar Amerika ke atas Taiwan dan China. Dari awal lagi ketika berkempen Trump telah mentakrif China sebagai musuh. Dalam masa yang sama negara yang di anggap musuh ini juga akan rakan niaga Amerika.
Perdagangan barangan dan perkhidmatan Amerika dengan China berjumlah dianggarkan $758.4 bilion dolar pada 2022. Eksport ialah $195.5 bilion; import ialah $562.9 bilion. Defisit perdagangan barangan dan perkhidmatan Amerika dengan China ialah $367.4 bilion pada 2022.
Hakikatnya barang dari China lebih banyak masuk ke Amerika dari barang Amerika di jual di China. Justeru apa yang akan di lakukan oleh Trump? Dunia sedang menunggu apakah retorik anti China itu hanya umpan ketika berkempen atau Trump akan bertindak. Amin.
Mari kita menyelam ke dalam badan politik Amerika untuk memahami bagaimana Trump malah semua Presiden Amerika mengeluarkan dasar negara. Memahami ini amat penting kerana pada ketika ini seluruh negara yang guna pakai sistem ekonomi kapitalis dan juga yang klim bukan kapitalis semuanya berhadapan dengan hegemoni Amerika.
Ertinya warga dunia wajib tahu terutama dasar luar Amerika. Dasar luar Amerika inilah yang menjadikan Eropah sebagai Eropah, Asia sebagai Asia. Afrika sebagai Afrika dan Latin Amerika sebagai Latin Amerika. Kita sebagai kita di takrif oleh dasar dan politik Amerika.
Apakah Amerika ini begitu berkuasa? Bagaimana dengan China, Rusia dan India.
Negara- negara besar ini wujud tetapi hakikatnya pada ketika ini United States of America adalah tuan pemilik dunia kita ini. Ini real politik. Amin.
Dari pemerhatian saya ada satu perkara yang wujud di Amerika yang mungkin tidak ada di negara lain. Perkara ini ialah lembaga lobi. Tugas lembaga lobi ini ialah memujuk, mempengaruhi atau meyakinkan pihak yang memiliki kuasa dan punca untuk membuat keputusan atau tindakan.
Di Washington DC - ibu kota dan pusat politik Amerika – ada puluhan badan dan lembaga lobi. Tugas dan kerja badan-badan ini ialah melobi Presiden atau ahli Dewan Kongres atau Dewan Senate. Para pelobi akan memujuk punca kuasa di Amerika.
Memujuk untuk apa?
Memujuk untuk membuat dasar yang akan menguntung dan memberi laba kepada Sang Pelobi.
Contohnya amat mudah : Ketika Covid 19 sedang melanda Amerika syarikat ubat seperti Pfizer akan memujuk punca kuasa untuk memastikan semua warga Amerika di suntik. Sang pelobi akan bercerita bersurah dengan sokongan para ilmuwan tentang bahaya yang akan menimpa dunia jika umat manusia tidak disuntik.
Dengan serta merta punca kuasa akan mengeluarkan Arahan Eksekutif. Hasilnya rakyat Amerika dan warga dunia di wajibkan di suntik.
Apakah dasar dibuat dengan begitu mudah ? Hanya dengan kertas kerja para saintis dari syarikat ubat akan terus dapat meyakinkan Presiden dan ahli dewan Kongres.
Sabar dulu. Di belakang lembaga pelobi adalah syarikat dan industri yang berkepentingan. Bukan sahaja syarikat ubat malah syarikat senjata, syarikat kereta dan seratus macam jenis perniagaan akan mendirikan lembaga lobi di Washington DC.
Selain dari syarikat perniagaan ada lagi pelobi yang mewakili kepentingan negara. AIPAC – American Isreal Public Affairs Comittee – adalah badan pelobi yang terulung di Amerika. Nama badan ini jelas – mengajukan kepentingan Israel dalam pentadbiran Amerika.
Para pelobi ini adalah sosok-sosok yang terlatih, tersusun dalam hal perhubungan awam. Mereka ini di upah oleh pemilik syarikat. Salah satu tugas halus mereka ialah menjanjikan sokongan kepada Presiden, ahli Kongres atau Senator.
Sokongan apa? Sokongan dana untuk menjalankan kerja politik. Sokongan dana ketika berkempen. Malah jangan terperanjat jika kita terbaca ada beberapa ahli Kongres atau Senator digaji dan dibayar untuk mewakili kepentingan industri.
Sebagai contoh : dari portal Opensecret.org kita diberitahu nama ahli Kongres Scharder dan Kurt dari parti Demokrat melabur 16,000 dan 65,000 dolar dalam syarikat Blackrock. Manakala dari parti Republikan Hern dan Kevin melabur 15,000 dan 50,000 dolar dalam syarikat yang sama,
Para ahli Kongres ini memiliki kepentingan ekonomi. Justeru mereka akan mengundi dan mengajukan dasar yang menjana kepentingan Blackrock.
Akhbar Financial Times 6 November 2024 telah melaporkan Demokrat Kamala Harris dan Republikan Donald Trump telah bersama-sama membelanjakan 3.5 bilion dolar dalam perlumbaan mereka untuk ke Rumah Putih. Kempen 2024 sebagai pilihan raya umum Amerika yang paling mahal dalam sejarah.
Kamala mengumpul 2.3 bilion dolar dan membelanjakan 1.9 bilion. Manakala Trump mengumpul 1.8 bilion dolar dan membelanjakan 1.6 bilion dolar.
Berkempen untuk menjawat jawatan politik di Amerika malah di mana sahaja bukan murah dan tidak mudah. Berbilion dolar di perlukan. Berjuta ringgit di perlukan untuk berkempen.
Dari mana duit kempen politik ini hendak dicekau ? Jeng jeng jeng.
Dari sinilah peranan para pelobi. Dari sini kita memahami bagaimana badan dan lembaga lobi bergerak di Amerika.
Di Amerika dana – Dolar, Ringgit, Peso atau Dinar dari syarikat boleh diterima masuk ke kantung parti dengan terbuka. Malah umum boleh mengetahui syarikat apa yang memberi dana berapa kepada siapa. Ini bukan rahsia.
Kempen Presiden Amerika 2024 memunculkan nama Elon Musk. Sosok terkaya dalam dunia. Elon Musk telah datang menyokong dan membantu kempen Donald Trump. Kempen Elon bukan hanya di laman X.
Dari portal berita CBS pada 6 Disember 2024 dunia di beritahu Elon Musk telah membuat satu rekod. Bilionair ini telah membelanjakan 277 juta dolar atau lebih suku bilion dolar untuk menyokong Donald Trump dan calon Republikan lain.
Terima kasih macam mana dari Donald Trump kepada Elon Musk?
Ini jawapannya : Portal berita BBC pada 14 November 2024 telah melaporkan Elon Musk telah ditugaskan untuk mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan. Tugas jabatan ini ialah "membubarkan birokrasi kerajaan, mengurangkan lebihan peraturan, mengurangkan perbelanjaan membazir dan menyusun semula agensi persekutuan".
Untuk pemilik syarikat teknologi mungkin tugas baru ini membosankan. Tapi apa yang penting telinga Trump tidak jauh dari mulut Elon Musk. Sebagai ahli perniagaan rapat kepada punca kuasa adalah lebih bernilai dari memiliki lombong emas.
Elon Musk CEO Syarikat SpaceX ini tidak perlu mewujudkan lembaga atau badan pelobi seperti AIPAC. Dia sendiri boleh menalipon Trump jika dia memerlukan sesuatu untuk mengembangkan perniagaan.
Trump belum lagi mengangkat sumpah tapi Elon Musk telah mencadangkan visa H1-B diperbaiki. Visa ini membolehkan kemasukan para profesional dari luar negara untuk bekerja di Amerika. Syarikat SpaceX memerlukan kepakaran dari seluruh dunia.
Apakah yang dilakukan oleh Elon Musk ini boleh di anggap rasuah?
Sabar dulu. Elon Musk ini mungkin dihebohkan tapi ada satu badan pelobi yang lebih memeranjatkan. Lembaga pelobi yang ini telah berjaya mengarah dasar Presiden Amerika dan dasar pentadbiran Amerika.
Selama beberapa dekad ini lembaga lobi inilah yang paling berkuasa yang merancang dan mengajukan dasar Amerika. Kumpulan ini adalah kumpulan pelobi Zionis.
Untuk mengenali mereka sila tunggu minggu hadapan. Amin . (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/731674
Tiada ulasan:
Catat Ulasan