Rabu, 22 Januari 2025

DEMO SABTU INI


DEMO 

SABTU INI



BERI RUANG RAKYAT BERHIMPUN BENCI RASUAH

oleh Hassan Abdul Karim 
Ahli Parlimen Pasir Gudang 

Tidak elok kerajaan madani susah-susahkan rakyat untuk berhimpun secara aman.


Lebih-lebih lagi tujuan mereka berhimpun untuk menyatakan hasrat mereka benci pada rasuah.

Apa bahayanya perhimpunan anak-anak muda dan anggota masyarakat yang ingin menyatakan fikiran mereka benci kepada rasuah?

Tidakkah kerajaan perpaduan dan kerajaan madani ini menjadikan tema benci kepada rasuah adalah perjuangan nombor satu.

Akta perhimpunan aman 2012 pada masa kerajaan BN memerintah digubal dengan tujuan untuk memudahkan rakyat berhimpun secara aman.kerana kerajaan menghormati hak rakyat di bawah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk berhimpun.Di bawah Perkara 10 yang sama dinyatakan hak rakyat untuk bebas bersuara dan menyatakan fikiran.Apa yang kerajaan Madani sekarang takutkan?

Kerajaan PH 1.0 pada tahun 2019 telah meminda akta perhimpunan itu untuk memudahkan lagi rakyat berhimpun.Malah kerajaan PH 1.0 telah menyediakan Padang Merbok tak jauh dari Bangunan Parlimen sebagai tempat untuk berhimpun.

Jadi Menteri Dalam Negeri perlu membantu para aktivis, NGO dan anggota masyarakat untuk berhimpun secara aman.Itu hak rakyat.Tujuan mereka hendak lawan rasuah.Ia selari dengan matlamat kerajaan sekarang pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri perlu bimbing pihak Polis supaya menyedari zaman dulu-dulu sebelum 2012 memang kuasa Polis di bawah Akta Polis 1967 untuk mengeluarkan permit polis boleh atau tak boleh rakyat berhimpun.

Sekarang kuasa Polis di bawah Akta Polis telah dibatalkan dan diganti dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Jadi Menteri Dalam Negeri perlu menasihati pihak Polis supaya menjadi fasalitator atau Pemudah cara untuk orang ramai berhimpun secara aman.

Lihat perhimpunan aman pada 6 Januari lalu di Istana Kehakiman di Putrajaya berjalan dengan aman.Ini menunjukkan rakyat Malaysia adalah rakyat yang aman bukannya perusuh.Polis harus hadir dalam perhimpunan aman benci rasuah ini sebagai pasukan pengaman yang bertujuan untuk mempermudahkan rakyat berhimpun. 

Di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 itu terdapat tempat-tempat atau lokasi yang perhimpunan aman tidak boleh diadakan seperti di kawasan petrol station misalnya.Jadi pihak Polis boleh nasihatkan pihak penganjur supaya memilih tempat lain Yang tidak dilarang oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 tersebut.

Nama baik kerajaan madani akan jadi buruk jika menekan hak rakyat untuk berhimpun.

Kerajaan PH khususnya PKR adalah kerajaan yang dibina dari gerakan di jalanraya dan perhimpunan aman.Jangan lupa sejarah PH terutama PKR itu sendiri.
Jangan lupa diri.

Hassan Abdul Karim 
Ahli Parlimen Pasir Gudang 
21 Januari 2025.

Tiada ulasan: