Pas tetap hadir himpunan solidariti Najib
KUALA LUMPUR – Pas mengesahkan parti itu tetap hadir ke perhimpunan solidariti Najib Razak berhubung isu Titah Adendum, Isnin ini.
Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan menjelaskan, kehadiran ahli parti itu bukan untuk mencabar titah Yang di-Pertuan Agong atau pun peruntukan Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya ia adalah tanda solidariti kepada bekas Perdana Menteri tersebut dalam usaha mendapatkan hak, keadilan dan perlindungan di bawah undang-undang.
“Seperti yang dibayangkan oleh tema himpunan itu sendiri, ia adalah berupa kehadiran secara aman rakyat jelata rentas kaum dan fahaman di mahkamah terbuka sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan pada saat-saat penentuan di mahkamah dalam usaha beliau mendapatkan hak, keadilan dan perlindungan terbaik bawah undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, Pas akur kepada segala proses dan prosedur Pengampunan Diraja di bawah Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Pas mendukung sepenuhnya proses yang diperuntukkan di bawah undang-undang berkaitan perkara tersebut dan tidak sesekali mempertikai kuasa prerogatif ini.
“Dalam pada itu, Pas juga mendapati kehadiran ke himpunan solidariti untuk Najib tidak menyanggah mahupun mengurangi makna tujuan titah tersebut, mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan penjalanan Lembaga Pengampunan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Takiyuddin mendakwa, terdapat keraguan munasabah bahawa dokumen Titah Adendum itu telah disembunyikan oleh pihak tertentu, sehingga Najib terpaksa memohon semakan kehakiman untuk mengesahkan kewujudannya.
Justeru itu beliau menegaskan Pas akan terus menyokong usaha sah Najib untuk mendapatkan keadilan, selaras dengan kuasa prerogatif Agong.
“Pas tiada hasrat untuk menarik balik seruan kepada ahli agar hadir secara aman pada hari, masa, dan tempat yang telah ditetapkan,” katanya.
Istana Negara dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan YDPA pada mesyuarat akan datang.
Najib sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum, didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Isnin depan. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan