Bukan mudah buang kerja penjawat awam tidak berintegriti - Mohd Shuhaily
PUTRAJAYA: Proses pembuangan kerja seseorang penjawat awam termasuk penguat kuasa yang terkait masalah integriti, bukan mudah dan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenang.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain, ketika menjelaskan perkara itu berkata beberapa siri tangkapan telah dilakukan terhadap pegawai dan anggotanya yang disyaki menerima sogokan atau habuan ketika bertugas di lapangan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kes sedemikian dikesan masih berlaku sehingga menimbulkan persepsi masyarakat bahawa tindakan diambil hanya sekadar menangkap atau memindahkan kakitangan berkenaan tanpa hukuman lebih berat seperti pembuangan kerja.
"Orang ramai sering mempersoalkan mengapa ada pegawai ditangkap tetapi kemudian dilihat kembali bertugas, ibarat tiada tindakan serius dikenakan terhadap mereka.
"Namun, perlu difahami bahawa proses untuk membuang kerja seseorang penjawat awam yang tidak berintegriti bukan mudah dan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya," katanya pada sesi temu bual khas bersama media, di sini, kelmarin.
Mohd Shuhaily berkata, pengambilan tindakan tatatertib termasuk pembuangan kerja adalah tertakluk kepada peruntukan bawah Perkara 132 hingga 135 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin proses wajar serta sistem pengadilan sebelum seseorang pegawai boleh ditamatkan perkhidmatan.
"Sekiranya terdapat kesalahan yang membolehkan pembuangan kerja serta-merta bawah peraturan sedia ada, termasuk yang diperuntukkan dalam Perintah Am, kita akan bertindak. Itulah hala tuju yang sedang saya usahakan," katanya.
Namun, beliau mengaku keputusan sedemikian bukan bawah kuasa mutlaknya dan memerlukan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menentukan sama ada terdapat asas perundangan serta justifikasi munasabah untuk menamatkan perkhidmatan seseorang pegawai.
"Bukan kita tidak mahu membuang kerja pegawai yang bermasalah, namun kita terikat dengan undang-undang dan perkara ini perlu difahami oleh masyarakat," katanya.
Bagi menangani isu integriti yang berterusan, Mohd Shuhaily berkata, AKPS telah menubuhkan pasukan khas bagi meneliti maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam.
"Pasukan ini digerak untuk mengesahkan aduan dan sekiranya wujud salah laku, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan.
"Malah, aduan dan maklumat yang diperoleh turut menyumbang kepada siri tangkapan berterusan membabitkan anggota penguat kuasa yang dilaporkan sebelum ini," katanya.
Sambil merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan agensi penguatkuasaan lain atas kerjasama dalam usaha membersihkan organisasi itu, Mohd Shuhaily mengesahkan berlaku beberapa tangkapan membabitkan pegawai dari enam agensi teras yang kini diserapkan ke dalam AKPS.
Mengaku perubahan terhadap tabiat lama bukan perkara mudah, beliau menegaskan pegawai perlu bersedia menyesuaikan diri atau berdepan tindakan tatatertib.
"Apabila seseorang sudah biasa dengan gaya hidup tertentu, memang sukar untuk berubah. Namun mereka perlu berubah. Jika tidak, mereka akan berdepan akibatnya," katanya.
Beliau menekankan bahawa aspek integriti akan terus menjadi keutamaan dalam pengambilan pegawai AKPS pada masa depan, di samping tiada toleransi terhadap mana-mana pegawai yang tidak dapat menjelaskan sumber pemilikan harta kekayaan yang dianggap mencurigakan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan