Jumaat, 6 Disember 2024

SENJATA BARU DARI RUSIA


 SENJATA BARU

 DARI RUSIA


Perang Ukraine Donbas telah bermula pada April 2014. Perang bermula apabila soldadu dan kerajaan Ukraine  membantai warga Ukraine berbangsa Rusia di wilayah Donbas dan Luhansk.  

Perang ini berhenti sekejap apabila Perjanjian Minsk di tanda tangani pada 5 September 2014. France dan German menjadi orang tengah dan saksi.

Tetapi Ukraine terus membantai rakyat berbangsa Rusia di Donbas dan Luhansk.  Etnik Rusia ini meminta bantuan dari Putin.  

Ahirnya Rusia datang memberi bantuan melalui Operasi Khas Putin yang bermula pada 24 Februari 2022. Operasi dimana soldadu Rusia telah masuk ke Ukraine. Operasi Khas ini   telah melintasi  hari ke 1000. 

Ertinya operasi perang ini  telah hampir masuk tahun ke tiga. Inilah perang paling sengit di Eropah sesudah Perang Dunia Ke Dua. Jalan penyelesaian masih  tidak kelihatan.

Presiden Amerika telah berganti.  UK ada Perdana Menteri baru dari Parti Buruh.  Setiausaha NATO  juga telah bertukar. Beberapa negara di Eropah telah mengadakan pilihan raya.  Ada kerajaan telah berubah. 

Donald Trump menang pemilihan Presiden dan akan  masuk kembali ke Rumah Putih. Presiden Biden akan bersara. Apakah perang Ukraine akan  di tamatkan.

Persoalan ini sedang di tanya oleh warga dunia. Persoalan ini timbul kerana Amerika akan mendapat Presiden baru.

Donald Trump  secara resmi akan  mengangkat sumpah menjawat kerusi Presiden pada Senin  20 Januari 2025. Ini bermakna – ketika tulisan ini di garap –  Joe Biden masih ada sebulan  lebih lagi sebagai Presiden.  Bermakna Joe Biden masih ada kuasa sebagai Presiden.

Pada tahun 1964 ketika UK berhadapan dengan krisis  mata wang sterling Perdana Menteri Harold Wilson (1916-1995)  berkata : a week is a long time in politic – satu minggu adalah lama dalam politik. 

Di Amerika satu bulan Trump menunggu untuk menjadi Presiden pelbagai perkara boleh berlaku. Malah pelbagai perkara telah pun berlaku.

Dengan licik dan terancang Biden telah membenarkan Ukraine menggunakan peluru berpandu  jarak jauh buatan Amerika untuk menyerang ke dalam Rusia hingga ke Moscow. 

Sebenarnya  PM Zelensky telah berkali-kali  merayu dan meminta agar Amerika, UK ,  France dan German membenarkan senjata  peluru berpandu jarak jauh buatan mereka  menyerang Rusia.

Pada awal perang permintaan ini telah ditolak.  Kali ini Biden telah membenarkan.  Ini dasar baru. Dasar persenjataan yang baru Presiden Biden.

Biden mengubah dasar dengan alasan  tentera Korea Utara datang membantu Putin. Putin ada bantuan  Korea Utara maka Ukraine dapat bantuan peluru berpandu  jarak jauh.

Pada 17 November 2024 Biden  membenar ATACMS – Army Tactical Missile Syatem di hantar ke Ukraine. Peluru ini boleh masuk 190 batu ke wilayah Rusia.

Hari berikutnya PM Britain Keir Starmer terus membuntuti Biden dengan menghantar peluru berpandu jarak jauh Storm Shadow  yang bergerak 600 batu satu jam. Peluru ini boleh masuk 155 batu ke wilayah Rusia. 

Sebelum perang ini bermula  Rusia ada mengeluarkan beberapa garis merah. Putin telah beberapa kali memberi ingatan dan amaran kepada Amerika dan NATO agar jangan lintasi garis merah ini.

Salah satu garis merah ini ialah Ukraine jangan menjadi anggota NATO. Juga  tidak ada senjata nuklear akan di pasang di Ukraine.  Amerika dan NATO  tidak  peduli.

Pada 24 September 2024 lalu, Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan kemas kini  doktrin nuklear Rusia. Ini sebagai tindak balas kepada apa yang Moscow anggap sebagai peningkatan campur tangan Barat di Ukraine. Beberapa bulan kemudian, pada hari Selasa 19 November, Putin memformalkan perubahan sebagai dasar rasmi Persekutuan Rusia. 

Doktrin yang disemak, bertajuk "Asas Dasar Negara Persekutuan Rusia dalam Bidang Pencegahan Nuklear". Doktrin ini  memperluaskan syarat Rusia untuk penggunaan senjata nuklear. Moscow kini bersedia untuk menggunakan senjata nuklear sebagai tindakan balas terhadap serangan nuklear, serta serangan konvensional yang mengancam kedaulatan atau integriti wilayah Rusia atau Belarus.

Jika wujudiah Rusia terancam maka senjata nuklear akan digunakan.

 Kenyataan dan amaran  Putin ini jelas seperti siang bermatahari. Tetapi  Amerika, UK dan NATO tidak ambil pot. Malah mereka menganggap ini gertak dan auta dari Putin.

Amerika, UK dan NATO tidak ambil pot terbukti apabila sehari sesudah Biden mengubah dasar  Rusia telah di serang. Pada 19 November 2024 Ukraine menyerang Rusia dengan  ATACMS  - peluru berpandu jarak jauh. Kemudian Rusia juga  diserang oleh Storm Shadow  buatan UK.

German dan France enggan campur tangan.

Bila Rusia di serang Ukraine dengan  peluru berpandu jarak jauh dunia menjadi gempar. Presiden Zelensky tersenyum puas kerana pucuk di cita ulam mendatang. Senjata di minta telah meledak. Moscow telah di serang.

Awas! Dua hari kemudian jawapan dari Putin sampai. Pada  21 November 2024 -  Ukraine terperanjat besar apabila Putin membalas ledakan dengan ledakan. 

Satu Eropah  tergamam.  Presiden Ukraine dengan cepat menuduh Rusia menggunakan ICBM – Peluru Berpandu Melintas Benua.  Media dunia jadi heboh apakah betul ICBM telah digunakan. Peluru ICBM ini boleh membawa bom nuklear. Senjata jenis ini  wujud tapi belum pernah di lancar untuk menyerang. Berita serangan ICBM Rusia menjadi heboh. 

Dunia untuk pertama kali melihat  Rusia melancarkan apa yang dikenali sebagai Oreshnik. Ini peluru berpandu jenis baru buatan Rusia yang membawa enam kepala peledak. Oreshnik telah meledak di wilayah Dnipro. Ini adalah wilayah ketenteraan Ukraine dimana peluru dan jet pejuang di simpan.

Oreshnik bukan Peluru Berpandu Melintasi Benua (ICBM). Oreshnik ialah peluru berpandu balistik jarak perantaraan Rusia (IRBM) yang dicirikan oleh kelajuan yang dilaporkan melebihi 7,610 batu satu jam. Peluru berpandu itu dilengkapi dengan enam kepala peledak, setiap satu dilaporkan mengandungi senapang, dan digambarkan sebagai sangat sukar untuk dipintasi.

Oreshnik juga  boleh dipasang untuk  membawa  kepala peledak nuklear.

Dalam satu ucapan sesudah Oreshnik meledak  Putin hanya berkata ‘ unstopable’  - tidak ada kuasa yang dapat menangkis Oreshnik.

Penggunaan peluru berpandu jarak jauh ini  dengan serta merta mengubah watak Perang Ukraine. Apa sebenarnya  niat Joe Biden memberikan Zelensky senjata baru ini.  

Sosok pertama di Amerika bersuara ialah bekas Lt. Jeneral Michael Flynn, sekutu lama Trump yang berkhidmat tidak lama sebagai penasihat keselamatan negara pada 2017.

Bekas Jeneral ini mahu Biden di pecat.  Ini kerana Biden telah membawa Amerika ke medan Perang Dunia Ke Tiga. 

Flynn  menulis  dalam blognya ‘ ... Biden sekarang membahayakan negara dengan mengambil langkah-langkah yang membentuk tindakan perang tanpa Pengisytiharan Perang - kuasa yang Perlembagaan berikan hanya kepada Kongres," tulisnya.

Hari ini mengikut pandangan Jeneral Flynn  dunia mungkin lebih hampir kepada perang nuklear. Lebih dekat lagi dari   Krisis Peluru Berpandu Cuba 1962 antara Presiden Kennedy   dengan Khrushev.

Di hari-hari akhir  Pentadbiran Biden  telah membawa Amerika ke dalam potensi perang nuklear dengan Rusia.

Apa yang jelas disini ialah Biden mahu mensabotaj Trump. Ledakan peluru berpandu jarak jauh adalah umpan untuk melihat apa tindakan balas dari Putin. Jika Putin gelabah dan  hilang perhitungan maka   jalan damai akan lebih jauh.

Presiden Biden yang memiliki kuasa untuk beberapa hari ini mahu perang di Ukraine ini di teruskan. Justeru  Biden sedang  melakukan  tindakan dan langkah-langkah yang jelas untuk memastikan Trump tidak ada pilihan. 

Biden mahu Trump hanya memiliki pilihan untuk meneruskan parang.

Dunia tahu apabila Trump menjadi Presiden dasar Amerika terhadap Ukraine akan berubah. Dari apa yang kita baca ketika berkempen  Trump mahu perang ini di tamatkan.

Pada 14 November di Florida CNN melaporkan : "Kami akan bekerja keras untuk Rusia dan Ukraine. Perang mesti berhenti. Rusia dan Ukraine mesti berhenti berperang," kata Trump.

JD Vance yang kini menjadi Timbalan Presiden ketika berkempen pernah mengkritik pakej bantuan Amerika kepada  Ukraine. Vance  mendesak Amerika mengadakan  rundingan dengan Rusia, walaupun Ukraine berkata ia tidak mahu mengadakan rundingan.

Amat jelas disini Presiden Trump dan Timbalannya mahu Perang Ukraine di tamatkan. Perkara ini disedari oleh Presiden Zelensky sendiri.

Pada Khamis 28 November Putin dalam sidang akhbar di Kazakhstan telah berkata - “Kami tidak menolak penggunaan Oreshnik terhadap tentera, kemudahan industri ketenteraan atau pusat membuat keputusan, termasuk di Kyiv,”.

Putin juga berkata senjata itu "setanding kekuatannya dengan serangan nuklear" jika digunakan beberapa kali di satu lokasi, walaupun  ia tidak dipasang dengan kepala peledak nuklear

Senjata baru dari Rusia ini sedang mengubah geo-politik Eropah dan dunia.
Tertiba Presiden Zelensky membuat kejutan. Dalam temu bual di stesen TV Sky News pada 29 November 2024  Zelensky mencadangkan perjanjian gencatan senjata boleh dilakukan jika wilayah Ukraine yang dikuasainya boleh diambil "di bawah payung NATO". Kawasan yang lain boleh dirunding  kemudian "dengan cara diplomatik".

Ini bermakna perang boleh ditamatkan. Ukraine masuk di bawah kawalan NATO. Wilayah seperti Donbas , Crimea dan Luhansk  boleh dirunding kemudian.

Kenyataan Presiden Ukraine ini keluar minggu lalu. Hingga ke hari ini belum ada jawapan dari Putin atau dari Rusia.  

Perang masih berterusan. Malah media dunia kini melaporkan keadaan Ukraine makin nazak.   Musim sejuk sudah sampai. Kuasa jana elektrik hampir pupus. Warga Ukraine makin terseksa. Soldadu Ukraine ramai yang gugur dan ramai lari enggan  berperang. 

Dalam keadaan sedemikian apakah Putin akan menerima cadangan Zelensky. Atau menunggu Ukraine angkat bendera putih. 

Dunia juga sedang menunggu  Trump masuk sekali lagi ke Rumah Putih. Tetapi kenapa sebenarnya Amerika dan NATO  memusuhi Rusia? Tunggu minggu hadapan. (TT)



TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/728117



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kito ado senjato sakau lagi hebat dari oreshnik..tak caya tanya bebudak jibby kakaka

Tanpa Nama berkata...

Serupa perang mini dunia ketiga ini bagai satu filem, Sum of All Fears. Akan ada satu mangkuk ayun main curi ayam kasik gaduh dua gedebe. Akan ada juga watak satu mat yahudi mabuk selit