PN gesa tubuh RCI siasat perjanjian RM1.1 bilion bekas menteri
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas siasatan bertaraf suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat perjanjian RM1.1 bilion yang didakwa melibatkan seorang bekas menteri kanan.
Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa tersebut perlu diketuai oleh seorang bekas hakim mahkamah atasan bagi memastikan siasatan dilakukan secara telus dan tegas.
Menurut Takiyuddin, langkah itu perlu memandangkan angka tersebut melibatkan dana awam yang besar dan menyentuh integriti sistem pentadbiran kerajaan.
"Langkah tegas dan segera amat perlu diambil jika kerajaan benar-benar serius dan komited dalam usaha memerangi rasuah dan salah laku hingga ke akar umbi.
"Kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berlindung di sebalik prosedur dan retorik semata-mata. Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan fakta sebenar," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan ke atas satu perjanjian antara kerajaan pusat dengan sebuah syarikat asing.
Kenyataan Takiyuddin itu menyusul selepas siasatan terbaru SPRM terhadap dakwaan perjanjian RM1.1 bilion membabitkan bekas menteri kanan, yang dikaitkan dengan anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dan sebuah syarikat asing.
Pada 17 Februari, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, tanpa menyebut nama Rafizi, menyatakan bahawa suruhanjaya itu akan meneliti sama ada wujud elemen rasuah, penyelewengan, atau salah guna kuasa bawah Akta SPRM 2009.
Rafizi menyifatkan siasatan SPRM terhadapnya sebagai bentuk "gangguan", dan mengaitkannya dengan tuntutan terbarunya agar Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki digantung tugas.
Takiyuddin berkata, maklumat daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa perjanjian berkenaan turut melibatkan seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa.
Dia turut memberi amaran bahawa kegagalan pihak kerajaan untuk bertindak secara telus hanya akan menguatkan persepsi negatif rakyat.
"Kegagalan bertindak tegas dan telus hanya akan menguatkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk menyembunyikan atau melindungi sesuatu atau seseorang," katanya lagi.
Tambah Takiyuddin, PN akan terus memantau isu ini bagi memastikan prinsip ketelusan dan akauntabiliti ditegakkan tanpa sebarang kompromi.
Siasatan SPRM terhadap dakwaan salah laku dan rasuah itu tertumpu kepada dua dasar utama negara - Program Silicon Vision dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang dilancarkan semasa tempoh Rafizi sebagai menteri ekonomi.
Mengenai kerjasama Silicon Vision dengan pereka cip Britain, Arm Holdings, Rafizi berkata rundingan melibatkan beberapa peringkat; daripada perbincangan antara pegawai kementerian dan Arm kepada rundingan antara kementerian yang melibatkan menteri perdagangan antarabangsa dan industri ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan menteri kewangan kedua, Amir Hamzah Azizan, serta libat urus antara Anwar dengan Ketua Pegawai Eksekutif Arm, Rene Haas dan pemilik SoftBank, Masayoshi Son.
Mengenai NETR, Rafizi berkata pelan hala tuju itu tidak melibatkan dana awam, perolehan, atau pelaksanaan projek oleh kementerian ekonomi.
Satu dasar bawah NETR, jelasnya, membolehkan pihak swasta membangunkan projek tenaga boleh baharu dan membekalkan tenaga hijau terus kepada industri tanpa melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Hasilnya, syarikat termasuk UEM Lestra, anak syarikat UEM milik Khazanah Nasional Berhad, mengumumkan pelaburan tenaga boleh baru secara besar-besaran.
Rafizi berkata projek RM2.5 bilion, 750MW milik UEM Lestra di Segamat, Johor, adalah inisiatif sektor swasta yang dijalankan melalui usaha sama dengan I-Squared Capital, dengan tenaga akan dijual kepada ESR Group Limited.
Anggota parlimen Pandan itu juga mengulangi bahawa kedua-dua dasar yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu melalui pelbagai peringkat kelulusan, termasuk pengesahan kabinet, sambil menegaskan bahawa Kementerian Ekonomi adalah kementerian perancang dan tidak menguruskan perolehan atau kontrak.
Presiden Parti Putra, Ibrahim Ali menyelar kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mempertahankan SPRM daripada terus dijadikan sasaran serangan politik.
Membidas sikap "talam dua muka" pimpinan kerajaan hari ini, Ibrahim mengingatkan rakyat bahawa pimpinan PKR sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pernah secara terbuka berikrar untuk mengambil tindakan keras terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
“Rakyat bukan lupa. Rakyat bukan pekak. Sebelum PRU15, pimpinan PKR secara terbuka berikrar mahu ‘menangkap Azam Baki’ jika menang pilihan raya.
“Itu bukan cerita warung, itu ucapan pentas yang direkod dan disiarkan.
“Jadi saya tanya secara terus, waktu itu bukan dorongan politik? Atau dorongan politik hanya halal ketika jadi pembangkang, dan haram bila sudah jadi kerajaan? Jangan guna kuasa untuk cuci ayat lama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Anwar ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini menegaskan bahawa setiap aduan salah laku terhadap mana-mana pegawai tertinggi kerajaan perlu diadili mengikut undang-undang dan bukannya atas dorongan politik.
Katanya, kerajaan tidak boleh menghukum seseorang atas dorongan politik atau disebabkan individu itu tidak disenangi segelintir pihak.
“Kalau perlu hukuman, kena ikut hukum (undang-undang) tapi jangan kita hukum kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau kerana ada dorongan politik dan cara kita selesai ini, bagi saya ini undang-undang. Kalau ada aduan-aduan yang benar, bawa ke mahkamah kerana proses ini sama seperti mana yang kita bicarakan sekarang dalam kes SPRM,” katanya.
Anwar sejak menjadi perdana menteri pada November 2022, dikatakan menjadi penyokong kuat Azam malah menegaskan ketua SPRM itu satu-satunya individu yang berani mengambil tindakan terhadap pemimpin rasuah.
Dia juga telah melanjutkan kontrak Azam sebagai ketua SPRM sebanyak tiga kali selepas usia persaraan.
'Abim sudah jadi macam 4B zaman BN'
Dalam kenyataan yang sama, Ibrahim turut menghalakan peluru terhadap Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang sebelum ini menyarankan agar isu rasuah tidak dipolitikkan.
Dia mendakwa pertubuhan itu kini telah hilang taring dan hanya sekadar menjadi "benteng" kepada kerajaan Madani, berbeza dengan imej lantang yang pernah dibawa mereka suatu ketika dahulu.
“Abim sudah menjadi benteng kepada Kerajaan Madani dan bukan lagi suara lantang Amal Maaruf Nahi Mungkar. Abim sudah jadi macam (Gerakan Belia) 4B zaman BN dulu.
“Kalau rasuah bukan isu politik, habis politik ini untuk apa? Politik bukan pertandingan siapa pandai bercakap, ia soal amanah mengurus negara. Kalau rasuah tak boleh dibincang dalam politik, itu namanya politik kosong,” tegasnya.
Persoal integriti MCW
Ibrahim turut menyentuh pandangan Malaysia Corruption Watch (MCW) yang menggesa agar institusi seperti SPRM diperkukuh.
Walaupun bersetuju dengan pengukuhan institusi, dia mempersoalkan sama ada wujud konflik kepentingan melibatkan MCW dan dana daripada pihak berkuasa.
“Institusi yang kukuh tidak takut pada soalan. Jangan jadikan alasan pertahan institusi untuk lari daripada konsistensi.
“MCW patut lebih berintegriti dari SPRM baru dipandang mulia. Kalau MCW pernah terima dana untuk kegiatannya dari SPRM, maka kita fahamlah? Ini bukan tuduhan, cuma rasa pelik. C4 (Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme) lebih tegas dan hebat peranannya,” katanya.
Sindiran 'munafik'
Tegas Ibrahim, prinsip perjuangan seseorang pemimpin tidak sepatutnya berubah mengikut kedudukan kerusi di Putrajaya. Dia menyifatkan tindakan mengubah pendirian selepas memegang kuasa sebagai satu bentuk hipokrasi.
“Dalam Islam, amar makruf nahi mungkar wajib ketika susah dan wajib ketika berkuasa. Kalau prinsip berubah bila dapat kuasa, itu bukan prinsip, tapi hipokrit atau munafik.
“Putra tidak main dua standard atau talam dua, tiga atau empat muka. Kalau salah, tetap salah. Prinsip tidak tunduk kepada jawatan atau kuasa,” katanya lagi.
KUALA LUMPUR | 19 Feb 26 — Malaysia kehilangan seorang tokoh penting dalam dunia perundangan apabila Tun Abdul Hamid Mohamad, bekas Ketua Hakim Negara, meninggal dunia pada Khamis, 19 Februari 2026 pada usia 84 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), menurut laporan keluarga.
Allahyarham, yang dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang, meninggalkan legasi panjang dalam sistem kehakiman negara melalui perkhidmatan selama lebih tiga dekad. Beliau memulakan kerjayanya sebagai majistret di Kangar dan Tapah sebelum dilantik Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990.
Beliau kemudian menyandang pelbagai jawatan penting termasuk hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Tun Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada usia 65 tahun, satu jawatan yang disandangnya sebelum bersara.
Urusan pengebumian dijangka dijalankan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya Presint 20, sementara jenazah masih berada di HUKM ketika berita ini ditulis.
Sepanjang kerjayanya, beliau dihormati atas sumbangan besar dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus badan kehakiman Malaysia. Kepulangannya dianggap satu kehilangan besar oleh komuniti perundangan negara dan bakal terus dikenang dalam sejarah kehakiman Malaysia. @politiko.my
Polis rampas dadah bernilai RM21 juta, dua sindiket tumpas
SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM21 juta.
Pengarah JSJN, Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan serta penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan pihaknya dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah.
“Dua operasi ini membuktikan komitmen berterusan JSJN dalam menumpaskan sindiket yang aktif di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Hussein Omar Khan menunjukkan sepucuk pistol dan peluru yang dirampas daripada sindiket sindiket membabitkan warga asing yang beroperasi di perairan Selangor dan Selat Melaka menerusi Ops Tapis.
Dedah beliau, kes pertama melibatkan Op Bena yang dijalankan pada 12 Februari lalu, membabitkan empat serbuan berasingan dan penahanan lima suspek tempatan berusia antara 27 hingga 37 tahun.
Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, heroin, MDMA, ganja, ekstasi dan erimin 5, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM8.4 juta.
“Suspek pertama dan kedua berperanan sebagai ‘runner’, suspek ketiga sebagai ahli sindiket, manakala suspek keempat dikenal pasti sebagai ketua sindiket. Suspek kelima pula merupakan kekasih kepada ketua sindiket,” katanya.
Tambah beliau, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Julai 2025 dan menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah dalam kenderaan yang ditinggalkan di lokasi tertentu sebelum diambil pembeli.
“Hanya seorang suspek didapati positif dadah hasil ujian saringan awal, manakala jumlah dadah yang dirampas boleh merosakkan kira-kira 793,000 pengguna,” ujarnya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Dalam kes kedua, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sabak Bernam berjaya menumpaskan sindiket membabitkan warga asing yang beroperasi di perairan Selangor dan Selat Melaka menerusi Ops Tapis.
Tiga suspek berusia antara 26 hingga 53 tahun ditahan dalam dua serbuan di Sekinchan, termasuk rampasan lebih 170 kilogram dadah pelbagai jenis serta sepucuk pistol bersama peluru.
“Hasil rampasan kes kedua ini dianggarkan bernilai RM12.6 juta dan mampu merosakkan kira-kira 830,000 pengguna,” katanya lagi.
Tambah beliau, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal 2021 dan menggunakan bot pancung sebagai pengangkutan untuk menghantar dadah ke negara jiran.
Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, selain tindakan pelucuthakan harta turut diambil.
“Keseluruhan kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius yang mengancam keselamatan, kesejahteraan rakyat serta maruah negara. -MalaysiaGazette
Dapatkan Buku Terbaru Hisham, hubungi 012-664-8873 Hadi
BUKU TERKINI
KEGANASAN, PENIPUAN & INTERNET (hegemoni media daulah pecah) Edisi/Cetakan Kedua
Rampaian tulisan-tulisan Hishamuddin Rais dari Malaysia Kini, Oriental Daily, Malaysia-Today, Suara Keadilan
Lima bulan dari Mei hingga Oktober 2008. Tersenarai 10 buku non-fiksyen tempatan. TERLARIS di toko buku MPH. Masih lagi TOP TEN BEST SELLER hingga kini
Buku boleh didapati di semua kedai-kedai buku Kinokuya, Borders, MPH, Popular Book Store, RiceCooker Annex Central Market atau datang ke Bau Bau Cafe Central Market