Isnin, 23 November 2026

MANUSIA IALAH VIRUS PEROSAK ALAM


ALAM ROSAK

BUMI KACAU

HASIL KERJA

MANUSIA SENDIRI

KHALAS

COP31 berakhir tanpa persetujuan, presiden kritik sikap segelintir negara


ISTANBUL: Presiden Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31), Murat Kurum secara rasmi menutup persidangan itu di Antalya pada Ahad tanpa mencapai sebarang persetujuan, sambil mengkritik beberapa negara yang gagal menunjukkan fleksibiliti dan komitmen diperlukan untuk mencapai kata sepakat.

Memetik laporan Anadolu Ajansi, Kurum yang juga Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim Türkiye mengumumkan cadangan keputusan menyeluruh tidak diterima pakai sebelum menutup persidangan selama dua minggu itu secara rasmi dengan mengetuk tukul persidangan.

"Malangnya, beberapa negara gagal menunjukkan usaha dan fleksibiliti yang dituntut oleh tanggungjawab bersejarah ini.

"Kami mengiktiraf kepentingan keutamaan nasional dan menghormati keadaan setiap negara.

"Bagaimanapun, dalam isu sepenting ini yang melibatkan masa depan bersama, kami mengharapkan semua pihak memikul tanggungjawab lebih besar untuk mencari penyelesaian," kata beliau ketika menutup sesi pleno.

Kurum berkata, Türkiye telah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kata sepakat sepanjang rundingan berlangsung, sambil menegaskan bahawa krisis iklim tidak akan menunggu sehingga pertikaian diplomatik diselesaikan.

"Dunia tidak menunggu, bencana tidak menunggu dan generasi akan datang juga tidak menunggu," katanya.

Beliau turut menyifatkan Agenda Tindakan, perkongsian antarabangsa dan inisiatif kerjasama yang diwujudkan sepanjang persidangan itu sebagai pencapaian berkekalan, meskipun cadangan keputusan menyeluruh gagal diterima pakai.

"Saya menyerahkan apa yang berlaku di sini, rundingan yang menemui jalan buntu dan keseluruhan prosesnya kepada penilaian masyarakat dunia dan seluruh umat manusia," kata beliau.

Sebelum mengetuk tukul sebagai simbol penutupan persidangan, beliau mengucapkan terima kasih kepada delegasi yang mengambil bahagian, rakan sejawat dari Australia dan Sekretariat PBB atas sumbangan mereka.

"Ketukan tukul ini akan menutup sesi persidangan, namun perjuangan kita akan diteruskan," kata beliau ketika mengisytiharkan penutupan rasmi COP31, CMP21 dan CMA8.

Persidangan itu menghimpunkan wakil dari 196 negara dan Kesatuan Eropah (EU) di Antalya, Türkiye bagi rundingan iklim selama dua minggu. BERNAMA-ANADOLU

Tiada ulasan: