Khamis, 19 Oktober 2017

NYAH NAJIB - SELAMATKAN MALAYSIA



NYAH NAJIB 
SELAMATKAN MALAYSIA

Satu gerakan besar yang paling tepat pada ketika ini untuk mengambil alih Putra Jaya  ialah kempen NYAH NAJIB.   Nyah Najib ini adalah satu projek  mengolah  persetujuan yang paling  stratejik dan masuk akal untuk menghadapi PRU14.

Kita lihat bagaimana Mahathir Muhamad dengan jelas dan tuntas telah menyatakan bahawa Najib ini seorang pencuri. Mahathir tidak menggunakan perkataan saperi kleptokrasi. Perkataan  ini tidak dihayati oleh Mak Cik dan Pak Cik Felda. 

Untuk mereka yang tidak ke Oxfart  perkataan kleptokrasi ini bukan saja susah untuk disebut malah mereka tidak memahami apa ertiya.

Najib seorang pencuri. Najib  lanun Bugis. Najib seorang panyangak. Najib curi duit untuk bini. Rosmah bini yang boros. Ini adalah ayat-ayat yang senang difahami dan dihayati oleh  orang ramai terutama oleh Mak Cik dan Pak Cik Felda yang kini menjadi penentu undi PRU14. 

Sayugia diingatkan - Felda hari ini memiliki 52 kerusi Parlimen dan 92 kerusi Dun. Tergelincir undi United Malays National Organisation dari Felda bermakna Najib akan  dinyahkan

Hakikatnya apabila  orang ramai telah memahami dan menghayati  bahawa Najib ini seorang  pencuri maka langkah saterusnya ialah kita  bersatu nyahkan Najib.

Perhatikan bagaimana  kita  terus mendengar ucapan dan isi ceramah Mahathir hanya dengan satu tujuan asas - menjatuhkan Najib dari tampok kuasa. Mahathir hanya menyerang Najib seorang pencuri - tidak yang lain. 

Laras senapang Mahathir hanya ditujukan kepada Najib.Tidak pada Si Polan yang ini  atau pada Si Polan yang itu - hanya Najib seorang.

Kerana ini untuk saya  Nyah Najib  dan Selamatkan Malaysia adalah laungan perjuangan yang amat tepat. Ini sama saperti ditahun-tahun 40’an dahulu apabila para nasionalis yang menentang Inggeris melaungkan MERDEKA. Amin.

Saya yakin pasti ada kumpulan NGO atau pakar pemikir dari Pakatan Harapan jenis Lokman Adam atau para Akademik dan para Kangkung yang akan berhujah bahawa laungan slogan nyahkan Najib ini tidak mencukupi. Pasti ada NGO yang akan berhujah bahawa Pakatan Harapan  perlu ada perubahan struktur. Pakatan Harapan wajib mengajukan  cadangan gantian yang menjamin masa depan Malaysia. Nyah Najib tidak cukup.

Dalam tulisan ini biar saya terangkan kenapa yang kita perlukan di Malaysia ini hanya  stratiji Nyah Najib. 

Dalam membuat propaganda - dalam mengolah persetujuan kita bukan berniat nak tunjuk cerdik atau tunjuk bijak. Justeru kita tidak perlu menggunakan perkataan yang tidak dihayati umum. 

Kalau DOJ Amerika menggunakan  perkataan kleptokrasi, kita tidak diwajibkan oleh Allah untuk mengikutinya. Kita wajib mencari perkataan yang dihayati orang ramai. Tabik untuk Mahathir kerana dia hanya menuduh Najib sebagai pencuri.

Dalam strateji menyerang musuh kita tidak perlu membuka banyak laman perang. Kita tidak perlu menembak  guna peluruh penabur. Arahkan senapang kita kepada dada seorang musuh utama saja. Ini cara  Mahathir menyerang. Dia hanya menyerang Najib. 

Dalam perang kita mengurangkan musuh. Dalam perang kita memperbanyak kawan. Dalam perang kita mengenal musuh utama dan musuh sampingan. Dalam perang kita mendirikan barisan bersatu atau united front. Ini sedang dilakukan oleh Mahathir. Semua ini  adalah  cara berfikir , taktik dan stratiji  kaum Marxis. 

Tapi Mahathir bukan penganut fahaman Marxis. Justeru, apa yang berlaku ialah Mahathir sedang menggunakan alat pertukangan kaum Marxis untuk menyerang Najib. Amin.

Malaysia kita  ini adalah sebuah   Negara Dunia Ketiga. Ayat ini amat amat penting dalam analisa politik. Penting dalam analisa ekonomi. Penting dalam melakar stratiji perjuangan politik. Gagal memahami ciri dan pola negara Dunia Ketiga maka kita akan gagal dalam stratiji perjuangan politik.

Politik negara Dunia Ketiga ini tidak sama dengan politik Australia, New Zealand, Canada, United Kingdom atau Belgium.  Ini negara Dunia Kedua dan negara Pertama.

Politik kita sama dengan politik Pilipina , Indonesia , Kenya , Ghana  atau  Barundi. Politik kita sama dengan 49 negara- negara Komanwel - bekas tanah jajahan British.

Politik dan ekonomi negara Dunia Ketiga berwatak  negara pasca kolonial, bekas tanah jajahan. Justeru  Malaysia ini  masih lagi berwatak satengah kolonial dan satengah feudal. Negara Dunia Ketika wujud dipinggir sistem kapitalis global. Berniaga  sebagai pengeluar, sebagai pembekal bahan mentah. Menjadi pasaran produk senjata, produk budaya dan bahan berteknoloji tinggi dari negara Pertama dan Kedua.

Satu pola yang amat-amat penting di Malaysia  ini ialah super struktur kita masih lagi  satengah feudal dan satengah kolonial. Jika tidak memahami hakikat ini maka segala kerja politik akan gagal.

Apakah tanda  Malaysia kita ini masih satengah feudal? Disini saya buktikan dengan tuntas. 

Mustahil tidak melihat sandiwara politik yang sedang terpapar dihadapan mata kita sekarang.  Satu dunia sedang  menyaksikan bagaimana Sultan Johor muncul dengan kenyatan yang jelas, tuntas dan masuk akal dalam kes mesin basuh Islam. 

Ini berlaku apabila pemimpin pentadbiran negara -  Najib, Zahid Hamidi dan kaum kerabat para menteri yang semuanya  Berhaji dan Berlebai tidak berani bersuara.  Saban tahun para Menteri Islam dari United Malays National Organisation akan  berbuih-buih mulut berdoa depan Batu Hitam ketika berumrah. Tetapi ketika ini mereka tidak berani mengeluarkan pendapat salah  atau benar tentang  mesin basuh Islam.

Lalu muncul Sultan. Titah Sultan mendapat sokongan padu dari rakyat. Rakyat tidak mempedulikan Jakim, Jais, Jawi, Japon atau Japeng atau Menteri Jual Agama dan suku sakatanya. Ini tandanya Malaysia kita ini adalah negara Dunia Ketika. Negara  satengah kapitalis satengah feudal.

Memahami semua ini adalah wajib. Pemahaman kita ini akan memperkukuhkan lagi gerakan kita untuk nyahkan Najib dari tampok kuasa.

Apa yang wajib kita lakuKan untuk nyahkan Najib?

Apakah kita hanya nyahkan  Najib seorang? Bagaimana dengan yang lain. Mereka juga penjenayah. Mereka juga menjarah negara ini. Mereka juga merompak dan melanun. Apakah mereka kita lupakan?
Untuk menjawab pekara ini - kita wajib merujuk kembali kepada ciri dan pola  Malaysia sebagai negara Dunia Ketiga.  

Dalam negara Dunia Ketiga semua lembaga daulah, semua jentera daulah terpusat dibawah kuasa pemimpin ulung. Di Malaysia ini semua kuasa terpusat kepada Najib. 

Najib ialah Presiden kepada United Malays National Organisation. Najib ialah Pegerusi Barisan Nasional dan kaum kerabatnya. Najib ialah pemegang kunci peti besi ekonomi. Najib juga pemegang kunci penjara SOSMA. Paling terbaru Najib juga pemegang kunci  Majlis Keselamatan Negara. 

Ini adalah ciri dan pola politik negara Dunia Ketiga. Pemusatan kuasa itu cukup jelas.  Kuasa politik, kuasa ekonomi dan kuasa polis dan kuasa tentera semuanya terpusat pada sosok yang benama Najib. Ini ciri dan pola  yang berlaku di Indonesia , di Pilipina, di Iraq, di Kazakhtan dan di negara kuam sajenis dengannya.

Demokrasi yang diamalkan di Malaysia hanyalah prosedur demokrasi. Demokrasi bentuk ini menuliskan dengan jelas   lagi cantik dalam Perlembagaan akan konsep pemisahan kuasa.

Dalam Perlembagaan dengan jelas dilakar kuasa pembuat undang-undang  dipisahkan dari kuasa si penguat kuasa undang-undang. Tapi dalam negara Dunia Ketiga semua ini hanya skrip sandiwara. Dalam negara Dunia Ketiga tidak wujud lembaga semak dan imbang. 
Di Malaysia ini semuanya disemak oleh Najib dan diimbang oleh Rosmah.

Contoh terbaik untuk membuktikan kesahehkan  hujah saya ini ialah  dengan melihat tindak tanduk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lembaga ini sedang  ke hulu ke hilir tangkap menangkap. Tetapi kes rasuah yang paling  besar dibumi Allah ini sekarang - kes Najib mencuri duit 1MDB - tidak akan diusik oleh SPRM. Mustahil SPRM akan melawan towkay.

Dalam negara Dunia Ketiga lembaga  saperti SPRM atau SPR atau  apa sahaja lembaga daulah semuanya akan tunduk  akur menyembah Najib - pemimpin ulung negara.
Sosok yang bernama Najib ini adalah  wilayah pemusatan kuasa. Justeru jika dinyahkan Najib maka segala lembaga,  segala sekutu, segala macai, segala kroni , segala jentera daulah, segala aparacik akan runtuh terbarai.

Saya amat yakin jika Najib dinyahkan akan muncul pegawai polis yang berani bersuara menyatakan siapa memberi arahan membunuh  Altantuya. Saya  juga yakin akan muncul bukti tentang arahan untuk membunuh Kevin Morais. 

Saya juga yakin akan ada anggota polis yang akan muncul dengan fakta untuk menunjukkan hubungan intim bekas  Ketua Polis Khalid Abu Bakar dengan penjenayah Gopi.  

Saya juga yakin dalam masa beberapa bulan sesudah Najib dinyahkan maka Jho Low yang kini dilindungi oleh China Merah akan ditangkap oleh Interpol. Dalam beberapa hari sesudah Jho Low ditangkap  maka  Riza Aziz pula akan dihantar ke Los Angles untuk dibicarakan.

Sebaik sahaja Najib berjaya dinyahkan  maka akan muncul Tuan Tuan Hakim dan Peguam yang mengakui bahawa kes liwat Anwar Ibrahim adalah satu penipuan. Sebaik sahaja Najib dinyahkan  saorang Peguam Tersohor akan cabut lari -  gulung tikar bantal pindah ke India.

Sebaik sahaja Najib dinyahkan dari Putrajaya rakyat Malaysia akan dapat melihat rantai intan berlian merah jambu milik Rosmah Mansor yang dibeli dengan duit curi 1MDB.

Sebaik saja Najib dinyahkan satu dunia - wartawan satu dunia akan datang untuk  mula mengira  berapa banyak koleksi beg Birkin milik Rosmah Mansor.

Ini politik negara Dunia Ketiga.  Semuanya tertumpu kepada sosok Presiden United Malays National Organisation. Semua bergantung kepada sosok Najib.  Najib ialah tembok yang perlu dipecahkan dan dinyahkan.

Jika Najib dinyahkan maka semua perjanjian tipu yang dibuat oleh  Najib dengan China Merah akan dilupuskan. Apabila Najib dinyahkan maka Tanah Melayu akan diselamatkan dari menjadi tanah jajahan China Merah. Tanpa Najib Tanah Melayu akan bebas dari dinjak-injak dan dibuli oleh China Merah.

Justeru  dalam politik negara Dunia Ketiga yang perlu kita lawan hanya satu. Hanya satu sosok - iaitu Najib. Lalu timbul persoalan bagaimana cara terbaik untuk kita nyahkan Najib? Tunggu minggu hadapan. (TT) 


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45





--------------------

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Camana ya..
Pangkah memangkah tak buleh harap..
turun jln raya, lagi tak jadi apa.
Pakat berdoa...doa depa lagi mustajab.
Habaq mai la camana.

Tanpa Nama berkata...

Dunia Ketiga?
ke
DUNIA KE-EMPAT?


p.s. dimana ada UMNO, disitu mesti ada LEMBAGA! GERENTI!!!!!!!!!!!!