DARI FAIL SEJARAH
Kumpulan reformasi cuba guling kjaan guna bom, pelancar bom
Polis hari ini mendakwa tujuh pemimpin yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak semalam berusaha menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi besar-besaran dan di luar batasan undang-undang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai berkata demikian dalam sidang akhbar bagi menjelaskan tangkapan pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi di Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman petang ini. [Teks penuh di bawah]
Mereka adalah Naib Presiden parti itu Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobalakrishnan, pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan 'memorandum rakyat' Saari Sungib dan penulis tamu malaysiakini serta juga aktivis reformasi Hishamuddin Rais.
Sementara dua tangkapan terbaru membabitkan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Kamaruddin dan aktivis Pemuda Keadilan Abdul Ghani Haroon.
Menurut Norian, kumpulan reformasi sejak September 1998 cuba menggulingkan kerajaan dan bertindak secara militan dengan mendapatkan bom dan pelancar bom, selain menggunakan bom petrol (molotov cocktail), bebola penggalas (ball bearing) dan senjata-senjata berbahaya.
Peralatan itu didakwa digunakan untuk menyerang anggota keselamatan bagi menimbulkan keadaan huru-hara ketika demonstrasi jalanan seperti yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur pada Oktober tiga tahun lalu.
Memudaratkan negara
"Adalah jelas aktivis reformasi sanggup melaksanakan kegiatan-kegiatan di luar perlembagaan dan undang-undang demi mencapai matlamat mereka," kata Norian.
Kata Norian, polis bertindak di bawah seksyen 73 (1) akta itu kerana pihaknya percaya terdapat alasan-alasan untuk menahan mereka di bawah seksyen 8 kerana "bertindak dengan cara yang memudaratkan keselamatan negara."
Di samping itu, polis juga mendakwa kumpulan reformasi dalam tempoh tiga tahun ini cuba mendapatkan bantuan guru-guru silat, selain mempengaruhi sebilangan bekas pegawai dan anggota keselamatan supaya menyertai gerakan tersebut.
Kata pegawai tinggi polis itu lagi, polis telah menangkap 28 orang aktivis reformasi di bawah akta yang sama antara 20 September hingga 24 Disember 1998 "bagi membendung aliran militan gerakan tersebut."
Aktivis reformasi juga didakwa menyebarkan berita-berita palsu yang menggemparkan seperti ramai orang Melayu telah dikristiankan semasa pilihanraya kecil Lunas, Kedah November tahun lalu.
Dua pendekatan
Polis juga percaya 20 anggota kumpulan reformasi telah bertemu sebanyak 12 kali di Kuala Lumpur antara 6 Januari hingga 4 April tahun ini bagi menjayakan perhimpunan 'Black 14'.
Menurut kenyataan rasmi polis lagi, kumpulan reformasi merancang untuk mengumpul kira-kira 50,000 orang pada perhimpunan itu di depan pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Sabtu ini.
"Perhimpunan serta perarakan ini berpotensi menjadi rusuhan," kata Norian lagi.
Menurut kajian polis, akhir tahun lalu aktivis gerakan itu telah membuat ketetapan untuk menggunakan dua pendekatan bagi mencapai matlamat mereka iaitu:
- akan terus melibatkan diri dalam proses demokrasi yang normal serta sistem pilihanraya,
- melalui cara-cara di luar perlembagaan, (mereka akan) mencetuskan demonstrasi jalanan secara besar-besaran dan bercorak militan menjelang pilihanraya umum 2004.
Kenyataan Akhbar Ketua Polis Negara Mengenai Penangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960
Pada 10 dan 11 April, 2001 pihak polis telah menangkap dan menahan tujuh orang aktivis reformasi di bawah seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Mereka yang ditangkap dan ditahan adalah:
1.1 Mohamad Ezam bin Mohd Nor, 34 tahun;
1.2 Chua Tian Chang (Tian Chua), 37 tahun;
1.3 Nisamuddin Md Rais atau Hishamuddin Rais, 50 tahun;
1.4 Saari bin Sungib, 43 tahun;
1.5 Gobalakrishnan a/l Nagapan, 41 tahun;
1.6 Raja Petra Raja Kamaruddin, 49 tahun; dan
1.7 Abdul Ghani bin Haroon, 36 tahun;
2. Tangkapan dan penahanan ini dilakukan kerana terdapat maklumat-maklumat mengenai penglibatan mereka dalam kegiatan yang boleh memudaratkan keselamatan negara. Pihak polis perlu menjalankan siasatan yang rapi di atas maklumat-maklumat tersebut. Kegiatan reformasi yang bermula pada bulan September 1998 merancang untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan secara besar-besaran dan bersiap-sedia untuk bertindak secara militan dengan mengambil beberapa pendekatan seperti berikut:
2.1 Telah melaksanakan langkah-langkah tertentu untuk mendapatkan bahan letupan, termasuk bom dan 'grenade launcher' (pelancar bom);
2.2 menggunakan 'molotov cocktail' (bom petrol), 'ball bearing' (bebola penggalas) serta berbagai-bagai senjata berbahaya untuk menyerang pihak keselamatan bagi menimbulkan keadaan huru-hara semasa demonstrasi jalanan di sekitar Kuala Lumpur pada Oktober 1998; dan
2.3 mendapatkan bantuan dan sokongan guru-guru silat serta mempengaruhi bekas sebilangan bekas pegawai dan anggota keselamatan supaya menyertai gerakan mereka.
3. Bagi membendung trend militan gerakan reformasi tersebut maka pihak polis telah mengambil tindakan ke atas 28 orang aktivis reformasi di bawah seksyen 73 (1) ISA 1960 antara 20 September hingga 24 Disember 1998. Tindakan-tindakan pihak polis tersebut telah dapat meredakan keadaan buat sementara waktu.
4. Pada pertengahan tahun 1999, aktiviti gerakan reformasi muncul kembali dengan berselindung di sebalik platform sebuah parti politik di mana sebilangan daripada mereka telah menjalankan kegiatan-kegiatan yang boleh mewujudkan ketegangan kaum melalui isu-isu keagamaan dan perkauman.
Ini termasuk penyebaran berita-berita palsu yang menggemparkan seperti dakwaan bahawa ramai Melayu telah dikristiankan semasa pilihanraya kecil Lunas (Kedah). Ciri-ciri militan semasa pilihanraya kecil itu juga telah dilakukan oleh aktivis reformasi melalui perbuatan ganas dengan mengancam, mengugut dan menakut-nakutkan para pengundi serta orang ramai.
5. Pada akhir tahun 2000 aktivis reformasi telah membuat ketetapan untuk menggunakan dua pendekatan berikut bagi mencapai matlamat mereka:
5.1 Akan terus melibatkan diri dalam proses demokrasi yang normal serta sistem pilihanraya; dan
5.2 Melalui cara-cara di luar perlembagaan dengan mencetuskan demonstrasi jalanan secara besar-besaran dan bercorak militan menjelang pilihanraya umum 2004.
6. Ke arah merealisasikan perancangan tersebut, satu kumpulan sulit yang dianggotai oleh lebih kurang 20 orang aktivis reformasi telah diwujudkan di Kuala Lumpur. Sejak 6 Januari hingga 4 April 2001, sebanyak 12 perjumpaan sulit telah diadakan oleh kumpulan ini bagi merancang untuk mempengaruhi rakyat membudayakan demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram secara militan.
Antara perancangan terpenting gerakan reformasi dalam masa yang terdekat ini adalah untuk menganjurkan demonstrasi jalanan yang dipanggil 'Black 14' secara besar-besaran di Kuala Lumpur pada 14 April, 2001.
Bagi mengelirukan pihak keselamatan, perhimpunan tersebut dipanggil 'Perhimpunan Penyerahan Memorandum Rakyat Mengenai Hak Asasi Manusia' di mana mereka merancang untuk mengumpulkan seramai lebih kurang 50,000 orang yang akan berhimpun di sekitar Kuala Lumpur. Perhimpunan serta perarakan ini berpotensi menjadi rusuhan.
7. Adalah jelas aktivis reformasi sanggup melaksanakan kegiatan-kegiatan di luar perlembagaan dan undang-undang demi mencapai matlamat mereka. Oleh itu tindakan di bawah seksyen 73 (1) ISA 1960 diambil kerana pihak polis mempercayai ada alasan-alasan untuk menahan mereka di bawah seksyen 8 ISA 1960 kerana telah bertindak dengan cara yang memudaratkan keselamatan negara.
Tarikh: 11 April, 2001
-------------