DOKUMEN SOKONGAN MERUJUK DATUK AHMAD MASLAN KE JK HAK & KEISTIMEWAAN DISERAHKAN KEPADA SPEAKER
Saya telah menyerahkan dokumen-dokumen sokongan seperti yang diminta oleh YB Pandikar Amin Mulia, Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung usul yang saya failkan untuk merujuk Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan Rakyat kerana memberi kenyataan yang salah berhubung tanggungan kewangan Kerajaan Persekutuan terhadap hutang-hutang 1MDB.
Dokumen itu disertakan bersama untuk makluman pihak media.
Saya tidak dapat hadir di Dewan Rakyat pada hari ini kerana masih lagi uzur akibat viral fever sejak beberapa hari yang lalu. Pun begitu, saya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan kejujuran YB Yang Dipertua dan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memutuskan perkara ini dengan seadilnya.
Saya sedia maklum kenyataan media Ahmad Maslan yang berpendapat perkara ini sepatutnya tidak dipanjangkan. Namun, soal hutang 1MDB adalah soal Negara dan rakyat yang terbesar yang perlu terus diberikan perhatian, bukannya ditutup dengan mudah.
Walau apa pun keputusan YB Yang Dipertua mengenai usul saya itu, saya dan rakan ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain akan terus memberi perhatian membongkarkan masalah hutang 1MDB ini.
RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
17 November 2014
-----------