Aku tidak pasti. Aku tidak tahu. Tarikh tepat bila konfrontasi resmi diumumkan bermula. Aku hanya mendengar perkataan – konfrontasi. Aku sendiri tidak faham makna perkataan ini. Atau dari mana asal usul perkataan itu. Bunyinya bukan Melayu , bukan Jawa dan jauh sekali dari bahasa Sakai.
Jujur aku nyatakan pada tahun 1963 aku tidak tahu akar umbi – konfrontasi - dari mana. Aku hanya mendengar – faham tidak.
Konfrontasi ini berlaku pada tahun 1963. Aku dalam darjah enam – standard six – di Goverment English School Kuala Klawang. Baru dua tahun beralih dari sekolah aliran Melayu masuk belajar ke sekolah aliran Inggeris.
Bahasa Inggeris baru nak dapat. Ini zaman : Ba Ba Black Sheep – Yes Sir Yes Sir Three Bags Full. Zaman menghafal lagu-lagu budak sekolah dalam Bahasa Inggeris. Bahasa politik – konfrontasi ini – tidak aku temui dalam lagu Jack and Jill. Jack dan Jill aku rasa tidak berkonfrontasi.
Ketika ini keluarga Cik Gu Zaleha duduk di rumah guru Sekolah Umum Batu Serambai. Abah aku telah berhenti jadi Askar Polis Khas ( SC ) .
Askar Gurkha di Kuala Klawang sudah balik kampung. Tuan Ellis dan Tuan Ebon sudah balik kampung. Tanah Melayu dilaporkan telah merdeka. Kini alamat surat mesyuarat semuanya di akhiri dengan PTM – Persekutuan Tanah Melayu.
Di Kuala Lumpur aku difahamkan Perdana Menteri PTM bernama Tunku Abdul Rahman. Tunku ini anak raja Kedah dengan perempuan Siam. Perempuan Siam jenis apa aku pun tidak tahu. Yang Di Pertuan Agong ketika itu Sultan Perlis.
Sesekali melalui jabatan penerangan – wayang propaganda a.k.a wayang pacak a.k.a wayang Mail Penganda - dapat aku melihat muka Tunku dan muka Agong. Aku melihat orang-orang di Kuala Lumpur minum-minum dalam gelas cantik kemudian menari berdansa macam Orang Putih.
Kami di kampung melopong melihat betapa indahnya kota Kuala Lumpur.
Tahun 1960 – sebungkus nasi lemak harga 5 sen. Sekeping roti canai harga 15 sen. Gula-gula Hack 5 sen dua butir. Rokok Tembak 30 sen sekotak. Rokok Cap Talipon 10 sen sekotak. Harga getah keping grade yang terbaik 1 ringgit lebih sekati. Getah sekerap 30 sen sekati. Susu manis Cap Junjung dan Cap Teko 40 sen satu tin. Sardin tin kecil Cap Ayam 15 sen satu tin.
Dari Kuala Klawang ke Batu Serambai tiket Bas Lim berharga 10 sen. Dari Kuala Klawang ke Seremban tiket bas 80 sen. Kalau naik teksi satu ringgit
Semua ini menjadikan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri yang paling gembira di negara-negara bekas tanah jajahan Inggeris. Ini tiga tahun sesudah Inggeris memberikan kuasa pentadbiran Tanah Melayu kepada United Malays National Organisation.
Entah apa berlaku di Kuala Lumpur. Entah apa berlaku di belakang tabir tertiba Konfrontasi terjadi.
Presiden Sukarno dari Indonesia marah dengan Tunku di Persekutuan Tanah Melayu.
Aku benar-benar tahu tentang berita ini. Kerana ketika ini selain dari mendengar Radio Malaya aku membaca Utusan Melayu – Jawi. Keluarga kami melanggan akhbar Jawi yang mengakui sebagai pembina fikiran Melayu.
Sukarno – sosok ini amat-amat dihormati oleh keluarga aku. Kaum keluarga aku menganut fahaman nasionalis Melayu. Ini kerana Aminuddin Manaf abang kepada Rais Manaf seorang nasionalis Melayu Nusantara. Sebagai kepala keluarga yang berpendidikan tinggi - lulusan SITC – Sultan Idris Training College. Justeru Pak Ngah aku ini berpengaruh dikalangan keluarga dan orang di Jelebu.
Pak Ngah aku ini di kenali oleh kawan-kawan perjuangan dari SITC dengan nama Bung Amin.
‘ Pak Ngah kau tu orang panggil dia Bung Amin...dia orang berjuang...lawan Orang Putih nak merdeka....’ Cik Gu Zaleha memberi penjelasan.
Sepupu-sepupu aku - anak-anak Bung Amin menggambarkan semangat nasionalis Melayu Nusantara keluarga kami.
Sepupu yang tua dari aku bernama Joyo. Mengikut emak nama Joyo ini diambil dari nama Ali Sastroamidjojo ( 1903-1976). Sosok ini pernah menjadi Perdana Menteri Indonesia.
Seorang lagi sepupu aku bernama Suban dari nama Subandario (1914-2004). Nama yang sering didengar atau dibaca oleh semua orang Melayu ketika zaman Sukarno. Subandario - nasionalis kiri - Menteri Luar Indonesia dalam kabinet Sukarno. Subandario meninggal dunia dalam penjara - satelah 29 tahun dalam di penjara oleh Jeneral Suharto.
Seorang lagi sepupu aku bernama Rizal – ini dari nama nasionalis Filipina – Jose Rizal (1861-1896).
Semangat Nusantara ini melimpah kepada Pak Saudara aku – Kadir Kassim. Pak Itam Kadir ini seorang guru sekolah telah memberi nama anaknya Aidit. Ini diambil dari nama D.N. Aidit (1923-1965 ). Aidit ialah Setiausaha Agong Parti Komunis Indonesia. Mati dibunuh oleh Jeneral Suharto ketika dia merampas kuasa dari Sukarno tahun 1965.
Aku pernah terdengar perbualan ‘orang tua-tua ‘ bagaimana Pak Itam Kadir aku akan memasang telinga mendengar radio Republik Indonesia di pagi Hari Raya. Pak Itam Kadir mencari saluran Radio Republik Indonesia untuk mendengar pidato Hari Raya Bung Karno.
Justeru keluarga aku amat susah untuk menerima Sukarno sebagai musuh. Malah masyarakat Melayu sentiasa menganggap Indonesia dan kita di Tanah Melayu sebagai satu rumpun – rumpun bangsa Melayu Nusantara. Yang memisahkan kita bukan Selat Melaka tetapi kerja jahat Belanda dan Inggeris
Pada tahun 1960’an – suara dan laungan perjuangan kemerdekaan Ahmad Boestamam, Wahi Anwar atau ceramah Dr Burhanudin Hilmy - masih lantang kedengaran. Suara dan sosok-sosok nasionalis Melayu Nusantara ini masih wujud.
Sebelum tahun 1961 Utusan Melayu telah memainkan peranan yang tepat – membina dan memperkasa fikrah nasionalis Melayu. Said Zahari, Usman Awang, Kris Mas Pak Sako adalah kumpulan wartawan dan penulis yang memainkan peranan penting di Utusan. Mereka semuanya berkiblat ke Nusantara.
Utusan Melayu hanya menjadi ‘presstitute’ atau ’ pelacur media ’ satelah akhbar nasionalis Melayu ini dibeli oleh United Malays Natoinal Organisation pada tahun 1961. Justeru berlaku Mogok Utusan.
Kemudian Ketua Pengarang Utusan Said Zahari di tangkap pada 2 Februari 1963 di Singapura di bawah Operation Cold Storage.
Tahun 1963 – zaman aku kanak-kanak adalah mustahil untuk aku memahami apa yang sedang berlaku di Utusan Melayu atau pun Konfrontasi.
Tertiba abah aku Rais Manaf dipanggil kembali untuk menjalankan khidmat negara. Semua bekas askar dan polis khas ( SC) yang telah bersara dipanggil kembali. Mereka diwajibkan mendaftar diri.
Abah aku pergi ke pemeriksaan doktor. Dia disahkan sihat. Maka abah aku kembali memakai baju hijau memegang senjata. Kali ini tugas abah aku ialah menjaga tempat-tempat strategik seperti pusat pencawang telekom, loji dan empangan air.
Tempat-tempat strategik ini dilaporkan menjadi sasaran musuh. Pada ketika ini aku masih belum jelas siapa musuh.
Dari radio aku dengar berita bahawa Sukarno menentang penubuhan negara baru yang akan diberi nama Malaysia. Nama Persekutuan Tanah Melayu akan dialih menjadi Malaysia.
Dari Utusan aku membaca tentang negeri Sabah, Sarawak, Berunai dan Singapura akan masuk ke dalam Tanah melayu untuk jadi Malaysia.
Aku merasa agak pelik kerana Sabah , Sarawak dan Berunai langsung tidak ada kaitan dengan aku. Aku tidak tahu menahu tentang wilayah ini.
Tanah Melayu – ada Melaka – ada Hang Tuah, ada Hang Jebat – ada Pak Pandir, ada Lebai Malang, ada Sang Kancil ada Pak Belang. Aku dibesarkan dengan watak-watak ini. Aku tak tahu ada apa di Sabah. Aku tidak tahu apa itu Sarawak. Yang aku tahu hanya nenas Sarawak. Berunai? Aku hanya dengar Berunai ada minyak.
Ketika Konfrontasi berlaku Sabah , Sarawak dan Berunai masih lagi tanah jajahan Inggeris. Aku terperanjat bila nama Singapura masuk sama. Aku sendiri tidak sedar ketika Inggeris meninggalkan Tanah Melayu pada tahun 1957 Singapura masih lagi tanah jajahan Inggeris.
Bagaimana Pulau Temasik – kota Sang Nila Utama dengan kesah Hang Nadim dan ikan todak ini tercicir aku tidak faham..
Dari warta berita Radio Malaya aku dengar berita Sukarno memulakan kempen Ganyang Malaysia.
Wow ! Ganyang ini bermakna pijak memijak.
Dari Utusan Melayu selain dari perkataan konfrontasi aku juga mendengar perkataan neo-koloni – kadang-kandang jadi nekolim. Ini pun perkataan politik yang aku tak faham.
Bung Karno mentakrif Tanah Melayu dan Malaysia ini hanyalah projek neo-koloni kepada Inggeris.
Kami budak- budak kampung Batu Serambai tidak tahu apa yang sedang berlaku. Dulu Abah aku jadi askar untuk lawan komunis. Ini kerana Parti Komunis lawan Inggeris. Parti Komunis mahu merdeka tak mahu Tanah Melayu terus menjadi tanah jajahan Inggeris. Ini aku faham.
Tertiba satu malam aku terdengar bunyi yang amat kuat – menderam kuat.
Esoknya petang ketika kami bermain di padang sekolah aku dengar cerita dari Ayen. Bunyi menderam kuat tengah malam ialah kapal terbang Indonesia telah masuk ke Gagu
‘ Kao dengar bising bunyi kapal terbang tak.. malam tadi askar payung terjun Indonesia turun ke Gagu...’ Ayen membuka surah.
‘ Betul ke...Pasal apa Gagu...’ soalan dari Ujang.
‘ Gagu ramai orang Minang di sana...’ Ayen menjelaskan.
‘ Kita ni nak perang ke ....’ Pertanyaan Ujang yang tidak dapat jawapan
Ayen anak Raja Husin lebih tua dari Ujang dan aku. Sapa perawi berita ini tidak aku ketahui. Ketika itu semua berita dari sosok yang lebih tua dari aku pasti akan aku percaya dan yakini. Umur membawa kebenaran.
Petang itu cerita askar payung terjun turun di Gagu mengganggu permainan Semut Api kami. Permainan ini senang saja. Kami cari lubang semut di atas padang yang keras tak berumput. Kemudian kami pancing semut api. Kami cabut batang rumput panjang. Kemudian bubuh air liur dan masukkan rumput yang basah ke dalam lubang. Bila rumput bergerak gerak ertinya pancing telah mengena. Tarik keluar pasti ada semut api berwarna hitam.
Kami akan gaduhkan semut ini. Untuk mengenali siapa tuan pemilik semut yang sedang bergaduh - seekor semut akan di potong sedikit misainya sebagai tanda. Kemudian semut dilagakan untuk bergaduh.
Berita askar payung terjun di Gagu ini meyakinkan aku bahawa Bung Karno memang nak bergaduh dengan Tunku. Mereka nak jadi Semut Api.
Dari Radio Malaya dan Utusan aku mendapat tahu di Jakarta di depan Pejabat Duta ada tunjuk perasaan menentang Tunku. Kempen Ganyang Malaysia sedang berjalan.
‘ Sukarno mainkan lagu Terang Bulan...’ Emak aku memberi penjelasan.
Dari mana Emak aku memungut berita ini aku tak tahu. Hal Terang Bulan ini Emak aku memang arif. Dari awal lagi Emak aku telah bersurah tentang Terang Bulan.
Aku sedar Sukarno memperlekeh Tunku yang menciplak lagu Terang Bulan dari lagu Indonesia. Lagu Terang Bulan – lagu ciplakan ini dinobatkan sebagai lagu kebangsaan Tanah Melayu merdeka.
Tentang Terang Bulan ini aku faham. Kerana kami budak-budak ketika bermain amat bijak menganjing untuk memperlekeh kawan-kawan. Memainkan lagi Terang Bulan di Radio Republik Indonesia macam kanak-kanak bergaduh - menganjing yang bijak. Aku beri 10 markah dengan A untuk Bung Karno.
Konfrontasi makin hangat.
Berita askar payung terjun di Gagu ini semakin menjadi benar. Di Labis Johor diberitakan satu kumpulan askar payung terjun Indonesia telah dapat di tangkap. Ketua pasukan payung terjun ini bernama Leftenan Sutikno.
Hingga ke hari ini aku terus ingat nama ini kerana berita dan gambar Leftenan Sutikno muncul di Utusan. Kemudian aku dengar wawancara Sutikno di Radio Malaya. Lorat Indonesia Leftenan ini pekat. Malah wawancara ini dimainkan berulang ulang. Sama seperti iklan Rokok Matterhorn - rokok pertama sejuk bergabus di Tanah Melayu.
Aku rasa keadaan kembali macam zaman adanya Gurkha. Cuma makan tidak bercatu dan tidak ada kawalan kawasan berpagar kawat berduri.
Dari kedai runcit Mah Cik Jarah aku mendengar khabar di kampung Batu Serambai akan ditubuhkan pasukan Kawalan Kampung. Anak anak muda dan orang dewasa diminta mendaftar secara sukarela untuk menjaga kampung dari tali barut Sukarno.
Maka pada waktu malam akan dilihat beberapa anak muda dan orang dewasa warga kampung duduk berkumpul-kumpulan hingga lewat pagi di tengah jalan raya yang kosong. Mereka tidak ada senjata atau uniform. Tapi di lengan baju mereka ada kain bertulis PK – pasukan Kawalan Kampung.
Tunku merancang untuk mengisytiharkan penubuhan gagasan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Gagal.
Projek – Nekolim – istilah Bung Karno ini gagal. Projek Malaysia semakin mendapat tentangan bukan saja dari Sukarno tapai dari pelbagai sudut.
Di Singapura 113 pemimpin parti politik telah ditangkap di bawah ISA pada 2 Februari 1963. Mereka ini dari parti siasah garis kiri yang menentang pembentukan gagasan Malaysia.
Hujah gulungan ini yang aku baca dari Utusan. Hujah mereka masuk akal. Kenapa perlu Singapura masuk Malaysia. Ini kerana pulau ini adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Sama seperti Pulau Pinang atau Perlis – wilayah ini tak perlu masuk Malaysia.
Tangkapan beramai-ramai ini adalah kerja kolonial Inggeris. Pagi subuh 2 Februari 1963 yang ditangkap sama ialah Pengarang Utusan Melayu di Singapura - Said Zahari.
Di Berunai juga bergolak. A.M. Azahari pemimpin Parti Rakyat Berunai memenangi 16 kerusi – majoriti - yang dipertandingkan dalam pilihanraya di Berunai pada 12 Januari 1962.
Parti Rakyat Berunai di bawah pimpinan A.M Azahri mahu mendirikan negara Kalimantan Utara. Negara ini terdiri dari Sabah , Sarawak bersama Berunai. Parti Rakyat yang mewakili suara majoriti dalam Dewan Perundangan Berunai telah menolak projek Malaysia.
Pada 8 Disember 1962 berlaku pemberontakan di Berunai.
Tertiba aku terbaca tentang Sultan Berunai menarik diri. Berunai tidak mahu menjadi Malaysia.
Pengisytiharan Malaysia gagal diadakan pada 31 Ogos 1963. Kerana penentangan dari pelbagai pelusuk. Akhirnya pada 16 September 1963 Malaysia dimasyhurkan.
Aku ingat lagi pagi itu. Aku dalam kebun getah Raja Husin tidak jauh dari rumah aku berek guru Sekolah Batu Serambai. Aku keseorangan. Aku sedang mencari kawan untuk bermain kerana sekolah cuti.
Ketika merayau dalam kebun getah itu aku terfikir hari ini Hari Malaysia tapi tidak ada apa apa perubahan di kampung aku. Malah tidak ada sambutan apa-apa di pekan Kuala Klawang.
Malaysia telah wujud walau pun ditentang. Malah penentang berterusan.
Satu petang aku pulang dari sekolah aku terbaca induk berita Utusan : Tangkapan di Lapangan Terbang Sungai Besi. Dari laporan berita aku difahamkan ada berapa sosok sedang merancang untuk menubuhkan kerajaan buangan di luar negara. Mereka dalam perjalanan ke Jakarta. Ketika ditangkap ditemui juga 200 ribu ringgit.
Aku tidak tahu apa makna kerajaan buangan. Dan tidak tahu siapa sosok yang ingin terbang ke Jakarta.
Tahun 1964 aku lulus peperiksaan Standard Six. Aku diterima masuk ke Form One - di sekolah yang sama. Kini aku sudah masuk ke sekolah menengah. Ertinya aku telah meninggalkan zaman Baa Baa Black Sheep... Yes Sir Yes Sir Three Bags Full.
Konfrontasi masih berjalan. Kempen Ganyang Malaysia masih berjalan. Dari Radio Malaya aku mula terdengar perkataan diktator. Kini Sukarno mengikut Radio Malaya dan Utusan bukan lagi Presiden Sukarno atau Bung Karno – kini Diktator Sukarno.
Aku juga terbaca bagaimana rakyat Indonesia mati kelaparan dan ramai makan tikus. Tidak cukup dengan makan tikus aku juga terbaca bagaimana kitab suci Al-Quran telah dibakar oleh penyokong Sukarno.
.
Pada hari Ahad Utusan Melayu menjadi Utusan Zaman. Akhbar hujung minggu ini ada memuatkan cerita pendek dan sajak. Juga tulisan-tulisan rencana yang menarik.
Dari Utusan Zaman ini aku pernah terbaca bagaimana Pak Duta Indonesia dilaporkan merayau-rayau di Kampung Baru untuk merekrut anak-anak muda untuk menjadi apa yang dipanggil tali barut.
Tali barut adalah diantara perkataan baru yang aku baca di zaman Konfrontasi. Tali barut in juga dijadikan ajen untuk melakukan kerja sabotaj.
Kempen propaganda memburukan Indonesia diteruskan.
Di Perhentian Bas Lim di Kuala Klawang ada terdapat beberapa poster. Poster gambar kepelbagaian rakyat Malaysia - China Melayu dan India juga ‘ saudara baru’ dari Sabah dan Sarawak.
Disebalah poster ini ada lagi satu poster memberi amaran : Awas Tali Barut Sukarno. Siapa tali barut Sukarno ini aku tidak tahu.
Di sekolah keadaan juga tegang. Dalam sebulan ada dua kali kami akan mengadakan latihan lari dari bom. Dalam kelas kami diajar untuk tunduk bawah meja jika kedengaran bom meledak. Kemudian kami beratur keluar bilik darjah menuju ke kawasan lapang diantara sekolah dengan bangunan Rumah Rehat Kuala Klawang.
Tahun 1964 – kugiran The Beatles dengan fesyen rambut panjang sedang menggemparkan dunia. Di Malaysia Konfrontasi masih berjalan. Abah aku masih bertugas menjaga kawasan strategik dari kena sabotaj oleh tali barut Sukarno.
Di Malaysia terutama di sekolah berambut panjang seperti The Beatles dilarang. Malaysia tidak ada John Lennon tapi Malaysia yang baru lahir ada Temenggung Jugah Anak Barieng (1903-1981) Menteri Hal Ehwal Sarawak. Temenggug Jugah dinobatkan sebagai Beatles Malaysia kerana Pak Menteri ini memiliki fesyen rambut ala The Beatles, (TT)