Ketika tulisan ini digarap Perang Gaza telah memasuki hari ke 20. Gaza sedang di kepong oleh ribuan bala tentera Zionis Israel.
Soldadu Israel menunggu masa untuk masuk ke Gaza dengan tujuan membunuh warga Palestin.
Arahan masuk menyerang wajib dibuat oleh Netanyahu dengan sokongan dari Biden, Macron, Sunak dan Olaf Scholz . Jeneral , Komander dan para Tok Sarjan hanya jadi tukang sampai. Ini perang geopolitik yang di kemudi oleh politikus.
Perang geopolitik satu projek kaum globalis. Ini projek yang dipasak oleh industri senjata dan kaum pemodal. Perang membuka peluang perniagaan. Justeru Hamas wajib dihapuskan.
Pengepungan dan pengeboman ini bukan satu yang baru. Semenanjung Gaza yang panjangnya 25 batu dan luasnya 6 ke 7 batu adalah penjara terbesar dalam dunia.
Sekatan bermula di Gaza pada tahun 2005. Pada tahun 2007 Parti Hamas menang dalam pilihanraya Palestin dengan mengalahkan Fatah di Gaza. Semenjak 2007 dari sekatan ekonomi politik dan pergerakan Gaza terus menjadi penjara.
Seramai lebih dari 2 juta warga Palestin di Gaza sedang di penjara oleh Zionis Israel. Ada lebih dari 2 juta Palestin tinggal di Tebing Barat. Mereka inilah penunggu dan penduduk asal bumi Palestin.
Dalam masa yang sama dari laporan statistik tahun 2022 jumlah warga Israel ialah 9,656,000. Seramai 7 juta lebih adalah Bani Yahudi. Dua juta lebih Arab Palestin.
Pada 7 Julai 2022 Biro Statistik Palestin telah mengeluarkan data bahawa dalam dunia hari ini ada 14. 3 juta sosok yang mengakui diri mereka Bani Arab Palestin. Ini termasuk mereka yang tinggal di Jordan, Mesir, Syria, Lebanon dan di negara-negara di luar Palestin.
Zionis Israel dan Zionis Tempatan selalu berkata : Israel memiliki hak mempertahankan diri untuk keselamatan. Kita selalu mendengar ‘ ....the right of self- defense..’ dari mulut Biden atau dari mulut Sunak.
Ini mantera dan ratib penyokong Zionis.
Zionis Tempatan adalah Zionis yang bukan Yahudi seperti Biden dan Macron. Zionis Tempatan menyokong wujudnya negara Zionis Israel.
Apakah untuk keselamatan Israel i bermakna Zionis Israel akan membunuh 14 juta Arab Palestin. Apakah keselamatan ini dimulai dengan mengebom Gaza hingga hancur lumat.
Tujuan menghancur lumat Gaza amat jelas. Pertama untuk mengurangkan penduduk Palestin di Gaza. Kedua mengecilkan Gaza dengan merampas tanah dan wilayah – kebun dan dusun yang di tinggalkan. Wilayah ini akan diberikan kepada imigran Yahudi yang baru sampai.
Seyogia di ingatkan salah satu dari rukun Zionisme ialah : Yahudi dimana sahaja mereka berada mereka adalah warga negara Israel. Amin.
Justeru untuk menyediakan tanah dan rumah kepada Yahudi diseluruh dunia bumi Palestin wajib dijajah. Projek kolonial penjajahan Palestin yang bermula dengan Nakba tahun 1948 kini disambung dengan memusnahkan Hamas.
Boleh kah pemunahan Hamas ini berjaya dilakukan pada tahun 2023?
Untuk menjawab soalan ini kita wajib melihat sejarah dan latar belakang Israel. Ada kejulingan pandangan tentang apa dia pertelingkahan antara Arab Palestin dengan Yahudi Zionis.
Untuk saya perjuangan Palestin ini adalah perjuangan anti kolonial. Perjuangan anti penjajahan. Perjuangan untuk mengambil tanah air yang telah dirampas dan dijajah oleh Zionis Yahudi.
Ini sama seperti perjuangan Dr Burhanuddin Hilmi, Pak Sako, Ibrahim Yaacob, Chin Peng, Shamsiah Fakeh melawan Inggeris untuk memerdekakan Tanah Melayu. Mereka berjuang untuk merampas kembali bumi Melayu yang dijajah Inggeris.
Perjuangan rakyat Palestin bukan perjuangan agama. Bukan perlawanan Islam membunuh Yahudi atau Yahudi membunuh Islam.
Dari pandangan sepintas lalu memang betul dilihat seperti perbalahan agama. Para politikus dengan bantuan media kaum kapitalis sengaja tidak memunculkan naratif penjajahan Palestin oleh Zionis Israel.
Perjuangan nasional pembebasan bumi Palestin sengaja dijulingkan oleh media arus perdana untuk menghalalkan penjajahan Palestin oleh kaum Zionis.
Mengalih perjuangan pembebasan nasional ini sebagai perjuangan agama agak mudah. Ini kerana fakta sejarah. Untuk penganut Islam bumi Palestin suci kerana Masjid Al-Aqsa. Masjid ini adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah.
Masjid Al-Aqsa terletak dalam kota Baitul Mukaddis atau Juruselam.
Di Juruselam ini juga terletaknya Sinagog Raja Daud dan Raja Sulaiman. Dua kiblat sembahyang untuk penganut agama Yahudi.
Baitul Mukaddis juga adalah wilayah dan kota suci penganut agama Kristian. Di Baitul Mukaddis wilayah permulaan Nabi Isa berdakwah. Di Golgotha di pinggir Baitul Mukaddis adalah tempat dimana Nabi Isa mati disalib.
Tiga agama ini semuanya berpunca dari Nabi Ibrahim yang berpangkalan di Palestin.
Justeru kerana latar belakang fakta sejarah ini menjadikan mudah untuk menimbulkan persepsi bahawa perjuangan rakyat Palestin ini perjuangan agama. Ini tidak tepat. Ini pandangan juling.
Perjuangan rakyat Palestin bukan perjuangan agama Islam melawan agama Yahudi. Bukan semua Arab Palestin beragama Islam. Arab Palestin adalah umat awal yang menerima agama Kristian. Nabi Isa mendakwah di Palestin.
Justeru hari ini ada 15 % Arab Palestin beragama Kristian.
Dunia baru saja diberi tahu tentang gereja – Church of Saint Porpyrius di Gaza telah di bom oleh Zionis Israel. Gereja yang dianggap suci oleh penganut agama Kristian dan juga Islam adalah gereja ketiga tertua dalam dunia.
Maka kita kembali kepada persoalan asas. Bolehkah Hamas di hapuskan. Bolehkah Hamas di ledak musnah.
Kemerdekaan adalah konsep. Merdeka adalah roh manusia. Kebebasan adalah konsep. Bebas adalah roh manusia.
Semua manusia mahu merdeka. Semua manusia mahu bebas. Semua yang hidup bergerak mahu bebas. Ini hukum alam. Ini hukum azali. Hukum ini mustahil boleh di ubah oleh Biden , Netanyahu atau kaum Zionis.
Arab Palestin mahu merdeka dan mahu kebebasan dari penjajah.
Israel mula dijajah pada tahun 1947/48. Ini projek kolonial kaum Zionis yang bermula dengan Balfour Declaration 1917. Kerajaan Inggeris - kuasa besar dunia ketika itu telah memasyhurkan Deklarasi Balfour. Deklarasi ini menjanjikan kepada kaum Zionis satu negara Yahudi.
Awalnya kaum Zionis tercari-cari tanah jajahan yang wajib ditakluki. Dari Uganda hingga ke Rusia kaum Zionis mencari wilayah. Ketika itu memang wujud satu komuniti kecil kaum Yahudi hidup aman damai dengan Arab di Palestin. Majoriti warga Palestin ketika itu adalah Arab.
Palestin akhirnya dipilih olek kaum Zionis untuk didirikan sebuah negara Yahudi. Dari segi fakta persejarahan Bani Yahudi tidak memiliki negara.
Pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi di Eropah oleh Hitler dalam Perang Dunia Ke Dua memudahkan sokongan dunia akan perlunya Yahudi di beri negara tempat tinggal.
Pada 15 Mei 1948 Israel didirikan atas bumi Palestin. Tanah, pekan dan kampung Arab Palestin di rampas. Kumpulan pengganas seperti Irgun dan Haganah membelasah dan membunuh demi menakutkan Arab Palestin. Ramai lari meninggalkan bumi Palestin. Mereka menjadi orang pelarian.
Tarikh 15 Mei ini dipanggil Nakba atau Malapetaka.
Semenjak Mei 1948 hingga Oktober 2023 sejarah pembantaian Arab Palestin tidak pernah berhenti. Jika dulu keganasan kumpulan Yahudi hanya menggunakan pistol dan senapang. Pada tahun 2023 kapal terbang, drone, bom, roket dan bom fosforus telah digunakan.
Menteri Ekonomi Israel sekarang Bezalel Yoel Smotrich pernah berkata : Projek pembersihan Arab Palestin 1948 belum selesai.
Ini bermakna penjajahan bumi Palestin belum selesai. Arab Palestin wajib semuanya dihalau atau dibunuh mati agar Israel menjadi negara suci khusus untuk Bani Yahudi sahaja.
Justeru Gaza di bom. Hamas wajib di musnah. Sesudah Gaza Tebing Barat pasti menjadi sasaran. Penaklukan bumi Arab ini belum selesai. Dalam rukun Zionis negara Israel termasuk Lebanon dan Jordan.
Bolehkah Hamas di musnahkan ?
Jawabnya mustahil. Hamas ialah parti politik yang membawa ideologi Islam. Hamas berjuang untuk mendirikan negara Palestin yang merdeka.
Mendirikan negara yang merdeka ini satu idea. Idea tidak dapat di musnah. Ini sama seperti keadilan, sama seperti kebebasan – semua tidak dapat di hapuskan.
Hakikatnya – negara Palestin yang bebas merdeka adalah idea yang mendapat sokongan semua Arab Palestin.
Jika pun semua gerila Hamas dibunuh. Semua pemimpin Parti Hamas di hapuskan. Hamas musnah lebur tetapi idea Palestin bebas merdeka masih wujud. Idea tidak dapat dimusnahkan. Patah tumbuh hilang berganti.
Hari ini terbukti sokongan terhadap perjuangan adil rakyat Palestin semakin mengampuh di seluruh dunia. Dari kota ke kota – dari London, New York, Melbourne. New Delhi - penyokong Palestin telah turun ke jalan raya. Semua seirama melaungkan Free Palestin – Palestin Merdeka.
Atas nama keselamatan, atas nama tak mahu kacau bilau - Perancis dan German melarang warga mereka menunjuk perasaan menyokong Palestin.
Tapi ribuan pendemo masih turun berdemo di Paris dan di Berlin. Idea keadilan melawan kezaliman tidak dapat dipagari dengan hukum dan undang-undang.
Dalam negara yang penduduk majoriti beragama Islam seperti Malaysia sokongan teguh terhadap Palestin sedang mengampuh. Dari Karachi, Tehran, Damascus, Algiers, Baghdad, Istambul Cairo, Tunis – ribuan rakyat turun bersetia kawan dengan Palestin.
Ketika tulisan ini habis digarap askar Israel masih belum masuk ke Gaza. Gerila Hamas , gerila Hezbolah, Gerila Islamik Jihad semua siap seaga menunggu soldadu Israel masuk ke Gaza.
Turki dan Mesir telah bersedia untuk menjadi orang tengah berunding untuk gencatan senjata. China Merah dan Rusia juga mahu gencatan senjata untuk mengelak perang.
Iran penyokong Hamas, Hezbolah dan Islamik Jihad telah memberi amaran kepada Amerika jika Israel masuk ke Gaza berkemungkinan perang akan merebak.
Apakah projek menghapuskan Hamas ini akan membuka panggung Perang Timur Tengah dan melarat membuka pentas Perang Dunia Ke Tiga. Kita nanti dan tunggu. Amin. ( TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT. COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/468855