Apakah Bekas Ketua Hakim Negara Tidak
Terlatih untuk
Membuat Keputusan Berdasarkan
Maklumat Sahih Dan
Mengelak Spekulasi Liar Tanpa Asas?
Saya ingin merujuk kepada kenyataan Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang membuat kenyataan bahawa mantan Mufti Pulau Pinang memberitahunya adalah susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin agama lain juga menuntut hak yang sama.
Tambah beliau lagi;
“Jika kita tidak membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia. Di waktu itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan agama Islam di televisyen pun akan terpaksa dikongsi dengan agama-agama lain. Jabatan-jabatan kerajaan dan kampus-kampus universiti kerajaan yang menyediakan surau akan terpaksa menyediakan gereja, tokong dan gurdwara”. Menurut beliau akhirnya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi.
Ini bukan kali pertama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang difitnah kononnya mengabaikan Islam di negeri ini. Namun, apabila kali ini datang daripada Bekas Ketua Hakim Negara dan memomokkan masyarakat Melayu bahawa agama Islam akan terancam tanpa merujuk sebarang bukti sahih, maka saya khuatir apakah selama ini Tun Abdul Hamid Mohamad tidak terdidik untuk membuat keputusan berdasarkan fakta semasa menjadi Ketua Hakim Negara?
Jika inilah sikap Bekas Ketua Hakim Negara, tidak hairanlah selama ini badan kehakiman negara berdepan dengan isu wibawa yang besar akibat sentiasa berat sebelah terhadap Kerajaan UMNO-BN.
Beliau seharusnya menghormati kedudukan beliau kini yang merupakan negarawan, bukannya terjebak dalam politik fitnah yang hanya merendahkan dirinya kepada tahap macai UMNO-BN. Maka atas dasar hormat terhadap kedudukan beliau, saya memilih untuk menjawab kenyataan tidak berasas beliau secara terhormat, dan bukannya sekadar membuat spekulasi bahawa Tun Abdul Hamid Mohamad ini merupakan macai UMNO-BN.
Fakta: Peruntukan Islam Meningkat Saban Tahun Untuk Kebajikan, Infrastuktur dan Juga Program Keilmuan
Saya yakin jika Tun Abdul Hamid Mohamad menyemak fakta, akan mendapati bahawa syiar Islam bukan sahaja terpelihara, malah saban tahun mendapat tambahan peruntukan yang sangat tinggi – peningkatan 300% - berbanding zaman pentadbiran BN. Malah, kutipan dan agihan zakat negeri juga telah meningkat berkali ganda berbanding tahun 2007. Umpamanya, pada tahun 2007, hanya agihan zakat Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya berjumlah RM 34.5 juta, berbanding tahun lepas, 2013, di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat, agihan zakat meningkat kepada RM73.1 juta. Tambahan lagi, sempena Ramadhan ini, Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memberikan sumbangan Ehya Ramadan sebanyak RM 222,000.00 kepada semua masjid dan surau utama di seluruh negeri.
Pada masa yang sama, Kerajaan negeri telahpun memberikan tanah seluas 3.49 ekar di Bukit Gantong/Jalan Scotland yang sangat stratergik yang kini bernilai RM100 juta untuk membina Kompleks Mahkamah Syariah yang dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.
Selain bantuan kebajikan dan pembangunan infrastruktur, di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat, terdapat banyak program keilmuan dianjurkan oleh banyak agensi kerajaan, termasuklah Penang Institute yang secara berterusan menganjurkan siri Forum Nusantara yang bertujuan mengangkat ilmuan Pulau Pinang seperti Sheikh Syed Al-Hadi, Tuan Haji Yusuf Rawa, dan Tuan Guru Abdullah Fahim dengan tema besar seperti keilmuan Islam, gerakan Islah, dan kebudayaan Melayu Islam Pulau Pinang. Malah, Penang Institute juga pernah membawa ilmuan kontemporari dunia Islam, Prof Tariq Ramadhan ke Pulau Pinang. Mana-mana ilmuan Islam lainnya adalah bebas dan sentiasa dialu-alukan di negeri ini.
Peningkatan Peruntukan Islam Bukan Dengan Cara Kurangkan Peruntukan Bagi Masyarakat Bukan Islam Tetapi Dengan Cara Tingkatkan Pendapatan Negeri Serta Elakkan Rasuah
Prinsip asas kepada peningkatan peruntukan kepada agama Islam ini adalah berdasarkan keperluan tanpa meminggirkan masyarakat bukanIslam di negeri ini. Pada masa yang sama, peruntukan ini adalah selari dengan kejayaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat meningkatkan pendapatan negeri.
Kerajaan Negeri merekodkan lebihan bajet setiap tahun, menaikkan aset Kumpulan Wang Disatukan sebanyak 50% sejak 2008 kepada RM1,192 juta, pengurangan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95%, dan merupakan Kerajaan Negeri tunggal di Malaysia yang dipuji oleh Transparency International kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah Kerajaan Negeri yang pertama mengamalkan sistem tender terbuka secara kompetitif dan mengumumkan harta peribadi Ketua Menteri, Ahli MMK dan ADUN-ADUN.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga meneruskan prestasi cemerlang lebihan bajet tahunan dengan lebihan bajet 2012 sebanyak RM114.47 juta mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang juga memuji keupayaan Pulau Pinang dalam mengamalkan sistem pengurusan kewangan dengan baik.
Tun Abdul Hamid Mohamad Harus Kembali Menjadi Negarawan Dan Elak Dilihat Sebagai Macai UMNO-BN
Berdasarkan fakta-fakta ringkas ini, adalah jelas bahawa Islam sentiasa dimartabatkan di Pulau Pinang. Maka saya berharap Tun Abdul Hamid Mohamad dapat menyemak dan membetulkan semula kenyataan yang telah beliau buat serta, sebagaimana sikap seorang negarawan, harus memohon maaf atas kekeliruan dan persepsi yang salah yang beliau telah timbulkan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Saya yakin, dengan membetulkan sikapnya ini, akan membezakan beliau sebagai negawan dan bukannya macai UMNO-BN.
Haris Zuan
Ketua DAPSY Bukit Bendera
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang
-----------