Ketika saya menulis ini kempen sedang berjalan di Pilihanraya Negeri Johor (PRN ). Mengundi pada Sabtu 12 Mac 2022 untuk merebut 56 kerusi DUN Johor.
Kenapa Dewan Undangan Johor bubar – sama seperti Sabah dan Melaka – adalah sebab dan musabab hasil yang dibawa oleh kemenangan Pakatan Harapan PRU14 pada 10 Mei 2018.
Air telah melimpah ke sawah. Air sungai telah melintas bawah jambatan. Telor ayam telah menetas. Kerbau bunting sudah beranak. Kereta api telah bergerak Semua telah menjadi sejarah.
Mat Sabu dari Amanah dan Lim Guan Eng dari Democratic Action Party walau pun menangis air mata emas sekali pun tidak akan dapat membersihkan diri dari kesilapan dan bacaan politik mereka yang salah.
Janji janji manis dan retorik dari mulut Anwar Ibrahim telah memandulkan fikrah politik Mat Sabu dan Guan Eng hingga mereka tidak berupaya memberikan undi parti mereka kepada Mahathir Muhamad dalam undian pertama bulan Februari 2020.
Akibat kesilapan garis politik dari dua parti ini Pakatan Harapan runtuh.
Dalam politik - kesilapan garis politik – kesilapan tindakan politik – kesilapan taktik dan strategi akan dibayar dengan harga yang amat mahal sekali.
Waspada. Kesilapan ini bukan dibayar oleh Abang Mat Sabu atau Saudara Lim Guan Eng tetapi dibayar oleh rakyat semua. Kitalah – rakyat - yang membayar kesilapan mereka. Rakyat wajib membayar kerana kita lantik Mat Sabu dan Guan Eng ke barisan hadapan untuk memimpin kita. Justeru mereka ini kita dinobatkan sebagai pemimpin.
Hasil kesilapan Mat Sabu dan Guan Eng rakyat dihempap oleh Muhyidin yang akan diingati sejarah sebagai kerajaan gagal. Kerajaan ceret beret Muhyidin ini hanya berjaya diselamatkan untuk beberapa ketika oleh virus dari Wuhan melalui kelambu Darurat. Ini diikuti oleh pertukaran kuasa di Sabah dan Melaka.
Muhyidin cuba menyelamatkan diri dengan memanggil manja dirinya sebagai Abah. Kini Abah telah diganti pula dengan Pak Long a.k.a Sabri.
Rakyat masih lagi membayar harga yang mahal. Harga mahal kesilapan politik Mat Sabu dan Guan Eng ini menjadi bertambah mahal dengan sampainya serangan virus dari Wuhan yang tidak undur-undur. Virus ini seperti telah dirancang sampai pada ketika krisis keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan. Kini virus Wuhan telah melintasi lebih dari dua tahun bersama kita.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Kaki patah, bibir pecah dan tangan pula terpalit tahik ayam candu.
Tidak cukup dengan kesilapan politik dan virus Wuhan datang pula soldadu Putin masuk ke Ukraine. Kacau jadi bilau. Bilau jadi bala. Bala jadi malapetaka.
Inilah suasana politik kita sekarang ini. Inilah latar belakang politik dunia dan Malaysia ketika kempen PRN Johor berjalan.
PRN Johor menjemput muncul pelbagai bentuk parti politik. United Malays National Organisation dengan kuncu-kuncunya, Bersatu dengan sekutunya, Pakatan Harapan tanpa PKR, Warisan, Muda , Parti Putera, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia – semua bertanding di PRN Johor. Ini belum di campur jumlah calon-calon bebas yang turut sama menawarkan diri. Amin
Kemunculan banyak parti-parti ini adalah juga hasil dari kemenangan Pakatan Harapan. Kejayaan Pakatan Harapan menggulingkan United Malays National dan kuncu-kuncunya telah menjadi pill viagra yang menaikkan nafsu ramai politikus untuk memeluk dan menggomol kuasa.
Awas dan waspada – saya beri ingatan. Politikus ini satu makhluk yang amat ganjil. Hampir semua politikus tidak memiliki cara berfikir berjangka panjang. Politikus dari apa yang saya perhatikan hanya berupa berfikir sejauh 3 atau empat tahun ke hadapan. Jumlah politikus yang berkemampuan berfikir melintas tahap lebih dari lima tahun ini boleh di bilang.
Malah jika ada politikus yang memiliki keupayaan n berfikir dalam jangka masa depan yang jauh maka mengikut istilah anak-anak muda hari ini – sosok ini amat ‘rare’.
Politikus dalam sistem politik undi akan gagal membebaskan fikrah mereka untuk memikirkan masa depan negara dalam jangka masa 25 tahun – satu generasi atau 50 tahun – dua generasi. Politikus tidak memiliki ‘ grey matter – ketul kelabu‘ untuk menjana fikrah.
Kegagalan ini disebabkan politikus terperangkap dalam kepuk undi. Untuk seorang politikus yang bertanding untuk menjadi YB atau Adun - di dalam kepala mereka – yang dihitung, yang di campur, yang ditolak, yang dibagi dan didarab hanyalah jumlah undi.
Jika kita dengar dari ceramah atau temu bual atau laporan berita tentang pekara-pekara seperti : hapuskan tol, tambah peluang kerja, turun harga barang dan sebagainya dari mulut politikus - yakinlah ini semua hanya labun dan gebang-gebang kosong untuk mengolah persetujuan agar mendapat meraih undi.
Ini satu kelemahan daya fikir politikus dalam semua negara yang mengamalkan demokrasi - electoral politic - demokrasi politik mengundi lima tahun sekali.
Ini berlawanan dengan sistem demokrasi perancangan pusat – democaratic central planning - yang diguna pakai di Rusia atau China Merah. Vladimir Putin dan Xi Jinping tidak pernah memikirkan berapa undi yang akan dipungut lima tahun lagi.
Putin dan Xi Jinping menggunakan kekuatan fikrah dan keupayaan diri bukan untuk mencari undi tapi untuk melakar , merancang strategi pertahanan , merancang perkembangan ekonomi untuk Rusia atau China. Amin.
Mungkin ada yang akan menolak pandangan saya ini. Tapi saya yakin pandangan saya ini ada membawa kebenaran.
Semua pandangan saya ini adalah hasil pengumpulan pengalaman dan pengumpulan pemerhatian dari apa yang telah dirancang, diatur, digariskan oleh pemimpin parti DAP , PKR dan Amanah bersama beberapa NGO sebelum bertempur dalam PRU14.
Wajib di hitam putihkan disini bahawa ilmu pengetahuan bukan datang dari buku atau dari mimpi. Ilmu pengetahuan datang dari pengumpulan pengalaman yang dirakam dan ditulis untuk menjadi buku.
Kajian ilmu ilmiah dari bilik makmal juga adalah hasil pengalaman dan pemerhatian yang di kumpul. Kemudian ditulis , di bincang, di debat, diulang buat sebelum di nobat untuk menjadi cabang ilmu.
Dari pengalaman PRU14 – satu perkara yang amat jelas ialah wujudnya apa yang saya panggil United Front – Barisan Bersatu. Teori United Front ini adalah pengumpulan perjuangan dari zaman berzaman ketika orang terdahulu dari kita berperang.
Teori ini bukan milik kaum kiri. Ini kerana teori United Front ini boleh di gunakan oleh parti garis politik kiri, garis tengah, garis kanan termasuk kaum Fasis. Hakikatnya teori ini adalah pengumpulan pengalaman dalam perang - cara dan taktik untuk menang dan mengalahkan musuh.
Kita tak perlu menghafal buku Seni Perang oleh Sun Tzu untuk memahami teori ini. Kita juga tidak perlu membaca kitab Mao Zedong tentang teori perang gerila. Kita juga tak perlu ke Havard atau Yale Universiti untuk belajar ilmu sains politik. Tak perlu tak payah.
Pengalaman PRU14 – sudah cukup – untuk kita memahami bahawa hanya dengan United Front – hanya dengan Barisan Bersatu terbukti gerombolan United Malays National Organisation dapat dikalahkan dalam PRU14. Amin.
United Front – Barisan Bersatu – ini alah syarat wajib untuk mencapai kemenangan. Teori ini cukup senang. Saya tidak perlu bermain di padang rugby Malay College untuk menyimpulkan teori ini dalam satu ayat : Banyakkan kawan kurangkan musuh.
Banyakkan kawan dan kurangkan musuh adalah intipati dari teori Barisan Bersatu – United Front.
Kemenangan Pakatan Harapan bermula dengan Deklarasi Rakyat yang di tanda tangani oleh pada hari Jumaat 4 Mac 2016 – dua tahun sebelum PRU14.
Deklarasi Rakyat ini ditandatangani dan dipersetujui oleh pemimpin parti politik – yang akhirnya menjadi Pakatan Harapan. Dokumen ini juga ditandatangani oleh beberapa pemimpin NGO.
Deklarasi Rakyat ini berasakan teori United Front – Barisan Bersatu.
Saya melakar kembali Deklarasi Rakyat untuk membuktikan bahawa teori Barisan Bersatu ini adalah senjata yang paling ampuh yang wajib digunakan dalam pertempuran politik undi di Malaysia.
Barisan Bersatu ini adalah asap daun kecubung yang akan dapat mengalahkan Panglima Hitam yang dikatakan kebal.
Saya melakar kembali babak sejarah 4 Mac ini untuk membuktikan bahawa dalam PRN Johor Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional akan terbarai. Parti-parti yang lain bukan sahaja mendapat telor penyu malah akan hilang duit pertaruhan.
Warisan, Muda , Parti Bangsa Malaysia, PKR dan Putera – berjuang sendiri-sendiri. Hanya DAP dan Amanah yang masih menggunakan lambang Pakatan Harapan.
Intipati ke dua dalam teori Barisan Bersatu ialah : Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.
Ini adalah ilmu turun temurun dari datuk nenek moyang kita. Inilah ilmu perang hasil dari mengumpul pengalaman datuk nenek moyang kita menentang askar Siam, menentang soldadu Belanda, melawan soldadu Portugis dan menentang sepoi dan askar upahan Inggeris.
Kenapa kita melupakan ajaran datuk nenek moyang kita? Amin.
PRN Johor ini – akan membuktikan kebenaran teori Barisan Bersatu. Pakatan Harapan dan PKR tidak akan berjaya seperti mana dalam PRU14. Begitu juga Bersatu dan sekutunya.
Ini bermakna Pakatan Harapan kalah ? PKR akan kalah ? Perikan Nasional akan kalah ? Betul semua akan kalah. Kalau tidak hilang duit pertaruhan anggaplah sebagai kejayaan.
Sabar dulu - kekalahan ini juga adalah pengalaman. Pengajaran yang paling baik ialah pengalaman yang dialami. Bila kepala sudah terhantuk baru hendak tengadah. Kepala terhantuk juga adalah ilmu pengetahuan. Pengalaman kepala yang berdarah itu wajib di kumpul dan dihayati.
Hanya yang bebal gagal mengumpul pengalaman. Hanya yang bebal yang akan masuk ke lubang ular dua kali. Hanya yang bebal akan menggali lubang untuk menimbus badan sendiri. Hanya yang bebal yang tidak menerima kekalahan tapi menyalahkan orang lain sebagai penyebab kalah.
Justeru – saya mencadangkan Pakatan Harapan menggunakan PRN Johor sebagai gedung ilmu pengetahuan – sebagai kuliah tangga ilmu – untuk menggalang satu peserikatan baru. Bagaimana rupa bentuk penggalangan perserikatan baru ini ? Tunggu minggu hadapan. (TT)