JEMPUTAN
Tuan-tuan dan puan-puan adalah dijemput untuk hadir ke Majlis Pelancaran Buku Bebas: Sebuah Antologi Sajak Chan Yong Sin.
Butirannya adalah seperti berikut:
Tarikh : 29hb November 2014, Sabtu
Masa : 2:00pm (Ketibaan), 2:30pm (Majlis Bermula)
Lokasi : Rumah Gerakbudaya
Alamat : No 2, Jalan Bukit 11/2, 46200 Petaling Jaya, Selangor.
Antologi sajak ini akan dilancarkan oleh sasterawan negara Datuk A. Samad Said. Di dalam prakatanya, Pak Samad menulis, "Tidak semua tahanan politik sempat bercakap tentang pengalaman penjaranya. Tapi, biasanya penyair jarang begitu. Lambat laun, dalam lara dan senyap, dia bercakap juga."
Program pelancaran ini turut akan diisi dengan persembahan oleh budayawan Dinsman dan Rahmat Haron. Komen Dinsman tentang buku ini, "Membaca keseluruhan 59 buah puisi Chan Yong Sin dalam kumpulan ini memberikan kesan betapa kuatnya jiwa penulisnya menjalani kehidupan terkurung tanpa bicara itu…".
Chan Yong Sin lahir pada tahun 1945 dan dibesarkan di Kluang, Johor. Setelah lulus Sekolah Menengah Chong Hwa Kluang, beliau diterima masuk ke Universiti Nanyang, Singapura pada tahun 1964 namun dikeluarkan semula dari universiti tersebut pada tahun 1965 kerana terlibat di dalam gerakan mahasiswa.
Chan turut pernah ditahan di bawah akta ISA pada tahun 1967. Waktu itu beliau memegang jawatan selaku setiausaha kerja Malayan Pineapple Workers Union. Beliau kemudiannya dibebaskan pada tahun 1978.
Beliau telah menterjemah karya–karya Usman Awang ke bahasa Tionghua, iaitu Muzika Uda dan Dara dan antologi puisi Salam Benua. Termasuk terjemahannya ciptaan Sastera Mahua kepada Bahasa Melayu, antaranya Evolusi Aliran Pemikiran Kesusasteraan Mahua, koleksi rencana Fang Xiu, Gelombang Rejang, kumpulan puisi Wu An dan lain-lain.
Chan menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) sejak ditubuhkan pada tahun 1988 sehingga sekarang.
Untuk sebarang pertanyaan berkenaan majlis pelancaran ini, sila hubungi Encik Yap di talian 03-79578342.
Gerakbudaya
--------