MERAKAM SEJARAH
FAKTOR MAHATHIR
Anak semua bangsa - bangsa semua agama - warga Malaysia telah berjaya menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Ini satu kemenangan. Justeru saya wajib menulis untuk merakamkan detik-detik kemenangan ini.
Parti United Malays National Organisation yang ditubuh pada 11 Mei 1946 dan didokong oleh Inggeris akhirnya telah dapat ditumpaskan dan dinyahkan dari kuasa oleh gerakan anak semua bangsa - bangsa semua agama.
Saya amat gumbira apabila melihat Najib dan Rosmah gagal melarikan diri pada 12 Mei 2018. Pesawat jet pribadi yang dihantar dari Jakarta telah dikepong oleh anak anak muda di lapangan terbang Subang.
Saya akan dituduh munafik jika saya tidak mengakui betapa gumbiranya saya apabila melihat Razak Baginda , Arul Kandar, Habibul Rahman dan puluhan orang-orang jahat suku sakat Najib yang cuba menghilangkan diri. Atau mula menenggelamkan diri dari diketahui orang ramai.
Saya amat amat gumbira bila musuh saya dalam kesusahan. Saya gumbira bila musuh saya dalam kesakitan. Saya gumbira bila musuh saya masuk ke dalam penjara. Jangan salah baca - pilihanraya ialah perang tanpa senjata. Perang bersenjata berlaku apabila politik undi mengundi gagal.
Kegumbiraan dari saya ini bukan dendam. Saya tidak memiliki sifat dendam. Gumbira melihat Najib masuk penjara bukan bermakna berdendam.
Pada hemat saya hidup membawa dendam pasti satu hidup yang amat berat - mengheret dendam ke hulu ke hilir. Hishamuddin Rais tidak berdendam. Hishamuddin Rais hanya gumbira apabila Najib dan Rosmah masuk penjara. Amin.
Para pembaca akan menipu diri sendiri apabila tidak mengakui bahawa kita semuanya bergumbira apabila Najib dan Rosmah ditangkap, didakwa dan akahirnya masuk penjara.
Kegumbiraan yang lahir ini adalah watak dan ciri-ciri gerakan politik. Dimana-mana pun dalam dunia ini apabila berlalu perubahan sosial ciri yang sama berlaku. Apabila yang zalim dijatuhkan. Apabila yang jahat dapat ditewaskan. Apabila penyamun saperti Najib dapat ditangkap - maka kegumbiraan adalah jawapanya.
Ketika Czar Nicholas dibunuh dalam Revolusi Bolshevik pada tahun 1917 warga kota Moscow gumbira. Ketika kepala Louise ke14 dipenggal kepalanya di Paris pada 21 Januari 1793 - ramai warga kota Paris menari, bertandak dan menyanyi mabuk gumbira.
Saya amat yakin warga Indonesia pasti gumbira melihat Suharto jatuh pada tahun 1998. Saya amat yakin warga Iran gumbira apablia melihat Shah Reza Pahlavi melarikan diri dari Tehran pada 16 Januari 1979.
Di Tanah Melayu semenjak Inggeris mengangkat United Malays National Organisation - semenjak gerombolan Ketuanan Melayu ini mengambil alih kuasa dari British - Tanah Melayu telah dilanggar malapetka.
Pada Rabu - 9 Mei 2108 - Malapetaka atau Nakba dalam bahasa Arab - telah dinyahkan. Menyahkan Najib dan Rosmah bermakna warga Malaysia telah berjaya menyahkan malapetaka yang selama 60 tahun ini telah menghimpap berat kehidupan anak semua bangsa di Tanah Melayu.
Rabu 9 Mei 2018 malapetak tercabut. Malaysia menjadi ringan. Udara menjadi nyaman. Hidup menjadi aman. Tanah Melayu membuka sejarah baru. Sabah dan Sarawak membuka sejarah baru. Maka kita - anak semau bangsa di Malaysia berhak untuk terus bergumbira.
Saya sering menulis bahawa detik sejarah itu juga memiliki sejarah dan latar. Saya juga pernah menulis untuk menolak dan mengenepikan pandangan yang sering mengatakan bahawa sejarah ditulis oleh orang yang menang.
Untuk saya sejarah ditulis oleh orang yang rajin menulis. Jika kita malas menulis walau pun menang ianya tidak memiliki makna.
Saya telah merakamkan semua babak babak sebelum PRU14. Menolak pelbagai bentuk pandangan bodoh yang tak masuk akal. Dan mengajukan garis dan taktik untuk membawa pencerahan.
Dua bulan sebelum PRU14 saya membuat ramalan kemenangan.
Dalam masa yang sama saya juga ada menulis beberapa pandangan yang pada hari ini dilihat salah. Pandangan yang silap. Pandangan yang terbukti melanggar apa yang berlaku ada 9 Mei.
Pada hemat saya ini lumrah. Kerana mustahil saya dapat melihat kesemua hasil politik masa depan dengan jelas dan tuntas.
Walau apa pun akhirnya kita semua dapat melihat Najib dan Rosmah terkurung dalam rumah sendiri. Yang ini telah saya nujumkan berbulan bulan lebih awal.
Dalam suasana kegumbiraan - ketika melihat kembali apa yang pernah saya tulis - yang tepat dan yang salah. Maka ada beberapa pekara yang wajib saya tuntaskan. Pekara yang wajib saya rakamkan untuk rujukan sejarah. Babak-babak yang wajib diumumkan secara hitam puteh untuk bahan sejarah.
Seratus tahun dari hari ini jika ada anak pelajar yang menggali sejarah kejatuhan United Malays National Orgnisation pada Rabu 9 Mei 2018 - maka apa yang saya tulis ini akan menjadi bahan.
PERTAMA: Kemenangan PRU14 oleh Pakatan Harapan pada Rabu 9 Mei 2018 adalah kerana faktor Mahathir. Dalam BI - The Mahathir factor.
Mahathir adalah penyebab utama yang telah berjaya - mengumpul semua tenaga anak semua bangsa - untuk mengalahkan gerombolan Najib dan kuncu-kuncunya.
Jika di zaman REFORMASI dahulu faktor Anwar Ibrahim menjadi juragan dan jurumudi. Anwar menjadi ikon yang berjaya mengumpul gerakan jalan raya untuk menjatuhkan Mahathir.
Dalam PRU14 juragan dan jurumudi ialah Mahathir.
The Mahathir Factor ini - memerlukan kajian yang lebih rapi. Kenapa dan mengapa anak semua bangsa mahu beralih memilih Pakatan apabila Mahathir meneraju pucuk pimpinan.
Kajian ini penting untuk kita sesama kita terus bergumbira.
Tiga bulan sebelum hari mengundi kita terdengar bagaimana kemungkinan DAP disingkir dari pendaftaran. Jabatan Pendaftaran telah memberi pelbagai masaalah kepda DAP. Kemudian kita dengar pula Besatu menghadapi pekara yang sama.
Segala jentera kerajaan - SPR, SPRM, PDRM, Peguam Negara, Mahkamah dan dan dan…telah digunakan oleh Najib untuk memupuk kekuatan kuasa dirinya.
Jabatan Pedaftaran Persatuan (ROS) juga tidak ada bezanya. Ketika ini Jabatan Pendaftaran menjadi aparacik setia yang memperkukuh kuasa Najib dan Rosmah. Najib secara bijak telah membatalkan pendaftaran Parti Bersatu.
Sekali imbas langkah Najib ini dilihat bijak. Tetapi sabenarnya ini adalah langkah membunuh diri. Kerana jawapan dari Mahathir mengegarkan politik Malaysia.
Tup Tup - langkah paling radikal telah diambil oleh empat parti gabungan Pakatan. Semua bersetuju untuk menggunakan satu logo.
Inilah bukti faktor Mahathir yang mungkin ramai terlepas pandang. Tetapi inilah pecapaian politik paling unggul dalam sejarah 60 tahun politik Malaysia. Fakta ini ialah : penggunan satu logo.
Menggunakan satu logo ini - persetujuan menggunakan satu logo ini - hanya dapat dilakukan dibawah kepimpinan Mahathir. Saya yakin Anwar Ibrahim pun tidak ada keupayaan untuk mentuntaskan pekara ini. Satu logo ini adalah faktor Mahathir yang membawa pukulan maut kepada Najib dan Rosmah.
KEDUA: Mahathir Muhamad sebagai agen komunikasi yang cukup baik. Ucapan ceramah Mahathir tidak beretorik. Tidak menaikkan semangat untuk turun ke jalan raya. Dalam ceramah si Mahathir tidak pernah bercerita yang dia kenal dengan Putin atau kenal Tony Blair. Atau pernah ke Universiti Havard. Atau pernah membaca buku itu dan ini.
Malah ceramah Mahathir agak mendatar. Tetapi Mahathir telah berjaya menyampaikan maklumat dengan cemerlang kepada orang ramai.
Mahathir TIDAK menggunakan perkataan yang - besar besar- yang susah untuk disebut. Dan susah untuk dieja. Mahathir TIDAK menggunakan perkataan Inggeris atau Arab. Dalam ceramah Mahathir tidak berselindung dengan ayat Quran atau Hadis Nabi untuk memperkukuh hujah.
Perkataan curi , samun , tipu senang difahami maknanya oleh Mak Cik dan Pak Cik Felda. Disinilah kejayaan Mahathir menterjemahkan konsep politik yang komplek dengan penerangan yang senang untuk difahami.
Kepada Mahathir Najib ialah pencuri. Perkaatan pencuri ini difahami oleh Mak Cik Felda. Berbeza dengan menggunkan perkataan kleptokrasi. Satu habuk pun orang tak faham. Dalam ceramah Mahathir memilih pencuri, lanun atau penyangak untuk menerangkan siapa Si Najib ini.
KETIGA: Perubahan sosial akan berlaku apabila elit politik, elit ekonomi dan jentera daulah mula pecah.
Sama ada cukong yang bernama Robert Kouk memberi dana kepada pembangkang atau tidak satu persoalan lain. Apa yang tersirat dari berita Robert Kouk ialah gambaran tentang elit ekonomi, para cukong telah mula melarikan diri dari Najib. Ini adalah faktor Mahathir.
Kesampaian Rafidah Aziz dan Rais Yatim masuk ke dalam saf Mahathir adalah salah satu tanda bahawa elit politik juga telah pecah. Apabila Rais dan Rafidah dibuang dari parti maka jelas elit politik sedang beramok.
Kemudian saf Mahatir di masuki oleh Daim Zainudin dan Syed Hamid. Semua ini adalah faktor Mahathir yang berjaya memecahkan elit politik
Kemudian Mahathir menulis surat surat terbuka kepada PDRM, Tentera Laut, Darat dan Udara. Hanya Mahathir yang memiliki wibawa sademikian. Hanya Mahathir yang berupaya menulis surat ini.
Apabila Laksamana Angkatan Laut menjawab dan menerangakan kepada anak semua bangsa bahawa angkatan tentera laut tidak menyebelahi parti sesiapa pun. Jawapan ini tidak membolehkan Najib melakukn huru hara untuk mempertahan kuasa. Satu cabang tentera telah enggan jadi alat Najib.
Sebelum Mahathir menulis surat - Ketua Tentera Darat - secara gatal telah menyatakan bahawa soldadu menyokong kerajaan. Ini bermakna tentera darat akan mempertahankan Najib.
Perbuatan bangang dari Ketua Askar ini telah ditibai oleh rakyat kiri dan kanan. Jeneral kaki bodek Najib ini terduduk dan membuat kenyataan baru.
Semua ini petanda yang jentera kerajaan tidak lagi menyebelahi Najib. Hanya PDRM yang tidak bersuara. Hingga ke saat kemenangan tercapai maka barulah ketua PDRM menerima hakikat bahawa Pakatan Harapan ialah kerajaan baru.
Dalam kita merayakan kemenangan ini. Dalam kita bergumbira. Maka jangan lupa kita wajib terus berwaspada. Orang-orang jahat wajib terus diburu, ditangkap dan dimasukan ke dalam penjara.
Kalau dizaman Kerajaan Melayu Melaka orang jahat saperti Razak Baginda, Habibul Rahman dan Arul Kandar akan disula.
Saya tidak mencadangkan mereka disula kerana ini akan mengotorkan buluh.
Tetapi hkikatnya, meminta Razak Baginda wajib disula ini tidak mungkin saya tulis satu bulan dahulu. Kini saya boleh menulis dengan hati terbuka kerana kemenangan yang telah dibawa oleh faktor Mahathir. (tt)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
-----------------