RIWAYAT ITU
DISAMBUNG LAGI
Ada pun hamba ini
sebagai Sang Perawi tidaklah dapat berganjak lagi. Hamba hari ini samalah senasib saperti Tun Seri Lanang 600 tahun dahulu. Adalah dikesahkan ke seluruh Melaka sebuah
kapal dari Goa telah berlabuh di Tanjung
Keling. Kapal dari atas angin ini
membawa barang dagangan. Ada emas, ada perak, ada tembaga , intan suasa
termasuk setanggi dan kain sutera.
Maka hebohlah Orang Melaka kerana kapal ini ditumpangi oleh seorang
Sami Tua Berbongkok Tiga yang datang membawa sebuah kitab yang teramat kuno. Kitab ini mengikut tuan
empunya hikayat adalah kitab sejarah
salasilah bangsa. Kesah Wan Empok Wan Malini. Kesah Raja Suran terjun ke Laut. Kesah
asal dan kesah usul Bani Melayu. Maka kitab ini dipersembahkan kepada Sultan.
Maka bertitahlah Sultan Melaka agar Tun Seri Lanang membacalah kitab ini.
Maka Tun Seri Lanang pun memasang lilin dan damar. Malam membaca
siang menulis. Selama empat puluh
hari empat puluh malam Tun Seri Lanang berkhalawat mengurung diri dengan kitab
ini. Dihari ke 44 maka lahirkan kitab sejarah Bani Melayu yang dipanggil Salalatul Salatin. Maka inilah kitabnya yang diharap-harapkan oleh Tun Seri Lanang untuk
menjadi pedoman sejarah untuk menjadi panduan cucu
cicit yang akan datang. Agar Bani Melayu tidak melupakan asal usul mereka adanya.
Maka hamba sebagai
Sang Perawui pada kurun ini -
pada tahun Ular Rabiul Akhir 1434 bersamaan Tahun Masehi 2013 telah juga
menerima surah yang wajib hamba sampaikan kepada anak anak cucu yang akan datang.
Surah-surah ini datang bukanlah dari kapal atas angin. Surah-surah ini
disampaikan kepada hamba melalui YouTube
dan Facebook. Maka hambalah Perawi soheh yang bernaskan YouTube dan Facebook.
Adalah ditakdirkan jika adalah kiranya cucu cicit yang akan
datang dalam kesusahan maka hendaknya mereka akan membaca surah-surah hamba ini.
Jika ditakdirkan ada anak cucu cicit
yang akan datang sedang diserang Sembelit Unta maka hendaknya akan membaca
surah hamba ini. Adalah ditujukan kepada
anak cucu cicit kita yang akan datang
nanti jika ada yang dalam kesusahan atau yang diserang sembelit jika membaca
surah hamba ini maka akan hilanglah rasa susah gundah gulana. Maka akan cairlah
segala Sembelit Unta itu hendaknya.
Kesah bermula pada tahun Ular Hari Raya China apabila seorang
penyanyi dari negeri atas angin telah dijemput datang. Bukan untuk menghibur
hati yang lara tapi dijemput untuk mengumpul anak muda. Berjuta
dolar telah dibayar dengan harapan Sang Penyanyi akan menjadi daya tarikan dapat mengumpul ratusan
ribu anak muda.
Maka pada hari dan ketikanya.
Disaat sambutan Hari Ular maka
berkumpullah ribuan anak muda menunggu
Penyanyi dari negeri atas angin. Sebelum Penyanyi mucul bertandak dipentas Mat Najib
tanpa malu tanpa segan telah membawa anaknya ke atas pentas dengan harapan muka anak ini
akan diingati untuk dijadikan Perdana Menteri satu masa nanti.
Bila ini terjadi maka anak anak muda diatas
padang gegak gempita menonggengkan
bontot dan membaling selipar.
Tidak cukup dengan ini Suami Mat Najib pula muncul untuk berduet sambil menari. Goyang bontot
kanan. Goyang bontot kiri. Maka muntahlah
anak anak muda seluruh negeri. Mereka
tak sabar menunggu Penyanyi dari atas angin keluar bertandak dan menari.
Mat Najib ini sebenarnya
dalam gerhana yang maha sangat. Mat
Najib sedang merana. Dia sedang dikepong oleh parti sendiri. Mat Najib sedang berusaha untuk membaiki diri. Maka
kerana inilah Mat Najib berbelanja besar menjemput datang seorang penyanyi.
Ketika pun sampai. Tirai dibuka. Lalu Mat Najib malaungkan: are you ready for Sai.
Gegak gempita seluruh padang. Anak muda tak sabar menunggu. Jawapan : Yeeeeeessss
– memecah telinga. Maka Mat Najib bertanya pula: Are you ready for BN. Sekali lagi gegak gempita padang bergegar. Anak muda
berkata : Nooooo. Tidak cukup dengan NO – anak muda menonggengkan bontot. Kemudian
gegak gempita seluruh alam apabila anak anak muda mula menjawab: we are
ready to pangsai BN.
Mengikut tuan empunya surah dalam keadaan sademikian Mat Najib
telah terencat akal. Bertanya bukan sekali. Tiga kali dia melaung - tiga
kali bontot menonggeng sebagai jawapan. Amatlah malu Mat Najib pada pagi itu. Tetapi
tidaklah besar kemaluannya kerana di hujung pentas Suami Mat Najib tegak
berdiri memerhati Mat Najib kalau-kalau berani menggatal cuba bermain mata dengan
para Penari yang genit lagi sexy.
Maka mengikut kata sahibul hikayat kesah Mat Najib dimalukan
ini mula menjadi viral didalam internet. Dengan sekelip mata saentero dunia pun
telah melihat kemaluan Najib walau pun tidak panjang. Dalam YouTube 2 minit
kamaluan Najib sudah cukup untuk menjadi
bahan lawak yang paling popular dalam
YouTube.
Kalau Mat Mat Najib terencat akal maka para juak Mat
Najib menjadi bangang sambil bertuankan bodoh. Mereka pun memulakan
kerja bodek membodek. Kemaluan Mat Najib
wajib dipotong. Maka berita dalam TV pun diubah reka. Bunyi: nooooo - yang
dirakam diganti dengan bunyi: yeesssssss. Mengikut yang
tuan empunya kesah berita TV ini
dirancang dan direka oleh seorang
Sida yang bernama Siti Johan binti Lebai
Jaafar yang pada satu ketika dahulu adalah pembodek tegar Anwar Ibrahim.
Siang berganti malam. Malam berganti siang. Tup tup muncul
satu lagi kesah kemaluan Mat Najib. Ada pun mengikut tuan empunya YouTube sebelum
Penyanyi dari negari atas angin naik ke pentas telah diadakan satu upacara mengacau Yee Sang untuk menyambut kesampaian Tahun
Ular. Sang Penyanyi telah dijemput sebagai tamu kehormat untuk bergambar
bersama para ular-ular yang sedang
berlingkar diatas pentas.
Panggil punya panggil. Sorak punya sorak. Tepuk punya tepok.
Sang Penyanyi enggan keluar untuk bergambar bersama ular. Maka sekali lagi
kemaluan Mat Najib terjulur keluar. Kali ini memang betul nampak panjangnya. Kali ini kemaluan Mat Najib amat panjang, lebih dari 5 minit. Dengan
muka yang bopeng. Dengan muka jobo Mat Najib berundur dari pentas.
Wahai para pembaca yang amat
budiman hamba ingin bertanya. Jika telah dua kali kemaluan kita terjulur
keluar dalam YouTube apa yang wajib kita lakukan. Pada hemat hamba sebagai Tok
Perawi adalah sopan lagi berhemah untuk
kita berdiam diri.
Tetapi mengikut kata tuan empunya ceritera kesah Mat Najib
dalam YouTube ini tidak berhenti disini sahaja.
Rupa-rupanya para pembodek dan para juak Mat Najib telah berbincang
untuk sekali lagi membuat cerita. Lebong pun dibuat sekali lagi. Gali lubang tutup lubang. Berita dibuat untuk
menipu dengan harapan dapat menutup kemaluan Najib.
Sebab dicari. Musabab direka. Maka dihebohkanlah kesah bahawa
Penyanyi dari atas angin tidak keluar keatas pentas untuk mengacau Yee Sang dan bergambar bersama para ular
kerana ada orang hendak membunuh Sang Penyanyi. Rancangan
bunuh ini manakutkan Penyanyi untuk keluar. Lebih selamat duduk
dibelakang pentas.
Kesah pelik kini menjadi semakin seram kerana ada percubaan
membunuh. Kesah seram ini kemudian menjadi
lawak. Tetiba si Penyanyi yang dikatakan hendak dibunuh keluar bertandak dan menyanyi. Apa sudah jadi dengan rancangan bunuh
itu. Bila sandiwara bunuh ini mula dipertikaikan maka Siti Johan
binti Jaafar pun mula menetaskan sebuah lagi kesah baru untuk mengetatkan
cerita.
Untuk membuktikan adanya percubaan membunuh ini maka
saorang Tukang Karut dari Rumah Pasong diminta
membebel. Maka membebelkan si Tukang Karut ini di hadapan media. Tukang
Karut bercerita yang dia memiliki bukti- bukti saheh dan
rancangan pembunuhan licik yang dirancang oleh CIA, KGB, MOSAD, DDT dan
termasuk dari geng DBP. Mereka semua ini merancang untuk membunuh Penyanyi dari
atas angin.
Mengikut kata Tuan OCPD opps... Tukang Karut.. bahawa dia ada menerima satu SMS satu hari sebelum Penyanyi ini bertandak dan menari. Satu hari sebelum? One
day before? Kah kah kah. Kalau sudah
dapat tahu sehari sebelum mengapa tidak di batalkan sahaja rancangan menyanyi
ini. Dan kenapa pulak si Penyanyi boleh naik ke pentas menyanyi dan bertandak. Tetapi tidak mahu bergambar dengan Najib dan para Menteri kabinet.
Wahai juak dan pembodek Mat Najib, janganlah kamu berbohong
lagi. Kami rakyat jelata bukan telor. 28
juta orang kampong dan orang pekan
bukan semuanya bangang dan bodoh. Bukan
semuanya penonton percaya kepada berita TV. Adalah hendak diberitahua bahawa pada
zaman ini anak muda dan orang ramai lebih yakin dengan berita dan laporan
YouTUbe. Walau pun kemaluan Najib pendek tapi gelak ketawa penonton amatlah panjang.
Wahai pembaca yang budiman , maka hamba sebagai Tok Perawi
tidak ada jalan lain melainkan menuliskan kesah riwayat ini. Hendak-hendaknya
riwayat ini satu hari nanti akan menjadi bahan penglipur lara. Saperti riwayat
Pak Pandeh dan Mak Andeh maka hendaknya
riwayat Najib dan Suaminya Rosmah akan menghiburkan anak cucu cicit kita yang
akan datang. (TT)
MLAM JUMAAT INI DI SHAH ALAM
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melanggan
akhbar minggun ini sila pukul talipon:
03-22-72- 40-45
-----