PERJUANGAN
DITERUSKAN LAGI
TANDA KERUNTUHAN
SAMPAI
Kalau kita hanya ada
pendapatan 100 ringgit sebulan maka secara lojik kita akan berbelanja 70 atau
80 ringgit. Kalau boros sekali pun kita berbelanja 90 hingga ke 99
ringgit sebulan. Masih ada niat menyimpan sekurang-kurang seringgit untuk masa
depan.
Dalam rumah tangga
jika anak isteri sedang kurang makanan , kurang pakaian
atau kurang dana perubatan dari segi lojiknya Sang Ayah akan cuba sedaya
upaya menyelesaikan ajenda rumah tangga dahulu. Bukan pergi ke hulu
ke hilir membantu jiran tetangga. Ini lojik manusia saantero alam.
Lojik manusia bermakna
pekara yang kita lakukan itu masuk akal. Perbuatan atau hujah yang diberikan
masuk akal dan di yakini. Ini berlainan dari lojik Mat Pet. Mat Pet , Mat
Gian, Mat Candu atau Sang Pemadat mempunyi lojik yang tidak masuk akal. Lojik
Mat Pet tidak dapat kita terima pakai kerana kita
manusia rasional yang memiliki fikrah.
Mat Pet lagi
berdengong lagi di cucuk badan dengan dadah. Lagi kurang sedar lagi ditelan
pill atau disedut asap candu. Akhirnya badan tidak sanggup lagi menerima. Darah
dalam badan Sang Pemadat enggan bergerak akhirnya Mat Pet ini mati tegak dalam
khayalan.
Sabar. Lojik Mat Pet
ini adalah juga lojik Empire. Lojik ini telah diguna pakai oleh Kublai
Khan dari Mongolia ketika menjajah satengah dari bumi dunia ini. Lojik
Mat Pet ini juga di gunakan oleh Empire Sepanyol, Empire Belanda dan British
Empire. Kesemua sejarah Empire ini berakhir dengan Empire mati tegak.
Kalau Mat Pet giankan
dadah untuk berkhayal. Empire ada juga dadahnya. Empire giankan dadah yang
lebih spesial. Dadah untuk Empire ialah kuasa. Kuasa untuk berkhayal dan
berkhayal untuk berkuasa. Berkhayal untuk berkuasa mendominasi dunia ini adalah
dadah kepada semua Empire dari dulu hingga ke Empire Amerika hari ini.
United States of Amerika
memiliki sejarah anti-feufdal dan anti-kolonial. Warga imigran dari
Eropah telah memanggil diri mereka Amerikan. Mereka telah bangun angkat
senjata, 200 tahun dahulu melawan kuasa kolonial Baginda Queen. Awalnya
orang kulit putih ini telah menjarah tanah Orang Asal. Kemudian ekonomi
Amerika berkembang dengan kemasukan hamba abdi yang tangkap dari Afrika.
Dari sini bermulalah
sejarah perkembangan Empire Amerika. Mexico mula dijajah pada tahun 1846.
Kemudian menjalar ke benua Amerika Latin menggantikan kuasa Sepanyol, ke
Amerika Utara menggantikan kuasa Baginda Queen, kemudian ke Eropah, kemudian menjarah ke Afrika dan ke Asia
sesudah kejatuhan Hitler i.e sesudah
Perang Dunia Kedua.
Dari 1776 hingga ke
2013 Empire Amerika telah menaklok dunia. Tidak ada siapa dalam dunia ini
yang tidak kenal Mek Dogal. Tidak ada siapa yang tidak tahu apa itu apa
itu Hollywood. Siapa yang menduduki Rumah Puteh dilihat sebagai sosok
yang paling berkuasa dalam dunia ini – melebih kuasa Firaun. Melintasi
kuasa Shah Reza Pahlavi.
Tapi dunia ini ada
hukum alam. Yang naik akan turun. Yang diatas tidak akan selama-lamanya diatas.
Ini hukum alam yang tidak ada siapa dapat mengubahnya. Apa yang bermula pasti
akan berakhir. Selagi ada penindasan selagi itu akan ada perlawananan. Sekuat
mana pun sesebuah Empire itu ianya akan berakhir. Dari zaman kuno kita telah
mendengar Empire Inca, Empire Firaun, Empire Iskandar Zulkarnain atau
Empire China . Empire Ottoman – semuanya terkubur.
Bilakah agaknya Empire
Amerika atau kuasa imperialis Amerika ini akan punah musnah. Persoalan bila
tarikhnya bukan mudah untuk dijawab kerana perjalanan tamadun manusia
bukan saperti pertunjukkan wayang ada traikh dan waktu. Empire bukan sesuatau
yang dapat dipegang. Justeru apa yang dapat kita baca hanyalah tanda-tanda bahawa
kuasa imperialis Amerika ini sedang menjunam jatuh.
Lojik Empire ialah
lojik Mat Pet. Hari ini sistem kapitalis ekonomi Amerika sedang dalam keadaan
nazak. Dolar Amerika nilainya semakin susut. Keyakinan dunia semakin merosot
terhadap nilai dolar. Lihat dan perhatikan apa yang dilakukan oleh
Mat Pet a.k.a Empire Amerika ini?
Ketika duit tidak
cukup – ketika ekonomi kelam kabut - ketika inilah Amerika membuka medan perang
di Afghanistan, di Iraq , di Syria dan di Libya.
Data 2013 dari Dewan
Kongress Amerika menyatakan 43 juta warga Amerika ditakrif hidup dibawah
tahap kemiskinan. Jumlah 43 juta ini adalah warga Amerika yang menerima
bantuan ‘food stamp’ atau menerima bahan makanan dari kerajaan untuk hidup.
Dalam keadaan ini Mat Pet ingin ke hulu ke hilir menyebarkan ‘
‘demokrasi’. Bunyinya lawak tetapi inilah lojik Mat Pet.
Bulan September
2013 telah berlalu. Pasti ramai yang tidak ambil pot tentang apa yang
telah berlaku dalam bulan itu. Sebenarnya ada dua pekara yang amat penting
telah berlaku. Kedua-dua pekara ini adalah tanda bahawa kuasa imperial Amerika
sedang menuju keruntuhan.
Babak pertama
mengambil tempat di Damsheik. Tim PBB sedang menyelidik letupan bom kimia dalam
pentas perang Syria. Tetiba diwilayah dimana tim PBB sedang menjalankan
siasatan satu lagi bom kimia dikatakan meledak. Dunia menjadi heboh.
Kuasa imperial Amerika
telah berulang kali berkata – senjata kimia adalah garis merah – yang tidak
boleh dilintasi. Jika dilintasi maka Syria akan diserang. Justeru pada minggu
ledakan itu berlaku dunia menjadi tegang. Kuasa imperialiks Amerika akan
menyerang Syria – hanya menunggu arahan dari Obama.
Laporan dan selidikan
dari Russia dan Ngo antarabangsa telah membuktikan bahawa ledakan bom kimia ini
telah dilakukan oleh gerila-gerila upahan Saudi. Gerila upahan Saudi datang
dari pelbagai negara. Mereka sedang berkeliaran melakukan keganasan
atas nama Islam. Untuk gerila upahan ini ledakan bom kimia ini diharapkan akan
menjemput Amerika dan kuasa bala tentera NATO untuk menyerang Syria -
sama saperti yang telah dilakukan di Libya.
Saperti biasa juru
heboh kuasa imperial dari Obama ke Hillary ke John Kerry telah memberi
amaran keras. Syria akan diserang kerana garis merah telah dilintasi. Bukti
siapakah sebenarnya yang meledakkan bom kimia ini tidak penting. Dalam falsafah
Mat Pet salah benar tidak mustahak.
Armada Amerika
mula belayar ke Laut Teduh. Kapal terbang penyerang Amerika mula
memanaskan injin disana sini. Dunia menunggu bilakah Tomahawk dan Cruise
Missile akan meledak di Damsheik. Tup tup semuanya kecut – semua jadi lembik
apabila Russia memberi kata dua bahawa tindakan Amerikan ini adalah salah.
Malah Rusia memperbaharui niat untuk menghantar senjata ke Syria.
Tetiba kuasa imperial
Amerika tidak lagi gah. Tetiba kuasa Empire ini mengundur dari
menyerang Syria. Sah bahawa kuasa imperialis ini hanyalah ‘harimau
kertas’. Gagalnya menyerang Syria ini menjadi tanda pertama bahawa kuasa
imperialis Amerika tidak lagi memiliki kekuatan.
Tanda kedua juga amat
jelas. Tetapi mungkin ramai yang tidak melihat. Pada satu ketika dahulu Amerika
Latin dijadikan kawasan belakang rumah oleh kaum pemodal Amerika. Jeneral dan
Kolonel diturun dinaikkan untuk menjadi Presiden. Kesemua Presiden
dan kepala negara Amerika Latin menjadi budak suruhan Amerika.
Tetapi pada bulan
September lalu di PBB untuk pertamna kali setiap Presiden dan Ketua Negara dari
Amerika Latin yang berucap di podium PBB telah mengutuk Amerika. Kutukan ini
berpunca kerana Amerika telah melakukan risikan melalui teknoloji yang telah
dibocorlkan oleh Edward Snowden. Alat risikan CIA ini telah ‘dibogelkan’ untuk
dunia oleh Snowden yang bekerja di Jabatan Pertahan Amerika sendiri.
Pemimpin negara Latin Amerika telah berani menunjukkan kemarahan mereka
terhadap Rumah Puteh. Ini cukup bersejarah. Dalam istilah anak muda – ini rare.
Untuk pertama kalinya
dalam sejarah Amerika Latin, Presiden Brazil Dilma Rousseff telah menolak jemputan Barack
Obama untuk bertemu di Rumah Puteh. Bayangkan Mahathir Muhamad dan Najib
Razak sanggup menghabiskan berjuta dolar untuk melobi agar dapat bergambar
dalam Rumah Puteh. Tetapi Presiden wanita pertama Brazil yang juga bekas
gerila Marxis ini secara terbuka telah menolak jemputan
Obama. Ini satu tamparan untuk Presiden Amerika.
Babak kedua - dalam
bulan September lalu bukan sahaja Obama telah dimalukan oleh seorang
bekas gerila malah lidah resmi media China - Xinhua – telah berkata
bahawa telah sampai masanya ekonomi dunia ini dibebaskan dari kuasa
imperil Amerika. Perkataan yang digunakan ialah – de-Americanized –
ekonomi dunia. Ini bermakna jual beli dalam dunia TIDAK lagi bersandarkan
dolar. Malah dalam tulisan Xinhua ini China mahukan satu tata cara ekonomi
dunia yang baru.
Semua ini adalah tanda
tanda bahawa hari hari akhir untuk kuasa Pax Americana telah sampai. Bala
tentera Amerika yang berselirat di seluruh dunia kini hakikatnya sedang
menjadi beban yang amat sangat untuk ekonomi Amerika. Perbelanjaan perang
di Iraq, Afghanistan dan Libya sedang menjerut leher Uncle Sam.
Obama telah gagal datang ke Kuala Lumpur pada 11
Oktober 2013 yang lalu. Ini kerana seluruh pentabiran kerajaan Amerika ditutup
kerana hutang terlalu tinggi. Ini wajib dibaca sebagai satu lagi tanda
keruntuhan kuasa imperial. Jika hutang kerajaan berterusan dan pentabiran
ditutup lagi – mustahil 43 juta warga Amerika yang hidup dengan ‘food
stamps’ akan menjadi wira Amerika untuk menjaja ‘demokrasi’.
Kalau Mat Pet
ini makan pun susah mustahil akan bertenaga untuk menyerang
dan menundukkan negara Dunia Ketiga yang bebas dan merdeka.
Kuasa imperial Amerika akan terus gian untuk berkuasa. Mat Pet ini akan
terus – berkhayal untuk terus mendominasi dunia. Tetapi hukum dunia telah
berubah. Amerika bukan lagi tidak boleh dilawan. Kuasa imperialis ini hanyalah Harimau Kertas.(TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
oleh SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon : 03-92-21-1045
-----