PINDAAN AKTA CUKAI 1967 MENEKAN RAKYAT, SIKAP “DOUBLE STANDARD” BARISAN NASIONAL
Tindakan Barisan Nasional membentangkan pindaan-pindaan kepada Akta Cukai 1967 jelas menunjukkan sikap “double standard” mereka. Di kala pelbagai pindaan dibuat untuk mengetatkan lagi undang-undang percukaian dan memberi lebih kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengutip cukai, kesungguhan yang sama tidak pula ditunjukkan dalam kes-kes penyelewengan dan skandal kewangan yang merugikan negara melibatkan pimpinan Barisan Nasional.
Ada dua pindaan yang saya kira memangsakan rakyat kebanyakan terutamanya peniaga kecil.
Pertama, pindaan Akta Cukai 1967 menetapkan bahawa sebarang pengeluaran simpanan dari Skim Persaraan Swasta sebelum umur 55 tahun (kecuali atas sebab-sebab kemalangan dan hilang upaya) akan dikenakan cukai penuh. Ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Najib Tun Razak semasa melancarkan inisiatif kerajaan menggalakkan Skim Persaraan Swasta pada Julai 2012 bahawa keuntungan dan pendapatan dari Skim Persaraan Swasta dikecualikan dari cukai untuk menggalakkan lebih ramai pekerja swasta mempunyai simpanan persaraan.
Perkara ini sudah menjadi amalan Barisan Nasional sejak kempen PRU13 lalu, iaitu mengumumkan janji manis yang akhirnya dimungkari selepas keputusan PRU13.
Jawapan Timbalan Menteri Kewangan bahawa kerajaan berhak mengenakan cukai kerana penabung dalam Skim Persaraan Swasta mendapat pelepasan cukai adalah tidak tepat. Pembayar cukai hanya mendapat pelepasan cukai sehingga maksima RM3,000 setahun (pada kadar cukai yang dibayar) sedangkan tabungan di dalam Skim Persaraan Swasta kebanyakannya melebihi RM3,000 setahun. Dengan pindaan ini, penabung terpaksa membayar cukai tambahan melebihi dari pelepasan cukai yang diberikan sebelum itu.
Kedua, pindaan Akta Cukai 1967 juga meluaskan kuasa kerajaan untuk mengutip cukai syarikat dari mana-mana pemegang saham yang pegangan saham melebihi 20% atau pengarah atau mana-mana individu yang ditaksirkan mempunyai kawalan terhadap pengurusan sebuah syarikat. Ini bermakna pemegang saham kini terpaksa berhadapan risiko menanggung cukai syarikat walaupun pemegang saham itu tidak terlibat di dalam apa-apa pengurusan sekali pun.
Pindaan ini samalah seperti menghapuskan pemisahan (“corporate veil”) di antara liabiliti syarikat dan individu/pemegang saham yang menjadi asas persyarikatan.
Pindaan-pindaan ini sudah tentu bertujuan untuk membolehkan kerajaan mengutip lebih banyak cukai dari rakyat dan syarikat; walaupun kutipan cukai meningkat secara purata 10% setiap tahun sejak 3 tahun kebelakangan ini.
Saya mencabar Menteri Kewangan di dalam Dewan Rakyat semalam bahawa jika kerajaan mahu menghapuskan pemisahan di antara individu dan syarikat dalam hal kutipan cukai, maka pendekatan yang sama perlu digunakan dalam soal mengutip hutang dari individu yang terlibat di dalam skandal kewangan harta negara.
Ini termasuklah menghapuskan pemisahan di antara pengarah-pengarah NFC dari syarikat NFC dalam soal hutang RM250 juta yang diambil oleh NFC dari kerajaan. Oleh kerana pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 telah menghapuskan “corporate veil” itu, maka pengarah-pengarah NFC dari keluarga Shahrizat Jalil tidak lagi boleh berselindung di sebalik alasan hutang diambil syarikat dan perlu membayar segera RM250 juta itu.
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
5 DISEMBER 2013
------------