MENCARI
SITI GRETA DAN ABDUL JOSHUA
Minggu lalu saya menulis tentang dasar 18BU – Boleh Undi. Ini dasar baru kerajaan Pakatan Harapan (PH) dimana warga yang melintasi umur 18 dibenarkan mengundi. Dasar baru ini juga dikahwinkan ini dengan dasar mendaftar secara otomatik. Ini satu kejayaan Pakatan Harapan melunaskan janji untuk memperluaskan ruang demokrasi. Syabas.
Dalam masa yang sama saya memberi ingatan akan bahaya umur muda. Ini saya kaitkan dengan hantu ektremis agama dan hantu ektremis perkuaman yang sentiasa menunggu dibelakang pintu. Ini hakikat realpolitik bumi Tanah Melayu. Kita semua wajib menghadapi realpolitik ini dengan hati yang tabah cekal dan dibantu oleh fikrah yang rasional dan ilmiah.
Saya telah menulis tentang persoalan nasional yang belum-belum selesai. Manifestasi dari persoalan nasional yang belum selesai ini ialah sikap tidak mahu menerima ‘yang lain’ Dalam konteks Malaysia maknanya Bani Melayu enggan menerima Bani China dan Bani India sebagai rakyat Tanah Melayu. Perasaan ini wujud walau pun cuba digelapkan.
Manifestasi dari hujah saya ini sedang kita dilihat dari apa yang berlaku dalam pentas politik sekarang. Lihat bagaimana Parti Islam Pas bersekongkol dengan United Malays National Organisation menyebarkan naratif tentang bagaimana PH hari ini adalah boneka dari parti China DAP.
Kepada yang rasional dan berfikir akan melihat hujah ini bangang dan tidak masuk akal. Tetapi hujah dan naratif ini tersebar luas. Ada kumpulan yang menerima , ada yang membeli membeli dan ramai sedia menjadi Tok Peraih untuk terus menjaja kembali hujah ini. Pada hemat saya ini bahaya.
Bahaya besar apabila naratif dan surah ini mula meresapi hati dan sanubari anak-anak muda yang pada ketika ini dalam sekolah menengah rendah. Dalam masa tiga tahun mereka akan turun mengundi.
Dari umur yang bagitu rendah dalam dunia yang suci bersih anak-anak sekolah ini telah dicemari dengan usrah jahat dan penuh prasangka. Usrah bentuk inilah yang akan melahirkan perasaan benci kepada ‘ yang lain’
Sikap prasangka ini jika dipupuk akan mewujudkan kebencian yang maha sangat terhadap ‘ yang lain’ Maka dari ini lahir sikap perkauman. Memang betul ada unsur-unsur lain yang mewujudkan sikap perkauman tetapi prasangka yang disemai dizaman kanak-kanak akan sedia bercambah mengembang bila suhu cuaca yang tepat sampai.
Sejarah telah membuktikan bahawa fahaman fasis boleh berkembang subur dalam ladang prasangka sademikian. Malah ketika saya menggarap tulisan ini Eropah dan Amerika Utara sedang berhadapan dengan sikap benci dan tak suka kepada ‘ yang lain’.
Justeru apa yang wajib dilakukan?
Kita secara rasional wajib menerima hakikat bahawa ruang demokrasi yang dibuka oleh Pakatan Harapan ini boleh mengarah ke hulu boleh ke hilir. Boleh membawa mudarat. Boleh membawa kebaikkan. Apa yang penting ialah jurumudi yang mengendalikan bagaimana ruang demokrasi ini dapat digunakan untuk membawa kebaikan ramai.
Untuk memberi jawapan kepada persolan apa yang wajib kita buat saya membuka surah BERSIH 2.0. Saya mengumpul pengalaman ketika menyusun gerakan BERSIH. Ajenda Bersih ialah pilihan raya bebas dan adil.
Mengapa Bersih mendapat sokongan orang ramai? Mengapa Bersih berjaya melintasi semua kelas. Dari Pak Cik Kampong Pantai Dalam ke Mak Cik Taman Tun ke Uncle Lee di Bukit Tungku hingga ke Datuk dan Datin berumah banglo di Bangsar. Semua menyokong Bersih.
Anak-anak muda dan pelajar turun ke jalan raya untuk bersetia kawan dengan Bersih. Walau ramai diantara mereka belum lagi mendaftar atau belum melintasi umur 21 tahun untuk boleh mengundi.
Jawabnya : Bersih menjadi tulang belakang. Dalam tulang belakang semua saraf berkumpul. Saraf buruh, saraf kelas menengah, saraf Towkay , saraf China, Melayu, India - saraf anak semua bangsa semuanya menyalur masuk ke dalam ajenda tulang belakang : pilihanraya raya adil dan bersih. Bersih dilihat masuk akal dan membawa janji yang menjanjikan kepada Mak Cik, Pak Cik, Uncle dan Auntie.
Bersih dilihat cool, pop, chic dan sexy oleh generasi muda. Turun ke jalan raya dilihat counter culture. Kuncinya melawan.
Melawan dilihat cool. Justeru anak muda mahu dilihat cool. Bukan hanya mahu dilihat cool dengan feshen pakaian. Bukan hanya ditakrif cool melalui music yang didengar. Kumpulan pop yang diikuti. Café yang dilanggani. Paling afdal anak muda mahu dlihat cool dengan bangun melawan. Bersih membawa perlawanan. Sikap melawan adalah hati nadi anak muda yang sedang mendewasa.
Melawan dan mahu mencuba adalah naluri proses pendewasaan. Tak kenal apa dia api leterik maka ianya perlu diusik. Tak kenal rasa rokok maka dicari untuk dihisap. Ini proses pendewasaan yang natural.
Dunia ini akhirnya milik anak muda. Saya tambah lagi - dunia ini akhirnya akan menjadi milik anak muda yang berani mencuba dan berani bangun melawan.
Justeru saya mengajukan dua sosok anak muda yang dilihat cool dan sedang bangun melawan. Semuanya muda semuanya masih dibawah umur ketika mula bergerak aktif menyusun politik jalan raya.
Greta Thunberg lahir 3 Januari 2003 kini berumur 16 tahun dari Stockholm Sweden. Joshua Wong lahir 13 Oktober 1996 kini berumur 23 tahun dari kota Hong Kong. Dua sosok ini adalah ikon anak muda diseluruh dunia. Dua sosok ini adalah wakil anak muda zaman sekarang. Ini sosok paling cool dan paling chic.
Greta pada bulan Ogos 2018 ketika berumur 15 tahun telah menyusun kawan-kawan disekolah untuk keluar berdemo di Parlimen Sweden. Ajenda yang dibawa oleh Greta ialah : Pemanasan Dunia – Global Warming. Kini Greta dilihat sebagai ikon anak muda yang bangun untuk menyedarkan para politikus dunia, untuk menyedarkan kaum industrialis dan umat manusia bahawa dunia ini tidak lagi selmat kerana suhu cuaca dunia semakian panas.
Joshua Wong ketika berumur 16 tahun telah menyusun kawan-kawan disekolah untuk pandai berpersatuan. Pada bulan September 2014 ketika berumur 17 tahun anak muda kecil ini telah menyusun Gerakan Payung – Umbrella Movement di Hong Kong. Ini gerakan menuntut ruang demokrasi dan pilihanraya yang adil. Gerakan ini telah turun ke jalan raya.
Dari Gerakan Payung – Joshua telah memperluas gerakan dan menyusun warga Hong Kong untuk menuntut lebih luas ruang demokrasi. Joshua telah ditangkap dan dipenjara. Keluar dari penjara anak muda ini meneruskan perjuangan.
Pada 25 Mei 2015 dahulu ketika kerajaan Najib berkuasa Joshua telah ditahan di Lapangan Terbang Pulau Pinang. Dia dilarang masuk ke Malaysia. Joshua dijemput ke Malaysia untuk hadir dibeberapa seminar untuk memberi pencerahan tentang apa yang sedang dan akan berlaku di Hong Kong.
Ketika saya menulis ini warga Hong Kong telah masuk ke bulan ke enam berdemo di jalan raya. Dari Gerakan Payung kini anak anak muda Hong Kong telah memperluas menuntut ruang demokrasi. Kini mereka mahu bebas dari kuasa Parti Komunis China (PKC). Mereka mahu pilihanraya yang telus. Wakil yang dipilih bukan dilantik oleh PKC. Hakikatnya anak muda Hong Kong telah bangun menentang kuasa absulut Parti Komunis China.
Di Hong Kong yang turun ke jalan raya bukan ratus, bukan ribu bukan ratus ribu tapi ratusan ribu hingga ke dua juta. Joshua Wong bersama rakan-rakan muda bertanggung jawab menyusun ombak demokrasi jalan raya.Joshua dan ramai anak muda telah beberapa kali ditangkap dan dipenjara. Tapi api pejuangan diteruskan. Ini kegigihan anak muda. Amin.
Akhirnya dalam tulisan ini saya rumuskan dua pekara. Pertama Malaysia wajib melahirkan Siti Greta dan Abdul Joshua. Kita tidak ada pilihan. Siti Greta wajib dicari. Abdul Joshua wajib ditemui.
Dari sekarang kita wajib mencari, menggali, menuggal dan menunggu kesampain Siti dan Abdul Generasi awal yang memiliki pengalaman wajib bertemu dengan Siti Greta dan Abdul Joshua. Bila kita bertemu maka sosok wajib dibina, wajib dipasak dan akhirnya wajib dijulang
Malaysia memerlukan Siti Greta dan Abdul Joshua sebagai ikon 18BU. Sebelum musuh membina Greta dan Joshua milik mereka - Pakatan wajib mendahuli semua. Pakatan wajib berani menjadi pemula bukan pengekor. Jika Pakatan gagal melahirkan Greta dan Joshua maka projek 18BU adalah projek yang akan menewaskan Pakatan sendiri.
Pekara kedua: Apakah ajenda yang akan dibawa oleh Siti Greta dan Abdul Joshua. Wajib diwujudkan ajenda tulang belakang saperti ajenda BERSIH 2.0. Justeru pada hemat saya ajendanya tidak lain dan tidak bukan pastilah ajenda alam sekitar, pemanasan dunia, perubahan iklim. Siti dan Abdul sahaja yang memahami suara dan nadi jenerasi muda. Hanya yang muda akan berjaya membawa pencerahan alam sekitar.
Politikus lama , Aktivis Otai, Roformis, Pak Lebai dan Ustad wajib sedar bahawa bahasa dan pengucapan - nahu dan lorat anak muda sedang berubah. Tulisan dan bacaan – gaya bahasa dan penyampaian generai Greta dan Joshua amat berlainan dari generasi Baling atau Tasek Utara. Siti dan Abdul adalah generasi watsapp dan Instagram.
Pendekatan dan method untuk membawa pencerahan masih lagi politik jalan raya. Jalan raya masih lagi menjadi wadah politik anak muda diseluruh dunia. Ini hakikat. Dari Chile, ke Sudan , ke Lebanon, ke Greece, ke Sweden , ke German, ke Amerika, ke Iraq, ke Iran , ke Siam – anak muda sedang turun ke jalan raya. Ini kerana dunia ini akhirnya adalah milik anak muda.
Anak muda yang cool dan yang counter culture bukan bermimpi untuk ke parlimen tapi merancang untuk mengepong parlimen. Anak muda bukan bermimpi untuk mendapat derajah Datuk atau Datuk Seri. Tapi anak muda berani bangun melawan Datuk dan Datuk Seri.
Sikap berani melawan ini telah dan sedang ditunjukkan oleh semua Greta dan semua Joshua dalam dunia ini. Abdul dan Siti dan Kampong Sana dan Kampong Sini tidak mahu ketinggalan. Siti dan Abdul adalah warga global. Internet adalah bin dan binti mereka. Bapak saudara mereka ialah Lebai Google. Mak Cik saudara mereka ialah Faceook. Awas.
Ajenda tulang belakang – pemanasan dunia – wajib kita lakukan sekarang. Siti Greta dan Abdul Joshua wajib kita temui. Kerana dihadapan kita ada musuh besar sedang menunggu – selain dari ektremis kaum dan ektremis agama. Para pemodal dan para industrialis sedang memasak AI untuk untuk masa depan mereka. .Jangan silap baca AI bukan Anwar Ibrahim tapi Artificaial Intelligence.
Apa bahaya AI? Pecerahan akan sampai. (TT)
Tulisan ini disirkan juga dalam akhbar
SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melangga sila pukul talipon
03-92-21-30-45
--------