UCAPAN
SERLAMAT BERMUKTAMAR
DARI PEMBACA TUKAR TIUB
PERJUANGAN
DAN GARIS POLITIK
Mukatamar
PAS ke 59 kali ini bukan hanya
diperhatikan rapi oleh warga Malaysia
sahaja malah bekas rakan sakerja Edward
Snowden dalam National Security Agency di Amerika (NSA) dan Goverment Communication Headquaters (GCHQ)
di England turut sibuk merakamkan apa
yang sedang berlaku. Keputusan pemilihan pucuk pimpiann PAS kali ini bukan
hanya mempengaruhi arah politik Malaysia
malah ianya juga akan mempengaruh ASEAN dan Asia Tenggara.
Ahli
PAS yang akan mengundi dimuktamar kali ini berpeluang memilih pucuk pimpinan
dari dua jalur atau dua garis politik. Media milik gerombolan United Malays
National Organisation dan suku sakatnya mentakrif dua garis ini sebagai
kumpulan Ulamak dan kumpulan Erdorgan. Sesekali ‘Erdorgan’ ini dikatakan
juga kumpulan professional.
Sebenarnya
ini nama-nama ini hanya ‘papan tanda’
untuk mengelompokkan agar dapat diberi tanda. Ketika Ku Li melawan Mahathir
dulu dikatakan wujud Tim A dan Tim B dalam United Malays National Organisation.
Sebenarnya ada dua garis yang jelas
yang diwakili oleh Ku Li atau Mahathir walau pun media tidak menerangkan secara
tuntas. Nama diberi untuk memudahkan media membuat kerja.
Dalam
PAS memang wujud kumpulan yang dipanggil Ulamak. Dalam bahasa Arab ulamak membawa erti pemikir atau intelektual. Alim
ertinya berilmu pengetahuan. Di Malaysia
ini dua perkataan Arab ini telah disakralkan dan hanya
diasosiasi dengan Agama. Wal hal alim dan ulamak ini adalah untuk sesiapa
sahaja yang memiliki daya fikrah yang kritikal
dalam bidang keilmuan masing masing tidak samestinya hanya agama.
Erdorgan
pula ialan ikutan nama Perdana Menteri Turki yang bukan ulamak yang berjaya
memimpin Turki dengan garis politik Islam. Nama ini muncul di Malaysia kerana gulungan yang dikatakan kumpulan Erdorgan
adalah gulungan professional bukan guru agama, bukan lulusan pondok, tidak berserban, tidak berjubah dan tidak berjanggut
panjang. Jauh sekali hidup mencari makan
dengan menjual air jampi.
Kadang
kala kumpulan Erdorgan ini dipanggil Anwarista. Jika perkataan Anwarista atau
Anwarisna saperti dalam ucapan Zul Nordin maka kita tahu
dibelakang sebutan ini ada niat
tidak baik. Anwarista ini digunakan untuk menggambarkan para pemimpin PAS ini sebagai macai kepada Anwar Ibrahim.
Disebalik
jenama ini sebenarnya ada garis politik yang amat jelas. Garis politik inilah
yang wajib kita ketahui untuk memahami apakah tanda dan makna Muktamar PAS kali ini.
Muhamad
Sabu a.k.a Mat Sabu dan Nik Amar yang merebut jawatan Timbalan Presiden PAS
adalah manifestasi dari dua garis
politik yang amat jauh berbeza. Dua sosok
ini membawa dua pendekatan politik yang berlainan. Apa yang membezakan mereka ialah cara mereka melihat dan mentafsir Islam dalam
konteks realpolitik Malaysia dan dalam konteks realpolitik dunia kontemperori.
Umum
mengetahui bagaimana kumpulan Ulamak ini
telah bersidang tidak berapa lama
dahulu. Hasil persidangan ini satu ketetapan telah diluluskan. Mengikut
ketetapan ini para Ulamak meminta parti PAS menilai kembali hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat.
Menilai
kembali ini bermakna telah wujud perasaan TIDAK puas hati dikalangan alim ulamak
dalam hal perserikatan kerjasama dengan Parti Kedailan Rakyat dan Parti
Tindakan Demokratik. Apa yang menimbulkan ketidak puas hatian ini tidak pula
jelas. Yang diumumkan kepada orang ramai hanyalah ulamak mahu ‘ menilai kembali’ kerjasama
dalam Pakatan Rakyat.
Untuk
yang arif politik - melintas Mat
Bangla didepan mata telah diketahui sama
ada pendatang haram atau tidak. Justeru, ketetapan dari persidangan ulamak ini bermakna ada jalur dalam parti PAS yang tidak
mahu terus bersama dalam Pakatan
Rakyat. Garis Ulamak ini menolak usaha menggalang barisan bersatu
untuk menjatuhkan United Malays National Organsiation dan kuncu-kuncunya.
Terlulusnya ketetapan ini bermakna garis
politk para ulama PAS ialah menentang kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Dalam bahasa anak muda yang cool - PAS
nak blah dari Pakatan Rakyat.
Justeru
garis PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat ini menjadi mistos umum apabila
pemerhati politik membincangkan Muktamar PAS kali ini. Umum juga telah
mengetahui bagaimana secara terbuka Nik Amar sendiri mengakui bahawa
dirinya adalah ‘seorang ulamak’. Justeru Nik Amar dianggap mewakili dan membawa garis ulamak dalam mukatmar PAS
kali ini.
Manakala
Mat Sabu dalam ceramahnya telah berkali-kali berkata bahawa “... apabila PAS
keluar dari Pakatan, maka PAS akan menjadi lebih kuat. Tetapi jajahan taklok
PAS hanya bermula dari Rantau Panjang dan berakhir di Kemaman..”
Ucapan
Mat Sabu ini jelas memperlihatkan bahawa garis politik yang dibawa oleh Mat
Sabu ini ialah garis politik yang bersedia untuk meneruskan kerjasama
dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.
Mat Sabu memahami realpolitik Malaysia. Dalam politik pilihanraya – satu warga
satu undi – tidak ada jalan lain untuk mengambil alih kuasa melainkan bekerja sama dengan kumpulan yang bukan dari
Parti PAS.
Ikatan
kerjasama ini dari pandangan Mat Sabu
telah memberi kejayaan dalam tahun 1999, 2004, 2008 dan dalam PRU13 yang baru
selesai. Hanya dengan bekerja sama dengan parti-parti yang bukan dari bakul Ketuanan Melayu barulah PAS
mendapat kejayaan. Malah di Selangor kemenangan PAS yang amat cemerlang itu adalah hasil dari
kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
Apakah
perlawanan antara Mat Sabu dan Nik Amar ini membawa makna Mat Sabu menentang
ulamak? Dalam konteks Mat Sabu dan Ulamak – ianya satu yang pelik yang sukar untuk dipercayai. Sejarah
masih belum merakamkan secara tuntas tentang
konsep kepimpinan ulamak dalam PAS. Tidak ramai yang mengetahui bahawa
konsep ini adalah hasil dari gerakan Mat Sabu dan kawan-kawan yang telah
melihat kejayaan Revolusi Iran 1979. Ketika konsep ‘Kepimpinan Ulamak’ ini
diajukan Mat Sabu sedang bergerak aktif
dalam Pemuda PAS.
Apakah
para ulamak tidak melihat realpolitik dimana Malaysia ini sebuah negara majmuk – berbilang bangsa
dan agama. Malah dalam kumpulan penganut
Islam itu sendiri tidak semua yang berkad pengenalan Islam bersetuju dengan apa yang cuba dibawa dan
dilakukan oleh kumpulan ulamak ini.
Jawabnya:
para alim ulamak ini melihat realpolitik ini. Tetapi kefahamam politik dan analisa politik mereka tidak memasukan ekonomi dan kelas
sebagai asas politik. Gerakan parti politik bertujuan untuk mengambil kuasa.
Dengan memenangi kuasa maka punca-punca ekonomi boleh dimiliki. Dengan memiliki punca ekonomi maka barulah dapat dilaksankan satu sistem ekonomi yang berkemungkinan
melahirkan Negara Berkebajikan.
Tanpa
kuasa politik tidak ada kuasa ekonomi. Tanpa kuasa ekonomi tidak ada satu habuk. Yang ada hanya selipar Jepun dan kain cukin. Ini difahami jelas oleh Mat
Sabu. Tetapi agak kabur dalam pandangan mata para ulamak. Justeru kita melihat bagaimana akhbar Utusan Malaysia
berhempas pulas cuba menimbul ajenda hudud, isu Shiah, isu Allah – semua
ini bertujuan untuk memerangkap ahli PAS agar gagal memahami ekonomi sebagai
asas politik.
Niat
dan cita-cita Utusan ini cukup jelas. Selagi PAS bersama Pakatan Rakyat
maka kesehatan parti Ketuanan Melayu ini akan terus merudum
menuju ke liang lahad. Dalam realpolitik kuasa
United Malays Natiopnal Organsiation telah lupus. Yang membolehkan
gerombolan ini terus berkuasa hanyalah melalui kuasa
Polis, Special Branch atau kuasa mahkamah. Sebanyak 52% rakyat
Malaysia tidak lagi menyokong United Malays National
Organisation dan kuncu-kuncunya.
Apakah
para ulama tidak melihat ini? Jawabnya :
Ada melihat dan ada tidak. Kalau kita perhatikan dunia Islam hari ini ialah melimpah
dengan kekayaan hasil bumi. Sayangnya kekayaan negara Islam ini disaluti dengan kebebalan
fikrah warganya. Tidak ada yang alim dan
tidak ada yang ulamak. Para alim dan ulamak ini hanya tinggal nama sahaja.
Mengikut
Mat Sabu gerakan Islam hari ini masih
lagi ditahap ‘takfiri’. Masih lagi membincangkan apa yang suci dan apa yang
haram. Masih lagi menuduh siapa kafir
dan siapa boleh masuk syurga. Islam
gagal untuk mengajukan satu sistem sosial yang berkebajikan. Wal hal hampir
tiga suku ayat-ayat dalam Quran ialah tentang kebajikan umat manusia.
Samenjak
tahun lalu mimpi berahi United Malays National Organisation dan Utusan Malaysia
ialah kekalahan Mat Sabu. Gerombolan Ketuanan Melayu bermimpi sambil merancang
agar parti PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Jika semua ini gagal, parti
Ketuanan Melayu beharap PAS akan kembali
menjadi parti ‘ takfiri’ yang akan menuduh sesiapa sahaja sebagai kafir dan
musuh Islam.
Gerombolan
Ketuanan Melayu berharap PAS akan menjadi parti politik yang kerjanya hanya
mengeluarkan fatwa fatwi untuk menghukum dan
mengkafirkan sesiapa sahaja yang dianggap tidak bersetuju dengan garis
politik PAS. Bila ini berlaku maka anak muda akan lari lintang pukang mejauhi PAS. Bukan takut dengan PAS tapi
menyampah dengan parti kolot yang menggangu hidup mereka.
Jika
ini terjadi maka jaringan luas yang wujud hari ini dari anak semua bangsa dan dari agama semua kaum yang menyokong PAS akan
kendur. Inilah yang dikatakan oleh Mat Sabu ‘ wilayah taklok PAS hanya bermula
dari Rantau Panjang dan berakhir di Kemaman’. Maka akan bergumbiralah ahli
United Malays National Organisation kerana
mereka boleh merompak harta
negara tanpa sekatan.
Setakat
ini Utusan Malaysia akhbar milik parti Ketuanan Melayu sedang berkempen memutar alam. Tapi ahli PAS yang akan bersidang ke Muktamar telah dewasa. Setitik dakwat Utusan telah diketahui jantan betinanya. ( TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN terkini
sesiapa yang ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92- 21-10 -45
----------