Pada tahun 1957 aku masuk sekolah. Aku menjadi murid darjah satu Sekolah Umum Kuala Klawang A. Sekolah A ini khusus untuk murid lelaki sahaja. Sekolah B untuk murid perempuan sahaja. Dua wilayah sekolah yang berlainan.
Darjah paling tinggi untuk Sekolah Melayu di Jelebu pada ketika itu hanya sampai ke tahap darjah enam. Hanya di sekolah Inggeris – Goverment English School Kuala Klawang (GES) – ada tingkatan satu hingga ke tingkatan lima.
Untuk masuk ke GES bakal murid boleh mendaftar masuk dari darjah satu. Sekolah GES Kuala Klawang terletak di tepi pekan Kuala Klawang. Maka majoriti murid pastilah anak China atau India atau keluarga Melayu yang duduk berhampiran pekan Kuala Klawang.
Murid Melayu yang rumah di kampung masuk sekolah Melayu di kampung masing-masing dahulu hingga darjah empat. Kemudian wajib lulus peperiksaan darjah empat – Special Malay Class – untuk masuk ke sekolah Inggeris. Atau sesudah darjah enam masuk ke Remove Class – ini cara untuk murid dari sekolah Melayu dan juga dari sekolah China untuk menyambung belajar hingga ke tingkatan lima.
Inilah sistem pembelajaran pasca Inggeris meninggalkan Tanah Melayu kepada United Malays National Organisation.
Dalam tahun 1958 – ketika aku dalam darjah dua - diadakan satu keramaian – Hari Pertanian - di pekan Kuala Klawang. Aku ingat dengan pameran di Sekolah Yuk Hua Kuala Klawang. Pertama kalinya aku melihat janin dalam balang. Lama juga mata aku memberi perhatian rapi kepada ‘ bayi kecil’ dalam balang kaca ini.
Aku ingat lagi akan peraduan meneka biji kacang hijau. Kacang ini dimasukkan ke dalam satu balang gelas yang diletak di atas meja untuk dilihat oleh sesiapa yang akan ingin meneka. Aku tak tahu apa hadiahnya. Apa yang aku ingat ialah ramainya warga Jelebu yang datang ke pameran ini.
Tak jauh dari hadapan sekolah China ialah Pejabat Daerah. Di belakang pejabat ini ada laman tenis dan dewan badminton tertutup. Antara pejabat Tuan D.O ada padang rumput yang agak luas.
Pada hari keramaian ini aku ternampak di padang rumput ini ada berbelas -belas ekor kambing dalam kandang yang baru di buat. Inilah kali pertama aku melihat kambing yang bertelinga besar. Telinga kambing ini jatuh menutup kepala. Untuk aku ini pastilah bukan kambing kampung yang biasa aku nampak. Ini kambing licin bukan biri-biri. Pada hemat aku ini kambing Australia.
Tertiba ketika aku memberi perhatian pada kambing-kambing ini sekumpulan orang ramai datang ke arah kandang kambing. Aku menjauhkan diri. Aku nampak anggota polis. Beberapa orang Pegawai Melayu yang memakai baju cantik bukan baju orang kampung biasa. Aku ternampak juga tiga empat sosok memakai baju Melayu lengkap dengan kain samping dan songkok.
Aku tak tahu apa yang sedang berlaku.
Kemudian aku nampak satu sosok yang dimuliakan Sosok ini memakai baju Melayu lengkap. Sosok ini ada sejemput janggut putih di dagu. Aku perhatikan semua orang mem muliakan sosok berjanggut ini.
‘ Sapo tu Bang...’ Aku bertanya pada Abang yang berdiri disebelah aku di tepi kandang kambing.
‘ Laa...Jang oooi..kao tak kona... tu laaa Tok Undang kito...’ Mata Abang ini memandang hairan kerana aku tidak kenal dengan Datuk Undang Jelebu.
Balik ke rumah aku buka cerita bagaimana aku jumpa Datuk Undang. Aku bercerita kepada emak dan kakak seolah-olah aku dah kenal lama dengan Datu Undang ini.
‘ Nama dia Shahmaruddin ... Undang Jolobu ado golaran .. kita panggil dio ..Datuk Mendiko Montori Akhir Zaman...’ Wah Rahmah aku memberi penerangan.
‘ Di Negeri sembilan ini ada empat Datuk Undang... Undang Johol, Rembau, Sungai Ujung dan Jelebu. Undang ni sama dengan Tengku Besar Tampin memilih Yang DiPertuan Besar... Ini adat kita... Adat Perpatih... di luar Ngeri Sembilan orang pakai Adat Temenggong... Tok Undang ni semua suku Biduanda... orang asal Negeri Sembilan...’ Cik Gu Zaleha memberi penerangan yang lebih jelas.
‘ Ekao ni suku Biduanda... Sakai dulu ni...kito ni porut Sungai Ujung...’ Wan Rahmah aku menambah.
‘ Perut ni apa Mak... ‘ Aku bertanya.
‘ Perut ni turun temurun kita.. salasilah teromba adat Datuk Nenak Moyang kita dari sebelah betina... Di Jelebu ini ada Perut Sarin.. Perut Kemin dan Perut Ulu Jelebu... ganti-ganti ..bergeler-geler jadi Tok Undang... lepas satu Perut... Perut lain pulak jadi Tok Undang... Undang Shahmaruddin ini Perut Kemin...lepas Perut Kemin Perut Ulu Jelebu...’ Penerangan yang jelas dari Cik Gu Zaleha tentang adat istiadat Perpatih di Jelebu.
‘ Adat Perpatih ni... kuat sebelah emak...Perut emak penting.... Adat Temenggong pulak kuat sebelah Bapak...’ Emak aku memberi penerangan tuntas tentang dua adat ini.
Aku membesar di Jelebu tanpa aku sedari bahawa aku dipagari oleh adat istiadat Perpatih. Adat ini dibawa oleh dari Tanah Seberang.
Orang Seberang dan Tanah Seberang ini selalu digunakan oleh Tok Wan Rahmah aku untuk Orang Luar dari suku Biduanda – suku Sakai Negeri Sembilan. Orang Seberang ini adalah orang Melayu yang datang dari Sumatera wilayah di seberang laut Selat Melaka.
Untuk kami di Negeri Sembilan Orang Seberang ini bukan pendatang tapi rumah mereka di Seberang. Ini sama seperti Orang Kampung Hulu atau Orang Kampung Hilir.
Pada tahun 1959 ketika aku dalam darjah tiga Pak Ngah Aminuddin Manaf abang kepada Rais Manaf menang pilihanraya umum. Pak Ngah bertanding sebagai calon Bebas. Aku ingat lagi calon bebas memakai simbol meja.
Aminuddin Manaf calon bebas mengalahkan Ibrahim Haji Mansor dari Perikatan dan Ahmad Haji Yaacob dari PMIP ( Pan Malayan Islamic Parti ) nama asal Parti Islam.
Sebenarnya sebelum masuk sekolah lagi dari mulut Pak Ngah aku telah pernah mendengar nama Wahi Anwar, Boestamam, Tungku dan Chin Peng. Dari mulut Rais Manaf – Abah aku – aku dengar nama Shamsiah Fakeh.
Abah aku satu kelas dengan Shamsiah Fekeh. Mereka belajar di Sekolah Pondok Lebai Maadah di Juaseh Kuala Pilah.
Ketika Pilihan Raya 1959 aku telah melihat kaum keluarga – Mak Saudara, Bapak Saudara dan sepupu sepepat - sibuk berkempen untuk memenangkan Aminuddin Manaf. Soh seh soh seh politik itu dan ini telah masuk ke dalam telinga semenjak aku kecil lagi.
Hakikatnya aku tak tahu pun apa sebenarnya yang sedang berlaku. Aku hanya mendengar perbualan orang ‘tua-tua’. Hujung pangkal politik aku tidak faham.
Tahun 1960 Pak Ngah Aminuddin sudah setahun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan. Kami telah berpindah dari Kuala Klawang ke Ulu Klawang. Emak aku jadi guru di Sekolah Umum Batu Serambai.
Sekolah Batu Serambai ini hanya sampai ke darjah tiga. Untuk menyambung ke darjah empat aku mendaftar kembali ke sekolah lama aku di Kuala Klawang.
Aku merasa amat seronok kerana jika aku bosan naik bas aku boleh berbasikal ke sekolah.
Satu petang Mak aku membawa berita dari Pak Ngah aku bahawa Undang Jelebu Datuk Shahmaruddin telah melanggar adat. Aku tak faham apa yang dimaksudkan oleh emak aku : melanggar adat.
Mengikut Emak aku Pak Ngah Aminuddin sebagai wakil rakyat telah tidak puas hati dengan Datuk Undang yang melanggar adat.
‘ Kito ni idup dengan adat... adat diisi lembago dituang... adat basandi syarak... syarak bersandi kitabullah.. adat nan menurun.. syarak nan mendaki...‘ Tok Wan aku mula berpatatah berpatitih.
‘ Orang Melayu kito ni... biar mati anak jangan mati adat...’ Emak aku pula menambah.
Semua pepatah petitih ini tidak aku fahami. Aku juga tidak faham apa yang dilanggar oleh Datuk Undang.
‘ Mak... Datuk Undang buek apo... salah apo..’ Aku bertanya.
‘ Dia nak anak dia ganti dio... tak ikut adat... lepas dia mati.... dia nak lantik anak dia jadi Undang... tak ikut giliran... tak ikut Perut lagi....ini krisis besar di Jelebu...’ Cik Gu Zaleha memberi penjelasan.
Aku masih juga tidak faham apa krisisnya. Apa salah laku Tok Undang Jelebu.
Untuk kami budak-budak kampung Undang ini penting. Kami budak-budak selalu bercerita kalau musim buah tak jadi ini kerana Undang tak betul. Kalau durian, manggis dan langsat banyak berbuah tahun itu maka kami budak-budak akan bersembang sama sendiri. Kami akan berterima kasih pada Tok Undang kami berjaya memerintah dengan baik maka buah durian menjadi di Jelebu.
‘ Datuk Undang kito ni... nak jadi Rajo... keluarga dio sajo boleh jadi Undang.. macam Rajo Selangor... macam Rajo Kodah.....’ Wan Rahmah aku menerangkan.
Baru aku faham apa yang dikatakan krisis itu.
‘ Minggu depan ‘orang nak berarak’... nak lalu depan rumah Undang... Pak Ngah kau sedang menyusun...’ Emak aku memberi penerangan.
Sekali lagi aku tidak faham. Aku tak tahu apa itu berarak. Berarak untuk aku dilakukan ketika kenduri kahwin. Orang ramai para tamu akan menyambut pengantin sampai. Kemudian kita arak pengantin masuk ke pelamin.
‘ Berarak ni apa mak...’ Aku memerlukan pencerahan.
‘ Pak Ngah kau yang menyusun... dia akan bawa orang dari Chenor... dari Sarin .... dari Ulu Jelebu...ramai-ramai berjalan depan rumah Datuk Undang...’ Penjelasan dari Cik Gu Zaleha.
‘ Pasal apa berjalan depan rumah dia...’
‘ Nak tunjuk pada Undang ...orang kampung tak setuju bila dia mati anak dia jadi Undang baru.. dia melanggar adat..ini bukan cara adat Perpatih ..’ Emak aku memberi pencerahan.
‘Bila berarak ni Mak...’ aku nak tahu kerana aku juga mula tertarik sama untuk berarak. Kalau ‘ berarak ‘ waktu pagi memang baik untuk aku. Ketika ini aku masuk sekolah di waktu petang.
‘Minggu depan hari Rabu... pagi rasanya... sekarang sibuk kek Chenor .. buat kain rentang... buat sepanduk.. Pak Cik Nasir kau laaa jadi kepala...’ Emak aku menerangkan lagi.
Lalu aku teringat ketika berkempen tahun 1959 Pak Cik Nasir sepupu aku cukup keras membuat kerja. Pak Ngah Aminuddin tak ada parti. Suruhanjaya Pilihan Raya beri dia simbol meja. Bahan cetak mahal dan tidak banyak.
Maka Pak Cik Nasir dan anak-anak muda Kampung Chenor bekerja keras melukis gambar meja. Tembok jambatan ada gambar meja. Atas jalan raya ada gambar meja. Malah aku ingat lagi beberapa ekor lembu telah dicat dengan gambar meja. Kempen Pak Ngah aku cukup kreatif.
Aku rasa kali ini berarak di hadapan rumah Undang pasti lebih kreatif. Lagi pun Pak Ngah aku dah ada sedikit modal. Sebagai wakil rakyat Wakil Rakyat ada menerima elaun.
Hari ‘ berarak’ pun sampai. Awal pagi aku telah mengayuh basikal menuju ke pekan Kuala Klawang. Bila aku sampai orang berarak dah bergerak meninggalkan pekan Kuala Klawang berarak ke arah Petaling.
Jalan ini akan melintas di Kampung Mengkan. Ini kampung Datuk Undang. Rumah Datuk Undang di tepi jalan anggaran sebatu ke arah pekan kecil bernama Petaling.
Aku dengan deras mengayuh basikal untuk turut sama berarak. Kira-kira 300 meter dari rumah Datuk Undang aku ternampak kumpulan orang berarak. Berdua-duaan berjalan seiring. Mereka tidak mengganggu lalu lintas.
Ada membawa plakad. Ada membawa sepanduk. Slogan dalam tulisan Rumi dan tulisan Jawi. Yang aku baca : Biar Mati Anak Jangan Mati Adat. Hidup Di kandung Adat Mati Di kandung Tanah. Pantang Melayu Melanggar Adat. Raja Adil Raja disembah Raja Zalim Raja di Sanggah.
Aku memberhentikan basikal dan menyeret basikal aku masuk ke bahagian paling belakang. Ramai sanak saudara aku yang sama berarak. Malah majoriti yang berarak ini semuanya penyokong YB Aminuddin Manaf. Aku rasa ada 200 orang yang turut berarak.
Di hadapan memimpin perarakan ialah Pak Cik Nasir aku. Aku tak ternampak pula di mana YB Aminuddin. Beberapa orang Pak Cik , Mak Cik, Abang dan Kakak yang aku kenal turut sama berarak.
Bila sampai di hadapan rumah Datuk Undang perarakan berjalan perlahan-lahan. Sepanduk dan plakard dihalakan ke arah rumah Datuk Undang. Ini untuk memberi masa kepada Datuk Undang membaca apa yang tertulis di sepanduk dan plakard.
Dari depan rumah Datuk Undang kami terus berarak hingga ke Petaling – jaraknya hampir satu batu dari rumah Datuk Undang. Sampai di pekan kecil ini kami bersurai.
Aku pun mengayuh pulang ke Kuala Klawang. Sekolah petang bermula jam 1.30.
Dua hari kemudian berita kami berarak dilaporkan oleh akhbar Jawi Utusan Melayu. Utusan melaporkan : Orang Jelebu tunjuk perasaan membantah langkah Datu Undang Jelebu dalam hal adat. Buapak dan kepala adat tidak setuju dengan langkah Datuk Undang untuk mewarisi Undang turun temurun.
Gambar berarak ini pun ada sama. Aku tiak tahu siapa yang membuat berita dan gambar ini.
EPILOK 1
Datuk Undang Shahmaruddin dari Perut Kemin meninggal dunia pada tahun 1962. Projek untuk menjadikan jawatan Datuk Undang sebagai warisan anak beranak gagal.
Datuk Shahmaruddin di ganti oleh Datuk Abu Bakar Maamor dari Perut Ulu Jelebu. Kemudian kembali ke Perut Sarin.
Datuk Undang Jelebu hari ini ialah Datuk Maarof Mat Rashid dari Perut Kemin.
EPILOK 2
Berarak – Biar Mati Anak Jangan Mati Adat – pada tahun 1960 adalah permulaan aku berarak di jalan raya. Yang menganjur, menyusun dan mengajar aku berarak ialah YB Aminuddin Manaf – abang kepada Rais Manaf. Ada bersama aku pada hari bersejarah itu ialah saudara mara aku – sepupu dan sepepat dari Kampung Chenor.
EPILOK 3
Pada 14 Jun 1971 Field Marshal Kittichorn telah melakukan lawatan resmi ke Kuala Lumpur. Semua akhbar dan media Malaysia dengan hormatnya dan takzimnya telah melaporkan nama nya sebagai TUN Thanom ( tak percaya pergi arkib negara ).
Di pagi 14 Jun 1971 ini mahasiswa Universiti Malaya dan UKM telah berdemo menghalang kereta TUN Thanom ini di Lebuh raya Perseketuan. Hanya inilah satu-satunya jalan dari Lapangan Terbang Subang ke pusat kota. ( Petikan dari Arkib Tukar Tiubi )
Ini adalah kali ke dua aku berarak ke jalan raya. Kali ini kami tidak dipanggil berarak – kami berdemonstrasi . (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/12/15/pertama-kali-berdemonstrasi/